Hujjatullah

 

Siri Mahdawiyah

حجة الله

Salah satu dari nama Imam Al Mahdi ajf adalah Hujjatullah. Pastinya orang yang berfikir akan mempertanyakan kenapa Imam AJF dipanggil dengan nama tersebut. Sudah tentu setiap nama yang diberikan kepada Imam AJF pasti memiliki sebab.

Insan yang berfikir pastinya akan mempertanyakan dan berusaha untuk mencari sebab dibelakang setiap kejadian yang berlaku, siapakah Pencipta kita dan apakah tujuanNya dalam penciptaan?

Agama Islam berdiri di atas logika dan pemikiran. Al Quran dan riwayat di dalam Islam sentiasa mengajar dan mendorong insan untuk berfikir dan merenung. Inilah agama Islam, yang menjadikan berfikir, renungan dan pendalilan sebagai asasnya. Islam melarang segala bentuk taqlid buta dan mengikut sesuatu tanpa dalil di dalam akidah.

وَإِذَا قِیلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَیهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا یعْلَمُونَ شَیئًا وَلَا یهْتَدُونَ

Dan ketika dikatakan kepada mereka, marilah ke arah apa yang telah diturunkan oleh Allah dan ke arah Rasulullah, mereka berkata, cukuplah apa yang kami dapatkan dari ayah-ayah kami, walaupun ayah-ayah mereka tidak mengetahui apa pun dan mereka tidak mendapatkan petunjuk .

كَذَلِكَ یبَینُ اللَّهُ لَكُمْ آیاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Begitulah Allah menjelaskan untuk kalian tanda-tanyanya, moga-moga kalian berfikir .

Dalil dan hujjah boleh disampaikan dalam dua bentuk. Pertama dengan cara pembicaraan, yang mana jawapan dan dalil disampaikan melalui kata yang diucapkan. Kedua, jawapan dengan melihat contoh-contoh luaran. Sebagai contoh, jika ada yang mempertanyakan tentang burung yang paling indah, seseorang akan mensifati seekor burung, contohnya burung merak, melalui kata-katanya, dia mensifati keindahan burung tersebut. Dengan cara kedua, yang bertanya langsung ditunjukkan kepada wujud luaran burung merak.

Cara kedua, iaitu dengan langsung menunjukan kepada wujud luaran. Cara ini sama sekali tidak meninggalkan sebarang bentuk keraguan. Mengunakan cara pertama, mungkin sahaja lafaz yang digunakan tidak benar-benar mewakili makna dan hakikat yang sebenarnya. Dan cara pengunaan lafaz dan cara pembicaraan pastinya berbeza antara satu orang dengan yang lain. Pastinya ini mengurangkan nilai dalil dan hujjah melalui kata-kata.

Allah SWT yang Maha Mengetahui mengunakan kedua-dua bentuk dalil dan hujjah tersebut. Melaluinya Allah menjawab segala bentuk persoalan yang muncul dari insan, baik yang terang dan yang tersembunyi. Maka itu insan tidak boleh berdalih dengan mengatakan Allah tidak pernah menyampaikan hujjahnya kepada mereka. Dengan itu Allah telah mengirim para utusan dan AuliaNya disetiap penjuru alam untuk menyampaikan dan menjelaskan kepada insan marifah Ilahiyah dan tanggung jawab mereka. Para utusan dan Aulia ini juga adalah wujud luaran yang menampakkan keindahan dan kebenaran Allah SWT di hadapan seluruh insan.

Kewujudan Rasulullah SAAW, Amirul Mukminin as, Fatimah Az Zahra as dan putera-puteranya as adalah jalan untuk mengenal Allah. Yang mana Allah mengumpamakan dirinya sebagai hartanya tersembunyi.

کنت کنزا مخفیا فأَحبَبتُ أن اعرف فخلقت الخلق لکی أعرف وسطت

Imam Muhammad Al Baqir as berkata:

Melalui kami Allah disembah dan dikenali, melalui kami Allah diEsakan .

Imam Jaffar As Sadiq as berkata:

Allah SWT mencipta kami dengan sebagai-baik penciptaan dan memberikan kami wajah yang paling indah. Allah mengurniakan kami sebagai pemegang rahsia langit dan bumi. Tanpa kami Allah, tidak akan dikenali .

Al Quran menyebutkan Rasulullah SAAW sebagai contoh akhlak yang mulia:

وَ لَكُمْ فِی رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Dan pada diri Rasulullah contoh terbaik untuk kalian .

Ahlu Bait Baginda adalah mereka yang mewarisi sifat-sifat terpuji Baginda. Kesemua mereka adalah contoh yang perlu diikuti di dalam kehidupan seharian insan. Seluruh kata-kata dan perbuatan mereka berasas kepada ilmu dan marifah. Akhlak terpuji mereka adalah manifestasi dari sifat-sifat Allah SWT. Maka dengan itu Rasulullah dan Ahlu Bait as adalah para Hujjah Allah.

Seseorang bertanya kepada Imam Muhammad Al Baqir as”
Jiwaku tebusanmu, kamu ini siapa? (maksudnya, dia ingin mengetahui kedudukan dan maqam ahlul bait as)
Imam menjawab:

Kami adalah penyimpan rahsia Allah, penafsir dan penterjemah wahyu Allah, kami adalah Hujjah Allah di antara langit dan bumi .

Imam Jaffar As Sadiq as berkata:
Yang dimaksudkan فَلِلَّهِ الْحُجَّةُ الْبَالِغَةُ adalah kami yang mana kami adalah Hujjah ke atas seluruh makhluk .

Di dalam bacaan Ziarah dan riwayat Imam Al Mahdi as dipanggil dengan nama Hujjatallah حجة الله

السلام علیک یا حجة الله فی ارضه

Abu Hasyim Jaffari berkata:

Imam Ali An Naqi berkata ‘wasi setelah aku adalah puteraku Hassan. Bagaimana akan kalian lakukan ke atas khalifah setelah Hassanku?’. Aku berkata ‘jiwaku korbanmu, soalan seperti apa ini wahai Imam?’. Imam melanjutkan ‘kalian tidak akan melihatnya dan menyebut namanya yang sebenar haram ke atas kalian’. Kami bertanya ‘lalu bagaimana kami memanggilnya dan dengan nama apa kami mengingatinya?’. Imam menjawab ‘الحجة من آل محمد’.

Di dalam suratnya kepada Ishak bin Yaakub, Imam Al Mahdi AJF berkata:
…dalam setiap peristiwa yang berlaku, rujuklah kepada perawi hadis-hadis kami, mereka aku lantik sebagai hujjah kalian dan aku adalah Hujjah Allah أنا حجة الله.

Perbuatan dan pembicaraan Imam Al Mahdi AJF adalah contoh dalam kehidupan dan menutup segala pintu helah dan uzur. Jiwa Imam penyimpan segala rahsia langit dan bumi, ilmu dan marifah. Akhlaknya adalah manifestasi dalam kesempurnaan Sifat-Sifat Allah SWT. Jika Imam Al Hujjah tidak ada maka Allah SWT tidak akan dikenali. Ketika Imam Al Hujjah zuhur kelak, kehadirannya akan menarik para pencintanya dan mereka yang terpegun dengan keindahan wajah dan akhlaknya kepadanya. Seluruh umat manusia akan dirangkulnya dan keimanan mereka akan menjadi sekukuh gunung dan sekeras besi.

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *