Mengenal Zaman العالم بزمانه لا تهجم عليه اللوابس Orang yang mengenal zamannya, pasti tidak akan ditimpa kesalahan (Imam As Sodiq, Al Kafi, J 1, ms 27)   Apa yang dimaksudkan dengan zaman?  Secara mudahnya kita dapat memahami bahawa yang dimaksudkan dengan zaman adalah sesuatu yang melibatkan waktu.  Ia termasuk waktu yang lepas, sekarang dan masa akan datang.  Dengan izin Allah kita akan mula membahas hadis di atas yang telah diriwayatkan daripada Imam Jaafar As Sodiq As. Sebagaimana dengan perbahasan-perbahasan sebelum ini, hal yang pertama yang akan dilakukan adalah menganalisis hadis tersebut.  Sudah tentu analisis ini akan lebih tertumpu kepada matan hadis dan bukan sanad.  Setelah itu kita akan mula menilai hadis tersebut dengan ayat-ayat Al Quran dan riwayat-riwayat yang lain yang membahaskan tentang hal yang sama.  Sudah tentu tujuan utama daripada perbahasan ini adalah untuk mengetahui taklif yang perlu kita laksanakan pada hari ini.  Dan lebih penting dari itu adalah bagaimana untuk menerapkan perbahasan dalam bentuk amali. Daripada apa yang disampaikan oleh beliau menunjukkan bahawa kefahaman kepada zaman adalah satu daripada jalan untuk menyelamatkan diri daripada melakukan kesalahan.  Dan dapat difahami bahawa mengenal zaman adalah sesuatu yang amat penting.  Dengan ini kita fahami bahawa makna zaman bukan hanya sekadar konteks waktu sahaja.  Sebahagian ulamak ketika membahaskan tentang zaman, mereka membahagikan zaman kepada dua perbahasan.  Pertama, zaman berbentuk tabie (alami). Zaman ini adalah bentuk alami peredaran waktu dari semasa ke semasa.  Termasuk di dalamnya setiap peristiwa alam yang telah berlaku atau yang akan berlaku.  Seperti gempa bumi, taufan, letusan gunung berapi, gerhana, perubahan cuaca dan sebagainya.  Terdapat banyak riwayat yang mengisyaratkan agar orang-orang mukmin sentiasa mengambil tahu tentang peristiwa alam yang berlaku.  Sudah tentu maksud mengambil tahu di sini bukan hanya sekadar tahu bila akan berlaku.  Seorang mukmin perlu memahami Sunnah Allah SWT yang berjalan di alam ini dan memahami hukum sebab dan akibat yang menyebabkan sesuatu peristiwa alam berlaku. عن ابى عبدالله (عليه السلام) قال ثلثه اشياء لا ينبغى للعاقل ان ينساهن على كل حال فناء الدنيا و تصرف الاحوال و الافات التى لا امان لها Imam Jaafar As Sodiq As mengatakan : Dalam apa juga keadaan, seorang yang berakal tidak akan melupakan tiga perkara : Dunia itu fana, berlaku perubahan keadaan dan bala yang tidak ada keamanan padanya. Yang kedua, zaman yang berbentuk ikhtiari. Hal ini merujuk kembali kepada kehidupan manusia dan sejarah kemanusiaan.  Imam Ali As dalam salah satu nasihatnya kepada puteranya Imam Hassan As

Mengenal Zaman (Pelajaran 2)

Mengenal Zaman (Pelajaran 2)

Penulis: Ust Syed  Hassan Al-Attas

العالم بزمانه لا تهجم عليه اللوابس

Orang yang mengenal zamannya, tidak akan ditimpa ke atasnya kesalahan

(Imam As Sodiq, Al Kafi, J 1, ms 27)

 

Melalui hadis di atas, dapat kita fahami bahawa setiap seseorang perlu mengenal akan zamannya atas apa yang ada di sekeliling dan bagaimana ia perlu berinteraksi. Sudah tentu hadis tersebut tidak mengisyaratkan tentang waktu sahaja dan persoalan ini telah kita bahaskan sebelum ini (Rujuk disini : http://islammuhammadi.com/2018/01/21/mengenal-zaman-pelajaran-1/).  Mengenal zaman adalah sesuatu yang lebih luas dari waktu dan setiap sesuatu berkaitan dengan suatu zaman.

 

Apa yang diterangkan oleh Imam As Sodiq As sudah cukup jelas.  Kita tidak akan melakukan apa jua perbuatan tanpa kita mengetahui apa yang ada pada zaman semasa kehidupan kita berlangsung.   Contoh yang paling mudah, apabila mendail telefon, bayangan kita sudah tentunya orang yang melakukan perbuatan memutarkan alat yang terdapat pada telefon.  Jika ada seseorang pada zaman tersebut yang koma kemudian dia sedar pada zaman sekarang, zaman telefon pintar, apakah akan terjadi kepadanya apabila diminta untuk mendail telefon?   Terdapat banyak contoh lain untuk kita lihat betapa pentingnya untuk kita mengenal zaman.

 

Itu hanyalah salah satu contoh peralatan, sementara kehidupan manusia seperti mana yang kita tahu, lebih luas skopnya daripada itu.  Hidup manusia bukan hanya sekadar mengunakan peralatan canggih dan ‘up grading’ maklumat teknologi tetapi juga melibatkan urusan tertinggi manusia iaitu hubungannya dengan Allah SWT.  Inilah matlamat kita dan ini merupakan inti utama daripada hadis Imam Jaafar As Sodiq As di atas.  Apabila disebutkan mengenal zaman maksudnya adalah mengenal apa sahaja yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan  apa sahaja yang dapat menghalang kita untuk menuju kepada Allah SWT.  Dengan kata lain adalah mengenal hak dan batil.

 

Apabila seseorang telah mengenal hak dan batil pasti akan terselamat daripada melakukan kesalahan.  Sebenarnya makna اللوابس itu lebih memberi makna ‘syubha’.  Syubha adalah sesuatu yang samar atau tidak jelas dan jika dinisbahkan kepada hak dan batil membawa erti hak dan batilnya dalam keadaan samar.  Jika syubha berlaku, seseorang akan terperangkap dalam kesalahan.  Bila batil kelihatan seperti hak, maka akan berlaku syubha.  Bila seseorang gagal mengenal apa itu hak, maka akan berlaku pula syubha. Jadi apabila seseorang gagal mengenal bagaimana untuk menilai hak dan batil maka dia akan melakukan kesalahan.

 

Kebatilan yang cuba dipamerkan dengan pakaian hak itu ada pada setiap zaman termasuklah di zaman kita sekarang.  Sewaktu perang Jamal, ada seseorang datang kepada Imam Ali As dan orang itu adalah antara orang yang dilanda syubha.  Dia bertanya kepada Imam :  kamu adalah menantu Rasulullah SAW dan di pihak sana ada isteri Rasulullah SAW.  Jadi yang mana satu di pihak yang benar.  Maka Imam Ali As mengatakan :

اعرِفوا الحقَّ تعرِفُوا أهلَه، فإنّ الرجال يُعرَفون بالحقّ، ولا يُعرَف الحقُّ بالرجال، واعرفوا الباطلَ تعرِفوا أهلَه

Kenali hak maka kalian akan kenal ahlinya.  Sesungguhnya seseorang itu dikenali dengan kebenaran dan bukan kebenaran dikenali dengan seseorang.  Kenali kebatilan dan kalian akan kenal ahlinya. (sebahagian menyebutkan khutbah ini ketika perang Nainawa)

 

Imam Ali As telah meletakkan asas penting dalam menentukan hak atau batilnya seseorang.  Ia bukan diukur daripada nasab atau hubungannya.  Hal yang paling penting adalah mengenal apa itu hak dan siapa ahli hak.   Perlakuan seseorang itu perlu diukur dengan kebenaran  bukan sebaliknya.  Bukan kerana apa yang dilakukan oleh si fulan maka ianya benar. Mengikuti seseorang kerana ia adalah ahli hak atau setelah terbukti ia adalah ahli hak.  Apabila kita mengikuti para Maksumin setelah dibuktikan mereka adalah ahli hak.

 

Syubha seperti ini berlaku sepanjang zaman termasuk zaman kita pada hari ini.  Sebab itulah mengenal zaman adalah syarat utama untuk tidak ditimpa sebarang kesalahan.  Imam Ali As mengatakan :

حسب المرء… من عرفانه، علمه بزمان

Cukup untuk seseorang dari pengetahuannya, ilmu tentang zamannya.

 

Dalam sebuah hadis yang lain Imam Ali As mengatakan :

مَن أمنَ الزمان خانه، ومن أعظمه أهانه

Sesiapa yang berasa aman dengan zaman, dia telah mengkhianatinya.  Sesiapa yang memuliakan zaman maka dia telah menghinanya.

Apa yang disampaikan oleh Imam Ali As jelas menunjukkan bahawa mereka yang tidak peduli dan berasa aman adalah orang yang mengkhianati zaman.  Zaman tidak pernah menjamin keamanan bagi setiap penghuninya.  Mereka yang memuliakan zaman juga adalah orang yang menghina zaman.  Zaman penuh dengan dugaan.  Bila-bila masa sahaja zaman akan menelan orang yang lalai.  Imam Ali As mengisyaratkan kepada mereka yang lalai dan tidak ambil peduli tentang zamannya. Orang yang sedemikian tidak mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya.  Orang sedemikian dengan mudah akan melihat kebatilan sebagai hak dan hak sebagai batil.  Orang ini adalah orang yang akan ditimpa kesalahan dunia dan akhirat. Nauzubillahiminzalik!

 

 

bersambung….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *