Mengenal Zaman

Mengenal Zaman (Bahagian 1)

Mengenal Zaman

Penulis: Ust Syed Hassan Al-Attas

Mengenal Zaman

 

الْعَالِمُ‏ بِزَمَانِهِ‏ لَا تَهْجُمُ عَلَيْهِ اللَّوَابِس[1]

Orang yang mengenal zamannya tidak akan ditimpa kesalahan

 

Apa yang dimaksudkan dengan zaman?  Secara mudahnya kita dapat memahami bahawa yang dimaksudkan dengan zaman adalah sesuatu yang melibatkan waktu.  Ia termasuk waktu yang lepas, sekarang dan akan datang.  Dengan izin Allah kita akan mula membahas hadis di atas yang diriwayatkan dari Imam Jaffar As Sadiq as. Sebagaimana dengan perbahasan-perbahasan sebelum ini, hal yang pertama yang akan dilakukan adalah menganalisa hadis tersebut.  Sudah tentu analisa ini akan lebih tertumpu kepada matan hadis dan bukan sanad.  Setelah itu kita akan mula menilai hadis tersebut dengan ayat-ayat Al Quran dan riwayat-riwayat yang lain yang membahaskan tentang hal yang sama.  Sudah tentu tujuan utama dari perbahasan ini adalah untuk mengetahui taklif yang perlu kita laksanakan pada hari ini.  Dan lebih penting dari itu adalah bagaimana untuk menerapkan perbahasan dalam bentuk amali.

 

Dari apa yang disampaikan oleh beliau menunjukkan bahawa kefahaman kepada zaman adalah satu dari jalan untuk menyelamatkan diri dari kesalahan.  Dengan ini dapat difahami mengenal zaman adalah sesuatu yang amat penting.  Dengan ini kita memahami bahawa makna zaman bukan hanya sekadar waktu sahaja.  Sebahagian ulamak ketika membahaskan tentang zaman, mereka membahagikan zaman kepada dua perbahasan.

 

Pertama, zaman berbentuk tabie.  Ini adalah bentuk alami peredaran waktu dari masa ke semasa.  Termasuk di dalamnya setiap peristiwa alam yang telah berlaku atau yang akan berlaku.  Seperti gempa bumi, taufan, letusan gunung berapi, gerhana, perubahan cuaca dan sebagainya.  Terdapat banyak riwayat yang mengisyarahkan supaya orang-orang mukmin sentiasa mengambil tahu tentang peristiwa alam yang berlaku.  Sudah tentu maksud mengambil tahu di sini bukan hanya sekadar tahu bila berlaku.  Seorang mukmin perlu memahami Sunnah Allah yang berjalan di alam ini dan memahami hukum kausaliti yang menyebabkan sesuatu peristiwa alam berlaku.

 

لَا يَنْبَغِي‏ لِلْعَاقِلِ‏ أَنْ‏ يَنْسَاهُنَ‏ عَلَى كُلِّ حَالٍ فَنَاءُ الدُّنْيَا وَ تَصَرُّفُ الْأَحْوَالِ وَ الْآفَاتُ الَّتِي لَا أَمَانَ لَهَا[2]

Imam Jaffas As Sadiq as mengatakan : Dalam apa juga keadaan, seorang yang berakal tidak akan melupakan tiga perkara : Dunia itu fana, berlaku perubahan keadaan dan bala yang tidak ada aman padanya.

 

Yang kedua, zaman yang berbentuk iktiari.  Ini kembali kepada kehidupan manusia dan sejarah manusiaan.  Imam Ali as dalam salah satu nasehatnya kepada puteranya Imam Hassan as, mengatakan:

 

وَ إِنْ‏ لَمْ‏ أَكُنْ‏ عُمِّرْتُ‏ عُمُرَ مَنْ كَانَ قَبْلِي فَقَدْ نَظَرْتُ‏ فِي أَعْمَالِهِمْ وَ فَكَّرْتُ فِي أَخْبَارِهِمْ وَ سِرْتُ فِي آثَارِهِمْ حَتَّى عُدْتُ كَأَحَدِهِمْ بَلْ كَأَنِّي بِمَا انْتَهَى إِلَيَّ مِنْ أُمُورِهِمْ قَدْ عُمِّرْتُ مَعَ أَوَّلِهِمْ إِلَى آخِرِهِمْ فَعَرَفْتُ صَفْوَ ذَلِكَ مِنْ كَدَرِهِ وَ نَفْعَهُ مِنْ ضَرَرِهِ فَاسْتَخْلَصْتُ لَكَ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ [جَلِيلَهُ‏] نَخِيلَهُ‏ وَ تَوَخَّيْتُ‏ لَكَ جَمِيلَهُ وَ صَرَفْتُ عَنْكَ مَجْهُولَهُ وَ رَأَيْتُ حَيْثُ عَنَانِي مِنْ أَمْرِكَ مَا يَعْنِي الْوَالِدَ الشَّفِيقَ وَ أَجْمَعْتُ عَلَيْهِ‏ مِنْ أَدَبِكَ أَنْ يَكُونَ ذَلِكَ وَ أَنْتَ مُقْبِلُ الْعُمُرِ وَ مُقْتَبَلُ‏ الدَّهْر[3]

Puteraku, walau umurku tidak panjang untuk merasai mereka yang telah datang sebelumku.  Namum aku mengamati perlakuan mereka. Aku berfikir khabar tentang mereka.  Aku melewati kesan-kesan mereka hingga seakan aku salah seorang dari mereka.  Ketika aku mempelajari sejarah mereka, seakan aku bersama mereka dari awal hingga akhir umur mereka.  Aku mengetahui dari hal-hal yang indah hingga hal-hal yang pahit dalam kehidupan mereka.  Aku menganalisa dari kehidupan yang menguntungkan mereka hingga perkara yang menghancurkan mereka.  Aku ringkaskan kepadamu setiap peristiwa yang indah dan manis dari kehidupan mereka.  Aku menjauhkan darimu perkara-perkara yang tidak diketahui.  Sebagaimana seorang ayah yang baik akan menginginkan kebaikan untuk puteranya, aku mentarbiahmu dengan perkara-perkara yang baik.  Kau sekarang pada awal umurmu dan kau akan melalui kehidupan….

 

Di dalam nasihat ini, walau membicarakan tentang sejarah orang yang telah lepas namum kita mampu mengambil beberapa pelajaran yang berguna.  Pelajaran ini memiliki nilai berterusan dan tidak hanya kepada zaman yang lepas.  Ini juga mengisyarahkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan zaman tidak hanya sekadar peredaran waktu dan zaman yang bersifat tabie.   Zaman di sini termasuk mengenal kehidupan manusia dan apa sahaja yang bersangkutan dengan manusia pada setiap zaman.

 

Imam Ali as mengamati, menilai, mempelajari apa yang berlaku dalam kehidupan manusia yang lepas.  Ini juga perlu dilakukan pada setiap zaman.  Seseorang yang hidup pada zaman tertentu perlu melakukan pengamatan, penilaian dan mempelajari apa yang ada pada zamannya.  Seorang yang cegas dan memiliki kesedaran apa yang berlaku pada zamannya adalah seorang yang tidak akan ditimpa kesalahan.

Bersambung…

[1] Al Kafi, J 1, ms 27

[2] Tahaful Al Uqul, ms 324

[3] Nahjul Balagh, Wasiat kepada Imam Al Hassan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *