الْعَالِمُ‏ بِزَمَانِهِ‏ لَا تَهْجُمُ عَلَيْهِ اللَّوَابِس

Mengenal Zaman (Bahagian 2)

الْعَالِمُ‏ بِزَمَانِهِ‏ لَا تَهْجُمُ عَلَيْهِ اللَّوَابِس

Penulis: Ust Syed Hassan Al-Attas

الْعَالِمُ‏ بِزَمَانِهِ‏ لَا تَهْجُمُ عَلَيْهِ اللَّوَابِس

(Orang yang mengenal zamannya tidak akan ditimpa kesalahan)

Di dalam hadis di atas, kita dapat memahami bahawa setiap sorang mesti mengenal zamannya.  Apa yang ada disekelilingnya dan bagaimana ia perlu berinteraksi dengan apa yang ada di sekililing.  Sudah tentu hadis tersebut bukan mengisyarahkan tentang waktu sahaja.  Ini telah kita bahaskan sebelum ini.  Mengenal zaman adalah sesuatu yang lebih luas dari waktu.  Setiap suatu yang berkaitan dengan suatu zaman.

 

Apa yang diterangkan oleh Imam Jaafar As Sadiq as cukup jelas.  Kita tidak akan melakukan apa juga perbuatan tanpa kita mengetahui apa yang ada pada zaman kita hidup.   Contoh yang paling mudah, pada satu ketika apabila disebutkan mendail telefon, bayangan orang adalah memutarkan alat yang ada di atas telefon.  Jika ada seseorang pada zaman tersebut yang koma kemudian dia sedar pada zaman sekarang, zaman telefon pintar, apakah akan terjadi kepadanya apabila disuruh mendail telefon?   Terdapat banyak contoh lain untuk kita lihat betapa pentingnya mengenal zaman.

 

Itu adalah contoh peralatan.  Kehidupan manusia lebih luas dari itu.  Hidup manusia bukan hanya sekadar mengunakan peralatan canggih dan up grading maklumat teknologi.  Urusan tertinggi manusia adalah hubungannya dengan Allah SWT.  Ini adalah matlamat kita dan ini adalah essensi utama dari hadis Imam Jaffar As Sadiq as di atas.  Apabila disebutkan mengenal zaman maksudnya adalah mengenal apa saja yang dapat mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhi  apa saja yang dapat menghalang kita untuk menuju kepada Allah.  Dengan kata lain adalah mengenal hak dan batil.

 

Apabila seseorang telah mengenal hak dan batil dia akan terselamat dari kesalahan.  Sebenarnya makna اللوابس itu lebih memberi makna ‘syubha’.  Syubha adalah sesuatu yang samar atau tidak jelas.  Jika dinisbahkan kepada hak dan batil ertinya haknya dan batilnya samar.  Jika syubha berlaku, seseorang akan terperangkap di dalam kesalahan.  Bila batil kelihatan seperti hak, maka akan berlaku syubha.  Bila seseorang gagal mengenal apa itu hak, maka akan berlaku syubha.  Bila seseorang gagal mengenal bagaimana untuk menilai hak dan batil maka dia akan melakukan kesalahan.

 

Kebatilan yang cuba mempamerkan diri dengan pakaian hak itu ada pada setiap zaman.  Ini termasuk zaman kita hidup.  Pada perang Jamal, ada orang datang kepada Imam Ali as.  Orang ini adalah antara orang yang dilanda syubha.  Dia bertanya kepada Imam :  kamu adalah menantu Rasulullah dan di pihak sana, ada isteri Rasulullah.  Jadi mana satu yang benar.  Imam Ali as berkata:

اعرِفوا الحقَّ تعرِفُوا أهلَه، فإنّ الرجال يُعرَفون بالحقّ، ولا يُعرَف الحقُّ بالرجال، واعرفوا الباطلَ تعرِفوا أهلَه

Kenali hak maka kalian akan kenal ahlinya.  Sesunggunya sesorang itu dikenali dengan kebenaran dan bukan kebenaran dikenali dengan seseorang.  Kenali kebatilan dan kalian akan kenal ahlinya. (sebahagian menyebutkan khutbah ini ketika perang Nainawa)

 

Imam Ali as telah meletakkan asas penting dalam menentukan hak atau batilnya seseorang.  Ini bukan diukur dari nasab atau hubungan.  Hal yang paling penting adalah mengenal apa itu hak.  Setelah itu mengenal siapa ahli hak.   Perlakuan seseorang perlu diukur dengan kebenaran dan bukan sebaliknya.  Bukan kerana fulan lakukan maka mesti benar. Mengikuti seseorang kerana ia adalah ahli hak atau setelah terbukti ia adalah ahli hak.  Apabila kita mengikuti para Maksumin setelah dibuktikan mereka adalah ahli hak.

 

Syubha seperti ini berlaku sepanjang zaman.  Termasuk juga pada zaman kita hari ini.  Sebab itu mengenal zaman adalah syarat utama untuk tidak ditimpa kesalahan.  Imam Ali as mengatakan :

حَسْبُ الْمَرْءِ….وَ مِنْ‏ عِرْفَانِهِ‏ عِلْمُهُ بِزَمَانِه[1]

Cukup untuk seseorang…dari pengetahuannya, ilmunya tentang zamannya.

 

Dalam sebuah hadis yang lain Imam Ali as mengatakan :

مَنْ‏ أَمِنَ‏ الزَّمَانَ‏ خَانَهُ‏ وَ مَنْ أَعْظَمَهُ‏ أَهَانَه[2]

Sesiapa yang merasa aman dengan zaman, dia telah mengkhianatinya.  Sesiapa yang memuliakan zaman maka dia telah menghinanya.

Apa yang disampaikan oleh Imam Ali as jelas menunjukkan bahawa mereka yang tidak peduli dan merasa aman adalah orang yang mengkhianati zaman.  Zaman tidak pernah menjaminkan keamanan bagi penghuninya.  Mereka yang memuliakan zaman juga adalah orang yang menghina zaman.  Zaman penuh dengan dugaan.  Bila-bila sahaja zaman akan menelan orang yang lalai.  Imam Ali as mengisyarahkan kepada mereka yang lalai dan tidak ambil peduli tentang zamannya. Orang yang sedemikian tidak mengetahui apa yang berlaku disekelilingnya.  Orang sedemikian dengan mudah akan melihat kebatilan sebagai hak dan hak sebagai batil.  Orang ini adalah orang akan ditimpa kesalahan dunia dan akhirat.

 

[1] Bihar Al Anwar, J 75, ms 80

[2] Nahjul Balagh, wasiat kepada Imam Hassan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *