Najis-najis (3)
Noktah-noktah Perbahasan:
• Cara-cara menentukan najis
• Cara Menjadi Najis bagi sesuatu Yang Suci
• Hukum-hukum najis
• Was-was dan jalan penyelesaiannya
Penjelasan:
1. Cara-cara menentukan najis segala sesuatu boleh dibuktikan dengan tiga cara, iaitu:
a. Seseorang merasa yakin bahawa sesuatu itu adalah najis.
b. Zulyad iaitu seseorang yang memiliki kekuasaan ke atas sesuatu benda (seperti tuan rumah, penjual, dan pembantu) memaklumkan bahawa sesuatu itu adalah najis.
c. Dua orang yang adil memberikan kesaksiannya. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 11).
Perhatian:
Apabila seorang anak yang sedang berada di awal usia balighnya memberitahu bahawa sesuatu yang berada di bawah pengawasannya itu adalah najis, maka kata-katanya itu boleh diterima. Dengan kata lain bahawa kata-katanya itu dalam masalah ini adalah mu’tabar (boleh dipercayai akan kebenarannya). (Ajwibah al-Istifta’at, No. 76).
2. Cara Menjadi Najis Bagi Sesuatu Yang Najis
Segala sesuatu akan menjadi najis dengan cukupnya empat syarat berikut:
a. Sesuatu yang suci bertemu dengan sesuatu yang najis.
b. Keduanya atau salah satu daripadanya itu basah.
c. Kadar basah tersebut berada dalam keadaan yang boleh mempengaruhi (merebak).
d. Pertemuan tersebut tidak terjadi di dalam tubuh. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 277, 286, dan 287, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 10).
Perhatian:
1) Tolak ukur yang digunakan untuk mengukur kadar basah yang boleh mempengaruhi (meresap atau merebak) adalah ketika benda basah tersebut berada dalam keadaan di mana jika benda lain bertemu dengannya, maka benda basah ini akan mempengaruhinya. (Ajwibah al-Istifta’at, No.290).
2) Jika kain dan sejenisnya berada dalam keadaan basah dan sebahagian daripadanya bertemu dengan najis, maka hanya pada bahagian itu saja yang menjadi najis, sementara tempat-tempat lainnya tetap suci. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 11).
3) Air yang masuk ke dalam mulut dan mengenai bahagian darah yang membeku yang terdapat pada gusi kemudian keluar dari mulut, dihukumi suci, meskipun secara ihtiyath (mustahab) dianjurkan agar menghindarinya. Demikian juga makanan yang menyentuh bahagian tersebut tidaklah najis, dan tidak menjadi masalah jika ditelan, dan ruang mulut pun tetap dianggap suci. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 286, dan 287).
4) Mutanajjis pertama (sesuatu yang menyentuh najis dan menjadi najis) bila kembali menyentuh sesuatu yang suci dan salah satunya dalam keadaan basah, maka mutanajjis pertama ini akan menajiskan sesuatu yang suci. Sedangkan mutanajjis kedua (sesuatu yang menjadi najis kerana bertemu dengan mutanajjis), bila bertemu dengan sesuatu yang suci, berdasarkan ihtiyath wajib ia juga akan menajiskannya. Akan tetapi mutanajjis ketiga tidak akan menajiskan apapun yang bertemu dengannya. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 283, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 19).
3. Hukum-hukum Najis
a. Memakan dan meminum sesuatu yang najis hukumnya haram. Demikian juga haram hukumnya memberikan makanan yang najis kepada seseorang yang tidak mengetahui akan kenajisannya. Adapun tidak ada sebarang kewajipan bagi seseorang untuk memaklumkan kepada seseorang yang lain yang dia mengetahui bahawa orang tersebut makan makanan yang najis atau melakukan solat dengan baju yang najis. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 18).
b. Tidak ada kewajipan bagi seseorang untuk memberitahu pencuci pakaian tentang kenajisan baju yang akan dicucinya. Akan tetapi selama pemilik pakaian belum yakin terhadap kesucian pakaiannya itu, maka dia tidak boleh menghukumi kesucian pakaian tersebut. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 277).
c. Apabila tetamu telah menajiskan salah satu daripada perlengkapan milik tuan rumah, maka tidak ada kewajipan baginya untuk memaklumkan perkara tersebut kepada tuan rumah, kecuali yang menjadi najis tersebut adalah makanan, minuman dan bekas-bekas makanan. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 282).
4. Was-was Dan Jalan Penyelesaiannya
Orang yang was-was, iaitu seseorang yang begitu tinggi sensitifnya terhadap najis, wajib mengamalkan saranan-saranan berikut untuk menghalang dirinya daripada was-was:
1) Menurut agama Islam, dalam masalah najis dan suci, prinsip dasar segala sesuatu itu dihukumi suci. Kerana itu, apabila seseorang mengalami keraguan meskipun sangat sedikit mengenai kenajisan sesuatu, maka dia harus menghukuminya bahawa sesuatu tersebut tidak najis (menghukuminya suci).
2) Jika kadang-kala seseorang itu merasa yakin bahawa sesuatu itu terkena najis, maka dia harus menghukuminya tidak najis, kecuali dia sendiri menyaksikan kenajisan benda tersebut dengan kedua matanya dan orang lain juga apabila melihatnya meyakini bahawa najis telah merebak ke tempat itu, dan hukum kenajisan hanya berlaku pada tempat itu sahaja tidak di bahagian yang lain. Hukum ini tetap akan mengalir ke atas orang tersebut (yang sering was-was) sehingga rasa was-was yang ada dalam dirinya hilang sepenuhnya.
3) Untuk mensucikan setiap benda atau anggota badan yang terkena najis (mutanajjis), cukup dilakukan satu kali basuhan sahaja dengan menggunakan air kurr, iaitu setelah benda najisnya hilang . Tidak diwajibkan mengulanginya atau menenggelamkannya ke dalam air. Jika benda yang terkena najis itu daripada jenis kain atau yang seumpamanya, maka berdasarkan ihtiyath (berhati-hati) harus diperah atau menggoyang-goyangkannya sekadar yang wajar sehingga airnya keluar.
4) Agama Islam memiliki hukum-hukum yang mudah dan sesuai dengan fitrah manusia. Oleh kerana itu, janganlah menpersulitkannya. Kerana hal itu akan membahayakan jasmani dan rohani mereka. Kebimbangan dalam masalah ini hanya akan menyebabkan kehidupan mereka menjadi susah, dan Allah swt tidak redha dengan kesulitan dan kesusahan mereka, juga kesusahan orang-orang yang berhubungan dengan mereka. Jadilah orang yang bersyukur akan nikmat agama yang mudah, dan ketahuilah bahawa mensyukuri nikmat adalah dengan beramal berdasarkan apa yang diajarkan oleh Allah swt.
5) Keadaan was-was merupakan sesuatu keadaan yang mudah hilang dan boleh dilenyapkan. Dengan demikian, untuk melepaskan diri daripadanya tidak memerlukan kepada mimpi atau mukjizat, bahkan mereka harus menyingkirkan sifat peribadi dan melakukan penghambaan, tunduk terhadap aturan-aturan agama serta mengimaninya. Begitu banyak orang yang telah terselamat daripada musibah ini setelah melaksanakan cara-cara di atas. Bertawakallah kepada Allah swt dan kawallah hawa nafsu dengan penuh perhatian dan kehendak yang tenang. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 311, 312 dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 20).