NAJIS-NAJIS (2)   Minuman Yang Memabukkan Minuman yang memabukkan berdasarkan ihtiyath wajib adalah haram. (Ajwibah al-Istifta'at, No. 301, dan Istifta' dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 9).     Perhatian: Setiap jenis alkohol yang memabukkan yang bentuk awalnya adalah cecair, berdasarkan ihtiyath wajib adalah najis. (Ajwibah al-Istifta'at, No. 307, dan Istifta' dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 9). Bahan yang memabukkan yang bukan berbentuk cairan, seperti ganja dan narkotik, apabila dicampur dengan air atau dengan cairan yang lain dan berubah bentuknya menjadi cairan, maka ia tidak dianggap najis. (Istifta' dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 15). Air anggur yang telah dididihkan dengan api dan tidak berkurang dua pertiga daripada ukurannya serta tidak memabukkan, ianya tidaklah dianggap najis, namun meminumnya adalah haram. (Ajwibah al-Istifta'at, No. 302). Apabila sejumlah anggur muda dididihkan bersama anggur yang sudah matang di dalam air secara serentak, sementara kadar anggur yang sudah matang itu terlalu sedikit, sehingga airnya yang bercampur dengan air anggur muda tadi menjadi hilang dan tidak dapat dikatakan sebagai air anggur yang sudah matang, maka dengan mendidih air tersebut hukumnya adalah halal. Akan tetapi sekiranya buah anggur yang sudah matang itu dididihkan secara terpisah (tanpa dicampur dengan buah anggur yang masih muda), maka hukum meminumnya adalah haram (Ajwibah al-Istifta'at, No. 303). Kafir Orang yang mengingkari tauhid, nubuwwat (kenabian), atau mengingkari salah satu daripada prinsip-prinsip agama Islam, seperti solat, puasa, atau meyakini adanya ketidaksempurnaan dalam risalah Rasulullah s.a.w., maka dia adalah kafir dan najis, kecuali ahli kitab[1]. (Ajwibah al-Istifta'at, No. 313, 316, dan 336).     Perhatian: Mengingkari prinsip-prinsip agama, boleh menyebabkan seseorang menjadi kafir jika perkara tersebut mengakibatkan kepada penolakan terhadap risalah, pendustaan terhadap kerasulan Rasul s.a.w., atau berpendapat terdapat sebarang kekurangan di dalam syari’at. (Ajwibah al-Istifta'at, No. 336). Orang kafir ahli kitab dihukum suci. (Ajwibah al-Istifta'at, No. 336).

Najasat (Najis-najis Bahagian 1)

NAJIS-NAJIS (1)

 1.  Najasat (Najis-najis)

Najis-najis terdiri daripada:

  • Air kencing.
  • Tahi
  • Air mani manusia.
  • Bangkai (jasad mati).
  • Darah
  • Anjing
  • Babi
  • Minuman yang memabukkan, berdasarkan ihtiyath (wajib).
  • Orang kafir yang bukan Ahli Kitab (orang kafir yang tidak menganut agama-agama samawi), seperti para pengikut agama Buddha. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 9).

 

    Perhatian:

Segala sesuatu itu dihukum taharah (suci) kecuali perkara-perkara yang telah dihukum najis oleh Syariat (Penetap syari’at: Allah Swt). (Ajwibah al-Istifta’at, No. 93)

 

    Penjelasan:

  • Air kencing 
  • Tahi

Terbahagi kepada:

  1. Air kencing dan tahi yang najis, terdiri daripada:
    a) Air kencing dan tahi manusia.
    b) Air kencing dan tahi setiap haiwan yang dagingnya haram dimakan dan memiliki darah memancut (mengalir), seperti tikus, kucing, kecuali najis-najis burung.
  2. Air kencing dan tahi yang tidak najis (suci), terdiri daripada:
    a) Air kencing dan tahi haiwan-haiwan yang berdaging halal, seperti burung pipit, burung merpati, atau selain burung, seperti lembu dan kambing.
    b) Air kencing dan tahi haiwan-haiwan berdaging haram yang tidak memiliki darah memancut (mengalir), seperti ular dan ikan yang tidak bersisik.
    c) Air kencing dan tahi burung-burung berdaging haram, seperti burung gagak dan burung nuri.

 

    Perhatian:

  1. Air kencing dan tahi manusia dan setiap haiwan berdaging haram yang memiliki darah memancut adalah najis, kecuali daripada jenis burung-burung berdaging haram yang tahinya dihukum suci. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 279 dan 280, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 9)
  2. Air kencing dan tahi haiwan-haiwan berdaging halal, baik daripada jenis burung mahupun selain burung, adalah suci. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 279 dan 280, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 9)

 

  • Mani
  1. Mani manusia adalah najis. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 277, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 9)
  2. Seseorang yang melakukan istibra’ setelah buang air kecil dan bersama dengan istibra’ tersebut keluar cecair yang tidak dia ketahui sebagai mani atau cecair lain, jika dia tidak menemui keyakinan terhadap betul atau tidak cecair tersebut adalah mani dan keluarnya cecair tersebut tidak pula diikuti dengan tanda-tanda syar’i daripada keluarnya mani, maka cecair itu tidak memiliki hukum mani dan dianggap suci. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 278).

 

    Perhatian:

Tanda-tanda mani:

  1. Pada lelaki:
    a) Diikuti dengan syahwat (kenikmatan seksual yang akan muncul ketika ghairah seksual puas dengan sempurna, orgasme).
    b) Adanya tekanan dan pancutan.
    c) Diikuti dengan tubuh yang lemah dan lesu.
  2. Pada wanita:
    a) Hanya syahwat. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 171, 177, 180 dan 186)

 

  • Bangkai (jasad mati)

Bangkai terdiri daripada:

  1. Bangkai manusia yang terbahagi kepada:
    1) Bangkai Muslim dihukum najis, kecuali:
    a) Anggota-anggota tubuh manusia yang tidak bernyawa, seperti kuku, rambut dan gigi.
    b) Para Syuhada di medan perang.
    c) Ketika telah dimandikan.
    2) Bangkai kafir terdiri daripada:
    a) Kafir ahli kitab adalah najis, kecuali anggota-anggota tubuhnya yang tidak bernyawa.
    b) Kafir yang bukan ahli kitab, keseluruhan anggota tubuhnya adalah najis.
  2. Bangkai haiwan terbahagi kepada:
      1) Bangkai anjing dan babi, keseluruhan anggota tubuhnya najis.
    2) Selain anjing dan babi, yang terbahagi pula menjadi:
    a) Memiliki darah memancut:
    1) Anggota tubuhnya yang bernyawa seperti daging dan kulit adalah najis, kecuali haiwan yang disembelih sesuai dengan kehendak syariat.
    2) Anggota-anggota tubuh yang tidak bernyawa seperti bulu dan tanduk  adalah suci.
    b) Tidak memiliki darah yang memancut: keseluruhan anggota tubuhnya adalah suci.

 

    Penjelasan:

  1. Bangkai manusia dan setiap haiwan yang memiliki darah memancut adalah najis, baik yang berdaging haram mahupun yang berdaging halal. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Thaharah, masalah 9)
  2. Haiwan yang disembelih sesuai dengan kehendak syar’i dan juga jasad manusia setelah mandi jenazah, dikecualikan daripada hukum bangkai dan tidak najis. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 9).

 

    Perhatian:

Yang dimaksudkan dengan mandi jenazah di sini adalah ketiga-tiga mandinya (mandi dengan air daun Bidara, kapur barus dan air bersih). Oleh itu, tubuh jenazah selagi mandi ketiganya belum diselesaikan dengan sempurna, akan tetap dihukum najis. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 271).

 

  1. Segala sesuatu dari bangkai yang tidak memiliki roh, seperti bulu, rambut, gigi, tanduk dan sebagainya adalah suci, kecuali pada anjing, babi dan orang kafir yang bukan ahli kitab. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 9).

 

Dua Perkara Berkaitan Dengan Bangkai:

  1. Kulit nipis (kulit selaput) yang terpisah dengan sendirinya dari tangan, kaki dan seluruh bahagian tubuh, dihukum suci. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 272)
  2. Daging, lemak dan seluruh anggota tubuh haiwan yang dijual di wilayah-wilayah Islam adalah suci, demikian juga apabila barang-barang ini berada dalam tangan Muslimin. Meskipun ada sebahagian daripada barang-barang ini disediakan oleh bukan Muslim, jika tidak ada keyakinan terhadap tiadanya penyucian syar’i, maka tetap akan dihukum suci. Dengan ungkapan lain, barang-barang ini akan menjadi najis hanya ketika kita memiliki keyakinan bahawa haiwan tersebut tidak disembelih secara Islamik. Sedangkan apabila kita mengetahui atau beranggapan bahawa haiwan tersebut telah disembelih secara Islamik, maka hukumnya suci. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 275 dan 276, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 12)

 

  • Darah
  1. Darah manusia dan darah setiap haiwan yang memiliki darah memancut adalah najis, baik yang berdaging haram mahupun yang berdaging halal. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 266 dan 267, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 9).
  2. Darah yang tertinggal di dalam tubuh haiwan setelah disembelih adalah suci. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 14)
  3. Darah yang kadangkala terdapat di dalam telur, dihukum suci. Akan tetapi memakannya adalah haram. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 269, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 14)

 

  • Anjing 
  • Babi

Anjing dan babi adalah najis, dan dalam hukum ini tidak ada perbezaan antara anggota-anggota tubuhnya yang bernyawa ataupun tidak bernyawa.  (Ajwibah al-Istifta’at, No. 274, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 9).

 

Satu Perkara Berkaitan Dengan Anjing dan Babi

Menggunakan bulu (anjing dan babi) pada masalah yang mensyaratkan kesucian, seperti bekas air untuk wuduk dan mandi, adalah tidak dibenarkan. Akan tetapi menggunakannya pada perkara-perkarayang tidak mensyaratkan kesucian, seperti pada berus-berus yang digunakan untuk melukis, tidaklah menjadi masalah. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 274).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *