Hidayah Dalam Al-Quran (7)

 

Hidayah dalam Al Quran 7

Oleh: Ustaz Syed Hasan Al-Attas

Pembuktian Imamah

Imamah selepas Rasulullah SAWA

Pada perbahasan yang lepas kita telah membuktikan beberapa perkara

Pertama : Ada hidayah yang dipanggil sebagai hidayah Taqwini.

Kedua : Tugas hidayah ini digalas atau dipikul oleh sebahagian Rasul yang diangkat menjadi Imam.

Ketiga : wujud hidayah taqwini menunjukan bahawa selagi ada manusia di atas muka bumi ini, selagi itu manusia memerlukan hidayah taqwini yang dipikul oleh Imam.

Keempat : hidayah taqwini ini adalah urusan Allah, maka Allahlah yang melantik Imam.

Sekarang muncul persoalan yang amat penting dan merupakan topik perbahasan kita. Apakah ada Imam yangdilantik dan ditunjukan oleh Allah selepas kewafatan Rasulullah? Sudah tentu di sini terdapat beberapa jawapan.

Pertama : hidayah yang Allah berikan kepada manusia adalah hidayah yang manusia perlukan untuk menuju kesempurnaan. Ini termasuk hidaya taqwini. Selagi manusia ada, selagi itu manusia perlu kepada hidayah tersebut. Ini termasuk manusia setelah kewafatan Rasulullah hingga hari kiamat. Ini bererti sehingga hari kiamat manusia memerlukan kepada Imam.

Kedua : melihat kepada riwayat-riwayat yang mutawatir.

Ketiga : membuktikan dari Al Quran bahawa ada Imam yang diangkat oleh Allah selepas kewafatan Rasulullah.

Oleh kerana kita membahas perbahasan ini berdasarkan kepada Al Quran, maka kita hanya akan mengunakan dalil-dalil dari ayat Al Quran dan di beberapa tempat akan merujuk kepada asbab nuzul ( sebab ayat diturunkan).

Dalil pertama

Kita telah menyebutkan bahawa tugas Imam adalah untuk memberi hidayah, sebagaimana firman Allah dalam surah AlAnbia, ayat 73 dan surah As Sajadah ayat 24 :

ﻭَ ﺟَﻌَﻠْﻨﺎﻫُﻢْ ﺃَﺋِﻤَّﺔً ﻳَﻬْﺪُﻭﻥَ ﺑِﺄَﻣْﺮِﻧﺎ

“dan kami angkat sebahagian dari para Rasul menjadi Imam untuk memberi hidayah atas urusan kami”

ﺃَ ﻓَﻤَﻦْ ﻳَﻬْﺪﻱ ﺇِﻟَﻰ ﺍﻟْﺤَﻖِّ ﺃَﺣَﻖُّ ﺃَﻥْ ﻳُﺘَّﺒَﻊَ ﺃَﻣَّﻦْ ﻻ ﻳَﻬِﺪِّﻱ ﺇِﻻَّ ﺃَﻥْ ﻳُﻬْﺪﻯ ﻓَﻤﺎ ﻟَﻜُﻢْ ﻛَﻴْﻒَ ﺗَﺤْﻜُﻤُﻮﻥ

“Adakah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? maka apakah alasan sikap kamu itu ? Maka bagaimana kamu mengambil keputusan” ( Surah Yunus, ayat 35)

Ayat ini menerangkan tiga perkara yang penting.

Pertama : ada perintah dari Allah untuk mengikuti pemberi hidayah.

Kedua : pemberi hidayah ini ada dua jenis.

  1. A) pemberi hidayah tanpa diberikan sebarang petunjukatau hidayah dari Allah.
  1. B) Mereka yang tidak memberi hidayah melainkan Allah telah terlebih dahulu mendapatkan hidayah atau petunjuk dari Allah.

Ketiga : Allah memerintahkan kita untuk mengambil sikap kepada siapa yang patut kita ikuti. Golongan A atau B.

Keempat : ayat ini memiliki makna umum, iaitu berlaku pada setiap zaman. Ini bererti pada setiap zaman ada yang ditugaskan oleh Allah untuk memberi hidayah.

Kelima : tugas pemberi hidayah adalah tugas Imam, maka pada setiap zaman pasti ada Imam.

Dalam surah Al Ra’ad, ayat 7, Allah SWT berfirman :

ﺇِﻧَّﻤَﺎ ﺃَﻧﺖَ ﻣُﻨﺬِﺭٌ ﻭَ ﻟِﻜﻞُِّ ﻗَﻮْﻡٍ ﻫَﺎﺩ

“sesungguhnya kau ( Muhammad ) hanya sebagai pemberibperingatan dan untuk setiap kaum adalah pemberi hidayah”

Ayat diatas ini menerangkan beberapa perkara.

Pertama : Tugas Rasulullah sebagai seorang Rasul adalah pemberi peringatan. Ini telah kita bahaskan dalam hidayah tasyrie.

Kedua : kedudukan Rasulullah lebih mulia dari Nabi Ibrah. Jika Nabi Ibrahim diangkat menjadi Imam, makaRasulullah juga adalah seorang Imam. Tetapi tugas kerasulannya hanya menyampai peringatan.

Ketiga : setiap kaum memiliki pemberi hidayah. Kaum di sini bermaksud setiap genarasi dari manusia hingga ke hari kiamat.

Keempat : pemberi hidayah adalah tugas Imam, maka Imam itu pasti ada pada setiap genarasi dari manusia hingga hari kiamat.

Kelima : Imam pemberi hidayah kepada urusan Allah, maka Imam adalah urusan Allah, oleh itu Imam ditunjukan sendiri oleh Allah.

Keenam : Imam yang diangkat atau dilantik oleh Allah, ada dalam setiap genarasi dari manusia hingga hari kiamat.

Ketujuh : ada Imam dari kalangan Rasul dan ada Imam yang bukan dari kalangan Rasul. Ini kerana pintu kenabian dan kerasulan telah ditutup dengan Nabi dan Rasul yang terahkir, iaitu Baginda Muhammad Al Mustafa SAWA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *