Nikmat Kesihatan Badan

 

 

بسم الله الرحمن الرحیم
Bahagian 2

Ilmu Perubatan Islam adalah satu ilmu yang masih tersembunyi dan masih belum mendapat perhatian ramai dan secara keseluruhannya berbeza dari ilmu-ilmu perubatan yang lain yang mana Ilmu Perubatan Islam adalah berasaskan Wahyu Ilahi yang disampaikan oleh Rasulullah saaw dan Aimmah a.s.

Ribuan hadis tentang perubatan dan kesihatan telah diriwayatkan dari para Maksumin a.s dan ini menunjukkan bahawa masalah kesihatan adalah satu perkara yang penting yang perlu diambil berat dan diberi perhatian.

Sekiranya masalah kesihatan bukanlah suatu perkara yang penting sudah pasti tidak akan ada ribuan hadis diriwayatkan dari Nabi saw dan Aimmah a.s tentang kesihatan dan gaya hidup sihat.

Ilmu perubatan ini adalah satu ilmu yang rumit dan terperinci serta mendalam yang mengambil masa untuk memahami kaitan antara perbuatan manusia dengan penyakit-penyakit yang dihadapinya.

Bukanlah satu perkara yang mudah untuk insan memahami hubungkait antara gaya hidup, masa, dan kesan dari perbuatan serta percakapannya dengan penyakit yang dihadapinya.

Riwayat dari Imam Sadiq a.s :

خمسٌ مَنْ لَمْ تَكُنْ فيهِ لَمْ يَتَهَنَّ بِالعَيشِ اَلصِّحَّةُ وَ الأَمنُ وَ الغِني وَ القَناعَةُ وَ الأَنيسُ المُوافِقُ.
Barangsiapa yang tidak mempunyai lima perkara ini, maka dia tidak mempunyai kehidupan yang baik : kesihatan, keamanan, harta, qanaah, dan teman yang baik.

Perkara yang pertama yang disebutkan Imam Sadiq a.s untuk memiliki kehidupan yang baik adalah kesihatan.

Jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak tetapi tidak mempunyai kesihatan yang baik, pasti dia tidak akan merasa begitu selesa dengan kehidupannya kerana terganggu dengan masalah kesihatannya.
Begitu juga jika seseorang itu mempunyai pasangan yang baik tetapi mempunyai penyakit yang teruk pasti kehidupannya tidak begitu selesa kerana penyakit yang dihidapinya.

Imam Ali a.s dalam Nahjul Balaghah, hikmat ke-381 :

و إِنَّ مِنَ ٱلْبَلاَءِ ٱلْفَاقَةَ، وأَشَدُّ مِنْ ذلِكَ مَرَضُ ٱلْبَدَنِ، وَأَشَدُّ مِنْ ذلِكَ مَرَضُ ٱلْقَلْبِ.
Salah satu dari bala adalah kemiskinan, dan lebih teruk dari kemiskinan adalah penyakit badan, dan lebih teruk dari penyakit badan adalah penyakit hati.

Di dalam riwayat lain pula dari Imam Ali a.s :

إِنَّ مِنَ ٱلْنِّعَمِ سَعَةَ ٱلْمَالِ وَ أَفْضَلُ مِنْ ذلِكَ صِحَةُ ٱلْبَدَنِ وَأَفْضَلُ مِنْ ذلِكَ تَقْوَی ٱلْقُلُوْبِ
Salah satu dari nikmat Ilahi adalah harta, dan lebih besar dari nikmat tersebut adalah kesihatan badan, dan lebih besar dari kesihatan badan adalah takwa Ilahi.

Ada pula riwayat dari Nabi saaw yang berbunyi :

نِعْمَتَانِ مَجْهُولَتَانِ أَلْاَمْنُ وَٱلْعَافِیَةُ
Dua nikmat yang dilupakan iaitu keamanan dan kesihatan.

Riwayat-riwayat di atas jelas menunjukkan kesihatan adalah merupakan antara nikmat yang paling besar dan penting dalam kehidupan manusia dan para maksumin juga sangat menitik beratkan masalah kesihatan badan dan gaya hidup yang sihat, dan mereka juga telah menjelaskan sepenuhnya segala yang perlu diketahui kepada masyarakat tentang masalah kesihatan ini sehinggakan ummat tidak memerlukan kepada ilmu perubatan yang lain untuk menjaga kesihatan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *