Tawalla dan Tabarra

Tawalla dan Tabarra

Bahagian 1

اَحِبَّ في اللهِ وَ اَبغِضْ فِي‌اللهِ وَ والِ فِي‌اللهِ وَ عادِ في‌الله فَاِنَّهُ لاتُنالُ وِلايَةُ اللهِ اِلاّ بِذلِکَ

Imam Hassan Al Askari mengatakan :
Cintai dan bencilah kerana Allah, perwalikan dan bermusuhlah kerana Allah, sesungguhnya tidak akan tercapai wilayah Allah kecuali dengan jalan tersebut.

 

Sunah Allah SWT mengalir di dalam alam ciptaanNya. Tidak ada siapapun mampu mengubah sunah ini, tidak pernah dan tidak akan berubah. Ini adalah tanda kekuasaan Allah SWT dan tidak untuk kemampuan makhluk. Yang sedar dan berfikir akan tunduk. Yang leka akan terus dengan kelekaannya hingga datangnya hari perhitungan. Beruntunglah mereka yang telah mendapatkan hidayahNya.

Antara Sunah Allah SWT yang mengalir di dalam alam ini adalah kekuatan ‘tarikan’ dan ‘tolakan’. Setiap atom yang wujud dalam alam ini memiliki kekuatan. Dari jirim yang paling kecil hingga kepada makhluk paling besar yang memiliki daya kekuatan ‘tarikan’ dan ‘tolakan’ ini. Hal ini yang mendorong kesemua makhluk untuk bergerak ke hadapan. Ia juga mewujudkan ‘pergerakan’ dan ‘kekuatan’.

Sebagai contoh, dalam alam semula jadi, pokok tidak akan mampu hidup tanpa memiliki kedua-dua kekuatan ini. Dalam proses kehidupannya, pokok perlu memiliki daya tarikan dan penolakan. Pokok akan menarik unsur-unsur yang dapat membantunya untuk hidup serta pada waktu yang sama, pokok juga menolak unsur-unsur yang boleh membahayakan keberadaannya. Pokok akan mati bila kedua daya ini hilang darinya.

Haiwan juga sedemikian. Sebagai makhluk yang memiliki kesedaran dan iradah, haiwan juga memiliki kekuatan tarikan dan tolakan. Cuma tingkat kedua kekuatan yang ada dalam haiwan lebih tinggi berbanding dengan tumbuhan. Tarikan dalam dunia haiwan adalah mendekatkan diri mereka kepada unsur-unsur yang dapat membantu mereka untuk hidup. Tolakan pula adalah melarikan diri dari unsur-unsur yang membahayakan kehidupannya. Haiwan akan mencari unsur-unsur yang menjadi makanannya. Ia juga akan melarikan diri dari pemangsa yang akan menjadikannya sumber makanan.

Dalam dunia manusia, tingkat ‘tolakan’ dan ‘tarikan’ jauh lebih tinggi berbanding dengan tumbuhan dan haiwan. Manusia adalah makhluk yang memiliki daya kesedaran kognitif dan spiritual. Dengan ini, kekuatan tarikan dan tolakan tidak hanya berkisar tentang tubuh badan luaran manusia serta bukan hanya makanan dan minuman manusia. Permasalahan tarikan dan tolakan manusia melibatkan jati diri manusia. Hal ini akan melibatkan kefahaman dan roh serta jiwa manusia. Ia juga mempengaruhi kehidupan manusia secara individu dan bermasyarakat. Kebahagiaan kehidupan duniawi dan ukhrawi manusia juga bergantung kepada kekuatan tarikan dan penolakan ini.

Dalam alam kehidupan manusia, kekuatan tarikan dan penolakan dipanggil sebagai ‘cinta’ dan ‘benci’. Manusia baik sebagai individu mahupun sebagai anggota masyarakat pasti memiliki akan rasa cinta dan benci. Cinta kepada wira-wira meraka, seperti cinta seorang anak kepada orang tuanya dan cinta anggota masyarakat kepada pahlawan negara dan kepada tanah airnya. Benci akan musuh-musuh wira mereka khususnya dan musuh negara amnya.

Puncak daripada kekuatan cinta dan benci ini di dalam istilah agama dipanggil sebagai ‘Tawalla’ dan ‘Tabarra’ (memperwalikan dan berlepas diri). Dengan izin Allah SWT kita akan mula membahaskan perbahasan ini daripada siri-siri yang akan datang. Tujuan utama dalam perbahasan ini adalah untuk memahami makna sebenar dari Tawalla dan Tabarra. Dan lebih penting daripada itu adalah membentuk keseimbangan dalam Tawalla dan Tabarra. Adalah sangat penting penerapan Tawalla dan Tabarra dalam kehidupan seharian kita. Mudah-mudahan perbahasan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

إِنْ أُرِيدُ إِلاَّ الإِصْلاَحَ مَا اسْتَطَعْتُ وَمَا تَوْفِيقِي إِلاَّ بِاللّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *