1. Hukum-hukum takhalli (buang air kecil dan buang air besar)

Takhalli (Buang Air)

  1. Hukum-hukum takhalli (buang air kecil dan buang air besar)

a)Menjaga arah kiblat

Seorang yang sedang melakukan takhalli, tidak dibenarkan menghadap atau membelakangi kiblat. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 33).

 

b)Menutup Aurat

Seorang yang sedang melakukan takhalli, wajib menutupi auratnya daripada pandangan orang lain selain pasangannya, baik daripada pandangan lelaki, perempuan, mahram ataupun bukan mahram, bahkan daripada pandangan anak-anak yang belum baligh yang telah memiliki kemampuan untuk membezakan baik dan buruk (mumayyiz). Akan tetapi antara suami dengan isteri dan sebaliknya, tidak ada kewajipan untuk saling menutupi aurat masing-masing. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 34).

 

c)Perkara-perkara yang makruh dalam Takhalli:

1)        Buang air kecil dalam keadaan berdiri.

2)        Buang air kecil di atas tanah keras dan tempat tinggal haiwan.

3)        Buang air kecil dalam air, khususnya air yang tenang.

4)        Menahan diri daripada buang air kecil dan air besar.

5)        Melakukan takhalli di jalan, tempat lalu-lalang, dan di bawah pohon yang berbuah. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 39).

 

  1. Istibra’

1)        Lelaki yang telah melakukan istibra’ setelah buang air kecil, jika setelah itu keluar lagi cecair dari lubang air kencing yang tidak dia ketahui adakah ianya air kencing atau sesuatu yang lain, maka cecair tersebut dihukum suci, dan tidak ada kewajipan baginya untuk memeriksa atau mencari maklumat tentang masalah ini. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 92, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 38).

2)        Istibra’ itu tidak wajib. Bahkan jika hal itu membahayakan, maka hukumnya tidak boleh, contohnya ketika terdapat luka di bahagian saluran kencing dan jika istibra’ dilakukan akan mengeluarkan darah sehingga melambatkan kesembuhan luka tersebut. Tetapi jika setelah buang air kecil istibra’ tidak dilakukan, kemudian keluar cecair yang tidak jelas, maka cecair tersebut dihukumi sebagai air kencing. (Ajwibah al-Istifta’at, soalan 91).

3)        Cara terbaik untuk melakukan istibra’ adalah: pertama, membersihkan sekitar bahagian zakar -jika bahagian ini terkena najis- setelah air kencing berhenti. Setelah itu menarik dengan jari tengah tangan kiri dari dekat lubang dubur ke arah pangkal zakar sebanyak tiga kali. Kemudian dilanjutkan dengan meletakkan ibu jari pada permukaan zakar dan jari telunjuk di bawahnya lalu menariknya sampai ke kepala zakar sebanyak tiga kali yang kemudian diakhiri dengan menekan kepala zakar sebanyak tiga kali. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 91)

4)        Dari segi tatacara, tidak ada perbezaan antara istibra’yang dilakukan sebelum membersihkan bahagian sekitar lubang zakar ataupun setelah membersihkannya. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 38)

5)        Jika setelah buang air kecil seseorang melakukan istibra’ dan berwuduk, kemudian keluar lagi cecair yang diragukan antara air kencing atau air mani, maka untuk mendapatkan keyakinan terhadap kesucian (taharah) daripada hadas, wajib baginya mandi (hadas) dan juga berwuduk. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 145).

 

Perhatian:

  1. Jenis-jenis cecair yang kadangkala keluar daripada manusia:

1)        Cecair yang kadangkala keluar setelah keluar air mani, yang disebut wazi.

2)        Cecair yang pada sebahagian waktu keluar setelah membuang air kencing, yang disebut wadi.

3)        Cecair yang keluar setelah lelaki dan wanita bercumbu (bergurau), disebut mazi.

  1. Keseluruhan cecair di atas adalah suci dan tidak membatalkan kesucian (taharah). (Ajwibah al-Istifta’at, No. 93).

 

  1. Istinja’ (Membersihkan tempat keluarnya air kencing dan lubang dubur)

a)Tatacara membersihkan tempat keluar air kencing:

1)        Tempat keluar air kencing tidak boleh suci kecuali dengan air. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 89)

2)        Tempat keluar air kencing, berdasarkan ihtiyath wajib, akan menjadi suci dengan dua kali basuhan. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 90 dan 98, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 35).

 

b)Tatacara membersihkan lubang dubur:

Lubang dubur boleh disucikan dengan dua cara:

1)        Dibasuh dengan air hingga najisnya hilang, dan setelah itu tidak ada kewajipan untuk membasuhnya lagi dengan air.

2)        Membersihkan najis dengan tiga biji batu, tiga helai kain atau sejenisnya. Jika setelah menggunakan tiga biji batu, najisnya belum juga hilang, maka najis tersebut harus dibersihkan dengan batu lainnya hingga bersih secara sempurna. Tiga biji batu atau tiga helai kain, boleh juga digantikan dengan sebiji batu atau sehelai kain, tetapi dengan melakukan pengusapan pada tiga sisi yang berbeza. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 90 dan 98, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah, masalah 35).

 

c)Dalam tiga keadaan hanya boleh mensucikan lubang dubur dengan air sahaja dan tidak boleh mensucikan dengan batu atau sejenisnya yang lain, iaitu:

1)        Apabila terdapat najis-najis lain seperti darah, yang keluar bersama dengan tahi.

2)        Apabila terdapat najis-najis dari luar yang sampai ke lubang dubur.

3)        Apabila sekitar lubang dubur telah kotor hingga melebihi batas kebiasaan (dengan erti kata lain, tahi telah keluar dari lubangnya hingga mengenai tempat-tempat lain). (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 37).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *