Mengenal Zaman العالم بزمانه لا تهجم عليه اللوابس Orang yang mengenal zamannya, pasti tidak akan ditimpa kesalahan (Imam As Sodiq, Al Kafi, J 1, ms 27)   Apa yang dimaksudkan dengan zaman?  Secara mudahnya kita dapat memahami bahawa yang dimaksudkan dengan zaman adalah sesuatu yang melibatkan waktu.  Ia termasuk waktu yang lepas, sekarang dan masa akan datang.  Dengan izin Allah kita akan mula membahas hadis di atas yang telah diriwayatkan daripada Imam Jaafar As Sodiq As. Sebagaimana dengan perbahasan-perbahasan sebelum ini, hal yang pertama yang akan dilakukan adalah menganalisis hadis tersebut.  Sudah tentu analisis ini akan lebih tertumpu kepada matan hadis dan bukan sanad.  Setelah itu kita akan mula menilai hadis tersebut dengan ayat-ayat Al Quran dan riwayat-riwayat yang lain yang membahaskan tentang hal yang sama.  Sudah tentu tujuan utama daripada perbahasan ini adalah untuk mengetahui taklif yang perlu kita laksanakan pada hari ini.  Dan lebih penting dari itu adalah bagaimana untuk menerapkan perbahasan dalam bentuk amali. Daripada apa yang disampaikan oleh beliau menunjukkan bahawa kefahaman kepada zaman adalah satu daripada jalan untuk menyelamatkan diri daripada melakukan kesalahan.  Dan dapat difahami bahawa mengenal zaman adalah sesuatu yang amat penting.  Dengan ini kita fahami bahawa makna zaman bukan hanya sekadar konteks waktu sahaja.  Sebahagian ulamak ketika membahaskan tentang zaman, mereka membahagikan zaman kepada dua perbahasan.  Pertama, zaman berbentuk tabie (alami). Zaman ini adalah bentuk alami peredaran waktu dari semasa ke semasa.  Termasuk di dalamnya setiap peristiwa alam yang telah berlaku atau yang akan berlaku.  Seperti gempa bumi, taufan, letusan gunung berapi, gerhana, perubahan cuaca dan sebagainya.  Terdapat banyak riwayat yang mengisyaratkan agar orang-orang mukmin sentiasa mengambil tahu tentang peristiwa alam yang berlaku.  Sudah tentu maksud mengambil tahu di sini bukan hanya sekadar tahu bila akan berlaku.  Seorang mukmin perlu memahami Sunnah Allah SWT yang berjalan di alam ini dan memahami hukum sebab dan akibat yang menyebabkan sesuatu peristiwa alam berlaku. عن ابى عبدالله (عليه السلام) قال ثلثه اشياء لا ينبغى للعاقل ان ينساهن على كل حال فناء الدنيا و تصرف الاحوال و الافات التى لا امان لها Imam Jaafar As Sodiq As mengatakan : Dalam apa juga keadaan, seorang yang berakal tidak akan melupakan tiga perkara : Dunia itu fana, berlaku perubahan keadaan dan bala yang tidak ada keamanan padanya. Yang kedua, zaman yang berbentuk ikhtiari. Hal ini merujuk kembali kepada kehidupan manusia dan sejarah kemanusiaan.  Imam Ali As dalam salah satu nasihatnya kepada puteranya Imam Hassan As

Kepentingan Mengenal Tuntutan Zaman

Mengenal tuntutan zaman

Apa yang dimaksudkan dengan mengenal tuntutan zaman.   Terdapat definisi yang pelbagai untuk dijelaskan .  Antara definisi yang boleh diterima pakai adalah ‘mengenal keperluan yang hakiki pada setiap zaman’.  Ada antara keperluan hakiki yang berubah dari satu zaman ke  zaman yang lain.  Dengan ini, keperluan manusia terhadap tuntutan ini akan sentiasa berubah- ubah.

 

Seluruh perbuatan dan perlakuan manusia berasaskan keperluan manusia.  Allah SWT menjadikan manusia dalam keadaan yang memerlukan.  Untuk kelangsungan hidup manusia memerlukan kepada pelbagai jenis keperluan.  Makanan, pakaian, rumah, pertanian, ekonomi, keluarga, masyarakat, negara dan sebagainya. Hal ini bukan hal yang remeh.  Manusia sentiasa digerakkan untuk memenuhi keperluannya.  Ini seakan satu bentuk keterpaksaan kepada manusia untuk terus hidup.  Manusia jika tidak berusaha untuk menutupi keperluannya dan pasti akan ditelan oleh zaman. Oleh itu, manusia perlu mengetahui keperluannya pada setiap zaman.  Inilah yang dimaksudkan sebagai mengetahui tuntutan zaman.

 

Ada dua bentuk keperluan manusia.  Pertama keperluan manusia yang kekal dan tidak berubah.  Kedua keperluan manusia yang sentiasa berubah mengikut waktu.   Keperluan yang kekal dan tidak berubah seperti hubungan manusia dengan Allah SWT. Manusia pada zaman apa pun perlu kepada hubungannya dengan Allah SWT.  Contoh lain, hubungan manusia dengan manusia yang lain, hubungan dengan makhluk yang lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan.  Manusia memiliki hak ke atas yang lain dan yang lain juga memiliki hak ke atas manusia.

 

Namun untuk memenuhi keperluan yang kekal, manusia memerlukan kepada wasilah.   Wasilah berubah dari satu waktu ke waktu yang lain.  Sebagai contoh,  belajar itu adalah wajib. Hal ini tidak akan berubah,  yang berubah hanyalah wasilah untuk belajar.  Hari ini peralatan untuk pembelajaran jauh lebih canggih berbanding tempoh 20 tahun yang lepas.  Tuntutan zaman menuntut metod cara pembelajaran yang berbeza dari waktu yang lepas.  Ini disebut sebagai keperluan.  Jika manusia masih berpegang dengan metod yang sama maka dia akan ditelan oleh zaman.

 

Agama menentukan tujuan.  Perkembangan teknologi dalam kehidupan manusia adalah hasil jerih akal.   Dalam banyak perkara, agama tidak membahas wasilah dalam menuju tujuan.  Ketika agama mengatakan solat perlu menghadap kiblat, peranan akal adalah mencari wasilah untuk menentukan arah kiblat.  Islam tidak pernah menghalang keperluan manusia yang hakiki.  Tugas Islam menghalang manusia daripada terus dikuasai oleh hawa nafsu.  Maka dengan ini kita juga dapat memahami bahawa untuk mencapai tujuan Islam, jalan dan wasilah syaitani tidak boleh digunakan.  Wasilah syaitani hanya menghidupkan hawa nafsu manusia.  Tujuan tidak menghalalkan wasilah. Wasilah yang benar adalah wasilah yang bebas daripada hawa nafsu dan bisikan syaitan.

 

Ada juga dari wasilah ini berbentuk neutral. Ia sendiri tidak boleh dilabelkan kepada Islami atau tidak Islami.  Sebagai contoh media yang digunakan,  media seperti TV, Radio, rangkaian Internet dan yang sepertinya itu tidak memiliki label Islami atau tidak Islami.  Ia kembali kepada penggunanya untuk menjadikannya wasilah Islami atau Syaitani.  Pernah suatu waktu ketika pembesar suara diperkenalkan, terdapat banyak ulama-ulama yang tidak mahu mengunakannya.  Mereka menganggapnya memberi bauan syaitan.

 

Di sini kita dapat fahami bahawa keperluan asas manusia adalah keperluan yang tidak berubah.  Ini dikenal sebagai keperluan awal.  Keperluan yang berubah adalah keperluan untuk mencapai keperluan yang kekal.  Ia dikenal sebagai keperluan kedua.  Keperluan kedua memenuhi tujuan keperluan pertama.  Seseorang yang mengenal zaman adalah orang yang memahami apa yang diperlukan oleh manusia.   Keperluan yang hakiki, baik yang kekal dan tidak berubah, mahupun keperluan yang berubah- ubah.

 

Dengan mengenal kedua bentuk keperluan ini dan dengan basirah yang benar, seseorang itu akan terselamat daripada melakukan kesalahan.  Untuk mengetahui cara yang benar dalam mengenal keperluan dan tuntutan, sesorang itu perlu memiliki basirah.  Apa yang dimaksudkan dengan basirah?  Konsep ini akan dibahaskan pada perbahasan akan datang. INSHAALLAH …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *