Mengenal Zaman ( Basirat dalam Akidah, Perbuatan dan Politik)

Penulis: Ust Syed Hassan  Al-Attas

Basirat dalam Akidah

Akidah merupakan asas penting dalam kehidupan manusia baik sebagai individu, mahupun sebagai anggota dalam masyarakat.  Apa yang dilakukan adalah dari apa yang difahami.  Apa yang difahami adalah dari apa yang diyakini.   Jika keyakinannya adalah material, maka kefahamannya terhadap alam dan ciptaan adalah material.  Perlakuannya juga akan menjadi perilaku meterialistik.

Dalam Islam dan khususnya dalam mazhab Ahlul Bait, keyakinan tertinggi adalah makrifat kepada Allah SWT.  Pembuktian dari Akal dan Nas pada satu tahap, tahap yang berikut adalah mengenal Allah SWT dengan Allah SWT.  Dengan kata lain, mengenal Allah SWT sebagaimana Allah SWT mengenalkan diriNya.

اللَّهُمَّ عَرِّفْنِی نَفْسَکَ؛ فَإِنَّکَ إِنْ لَمْ تُعَرِّفْنِی نَفْسَکَ لَمْ أَعْرِفْ نَبِیَّک‏…

Ya Allah, kenalkan aku diriMu, sesungguhnya jika Kau tidak mengenalkan aku diriMu, aku tidak akan mengenal NabiMu….

Ini adalah tahap tertinggi dari makrifah.  Namun asas dari makrifah ini, ialah wahyu dan akal jika tidak difungsikan dengan benar, tetap sahaja akan menyebabkan kecacatan dalam basirat.  Terutama dalam memahami fungsi akal dalam agama.  Tidak sedikit mazhab yang mengenepikan peranan akal dalam makrifah.  Penolakkan akal dalam agama adalah sama dengan penolakan agama itu sendiri.  Pembuktian awal kebenaran agama adalah dengan pembuktiaan akal.  Benar atau batil sesuatu ajaran itu dinilai dengan akal.  Jika peranan akal di dalam agama dinafikan, maka kebenaran agama itu sendiri akan tertolak.

وَ مَنْ یُؤْتَ الْحِکْمَهَ فَقَدْ أُوتِیَ خَیْراً کَثِیرا

Sesiapa yang dikurniakan hikmat maka sesungguhnya ia telah dikurniakan kebaikan yang banyak. (Al Baqarah, 269)

Imam Jaffar As Sodiq As mengatakan : Maksud dikurniakan hikmah adalah makrifah dan basirat. ‘Hikmah adalah mengenal Allah SWT dan taat kepada Imam’. (Al Kafi, J 1, ms 185)

Para pembantu dan sahabat Al Hujjah nantinya adalah mereka yang memiliki basirat yang benar.  Basirat yang benar ini datang daripada makrifah yang benar.

Doa makrifah di atas adalah doa yang paling ditekankan untuk dibaca, khususnya pada zaman ghaibah Al Hujjah AJ.  Kita bermohon supaya Allah SWT mengenalkan kepada kita DiriNya, NabiNya dan HujjahNya.   Dengan makrifah sedemikian, maka kita akan memperoleh basirat.  Ini adalah sifat yang dimiliki oleh sahabat Al Hujjah AJ.  Imam Ali As mengatakan :

رجالٌ مؤمنونَ عَرَفُوا اللهَ حقَّ معرِفَتهِ و هم أنصارُ المهدی فی آخرِ الزمان

Orang-orang mukmin, mengenal Allah dengan sebenar-benar pengenalan dan mereka adalah pembantu Al Mahdi pada akhir zaman. (Bihar Al Anwar, J 57, ms 229)

Melalui hadis di atas, dapat difahami bahawa, para pembantu Imam Al Mahdi adalah mereka yang memiliki makrifah yang benar tentang Allah SWT.  Mereka adalah orang yang mempelajari, memahami dan mengamalkan Tauhid.  Seluruh kehidupan mereka berasaskan Tauhid.  Melalui Tauhid mereka mengenal Nubuwah dan seterusnya mengenal Imamah.   Mereka tidak akan goyang dengan seribu bentuk dakwaan kebenaran yang lain.  Makrifah mereka Allah membantu mereka memahami kebenaran.  Inilah yang dimaksudkan mengenai basirah dalam akidah.

 

Basirat dalam perbuatan

Hal yang paling asas basirat dalam perbuatan adalah memahami apa yang perlu atau tidak untuk dilakukan. Hal ini memerlukan kepada pertimbangan, penilaian dan kefahaman (Rationality).  Setiap yang dilakukan perlu kepada dua perkara yang paling asas.  Pertama ‘world view’ yang betul.  Kedua memahami subjek tumpuan.   Perbuatan di sini memiliki makna yang luas.  Ia bukan sahaja sekadar jelmaan tingkah laku, tetapi termasuk di dalamnya memahami setiap peristiwa yang berlaku.

Musibah besar yang berlaku di dalam dunia Islam pada hari ini adalah disebabkan tidak memiliki basirat dalam perbuataan.  Sebabnya, adakalanya kerana tidak memiliki ‘world view’ yang benar atau tidak memiliki kemampuan dalam memahami subjek tumpuan.  Ini bukanlah tugas yang mudah.  Sebab itu Imam Khamenei membahagikan manusia kepada dua, iaitu awam dan khas.   Yang khas adalah mereka yang memiliki basirat dan yang awam adalah orang-orang sepatutnya mengikuti golongan yang khas.

Dalam kalangan para penanti zuhur Al Hujjah terdapat golongan khas ini.   Para pembantu dan sahabat Imam Al Hujjah juga adalah daripada golongan khas ini.   Mereka hadir pada setiap zaman sebagai penanti yang setia.  Penantian bersama dengan basirat dalam perbuatan.  Mereka tidak berdiam dan berpeluk tubuh.  Mereka memahami taklif dan faham apa yang penting dan apa yang lebih penting.  Mereka peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.  Mereka melihat batin dari masalah bukan zahirnya.  Mereka tidak akan tertipu dengan permainan zaman.  Mereka memiliki beberapa ciri yang khusus.

Pertama : Ketaatan Mutlak kepada Allah SWT.

Mereka menjaga setiap perintah dan larangan Allah SWT.  Mereka mencintai dan membenci kerana Allah SWT.  (Ini telah dibahas dengan terperinci dalam perbahasan Tawalla dan Tabarra).  Dalam hal ini Imam Ali As mengatakan :

فَهُمُ الّذینَ وحَّدوا اللهَ حقَّ تَوحیدهِ

Mereka adalah orang-orang yang berTauhid kepada Allah SWT dengan sebenar-benar Tauhid kepadaNya.

مُجِدُّونَ فی طاعهِ الله

Mereka bersungguh dalam mentaati Allah SWT.

Mereka adalah orang-orang yang dimaksudkan dari firman Allah dalam surah Al Maidah, ayat 54.

یا أیـُّها الذین ءامَنُوا، مَن یرتَدَّ مِنکُم عَن دینهِ فَسَوفَ یأتِی اللهُ بِقَومٍ یُحِبُّهُم و یُحِبُّونَه أذِلهٍ عَلی المؤمنینَ أعِزَّهٍ علی الکافرینَ یُجَاهِدُونَ فی سَبِیلِ اللهِ و لایُخَافُونَ لومَه لائِم ذلک فضلُ اللهِ یُؤتِیهِ مَن یَشاءُ و اللهُ واسِعٌ عَلِیم

Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Imam Ali As mengatakan bahawa yang dimaksudkan dari ayat di atas adalah para sahabat Al Qaim AJ.

Kedua : Ketaatan Mutlak kepada Imam

Ketaatan mutlak kepada Imam baik ketika Imam ghaib dan ketika Imam zuhur.  Ketika zaman ghaib, setiap perlakuan mereka berasaskan kepada basirat mereka.  Mereka memahami apa yang diinginkan oleh Imam.  Mereka melakukan sesuatu seakan Imam hadir di hadapan mereka dan memerhatikan apa yang dilakukan oleh mereka.  Ketika zuhur, Imam Jaffar As Sodiq As menyifatkan mereka :

رِجَالٌ کَأَنَّ قُلُوبَهُمْ زُبَرُ الْحَدِیدِ لَا یَشُوبُهَا شَکٌّ فِی ذَاتِ اللَّهِ أَشَدُّ مِنَ الْحَجَر… ِ هُمْ أَطْوَعُ لَهُ مِنَ الْأَمَهِ لِسَیِّدِهَا کَالْمَصَابِیحِ کَأَنَّ قُلُوبَهُمُ الْقَنَادِیل

Lelaki yang hati mereka seperti potongan hati.  Mereka tidak sedikit pun dilanda keraguan bagai batu yang kukuh dengan janji mereka kepada Allah SWT….mereka lebih taat kepada pemimpin daripada ketaatan seorang hamba kepada tuannya.  Mereka umpama pelita-pelita yang terang dan hati mereka penuh dengan cahaya.

Dalam riwayat lain, Imam Jaffar As Sodiq As mengatakan :

طوبی لِشِیعَهِ قائمِنَا المُنتَظِرِینَ لِظُهُورِهِ فِی غَیبَتهِ وَ المُطِعِینَ لَهُ فِی ظُهُورِهِ أُولَئِکَ أَولِیاءُ اللهِ الَّذینَ لاخَوفٌ عَلَیهِم وَ لاهُم یَحزَنُونَ

Berbahagialah Syiah Qaim kami yang menanti kezuhurannya ketika ghaibnya.  Dan mereka mentaatinya ketika ia zuhur, mereka adalah Aulia Allah SWT yang mana mereka tidak takut dan tidak juga mereka merasa bimbang.

 

Basirat dalam Politik

Basirat dalam politik adalah sebahagian daripada basirat dalam perbuatan. Kepentingan politik itu sendiri tidak terpisah daripada hidup seorang mukmin dan menyebabkan ia diletakkan dalam perbahasan yang tersendiri.  Sebahagian ulamak membahagikan politik dari satu sudut kepada politik Ilahiah, politik Insaniah, politik Haiwaniah dan politik Syaitaniah.  Terdapat pembahagian lain politik tetapi bukan untuk kita bahaskan di sini kerana memerluka perbahasan yang berasingan.  Namun, pengetahuan asas amat penting dalam memiliki basirat dalam politik,  khususnya dalam memahami perbezaan antara politik Ilahi dan yang bukan.  Mereka yang memiliki basirat dalam politik tidak akan tertipu dengan slogan dan syiar.  Adakalanya syiar yang diberikan adalah bercirikan Islam tetapi disebaliknya adalah politik haiwaniah dan syaitaniah.

Tujuan utama basirat dalam politik adalah membezakan antara politik Ilahiah dan bukan Ilahiah, seterusnya dapat membezakan kebenaran dan kebatilan dalam politik. Hal ini juga akan membina kesedaran tinggi terhadap perkembangan politik yang berlaku.  Dengan ini akan mewujudkan kemampuan untuk menganalisis setiap kesamaran peristiwa yang berlaku dalam politik .  Imam Ali As mengatakan :

مَن عَرَفَ الاَيام لَم يغفل عَن الِاستِعدَاد

Sesiapa yang mengetahui zaman, ia tidak akan lalai daripada menyiapkan segala keperluan.

Seorang mukmin semestinya memahami perkembangan politik yang berlaku di sekelilingnya khususnya dan seluruh dunia secara amnya.  Dalam dunia Islam, mahupun yang bukan Islam,   hal yang pertama yang mesti dimiliki adalah kesedaran. Kedua, adalah mendapatkan maklumat benar yang terkini.  Ketiga, kemampuan untuk menganalisis maklumat tersebut.   Menganalisis maklumat untuk memahami batin daripada permasalahan bukanlah perkara yang mudah.  Oleh itu, akan dimuatkan beberapa tahap asas yang perlu dimiliki untuk dijadikan sebagai asas pada peringkat awal.

Tahap yang pertamaInformasi dan kefahaman diri.

Pada tahap ini sangat perlu dalam perbahasan asas pemikiran politik di dalam Islam.  Ini mampu dilakukan dengan menelaah kitab-kitab muktbar atau penulisan oleh ulamak-ulamak yang muktabar.  Seseorang mukmin perlu memiliki pengetahuan yang mendalam dan paling asas tentang pandangan Islam terhadap bidang politik.

Tahap kedua :  Memiliki kesedaran peristiwa terkini.

Seseorang yang ingin melakukan analisis politik semestinya sentiasa memiliki kesedaran terhadap setiap perkembangan yang terbaru dalam politik di negaranya khususnya dan antarabangsa amnya.  Hal ini mampu dihasilkan dengan beberapa kaedah :

  1. Seseorang itu sendiri membuat kajian. Kajian dibuat melalui pembacaan buku-buku muktbar dan makalah karya penulis yang memiliki kesedaran tinggi disamping membaca pandangan semua pihak.  Untuk melakukan analisis, perlu memiliki sikap tidak berpihak.   Hanya membaca pandangan satu pihak sahaja,  tidak akan mampu untuk membuat penilaian dan analisis secara keseluruhan.
  2. Hendaklah mengikuti analisis yang dilakukan oleh semua pihak.
  3. Mengikuti perkembangan berita yang disiarkan dan disampaikan melalui TV dan radio.
  4. Menyertai dalam program dialog yang melibatkan ahli bidang politik.

Tahap ketiga : Informasi berserta analisis.

Adakalanya informasi lengkap, berguna dan benar tidak cukup untuk memahami sesuatu perkara.   Analisis diperlukan untuk memahami sesuatu kebenaran tentang peristiwa dan gerakan dalam politik.  Dalam budaya politik, adalah perlu untuk menganalisis sesuatu peristiwa dan gerakan :

Pertama, mesti memiliki gambaran secara keseluruhan.

Kedua, perlu kepada menghuraikan setiap satu daripada perkara yang membentuk peristiwa atau gerakan.

Ketiga, memahami hubungan setiap satu dari perincian yang membentuk peristiwa dan gerakan.

Keempat, memahami kesan setiap perincian ke atas perincian yang lain.

Setiap analisis politik mesti memiliki empat tahap.

  1. Mengumpulkan informasi dan khabar.

Setiap penganlisis sebelum melakukan sesuatu analisis perlu kepada informasi dan pengetahuan kepada subjek yang ingin dianalisisnya.  Setiap informasi dan sumber tidak akan memiliki nilai yang sama kerana perlu kepada kefahaman untuk membezakan nilai tahap informasi.

  1. Penentuan tujuan.

Dengan menetapkan tujuan dan batas-batas akan membantu analisis pada suatu subjek mencapai tujuan.  Perlu dilontarkan soalan-soalan tentang subjek selanjutnya menjawab soalan-soalan tersebut.

  1. Memilih metod.

Mengenal dan menganalisa satu peristiwa politik atau kemasyarakatan tidak akan berhasil jika hanya mengunakan satu metod sahaja.  Kerana setiap subjek adakalanya memerlukan metod yang berbeza.  Mengunakan satu metod yang salah dalam suatu analisa akan menghasilkan natijah yang salah juga.

  1. Membuat kesimpulan.

Kesimpulan keseluruhan analisis perlu memiliki natijah yang merangkumi setiap sudut.  Analisis hanya pada satu pihak adakalanya tidak akan mampu menjawab soalan dan kesamaran yang ada.  Untuk menentukan sikap dalam politik perlu kepada petunjuk yang sesuai.  Seorang penganalisis yang baik, perlu memiliki beberapa syarat yang penting, antaranya :

  • Realistik :

Penganalisa mesti menjauhkan sikap mementingkan diri sendiri.  Sebelum memulakan analisis, dia mestilah bersikap realistik.  Seseorang penganalisis perlu memiliki sifat taqwa. Hal ini dapat membantunya dalam bersikap realistik dan menjauhkannya daripada kesalahan semasa melakukan analisis.

  •  Menghindar daripada sangkaan :

Setiap pengetahuan, analisis, natijah mesti mengambil sikap berasaskan kepada ilmu dan dalil. Berasaskan kepada sangkaan dalam melakukan analisis haruslah dielak sama sekali.

  • Tidak menuruti hawa nafsu :

Kebanyakan kesalahan yang berlaku adalah tidak memberi tumpuan kepada realiti disebabkan menuruti hawa nafsu dan mementingkan diri sendiri.

  • Tidak taklid buta :

Setiap khabar yang datang mesti diketahui sanad dan sumbernya.  Setiap peristiwa yang berlaku mesti dikaji secara teliti.

Mereka yang ingin memiliki kemampuan untuk menganalisis politik semestinya melalui tahap yang telah disenaraikan di atas.  Jika tidak analisis apa yang dilakukannya, akan tidak lengkap atau akan memiliki kecacatan serta berlakunya kesalahan.

Imam Ali As mengatakan :

اصدقاؤك ثلاثة , و اعداوك ثلاثة. فاصدقاؤك : صديقك و صديق صديقك و عدو عدوك. و اعداؤك : عدوك و عدو صديقك و صديق عدوك

Teman-temanmu tiga golongan dan musuh-musuhmu juga tiga golongan.  Adapun teman-temanmu adalah temanmu, teman kepada temanmu dan musuh kepada musuhmu.  Musuh-musuhmu adalah musuhmu, musuh temanmu dan teman musuhmu. (Nahjul Balagh, hikmah 295)

Antara yang penting basirat dalam politik adalah mengenal teman dan musuh.  Seringkali kerana tidak memiliki basirat yang benar, musuh dianggap teman dan teman dianggap musuh.  Dalam siri kali ini, kita akan membahas satu hal yang penting dalam basirat politik,  iaitu mengenal musuh.  Tujuan utama dalam mengenal musuh adalah menyelamatkan diri kita daripada kesalahan dan tipu daya mereka.  Oleh kerana tidak memiliki basirat, tidak sedikit orang mukmin tertipu dengan tipu muslihat musuh dan penghujungnya menjadi duri dalam daging pada Islam.

Mengenal musuh bermula dengan pertanyaan, siapakah musuh dan apakah tujuan mereka?  Dalam dunia Islam hari ini, musuh adalah mereka yang tidak ingin melihat kemakmuran, kesejahteraan dan persatuan umat Islam.  Mereka akan sedaya upaya berusaha untuk menghancurkan Islam dan mewujudkan pepecahan umat Islam.  Puncak daripada mereka adalah Israel dan Zionist International bersama dengannya kuncu-kuncunya yang berbentuk gerakan yang pelbagai. Hal ini termasuklah aspek politik, kewangan, bank dan perdagangan.  Tujuan terakhir mereka adalah untuk penghambaan.  Mereka adalah Tuhan dan yang lain mesti patuh kepada telunjuk mereka.  Mereka akan menghancurkan segala bentuk kepercayaan yang ada, samada Islam atau bukan.  Mereka akan mensisakan agama sebagai ritual kering.

Selain itu, mereka akan menggunakan segala kelicikan mereka untuk memerangkap siapa sahaja yang tidak memiliki basirat untuk menjadi tali barut mereka.  Ada dalam kalangan yang telah terperangkap tidak sedar mereka telah dijadikan jentera oleh pihak musuh.

Apa yang dilakukan oleh pihak musuh?  Hal yang pertama yang akan mereka lakukan adalah melemahkan kekuatan umat Islam.  Untuk melakukan hal ini, mereka perlu memecah belahkan perpaduan dalam kalangan umat Islam dengan mewujudkan pertelingkahan.  Melalui pertelingkahan akan terwujud permusuhan. Dari permusuhan akan tercetus peperangan.  Peperangan akan menghasilkan kelemahan seterusnya kelemahan akan mengakibatkan penjajahan.

Hal yang kedua adalah kebergantungan teknologi dan ekonomi sebagai senjata untuk mereka terus mencengkam.  Jika ada negara yang cuba keluar dari cengkaman mereka pasti akan diajar dengan pelbagai bentuk tekanan.

Hal yang ketiga adalah menjaja kepentingan ilmu mereka dan menafikan kemajuan ilmu selain daripada mereka.  Mereka sedaya upaya akan mempamerkan bahawa mereka adalah pusat keilmuan.  Segala bentuk ilmu mestilah diambil daripada mereka.  Penemuan ilmiah selain mereka tidak dianggap atau akan disabotaj.

Hal yang keempat adalah mewujudkan ketidakstabilan di negara yang tidak pro kepada mereka.  Negara-negara tersebut akan dianggap sebagai pengganas atau pengeksport kepada keganasan.

 Dalam sebahagian penulisan, disebutkan bahawa syarat-syarat lain yang diperlukan dalam menganalisis politik adalah seperti berikut:-

  1. Kesiapan akal dan fokus
  2. Tidak hanya bersandarkan kepada zahir permasalahan
  3. Tidak terburu-buru
  4. Menerima sebanyak mungkin informasi dan banyak mengkaji.
  5. Memiliki kemampuan untuk melakukan analisis.
  6. Tidak menganggap remeh kepada musuh.
  7. Tidak meremehkan permasalahan yang kelihatan kecil pada mulanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *