Berkaitan dengan keabadian Islam, tidak ada lagi kemungkinan diutusnya nabi lain yang akan menghapuskan syariat Islam. Akan tetapi, ada satu kemungkinan diutusnya seorang nabi untuk melakukan dakwah dan penyebaran Islam, sebagaimana pada para nabi terdahulu, baik mereka yang hidup sezaman dengan pemegang syariat seperti: Nabi Luth a.s. yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim a.s. dan mengikuti syariatnya, atau para nabi yang diutus setelah nabi pemegang syariat, akan tetapi mereka mengikutinya, seperti kebanyakkan nabi-nabi Bani Israel.

Pelajaran 35 – Akhir Kenabian

 

Berkaitan dengan keabadian Islam, tidak ada lagi kemungkinan diutusnya nabi lain yang akan menghapuskan syariat Islam. Akan tetapi, ada satu kemungkinan diutusnya seorang nabi untuk melakukan dakwah dan penyebaran Islam, sebagaimana pada para nabi terdahulu, baik mereka yang hidup sezaman dengan pemegang syariat seperti: Nabi Luth a.s. yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim a.s. dan mengikuti syariatnya, atau para nabi yang diutus setelah nabi pemegang syariat, akan tetapi mereka mengikutinya, seperti kebanyakkan nabi-nabi Bani Israel.

Untuk itu, kita harus membahaskan akhir dan ditutupnya kenabian oleh Nabi Muhammad saww. secara khusus, sehingga tidak ada lagi kemungkinan diutusnya nabi selain baginda.

 

Dalil Al-Quran tentang Akhir Kenabian

Salah satu doktrin pasti Islam ialah berakhirnya rantaian kenabian dengan diutusnya Nabi Muhammad saww., dan tidak akan diutuskan lagi nabi setelah baginda. Bahkan nonmuslim pun mengetahui bahawa kenyataan ini merupakan sebahagian daripada akidah Islam yang wajib diyakini oleh setiap muslim. Kerana permasalahan ini sama dengan permasalahan-permasalahan pasti agama lainnya yang tidak memerlukan dalil. Meski demikian, kita dapat mengambil kesimpulan daripada al-Quran dan riwayat-riwayat yang mutawatir. Allah swt berfirman:

“Muhammad bukanlah ayah seseorang dari lelaki kalian, dia hanyalah rasul Allah dan penutup para nabi”(Qs. Al-Ahzab: 40).

Ayat ini menerangkan dengan jelas bahawa Nabi Muhammad saww. adalah penutup seluruh nabi. Sebahagian musuh-musuh Islam melontarkan dua kritikan sehubungan dengan ayat tersebut:

Pertama, kata al-khatam mengandungi erti selain makna penutup, iaitu khatamul yad, ertinya cincin hiasan di jari tangan. Jadi, maksud khatam dalam ayat ini ialah penghias, yakni bahawa Nabi Muhammad saww. itu adalah penghias para nabi sebelumnya, bukan sebagai penutup.

Kedua, walaupun al-khatam diertikan dengan erti konvensionalnya (yakni penutup), bererti rantaian kenabian ditutup oleh Nabi Muhammad saww., tetapi tidak menunjukkan diakhirinya rantaian kerasulan para rasul oleh baginda.

Terhadap kritikan pertama perlu ditegaskan bahawa makna al-khatam adalah sesuatu yang digunakan untuk mengakhiri sesuatu lainnya. Oleh itu, cincin pun dinamakan sebagai al-khatam, kerana ia digunakan untuk mengakhiri surat-surat atau yang sepertinya. Yakni, al-khatam boleh bererti tanda tangan atau setem, maka Nabi Muhammad saww. adalah setem atau pembalut para nabi sebelumnya.

Jawapan kepada kritikan kedua ialah setiap nabi itu memiliki kedudukan sebagai rasul di samping kedudukan mereka sebagai nabi. Dan dengan berakhirnya rantaian para nabi, berakhir juga rantaian kerasulan mereka. Sebagaimana telah disentuh pada pelajaran 29, bahawa meskipun pengertian nabi tidak lebih umum (luas) dari pengertian ar-rasul, akan tetapi dari sisi wujud di luar, yang pertama lebih umum daripada yang kedua.

 

Dalil Riwayat tentang Diakhirinya Kenabian    

Terdapat ratusan riwayat yang menegaskan diakhirinya kenabian oleh nabi Muhammad saww. Di antaranya adalah hadis Al-Manzilah.  Hadis ini diriwayatkan oleh Syi’ah mahu pun Ahli Sunnah daripada Rasul saww secara mutawatir, sehingga tidak ada keraguan sedikit pun bahawa hadits-hadits tersebut merupakan sabda baginda. Iaitu ketika baginda keluar menuju perang Tabuk dan meninggalkan Imam Ali a.s. untuk menggantikan baginda di kota Madinah. Ketika itu, Imam Ali a.s. menangis. Kemudian Rasul saww. berkata kepadanya:

“Wahai Ali, tidakkah engkau senang bahawa kedudukanmu di sisiku sebagaimana kedudukan Harun di sisi Musa, hanya saja tidak ada nabi lagi setelahku”.

Dalam riwayat yang lain Nabi saww. bersabda:

“Wahai manusia ketahuilah, tidak ada nabi lagi setelahku dan tidak ada umat lagi setelah kalian”.

Dalam hadis yang lainnya lagi Nabi saww. bersabda:

“Wahai manusia, sesungguhnya tidak ada nabi lagi setelahku dan tidak ada sunnah lagi setelah sunnahku”.

Kandungan hadist-hadis seperti ini pun banyak dinukilkan dalam khutbah-khutbah Imam Ali a.s. dalam Nahjul Balaghah, juga dalam pelbagai riwayat, doa-doa dan ziarah-ziarah para Imam suci a.s. yang tidak dapat kami sampaikan pada artikel yang terbatas ini.

 

Falsafah Diakhirinya Kenabian

Telah kami sentuh pada pelajaran 29 bahawa hikmah dan falsafah banyaknya para nabi dan diutusnya mereka secara bertahap adalah dari satu sisi, tidak mungkin bagi  satu orang untuk menyampaikan risalah Ilahi dan meyebarkannya –pada masa-masa dahulu– ke seluruh penjuru dan ke segenap bangsa.

Dari sisi lain, semakin luas dan rumitnya komunikasi dan terjadinya pelbagai fenomena sosial yang baru menuntut undang-undang yang baru pula, atau menuntut perubahan undang-undang yang lama. Sebagaimana perubahan dan penyelewengan akibat campur tangan individu atau kelompok orang-orang yang bodoh menuntut penambahbaikan ajaran-ajaran Ilahi melalui nabi lainnya.

Namun begitu, dalam situasi dan keadaan yang memungkinkan seorang nabi sehingga dia dapat menyampaikan risalah Ilahi kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini dengan bantuan para pengikut dan khalifahnya, dan syariat, hukum-hukum dan ajaran-ajarannya dapat memenuhi seluruh keperluan masyarakat pada masa itu dan untuk masa yang akan datang, serta meliputi seluruh tuntutan yang penting sesuai dengan konteks semasa, serta terjaminnya  keutuhan dan keterjagaan risalah daripada pelbagai perubahan dan penyimpangan, maka tidak perlu lagi diutuskan nabi yang lain.

Akan tetapi, pengetahuan manusia biasa tidak mungkin dapat menentukan situasi, keadaan dan faktor-faktor seperti itu. Adapun Allah swt. dengan ilmu-Nya yang tak terbatas dan meliputi segala sesuatu, tentu dapat menentukan bilakah terrealisasinya keadaan tersebut. Oleh itu, hanya Allahlah yang dapat mengkhabarkan diakhirinya kenabian, sebagaimana hal itu Dia lakukan di dalam kitab samawi-Nya yang terakhir.

Hanya saja diakhirinya kenabian tidak bererti terputusnya hubungan hidayah -sama sekali- dari Allah swt. untuk hamba-hamba-Nya di bumi. Sesungguhnya Allah swt. melimpahkan ilmu ghaib-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang soleh tatkala maslahat-Nya menuntut demikian, walaupun tidak melalui jalur wahyu kenabian.

Sebagaimana diyakini oleh Syiah, bahawa ilmu-ilmu ghaib itu telah Allah swt. anugerahkan kepada para imam maksum a.s. point penting ini akan kita bahas pada pelajaran-pelajaran mengenai “Imamah dan Kepemimpinan”  yang akan dating, InsyaAllah.

 

Menjawab Beberapa Keraguan

Dari huraian-huraian di atas kita dapat menarik beberapa kesimpulan mengenai falsafah dan hikmah diakhirinya kenabian, iaitu:

Pertama, dengan bantuan para khalifah dan pengikut- pengikut setia, Nabi Muhammad saww. dapat menyampaikan risalahnya kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Kedua, kitab samawi Nabi Muhammad saww. sentiasa terjamin utuh daripada penyelewengan dan perubahan.

Ketiga, syariat Islam dapat memenuhi keperluan seluruh umat manusia hingga  akhir masa.

Berkenaan dengan kesimpulan ketiga, terdapat tanggapan kritikal, iaitu pada masa-masa dahulu nampak kesulitan-kesulitan dalam interaksi dan komunikasi sosial yang  menuntut dibuatnya hukum-hukum yang baru atau diubahnya hukum-hukum yang lama, sehingga diutuslah nabi yang lain. Kenyataan ini pun tetap berlaku sekalipun Nabi Muhammad saww. itu telah diutus, sebab telah terjadi pelbagai perubahan yang drastik dan cepat yang membuatkan hubungan sosial menjadi semakin rumit.

Lalu, bagaimana mungkin keadaan seperti ini -yakni setelah wafat Nabi saww.- tidak menuntut diturunkannya syariat yang baru?

Jawapan: sebagaimana telah kami sentuh pada pelajaran yang lalu, bahawa manusia biasa tidak dapat menentukan pelbagai perubahan yang menuntut diubahnya syariat Islam yang prinsipal, sebab kita tidak mengetahui dasar-dasar hukum, syariat serta hikmah-hikmahnya. Bahkan -melalui hujah-hujah perpanjangannya Islam dan ditutupnya kenabian oleh Nabi Muhammad saww.- kita dapat menyingkap tidak perlunya mengubah syariat dan hukum-hukum Islam secara mendasar.

Memang benar, kita tidak dapat mengingkari adanya fenomena-fenomena sosial yang baru yang menuntut hukum-hukum yang baru pula. Akan tetapi, bukankah di dalam syariat Islam telah tersedia dasar-dasar dan kaedah-kaedah umum, sehingga –berbekal pada dasar-dasar tersebut– dapat dirumuskan hukum-hukum yang bersifat juz’i (cabang) oleh pihak-pihak yang memimpin untuk kemudiannya diterapkan. Penjelasan terperinci point terakhir ini secara khusus dapat dijumpai dalam Fekah Islam, iaitu pada tema “Pemimpin-pemimpin Pemerintahan Islam (Imam Maksum a.s. dan Wali Faqih).[]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *