1. Jenis-jenis Air Air terbahagi kepada dua bahagian, iaitu: 1. Air mudhaf. 2. Air mutlak. - Dan air mutlak terbahagi kepada:

Taharah (Kesucian) – Bab Air

 

Agama Islam memberikan perhatian yang sangat besar terhadap kesucian (taharah) dan kebersihan. Sebahagian daripada amalan-amalan dan kewajipan-kewajipan syar’i hanya akan menjadi sah ketika dilakukan dengan bersuci. Dan menurut agama Islam, sebahagian benda hukumnya tidak suci (najis) dan seharusnya sentiasa atau dalam keadaan-keadaan tertentu menghindarinya.

 

Dalam feqah agama Islam, selain terdapat kebersihan dan kesucian yang sentiasa merupakan perkara yang terpuji, terdapat juga jenis penyucian yang khas (iaitu wuduk dan mandi) yang disebut dengan taharah, yang mana kadangkala memiliki hukum wajib dan kadangkala mustahab. Hukum-hukum taharah, segala sesuatu yang mensucikan (mutahhirat), tata cara penyucian tubuh, pakaian dan benda-benda yang lain, demikian juga segala sesuatu yang najis dan tidak suci, dan segala perkara yang berkaitan dengan persoalan ini, akan dijelaskan dalam bab yang bernama taharah. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 2)

 

AIR

  1. Jenis-jenis Air

Air terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

  1. Air mudhaf.
  2. Air mutlak. – Dan air mutlak terbahagi kepada:

 

  1. air hujan
  2. air mengalir
  3. air tidak mengalir (tenang atau bertakung). – Dan air tidak mengalir terbahagi kepada:

 

  1. air kurr.
  2. air sedikit

 

  1. Air Mudhaf (bukan air mutlak atau air yang bercampur atau jus minuman)

      a.Makna air Mudhaf.

Yang dimaksudkan dengan air mudhaf ialah air yang tidak lagi boleh dikatakan dengan kalimah air itu sendiri tanpa adanya qaid (ikatan) dan penambahan. Air ini boleh terjadi dengan pengambilan daripada sesuatu seperti air tembikai, air mawar dan sebagainya, atau air yang bercampur dengan sesuatu sehingga tidak lagi dikatakan sebagai air tulin, seperti air sirap, air garam dan sebagainya. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 2).

 

      b.Hukum-hukum Air Mudhaf

  1. Air mudhaf tidak dapat mensucikan sesuatu yang najis (tidak termasuk mutahhirat).
  2. Akan menjadi najis ketika bertemu dengan najis (meskipun najisnya hanya sedikit dan tidak merubah bau, warna atau rasa air, dan meskipun air mudhaf tersebut sebanyak satu Kur).
  3. Wuduk dan mandi dengan menggunakan air mudhaf adalah batal. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 74 dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 1).

 

Perhatian:

Kadangkala air mutlak ditambahkan dengan sesuatu bahan (seperti klorin) yang menyebabkan air tersebut berubah warna seperti warna susu. Air ini tidak memiliki hukum air mudhaf (oleh itu ia boleh digunakan untuk menyucikan sesuatu yang najis dan boleh juga digunakan untuk mandi dan wuduk). (Ajwibah al-Istifta’at, No. 77)

 

  1. Air Mutlak

      a.Makna Air Mutlak

Yang dimaksudkan dengan air mutlak adalah air yang boleh dikatakan dengan kalimah air itu sendiri tanpa adanya qaid (ikatan) dan syarat , seperti air hujan, air mata air dan yang sebagainya. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 74 dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 1).

 

      b.Jenis-jenis Air Mutlak

Air mutlak terbahagi kepada tiga jenis:

Jenis pertama adalah air yang tercurah dari langit (air hujan), jenis kedua adalah air yang terkeluar dari dalam tanah (air mengalir, al-ma’al-jari), dan jenis yang ketiga adalah air yang tidak tercurah dari langit dan tidak pula terkeluar dari dalam tanah (air tenang atau bertakung), di mana air jenis ketiga ini terbahagi lagi menjadi dua, iaitu air kurr (kira-kira sebanyak 384 liter) dan air sedikit atau qalil (kurang dari 384 liter).

 

Perhatian:

Air itu samada turun dari langit, terpancut dari dalam tanah (iaitu sumbernya berada di bawah tanah), dan boleh juga tidak turun dari langit dan tidak pula terpancut dari dalam tanah. Untuk air yang turun dari langit disebut air hujan, air yang terpancut dari dalam tanah disebut air mengalir, sedangkan air yang tidak turun dari langit dan tidak pula terpancut dari dalam tanah disebut air tenang atau bertakung, yang mana jika kandungannya mencapai 42 7/8 jengkal (kira-kira 384 liter) maka ia dipanggil air kurr dan apabila kurang daripada ukuran tersebut ia dipanggil sebagai air sedikit (qalil). (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 2).

 

        c.Hukum-hukum Air Mutlak

  1. Air mutlak mensucikan sesuatu yang najis (termasuk mutahhirat)
  2. Air mutlak, selain air sedikit (qalil), ketika bertemu dengan najis, selagi ia tidak terpengaruh oleh bau, warna atau rasa daripada najis, maka hukumnya suci.
  3. Wuduk dan mandi dengan air mutlak adalah sah. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 74, dan Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 1).

 

Perhatian:

Tolak-ukur untuk mengesahkan kesan-kesan syar’i bagi air mutlak adalah bergantung kepada pandangan masyarakat umum (‘urf). Oleh itu, jika kepekatan air hanya disesabkan oleh kandungan garam yang banyak, hal ini tidak dapat membuatkannya terkeluar daripada kategori air mutlak. Kerana air laut yang pekat kerana adanya kandungan garam yang tinggi seperti yang terdapat di tasik Urumiyeh (Iran) boleh digunakan untuk mensucikan sesuatu yang najis dan boleh juga digunakan untuk berwuduk dan mandi. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 74)

 

  1. Hukum-hukum air-air mutlak

      1.Air Hujan

Air hujan apabila turun pada sesuatu yang telah terkena najis (mutanajjis), akan mensucikan sesuatu yang najis tersebut. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 2).

     

       2.Air kurr dan Air Mengalir

  1. Jika sesuatu yang terkena najis ditenggelamkan ke dalam air yang berukuran satu Kurr atau air mengalir, selain daripada dapat mensucikannya, air itu sendiri juga tidak akan menjadi najis. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 2)
  2. Air kurr atau air mengalir apabila dituangkan sesuatu yang najis ke dalamnya mengalami perubahan bau, warna dan rasa, maka air ini akan menjadi najis, dalam keadaan ini bererti ianya tidak lagi boleh mensucikan segala sesuatu yang telah najis (mutanajjis). (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 4).

 

Perhatian:

Tidak ada perbezaan antara air kurr dan air mengalir dalam masalah mensucikan. (Ajwabatu al-Istifta’, No. 78).

 

        3.Air Sedikit (qalil)

1)        Sesuatu yang najis apabila dimasukkan ke dalam air sedikit, akan menjadikannya najis, dan air ini tidak akan mensucikan sesuatu yang telah najis (mutanajjis). (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 2)

2)        Apabila air sedikit dituangkan ke atas sesuatu yang telah terkena najis, maka ia akan menjadikannya suci, akan tetapi air yang selepas dituang ke atas najis tadi hukumnya adalah najis. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 3)

3)        Air sedikit yang mengalir ke bawah tanpa ada tekanan dan bahagian bawahnya bertemu dengan najis, jika boleh dikatakan bahawa air tersebut mengalir dari atas ke bawah, maka bahagian atas daripada air tersebut tetap suci. (Ajwibah al-Istifta’at, No. 70).

4)        Ketika air sedikit bercantum dengan air mengalir atau air kurr, ianya termasuk dalam hukum air kurr atau air mengalir. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 6)

 

  1. Hukum-hukum ragu dalam masalah air

1)        Air yang tidak kita ketahui sebagai air suci atau air najis, secara syar’i dikira sebagai air suci. Akan tetapi air yang sebelumnya najis dan kita tidak mengetahui setelah itu samada ia telah berubah menjadi air yang suci atau belum, dikira najis. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 6)

2)        Air yang tadinya seukuran satu Kurr, ketika seseorang ragu-ragu apakah air tersebut telah berkurang daripada ukurannya yang asal atau belum, ia tetap berada dalam hukum air kurr. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 5).

 

Perhatian:

Untuk mengesahkan hukum-hukum air kurr, seseorang tidak perlu mengetahui dengan pasti bahawa air tersebut merupakan air kurr. Tetapi dengan memastikan bahawa keadaan sebelumnya adalah satu Kurr, maka dibolehkan untuk tetap menganggapnya seperti keadaan asalnya (misalnya jika kita mengetahui bahawa air yang ada di tandas-tandas kereta api sebelumnya seukuran dengan air kurr atau lebih, kemudian kita ragu-ragu apakah air tersebut telah berkurang daripada ukurannya yang asal atau belum, maka kita boleh menganggapnya sebagai air kurr). (Ajwibah al-Istifta’at, No. 70)

 

3)        Air yang sebelumnya kurang dari ukuran satu Kurr, selagi seseorang itu tidak yakin bahawa air tersebut telah mencapai ukuran satu Kurr, ianya tetap memiliki hukum air sedikit. (Istifta’ dari Pejabat Rahbar, Bab Taharah masalah 5)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *