Mengenal Zaman (Basirat)

Mengenal zaman (Basirah)

Penulis: Ust Syed Hassan Al-Attas

Basirat

Imam Musa Al Kazim As mengatakan kepada Hassan bin Abdullah :

Abu Ali! Ketika kamu mencintaiku, kamu telah membuat aku gembira.  Cuma satu-satunya kekuranganmu adalah kau tidak memiliki makrifat.  Kamu mesti berusaha untuk mendapatkannya. (Al Kafi, J 1, ms 286)

Allah SWT berfirman :

وَ مَنْ یُؤْتَ الْحِکْمَهَ فَقَدْ أُوتِیَ خَیْراً کَثِیرا

Sesiapa yang telah diberikan hikmah, maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. (Al Baqarah, 296)

Imam Muhammad Al Baqir As mengatakan yang dimaksudkan dengan hikmah adalah basirat. (Tafsir Al Ieyashi, J 1, ms 151)

 

Apa yang dimaksudkan dengan ‘basirat’?, hingga terdapat begitu riwayat yang membicarakan tentang basirat.   Imam Ali As menegaskan pentingnya memiliki basirat mengatakan :

ذَهابُ الْبَصَرِ خَیْرٌ مِنَ عَمْىِ الْبَصیرَهِ

Kehilangan penglihatan lebih baik dari buta basirat.

 

Basirat dari sudut bahasa memberi makna pengetahuan, pengamatan, penglihatan hati, kesedaran, kebijaksanaan dan yakin.  Dari sudut istilah, ia memberi makna kekuatan hati dan batin.  Darinya bersinar cahaya suci.  Ahli basirat dapat memahami hakikat dari setiap sesuatu.  Basirat untuk jiwa ibarat mata untuk badan.

Basirat akan membantu pemiliknya untuk tidak jatuh dalam kesalahan dan tidak ditipu oleh syubhah.  Ahli basirat adalah mereka yang tidak kehairanan dengan apa yang terjadi.

 

Imam Ali As menyebutkan bahawa basirat adalah penglihatan yang benar dan teliti tentang sesuatu peristiwa.  Dalam waktu yang sama berfikir secara mendalam dan menilai peristiwa yang berlaku.  Setelah itu basirat juga akan membentuk kesedaran ilmu dan amal.  Dengan ini ahli basirat akan berbuat sesuatu yang benar dalam tingkah lakunya.

 

Di dalam ayat 108, surah Yusuf, Allah SWT berfirman bahawa jalan Islam dan Rasulullah SAW serta orang yang bersamanya adalah basirat.

قُلْ هذِهِ سَبیلی  أَدْعُوا إِلَى اللَّهِ عَلى  بَصیرَهٍ أَنَا وَ مَنِ اتَّبَعَنی

Katakan (Wahai Muhammad) ini adalah jalanku, serulah kepada Allah SWT dengan basirat, aku dan yang mengikutiku.

Syahid Mutahari mengatakan : Basirat adalah apa yang dilihat oleh Imam Hussin tentang kebimbangannya terhadap apa yang akan berlaku kepada Islam, yang mana orang lain tidak melihatnya.

 

Daripada apa yang dijelaskan oleh Syahid Mutahari di atas, kita dapat memahami beberapa hal.  Hal ini juga adalah apa yang dimaksudkan oleh para maksumin As tentang hadis-hadis mengenal zaman dan basirat.

Pertama :  Puncak dari basirat adalah para maksumin.  Mereka yang paling kenal zaman mereka dan paling kenal tuntutan zaman.

Kedua :  Bersama dengan mereka dan yang seperti mereka pada setiap zaman.

Ketiga :  Mewujudkan kewajipan mengenal mereka dan mengenal yang seperti mereka.  Ini adalah puncak dari basirat untuk yang seperti kita.

Keempat : Membentuk Basirat yang  benar dalam ilmu dan amal ketika berhadapan dengan zaman.  Secara tidak langsung akan membentuk basirat dalam akidah, amal, politik, ekonomi dan sosial.

 

Imam Khamenei mengatakan :

Kita boleh mendifinisikan basirat dengan dua bentuk tingkat.  Tingkat yang pertama, tingkat usuli atau tapak asas kepada basirat.  Seseorang perlu memilih pandang alam (World View) dan kefahaman yang berasaskan Tauhid.  Ia akan melihat ciptaan dengan pandangan alam Tauhid.  Hal ini juga membentuk basirat.  Inilah tapak yang paling asas dalam makrifat dan basirat.  Basirat ini memerlukan banyak perkara dan kita sendiri perlu menyiapkannya.

 

Hakikat basirat adalah asas bagi semua usaha dan perjuangan manusia dalam masyarakat.  Ini adalah salah satu tingkat dari basirat. Basirat ini lebih mendalam dan luas skopnya.  Setiap perkara yang terjadi mungkin sahaja seseorang akan memiliki basirat atau tidak memiliki basirat.  Manusia perlu memiliki basirat.  Apa makna basirat? Apa yang dimaksudkan perlu memiliki basirat?  Bagaimana untuk mendapatkan basirat?   Kita perlu memiliki basirat dalam setiap peristiwa yang berlaku.  Terdapat riwayat dan kalimat dari Amirul Mukminin yang memberi penekanan tentang hal ini.   Setiap peristiwa yang dihadapi oleh manusia, dan perlu berhadapan dengannya.  Setiap peristiwa itu memiliki hubungan dengannya dengan ia bertadabur tentangnya.  Ia tidak akan menilai peristiwa yang berlaku dengan penilaian yang awam. Imam Ali As mengatakan :

 

رحم اللَّه امرء تفكّر فاعتبر

Allah SWT merahmati seseorang yang berfikir, lalu mengambil iktibar.

Setiap peristiwa yang berlaku, ia akan berfikir dan mengambil iktibar daripadanya.  Ini bermaksud ia menilai dengan tadabur.

و اعتبر فأبصر

Menilai dengan tadabur ini akan menghasilkan basirat.  Ia akan melihat setiap peristiwa dengan benar.  Ia akan menilainya dengan benar.  Ia akan tadabur tentangnya. Setelah itu basirat akan terhasil di dalam dirinya. Hal ini akan mewujudkan penglihatan, manusia akan dapat melihat hakikat daripada sesuatu.  Imam Ali As mengatakan :

فانّما البصير من سمع فتفكّر و نظر فأبصر

Sesungguhnya basirat adalah sesiapa yang mendengar lalu ia berfikir dan melihat maka ia akan menilai.  (ceramah Imam Khamenei di hadapan pelajar University Wilayah Qom, 1389 HS)

Dari apa yang telah di sampaikan oleh Imam Khamenei di atas dapat disimpulkan bahawa basirat memiliki dua bahagian yang asas.  Pertama, dalam bentuk pandangan dunia.  Kedua, dalam bentuk perlaksanaan atau idealogi.  Pandangan dunia yang dimaksudkan adalah pandangan dunia Tauhid.  Inilah dimaksudkan dengan basirah Tauhid yang merupakan asas kepada basirah idealogi.

 

Manusia memiliki hubungan dengan setiap peristiwa yang berlaku.  Ada yang melihat dan menilainya dengan cara seorang awam menilai. Imam Khamenei menegaskan untuk kita berlepas daripada bentuk penilaian yang awam.  Penilaian khusus yang disebutkan oleh beliau adalah penilaian yang berasaskan kepada tadabur.  Penilaian ini adalah penilaian ahli basirat.  Ia memahami apa yang berlaku dan mengetahui apa tindakan yang perlu diambil.  Asasnya kembali kepada ilmu yang dimiliki oleh seseorang.  Ilmu juga akan pincang jika bersendirian.  Ilmu perlu seiring dengan keimanan dan ketaqwaan.   Ahli basirat memiliki keduanya, iaitu ilmu dan iman.

 

Al Quran menyebutkan bahawa ahli basirah adalah mereka yang beriman.  Golongan yang ingkar disebutkan sebagai orang yang buta.  Buta kerana mereka tidak mampu melihat kebenaran dan tidak dapat membezakan antara hak dan batil.

و ما یستوی الاعمی و البصیر و الذین آمنوا و عملوا الصالحات

Tidak sama antara yang buta dan melihat,  yang beriman dan yang melakukan amalan soleh (Al Ghafir, 57)

مثل الفریقین کالاعمی و الاصم والبصیر و السمیع هل یستویان

Perumpamaan kedua golongan seperti buta, pekak, melihat dan mendengar, apakah keduanya sama? (Hud, 24).

 

Bersambung…

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *