Mengenal Zaman العالم بزمانه لا تهجم عليه اللوابس Orang yang mengenal zamannya, pasti tidak akan ditimpa kesalahan (Imam As Sodiq, Al Kafi, J 1, ms 27)   Apa yang dimaksudkan dengan zaman?  Secara mudahnya kita dapat memahami bahawa yang dimaksudkan dengan zaman adalah sesuatu yang melibatkan waktu.  Ia termasuk waktu yang lepas, sekarang dan masa akan datang.  Dengan izin Allah kita akan mula membahas hadis di atas yang telah diriwayatkan daripada Imam Jaafar As Sodiq As. Sebagaimana dengan perbahasan-perbahasan sebelum ini, hal yang pertama yang akan dilakukan adalah menganalisis hadis tersebut.  Sudah tentu analisis ini akan lebih tertumpu kepada matan hadis dan bukan sanad.  Setelah itu kita akan mula menilai hadis tersebut dengan ayat-ayat Al Quran dan riwayat-riwayat yang lain yang membahaskan tentang hal yang sama.  Sudah tentu tujuan utama daripada perbahasan ini adalah untuk mengetahui taklif yang perlu kita laksanakan pada hari ini.  Dan lebih penting dari itu adalah bagaimana untuk menerapkan perbahasan dalam bentuk amali. Daripada apa yang disampaikan oleh beliau menunjukkan bahawa kefahaman kepada zaman adalah satu daripada jalan untuk menyelamatkan diri daripada melakukan kesalahan.  Dan dapat difahami bahawa mengenal zaman adalah sesuatu yang amat penting.  Dengan ini kita fahami bahawa makna zaman bukan hanya sekadar konteks waktu sahaja.  Sebahagian ulamak ketika membahaskan tentang zaman, mereka membahagikan zaman kepada dua perbahasan.  Pertama, zaman berbentuk tabie (alami). Zaman ini adalah bentuk alami peredaran waktu dari semasa ke semasa.  Termasuk di dalamnya setiap peristiwa alam yang telah berlaku atau yang akan berlaku.  Seperti gempa bumi, taufan, letusan gunung berapi, gerhana, perubahan cuaca dan sebagainya.  Terdapat banyak riwayat yang mengisyaratkan agar orang-orang mukmin sentiasa mengambil tahu tentang peristiwa alam yang berlaku.  Sudah tentu maksud mengambil tahu di sini bukan hanya sekadar tahu bila akan berlaku.  Seorang mukmin perlu memahami Sunnah Allah SWT yang berjalan di alam ini dan memahami hukum sebab dan akibat yang menyebabkan sesuatu peristiwa alam berlaku. عن ابى عبدالله (عليه السلام) قال ثلثه اشياء لا ينبغى للعاقل ان ينساهن على كل حال فناء الدنيا و تصرف الاحوال و الافات التى لا امان لها Imam Jaafar As Sodiq As mengatakan : Dalam apa juga keadaan, seorang yang berakal tidak akan melupakan tiga perkara : Dunia itu fana, berlaku perubahan keadaan dan bala yang tidak ada keamanan padanya. Yang kedua, zaman yang berbentuk ikhtiari. Hal ini merujuk kembali kepada kehidupan manusia dan sejarah kemanusiaan.  Imam Ali As dalam salah satu nasihatnya kepada puteranya Imam Hassan As

Kepentingan Mengenal Zaman Melalui Diri

KEPENTINGAN MENGENAL ZAMAN

Penulis: Ust. Syed Hassan Al-Attas

Imam Ali As mengatakan :

أعرف الناس بالزمان، من لم يتعجّب من أحداثه

Orang yang paling mengenal zaman adalah orang yang tidak hairan dengan peristiwa yang berlaku pada zaman. (Uyun Al Hikmah wa Al Mauiezah, ms 126)

 

Sekali lagi kita melihat hadis Amirul Mukminin yang berkaitan mengenal zaman.  Orang yang paling mengenal zamannya adalah orang yang tidak akan merasa hairan dan pelik dengan setiap peristiwa yang berlaku pada zamannya, sebelum dan akan datang dan hal ini disebabkan kefahamannya tentang apa yang ada pada sesuatu zaman.  Ia memiliki kemampuan menganalisis dan mempelajari setiap perkara yang telah terjadi.  Kemampuan ini sudah tentu bukan datang dengan sendiri malahan seseorang yang miliki kemampuan menganalisis ini memiliki rangkaian ilmu yang pelbagai sehingga ia mampu memahami setiap perkara yang berlaku dan perkara yang akan berlaku.

 

Rangkaian ilmu ini boleh diringkaskan dalam tiga perkara.

Pertama : Mengenal dirinya.

Kedua :  Mengenal tuntutan zaman.

Ketiga : Basirah terhadap tuntutan zaman.

 

Setiap tiga perkara di atas memiliki perbahasan yang panjang dan pada perbahasan ini kita tidak akan membahaskan hal yang pertama secara panjang lebar.  Perbahasannya panjang dan akan mengarahkan kepada pelbagai bentuk displin ilmu. Dalam perbahasan ini, mengenal diri perlu dilihat dari persepsi hubungan seseorang dengan apa yang ada di sekelilingnya. Mengenal diri bermaksud mengetahui dirinya, akidahnya,  pendiriannya, kemampuan dirinya, siapa kawan kawannya, siapa musuhnya, apa yang boleh membantunya, apa yang boleh menghalangnya serta mengenal taklifnya.

 

Terdapat riwayat yang banyak membicarakan tentang hal mengenal diri.  Di sini kita hanya akan membawakan beberapa ayat dan riwayat yang mashyur sebagai penekanan terhadap kepentingan mengenal akan diri sendiri.

يا ايها الذين امنوا اتقوا اللّه و لتنظر نفس ما قدمت لغد و اتقوا اللّه ان اللّه خبير بما تعملون و لا تكونوا كالذين نسوا اللّه فانساهم انفسهم اولئك هم الفاسقون

Wahai orang-orang yang beriman, bertawqalah kepada Allah.  Dan perhatikanlah diri kamu atas apa yang dilakukan untuk hari esok.  Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang kalian lakukan.  Dan jangan menjadi seperti orang yang melupai Allah, maka nescaya mereka akan lupa dengan diri mereka sendiri, mereka adalah orang-orang yang fasik. (Al Hasyar, 18,19)

 

اعظم الجهل ، جهل الانسان امر نفسه

Kejahilan terbesar adalah apabila jahilnya seseorang tentang urusan dirinya.

 

اعظم الحكمه ، معرفه الانسان نفسه

Hikmah terbesar adalah apabila seseorang yang mengenal dirinya

 

افضل العقل معرفه المرء بنفسه ، فمن عرف نفسه عقل و من جهلها ضل

Akal yang afdal adalah makrifah seseorang dirinya, sesiapa yang mengenal dirinya, berakal, sesiapa yang tidak mengenal dirinya, sesat.

 

لاتجهل نفسك ؛ فان الجاهل معرفه نفسه ، جاهل بكل شى ء

Jangan kamu jahil terhadap dirimu, sesungguhnya yang jahil daripada mengenal dirinya adalah yang jahil terhadap setiap sesuatu.

 

Mengenal diri di dalam riwayat sering memberi maksud kesedaran terhadap diri sendiri.  Orang-orang yang sedar siapa dirinya akan sentiasa menjadi dirinya dalam setiap permasalahan.  Menjadi diri atau kesedaran terhadap diri adalah jalan pertama menuju kepada kesempurnaan. Berbalik daripada itu adalah langkah pertama menuju kepada kehancuran, bermula daripada mereka yang tidak sedar diri.  Orang yang sedemikian akan mula melakukan kesalahan dalam semua perkara.  Bukan itu sahaja , malah dia akan menyusahkan orang-orang lain yang berada di sekelilingnya.

 

Bersambung…..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *