Mengenal Zaman (Sumber-sumber Basirat)

Penulis: Ust Syed Hassan  Al-Attas

Sumber-sumber Basirat

 

Pertama: Al Quran

Tidak syak lagi sumber tertinggi basirat adalah Al Quran.

قد جاءکم مّن اللّه نور و کتاب مّبین

Sesungguhnya telah datang kepada kalian dari Allah  Nur dan Kitab yang jelas. (Al Maidah, 15)

و نزّلنا علیک الکتاب تبیانا لّکلّ شی ء و هدی و رحمة و بشری للمسلمین

Dan telah kami turunkan ke atasmu Kitab, sebagai penerangan kepada setiap sesuatu dan hidayah, rahmat dan khabar gembira untuk muslimin (An Nahl, 98)

قد جاءکم بصآئر من رّبّکم فمن أبصر فلنفسه و من عمی فعلیها

Telah datang basirat dari Tuhan kalian, maka sesiapa yang melihat akan menguntungkan dirinya. Dan sesiapa yang buat, maka ia sendiri akan menanggung kerugian (Al Anam, 104)

هذا بصآئر من رّبّکم و هدی و رحمة لّقوم یؤمنون

Ini (Al Quran) adalah basirat dari Tuhan kalian, hidayah dan rahmat untuk kaum yang beriman (Al A’raf, 203)

هذا بصائر للنّاس

Ini (Al Quran) adalah basirat untuk manusia ( Al Jashiyah, 20)

 

Kedua: Berpaksikan Wilayah

Yang dimaksudkan wilayah di sini adalah kepimpinan mutlak Allah SWT.  Setelah itu diikuti dengan kepimpinan para Anbia.  Puncaknya adalah Rasulullah SAAW.  Setelah itu para Imam Maksum.  Setelah itu kepimpinan mukminin, iaitu Wilayatul Faqih.

Di dalam riwayat menyebutkan :

ما نودی بشی ء بمثل ما نودی بالولایة

Tidak diseru tentang sesuatu sebagaimana diseru kepada wilayah. (Al Kafi, J 2, ms 18)

Setiap satu dari usul dan furu’ di dalam agama memiliki kepentingannya yang tersendiri.  Namun wilayah memiliki kedudukan yang khusus.  Dan tidak ada yang lebih diberikan penekanan yang lebih sebagaimana wilayah.

Wilayah di dalam diri seseorang bererti ikatan fikiran dan amalan.  Setiap hari ikatan dengan wilayah atau wali akan bertambah.  Melalui wali, Allah dikenali dan taati.  Melalui wali, hubungan dengan Allah akan terjalin.  Mengikuti wali dalam setiap urusan hingga menjadikan urusannya sebagai urusan pengikutnya.  Mencintai orang yang ia cintai dan membenci orang yang ia benci.

Apapun perkara yang paling utama adalah :  Pertama, mengenal  pasti wali yang ada.  Kedua, wali tersebut merupakan pemberi ilham kepada kekuatan.  Setiap arahan datang darinya dan semua urusan akan kembali kepadanya.  Ia adalah pengerak utama dalam kehidupan.  Semua memerhatikan kepadanya dan akan mentaatinya.  Jika ini berlaku pada seseorang, bererti ia adalah seorang yang berwilayah.  Imam Khamenei mengatakan : seluruh hubungan rincian antara satu dengan yang lain berpaksikan kepada wilayah.  Ia adalah pusat masyarakat Islam.  Seluruh berhubung dengannya.  Dengan ini akan terwujud persatuan.

Kedudukan seseorang yang berpaksikan kepada wilayah adalah sebagaimana hubungan dengan seseorang yang berada di puncak gunung.  Ia dapat menyaksikan apa sahaja yang berada di bawahnya.   Para Maksumin As adalah para Aulia yang menyaksikan hakikat dari setiap sesuatu.  Mereka adalah pemilik basirah yang hakiki.  Pada zaman ghaibah Imam Al Hujjah,  basirah ini ada pada para Aulia dan para Maksumin.  Mereka adalah pengembang wilayah yang kita sebutkan sebagai Wilayatul Faqih dan yang paling memahami apa yang sedang berlaku dan apa yang perlu dilaksanakan terhadap setiap peristiwa yang berlaku.

Di sini kita akan dapat memahami bahawa orang yang berpaksikan kepada wilayah adalah orang yang memiliki basirat. Hal ini kerana dalam setiap urusan mereka, mereka akan melihat apa yang akan dilakukan oleh pemilik wilayah.  Mereka juga akan memahami apa yang diinginkan oleh pemilik wilayah. Melalui basirah ini mereka dapat membezakan antara hak dan batil.  Mereka dapat menganalisis dan memahami setiap peristiwa yang berlaku pada zaman mereka.

 

Ketiga: Taqwa

Yang dimaksudkan dengan taqwa adalah mentaati perintah dan larangan yang datang dari Allah SWT.   Menjaga halal dan haram, wajib dan mustahab, makruh dan harus.  Mengawal diri daripada keinginan nafsu  dan syaitan.   Namun perlu juga merujuk kepada Al Quran dan Wilayah untuk memahami bagaimana taqwa dapat membentuk basirah.  Antara kesan-kesan taqwa adalah iman kepada yang ghaib, memelihara solat, infak, iman kepada para Anbia, yakin kepada hari ahkirat dan lain-lain lagi.  Taqwa sentiasa bersama dengan kebaikan.  Setiap perbuatan akan melalui jalannya yang benar, bukan dengan jalan yang salah dan dosa.

Taqwa akan membantu kita untuk mengingati Allah SWT dalam setiap keadaan.  Khususnya ketika kita berhadapan dengan musibah.  Kita akan sentiasa beristighfar dan membersihkan jiwa kita.  Daripada apa yang telah disampaikan ini, amat jelas bahawa taqwa adalah salah satu punca dari basirat. Orang yang bertaqwa adalah orang yang memiliki Nur.  Nur akan membantunya untuk menunjukkan jalan yang dapat membezakan antara hak dan batil.  Inilah yang dimaksudkan bahawa basirat adalah pandangan hati.

Imam Khamenei mengatakan : Yang menyebabkan basirat dan pandangan dapat memelihara manusia dalam berhadapan dengan keadaan dan peristiwa yang berbagai serta menyelamatkannya daripada kabut akibat propaganda musuh adalah hati yang bersih dan cahaya keimanan.  Hati yang memiliki iman adalah penyebab kepada ketaqwaan dalam berfikir dan amal.  Ia tidak akan tersesat dengan propaganda musuh.  Satu langkah menuju kepada Allah SWT, akan membuat hati manusia bercahaya.  Inilah sebenarnya kemenangan yang dianugerah kepada manusia.  Segala kelicikan akan hancur di hadapan basirat manusia.  Langkah dan perjalanan seterusnya akan menjadi mudah.

Hal yang berlawanan dengan taqwa adalah kelalaian dan tidak ambil peduli serta bergerak tanpa basirat.  Allah tidak menyukai orang mukmin yang tidak bijak dalam urusan kehidupannya.  Seorang mukmin perlu memiliki mata yang melihat dan hati yang hidup.

 

Keempat:  Tafakur (Akal)

Berfikir dan Taa’qul memiliki tempat yang penting di dalam Islam.  Di dalam Al Quran terdapat banyak ayat yang mengundang manusia untuk berfikir.  Dan terdapat ayat Al Quran yang mengisyaratkan bahawa seburuk-buruk manusia adalah mereka yang mengenepikan akal mereka.  Akal adalah salah satu asas utama dalam basirat.  Imam Ali As berlindung kepada Allah SWT daripada akal yang tidur. نعوذ باللّه من سبات العقل و قبح الزّلل ‘kami berlindung kepada Allah daripada akal yang tidur dan keburukan yang menggegarkan’.

Berlawanan daripada akal yang tidur adalah berfikir.  Imam Jaffar As Sodiq As mengatakan :

فانّ التفکّر حیاة القلب البصیر کما یشمی المستنیر فی الظلمات بالنّور

Sesungguhnya Tafakur adalah kehidupan hati yang melihat sebagaimana berjalan dengan bantuan cahaya di dalam kegelapan.

Berfikir adalah umpama cahaya untuk hati dan akal yang akan mengurniakan manusia basirat. Imam Khamenei juga sering kali menekankan kepentingan dan kedudukan akal dan berfikir.  Beliau mengatakan :  Dalam ajaran Islam, akal adalah salah satu hujjah untuk memahami usul dan furu agama.  Usul akidah semestinya didapatkan dengan akal.  Di dalam furu pula, akal adalah salah satu dari hujjat.

Beliau menegaskan :  Kita Tasyayuk (Syiah) dalam didikan para Aimah As telah diarahkan kepada akal, mantiq dan pendalilan.  Dan kita sepatutnya mengamalkan sedemikian.

Ketika membicarakan tentang Tauhid, beliau menegaskan : Tauhid adalah lembah yang agung, tetapi dalam wadi yang agung ini, mukminin dan muslimin dituntut untuk mengunakan tafakur, tadabur dan ta’aqul.  Sememangnya akal dan tafakur mampu membawa manusia ke hadapan.  Walau bagaimanpun, pada peringkat tertentu, akal mendapat isian dari Nur Wahyu, Nur Makrifat dan didikan Aulia Allah SWT.  Apapun yang menuju ke hadapan adalah akal, tanpa akal, manusia tidak akan mampu ke mana-mana.

Jika akal tidak digunakan untuk mementukan esensi keadilan, manusia akan jatuh ke lembah kesesatan dan kesalahan.  Ada yang difikirkan sebagai adil tetapi bukan.  Adakalanya keadilan berada di hadapan mata tetapi mereka tidak mampu melihatnya.

Asas-asas basirah bukan hanya sekadar empat perkara yang telah disebutkan di atas.  Terdapat pelbagai lagi perkara lain yang boleh dijadikan sebagai asas basirat.  Namun keempat-empat perkara yang telah disebutkan merupakan hal yang paling asas.

 Sebelum bermula perang Siffin, Imam Ali As menyampaikan khutbahnya.  Antara petikan yang beliau ucapkan adalah :

الا و لایحمل هذا العلم الّا اهل البصر و الصّبر

Sesungguhnya tidak akan memegang bendera ini kecuali ahli Basirat dan sabar. (Nahjul Balagh, khutbah 173)

Imam Ali As adalah seorang pahlawan terbilang pada zaman Rasulullah SAW masih hidup.  Sering kali beliau ditugaskan untuk memegang bendera tentera Islam bagi pihak Rasulullah SAW.   Pada zaman kekhalifahan zahir beliau, fitnah dan syubhah melanda umat Islam.  Keadaan begitu bercelaru hingga majoriti umat Islam ketika itu keliru.  Mereka tidak mampu untuk membezakan antara hak dan batil.   Mereka tertipu dengan zahir dan syiar atas nama kebenaran.

Sebab itu ketika perang Siffin, Imam mahu menyerahkan bendera kepada orang yang benar-benar dipercayainya.  Orang tersebut mesti memiliki dua sifat.  Pertama, memiliki basirat.  Kedua, memiliki kesabaran.  Orang yang dilantik oleh Imam pastinya akan mengetahui secara jelas segala arahan yang datang daripada Imam.  Malah jika tidak ada arahan pun, orang tersebut mengetahui apa yang diinginkan oleh Imam.  Orang tersebut tidak akan terpedaya dengan syubhah dan tipu daya zahir dan slogan.  Ia cukup kenal musuh-musuhnya dan memahami dengan jelas setiap tipu muslihat mereka.

Zaman ghaibah Sahibuz Zaman AJ juga merupakan zaman syubhah.  Syubhah ini bukan sahaja berlaku dari luar, malah sering juga berlaku di dalam alam Tasyayuk sendiri.  Tidak sedikit penyimpangan berlaku akibat dari syubhah.  Maka di sini para penanti dituntut untuk memiliki basirat dalam era ghaiba Al Hujjah AJ.  Basirat sebagaimana yang dimiliki oleh Malik Asytar dan seumpama beliau.  Tuntutan basirat ke atas para penanti, jika tidak lebih, pastinya tidak kurang daripada sahabat-sahabat para Imam pada zaman mereka.  Tuntuan memahami zaman, satu-satu jalan untuk menjadi penanti yang sempurna.

Pada perbahasan yang lepas, kita telah menyebutkan empat asas utama dalam membentuk basirat. Basirat ini perlu dijelmakan dalam beberapa perkara yang asas.   Pertama, basirat dalam akidah.  Kedua, basirat dalam perbuatan.  Ketiga, basirat dalam politik.  Keempat, basirat dalam urusan kemasyarakatan.

Sudah tentunya setiap satu darinya memiliki perincian  perbahasan yang amat luas.  Namun,tumpuan hanya kepada zaman penantian zuhur,  kerana ini adalah zaman kita.  Taklif kita dalam penantian adalah keinginan untuk menjadi sahabat Imam Al Hujjah.  Tujuan ini terlalu tinggi namun adalah tidak mustahil.   Syarat utama untuk menjadi sahabat Imam adalah dengan memiliki basirat.  Semua Imam memiliki sahabat yang khusus.  Setiap seorang daripada mereka memiliki basirat yang melayakkan mereka untuk menjadi sahabat khusus Imam.

Setiap seorang daripada sahabat khusus para Imam tidak hidup dengan slogan.  Mereka adalah ahli basirat dan dengan basirat itu mereka bergerak.  Sahabat-sahabat Imam Hussin As di Karbala, tidak berada di Karbala dengan slogan.  Mereka memiliki basirat dalam akidah, dalam amalan,  politik dan kemasyarakatan.   Namum sayangnya kita hari ini masih terikat dengan slogan setiap hari Asyura dan setiap tanah Karbala.  Kita gagal memiliki basirat yang benar terhadap apa yang telah kita ucapkan.  Maka terjadi simpang siur  dan kecelaruan dalam akidah, amalan, politik dan sosial.

Menjadi tanggungjawab utama kita untuk memiliki basirat dalam akidah, amalan, politik dan sosial.  Tujuan utamanya adalah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.  Wasilahnya adalah dengan menjadi sahabat kepada Imam Al Hujjat AJ.

 

Bersambung…

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *