Pengenalan Puluhan ribu nabi telah diutus sepanjang sejarah hidup manusia di pelbagai penjuru dunia. Mereka melakukan tugas dengan sebaik-baiknya dalam memberi petunjuk dan mendidik umat, serta meninggalkan berkah yang besar pada mereka. Para nabi telah mendidik masyarakat atas dasar akidah yang benar dan nilai-nilai yang tinggi yang memiliki pengaruh secara tidak langsung kepada umat lainnya. Bahkan sebahagian dari mereka telah berhasil membangun masyarakat mukmin yang berdiri atas landasan Tauhid dan keadilan. Para nabi itu sendiri berperanan sebagai pembimbing dan pemimpin mereka.

Pelajaran 29 – Beberapa Keistimewaan Para Nabi

 

Berbilangnya para Nabi

Sampai di sini, kita telah membahaskan tiga permasalahan pokok mengenai prinsip Kenabian, dan kita sampai pada satu kesimpulan oleh kerana pengetahuan manusia untuk mencapai pelbagai pengetahuan yang dapat menyampaikannya kepada kebahagiaan dunia dan akhirat itu sesuatu yang terhad, maka Hikmah Ilahiyah menuntut dipilihnya seorang atau beberapa nabi yang diberi pelbagai ajaran dan hakikat yang penting untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia secara utuh dan selamat daripada pelbagai kekaburan dan penyimpangan.

Dari sisi lain, para nabi itu dituntut menyampaikan risalahnya kepada seluruh umat sehingga hujjah menjadi lengkap atas mereka. Cara yang terbaik dan lebih merata untuk hal ini ialah dengan memperlihatkan mukjizat. Dan kami telah membuktikan permasalahan tersebut melalui dalil akal. Akan tetapi dalil-dalil tersebut tidak menunjukkan banyaknya jumlah para nabi, kitab-kitab dan ajaran-ajaran samawi. Apabila kita berandaian bahawa keadaan kehidupan umat manusia itu memungkinkan seorang Nabi untuk menerangkan apa yang mereka perlukan sehingga pengakhiran kewujudan alam ini, di mana setiap individu atau kelompok di sepanjang sejarah dapat mengenal tugas-tugas dan kewajipannya melalui risalah nabi tersebut, maka hal itu tidak menyimpang daripada dalil-dalil. Akan tetapi, perlu kita ketahui bahawa:

 

Pertama: usia manusia itu –siapa pun, termasuk para nabi– terbatas.  Dan hikmah diciptakan makhluk tidaklah menuntut nabi yang pertama agar hidup sampai berakhirannya kewujudan alam ini bagi membimbing seluruh umat manusia seorang diri.

Kedua: Situasi dan keadaan kehidupan manusia pada setiap zaman dan tempat tidaklah sama, khususnya dengan melihat adanya kesulitan yang beransur-ansur menimpa hubungan sosial, tentunya dapat mempengaruhi kualiti dan kuantiti hukum dan sistem sosial. Bahkan terkadang hal itu menuntut terbentuknya undang-undang yang baru. Jika diandaiankan bahawa penjelasan dan penyampaian undang-undang seperti itu dilakukan oleh seorang nabi yang diutus sebelum ribuan tahun, sudah pasti penjelasan dan penyampaian undang-undang tersebut akan menjadi sia-sia belaka, di samping juga sangat sulit menjaga dan menjalankannya dalam bidang-bidang tertentu.

Ketiga: Pada umumnya, di masa lampau belum ada sarana informasi dan media cetak untuk menyebarkan dakwah para nabi yang memungkinkan seorang nabi untuk dapat menyampaikan risalahnya kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Keempat: Ajaran para nabi itu terkadang mengalami penyimpangan, penyelewengan dan penafsiran yang keliru – akibat beberapa faktor – di tengah masyarakat yang menerima ajaran tersebut sepanjang berlalunya masa. Kemudian selang beberapa masa, boleh jadi ajaran tersebut telah berubah menjadi agama yang kabur dan menyimpang. Sebagaimana dapat kita perhatikan hal ini yang terjadi pada ajaran Nabi Isa a.s. yang telah berubah menjadi agama yang berideologi triniti.

Dengan memmerhatikan hal-hal tersebut menjadi jelas Hikmah Ilahi dalam hal berbilangnya para nabi dan berbezanya syariat-syariat samawi tentang sebahagian hukum ibadah dan sosial, walaupun syariat-syariat itu sama di dalam prinsip-prinsip akidah dan akhlak, juga dalam hukum-hukum peribadi dan sosial. Misalnya, solat disyariatkan pada semua agama samawi, walaupun umatnya berbeza cara melakukannya atau berbeza kiblatnya. Demikian pula dengan zakat dan infak.  Zakat dan infak ini disyariatkan dalam semua ajaran samawi, sekalipun kadar dan tempatnya berbeza-beza.

Di atas segalanya, diwajibkan bagi setiap orang untuk mempercayai seluruh nabi tanpa membeza-bezakan kenabian mereka, apalagi mendustakan ajaran dan hukum-hukum yang mereka bawa. Kerana mendustakan seorang sahaja di antara mereka bererti mendustakan semuanya. Dan mengingkari satu hukum Ilahi saja itu bererti mengingkari seluruh hukum-hukum Allah swt. Tentunya, tugas setiap umat pada setiap zaman ialah mengikuti dan mengamalkan ajaran-ajaran yang dibawa oleh nabi mereka pada zamannya masing-masing.

Satu hal yang perlu diperhatikan di sini ialah sekalipun akal manusia mampu mengetahui hikmah berbilangnya para nabi, keragaman kitab-kitab samawi dan perbezaan syariat Ilahi, namun akal tidak dapat mengetahui  secara pasti ehwal bila dan di mana nabi yang baru itu harus diutus dan syariat yang baru itu harus diturunkan. Akal manusia hanya mampu mengetahui bahawa nabi yang baru itu tidak perlu diutus lagi apabila kehidupan masyarakat berada pada keadaan di mana seluruh dakwah para nabi itu sampai dan didengari oleh seluruh umat manusia, dan tetap terjaga keutuhannya untuk generasi yang akan datang, dan perubahan keadaan sosial tidak menuntut penurunan syariat yang baru, atau pengubahan atas hukum-hukum yang ada.

 

Jumlah Para Nabi

Telah kami jelaskan pada pelajaran yang lalu, bahawa akal tidak mempunyai jalan lain untuk mengetahui jumlah para nabi dan kitab-kitab samawi, dan tidak mudah baginya untuk membuktikan hal-hal yang seperti ini kecuali bersandar kepada penjelasan wahyu. Meskipun Al-Quran telah menjelaskan bahawa Allah swt. telah mengutus setiap nabi untuk setiap umat, akan tetapi tidak menjelaskan jumlah yang pasti, baik jumlah umat mahu pun jumlah para nabinya. Al-Quran hanya menyebutkan nama-nama sejumlah kira-kira 20 nabi atau lebih sedikit, dan menjelaskan kisah-kisah sebahagian mereka tanpa menjelaskan nama-nama mereka.

Dalam sebahagian riwayat yang datang dari Ahlul Bait a.s. dijelaskan bahawa Allah swt. telah mengutus sebanyak 124.000 nabi, dan mata rantai para nabi itu dimulai dari Nabi Adam  a.s. (bapak manusia) dan diakhiri oleh Nabi Muhammad saww.

Di samping status kenabian  yang menunjukkan kedudukan khas Ilahi, nabi-nabi Allah itu memiliki sifat-sifat yang lain seperti: an-nadzir atau al-munzir (pemberi ancaman), al-basyir atau al-mubasysyir (pemberi harapan). Dan mereka termasuk as-salihin (orang-orang soleh) dan al-mukhlasin (orang-orang yang dituluskan oleh Allah). Bahkan sebahagian daripada mereka telah mencapai darjat ar-risalah (kerasulan). Dalam sebahagian riwayat diterangkan bahawa rasul Allah itu sebanyak 313 orang. Oleh itu, pada kesempatan ini kami akan membahas istilah an-nubuwah dan al-risalah dan perbezaan antara nabi dan rasul.

 

Kenabian dan Risalah

Kata ar-rasul bererti pembawa risalah. Dan kata an-nabi, bila diambil daripada kata naba’a, bererti pembawa berita penting. Akan tetapi, bila diambil daripada kata nubuw, maka ia bererti seseorang yang mencapai peringkat tinggi nan mulia.

Sebahagian ulama meyakini bahawa pengertian an-nabi itu lebih luas daripada pengertian al-rasul, kerana nabi ialah seseorang yang menerima wahyu dari Allah swt.,apakah ia diperintahkan untuk menyampaikannya kepada orang lain ataukah tidak. Sedangkan rasul ialah seorang yang mendapatkan wahyu dari Allah swt. seraya diperintahkan untuk menyampaikannya.

Akan tetapi, penafsiran ini tidaklah tepat. Kerana dalam Al-Quran telah disentuh sifat an-nabi setelah al-rasul. Padahal sesuai dengan penafsiran di atas, seharusnya sifat yang mengandung pengertian al-‘alim -iaitu an-nabi- disebutkan sebelum sifat khusus, yakni al-rasul. Di samping itu, tidak ada dalil yang menunjukan kekhususan perintah menyampaikan wahyu itu atas para rasul sahaja. Terdapat dalam beberapa riwayat, bahawa pemegang kedudukan kenabian itu hanya dapat melihat Malaikat Wahyu dalam mimpi, dan mendengar suaranya ketika terjaga sahaja. Sedangkan pemegang kedudukan risalah itu dapat menyaksikan Malaikat Wahyu ketika ia terjaga pula. Meski begitu,  perbezaan seperti ini tidak dapat diterapkan pada pengertian dua kata tersebut. Barangkali yang boleh diterima adalah mishdaq nabi –bukan pengertiannya-  itu lebih umum berbanding mishdaq rasul. Ertinya, seluruh nabi itu memiliki kedudukan kenabian. Adapun kedudukan risalah hanya dikhususkan pada sekelompok daripada mereka.

Adapun jumlah para rasul –berdasarkan riwayat terdahulu, adalah 313 orang. Tentunya, kedudukan mereka lebih tinggi daripada kedudukan seluruh nabi. Sebagaimana di antara para rasul itu sendiri tidak sama kedudukan, darjat dan keutamaan satu sama lainnya, sebab sebahagian mereka dapat mencapai kedudukan imamah juga.

 

Nabi-nabi Ulul ‘Azmi

Al-Quran menyebut sejumlah nabi sebagai ulul azmi, akan tetapi tidak menjelaskan ciri-ciri mereka. Dari riwayat-riwayat Ahlul Bayt a.s., dapat difahami bahawa jumlah nabi ulul azmi itu adalah lima, iaitu –sesuai  menurut zamannya– Nabi  Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad saww. Adapun keistimewaan yang mereka sandang, di samping sifat tabah yang tinggi dan istiqomah yang teguh, Al-Quran pun telah menyentuh tentang setiap daripada mereka mempunyai kitab dan syari’at yang khas. Dan syari’at mereka itu diikuti oleh nabi yang lainnya, yang semasa atau yang datang kemudian, sampai diutus nabi ulul azmi yang lain dengan membawa kitab dan syari’at yang baru.

Dari huraian di atas dapat difahami bahawa sangat mungkin dua orang nabi itu bertemu dan berkumpul dalam satu masa, sebagaimana Nabi Luth hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Harun a.s dengan Nabi Musa a.s., dan Nabi Yahya a.s. dengan Nabi Isa a.s.

 

Beberapa Catatan Penting

Di akhir pelajaran ini, kami akan menyinggung beberapa permasalahan secara singkat:

Pertama, antara satu nabi dengan nabi yang lain, terdapat kesaksian yang saling membenarkan; nabi sebelumnya memberikan khabar gembira tentang kedatangan nabi berikutnya. Oleh itu, seorang yang mengaku sebagai nabi, apabila dia diingkari oleh para nabi sebelumnya, atau yang sezaman dengannya, maka dia dianggap sebagai pendusta.

Kedua, para nabi Allah sama sekali tidak meminta balasan daripada umat manusia atas risalah dan tugas yang mereka bawa. Dan Rasul saww. sama sekali tidak pernah meminta upah daripada umatnya atas risalah yang baginda sampaikan, selain wasiat baginda agar mereka mencintai Ahlul Bayt beliau. Dan beliau sangat menekankan agar mereka mengikuti dan berpegang teguh pada Ahlul Bait. Pada hakikatnya, maslahat wasiat Rasul saww. tersebut hanya untuk umat manusia itu sendiri.

Ketiga, sebahagian nabi Allah itu mempunyai kedudukan Ilahi lainnya, seperti kekuasaan memutuskan hukum pengadilan. Sebahagian daripada para nabi terdahulu yang mempunyai kedudukan tersebut adalah Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. Dari surah An-Nisa ayat 64, -yang menjelaskan wajibnya mentaati semua rasul secara mutlak– dapat difahami bahawa para rasul itu memiliki kedudukan tersebut.

Keempat, sebahagian jin – sebagai makhluk yang memiliki kewajiban syariat dan kebebasan memilih, dimana manusia tidak dapat melihat mereka pada keadaan yang wajar– dapat mengetahui dakwah dan ajaran para nabi Allah. Sebahagian daripada mereka yang soleh dan bertakwa telah beriman. Di antara mereka adalah pengikut Nabi Musa a.s. dan Nabi Muhammad saww. Sebagaimana sebahagian mereka ada juga yang kafir dan ingkar kepada para nabi kerana mengikuti syaitan yang terkutuk.[]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *