Waktu Kezuhuran

 

Siri Mahdawiyah

الساعة

Kezuhuran Imam Al Mahdi Afs adalah satu kepastian. Kezuhuran ini telah dikhabarkan oleh semua agama langit dan kitab-kitab samawi serta oleh para Maksumin as. Kepercayaan ini ada di dalam semua agama yang mana sebelum umur dunia berakhir, akan muncul munji alam dari arah timur.

Kezuhurannya disambut dengan peperangan yang dahsyat yang mana beliau akan mengalahkan musuh-musuhnya.

Kebangkitan Imam Al Mahdi as adalah salah satu bahagian dari ajaran Islam. Oleh itu Imam sama sekali tidak akan menggunakan apa jua bentuk tipu daya yang digunakan oleh musuh-musuhnya.

Al Quran secara jelas telah mengkhabarkan kemenangan mutlak Imam. Para maksumin sebelumnya telah menyampaikan bahawa revolusi agung Imam akan tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Para maksumin memerintahkan supaya para pencinta mereka untuk berada di dalam keadaan penantian, namun mereka sama sekali tidak pernah menyatakan waktu khusus dan bila kezuhuran akan berlaku. Urusan waktu zuhur adalah mutlak milik Allah SWT.
Para maksumin berkali-kali menjelaskan bahawa penentu waktu zuhur adalah para pembohong dan termasuk dari pembicaraan yang batil. Yang mengetahui dan yang menentukan tarikh zuhur hanyalah Allah SWT.

Di dalam tafsir Al Qummi di sebutkan riwayat yang menyatakan bahawa ayat إِقتَرَبَتِ السَّاعَةُ mengisyarahkan kepada kebangkitan Al Qaim Al Muntazar. Imam Ali Ar Ridha as akan bersedih setiap kali beliau mengingati puteranya Al Mahdi Afs. Beliau berkata: Wahai Da’bal…jika umur dunia berbaki satu hari Allah SWT akan memperpanjangkannya hingga zuhur Al Mahdi. Ayahku meriwayatkan dari ayah-ayahnya yang suci, ada yang bertanya kepada Rasulullah SAAW bilakah waktu Al Qaim akan zuhur. Baginda menjawab: Dia seperti hari kiamat yang akan berlaku ke atas langit dan bumi yang waktunya hanya diketahui oleh Allah SWT .

Rasulullah SAAW bersabda: Jika umur dunia berbaki satu hari, Allah SWT akan memperpanjangkannya hingga bangkit seorang lelaki dari zuriahku. Sebagaimana dunia dipenuhi dengan kefasadan dan kezaliman, dia akan memenuhinya dengan keadilan .

Fadhil bertanya kepada Imam Muhammad Al Baqir as: Apakah kezuhuran (Al Mahdi) telah ditentukan pada waktu yang khas? Imam tiga kali menjawab: Berbohong mereka yang menentukan waktu .

Imam Jaffar As Sadiq as berkata: Sesiapa yang menentukan waktu dan zaman (untuk kebangkitan Imam Mahdi Afs) telah melakukan kebohongan. Kami tidak pernah menentukan zaman pada waktu lepas dan juga tidak pada waktu akan datang .

Imam Sahibuz Zaman di dalam suratnya kepada Muhammad bin Osman Amri, salah seorang dari naibnya yang khas, menulis: Waktu Zuhur, urusannya di atas Allah SWT dan berbohong sesiapa yang menentukan waktu .

Terdapat riwayat yang berbagai yang hanya menyebutkan tentang hari yang mana munji alam keluar dari alam ghaibahnya. Kita pada hari ini adalah penanti kezuhurannya. Kita hanya tunduk dengan riwayat yang telah disampaikan oleh para maksumin kepada kita. Terdapat riwayat yang mengatakan pada subuh hari Jumaat, ada pula pada subuh hari isnin dan ada pula pada hari Asyura.

Imam Jaffar As Sadiq as berkata: (Al Qaim) zuhur pada hari isnin bertetapan dengan hari Asyura, hari yang mana Imam Hussin as syahid .

Ziarah Sahibuz Zaman pada hari Jumaat, kita membaca:

هَذَا یَوْمُ الْجُمُعَةِ وَ هُوَ یَوْمُكَ الْمُتَوَقَّعُ فِیهِ ظُهُورُكَ وَ الْفَرَجُ فِیهِ لِلْمُؤْمِنِینَ عَلَى یَدَیْكَ وَ قَتْلُ الْكَافِرِینَ بِسَیْفِكَ

Hari ini adalah hari Jumaat, dan ia adalah hari mu yang zuhur mu akan berlaku pada hari ini, kemenangan untuk orang mukminin di atas agama mu dan orang-orang yang kufar akan binasa dengan pedangmu .

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *