Keraguan Keenam Terdapat dalam kisah Nabi Musa as, bahawa seorang yang berbangsa Qibti bertengkar dengan seorang laki-laki daripada bangsa Israel. Kemudian Nabi Musa membunuh orang tersebut. Oleh itu, baginda melarikan diri dan meninggalkan kota Mesir. Dan ketika diutus oleh Allah swt untuk berdakwah kepada Fir'aun, beliau berkata:

Pelajaran 21 – Kenabian

 

Pengenalan

Sebagaimana di bahagian pertama buku ini, telah kita ketahui bahawa ada persoalan-persoalan mendasar yang wajib diketahui oleh setiap manusia berakal supaya dia dapat membina kehidupan insani yang sesuai dengan tuntutan akalnya. Persoalan-persoalan itu ialah:

  1. Siapakah yang menciptakan dan mengatur alam semesta ini?
  2. Bagaimana perjalanan hidup ini? Apakah tujuan akhir di sebalik kehidupan manusia?
  3. Dengan memerhatikan keperluan setiap manusia untuk mengetahui dan menempuhi jalan kehidupan yang benar ini hingga dia boleh mencapai kebahagiaan sejati dan kesempurnaan hakikinya, apakah sarana yang dapat menjamin untuk memperolehi pengetahuan tersebut, dan siapakah pembawanya?

Jawapan yang benar ke atas pertanyaan-pertanyaan tadi adalah -yang diistilahkan dengan- tiga prinsip, iaitu Tauhid, Ma’ad (Hari Kebangkitan), dan Kenabian. Tiga prinsip ini merupakan dasar-dasar utama dalam semua agama samawi.

Pada bahagian pertama buku ini, kami telah membahaskan prinsip Tauhid. Di sana kita telah sampai kepada beberapa kesimpulan; bahawa sumber wujud setiap makhluk  adalah Pencipta Yang Tunggal, bahawa seluruh makhluk itu berada di bawah penguasaan dan pengaturan-Nya, dan bahawa tidak ada satu makhluk pun yang tidak memerlukan-Nya dalam setiap perkara dan keadaannya.

Kami juga telah membuktikan masalah-masalah ini dengan dalil akal, bahawa masalah-masalah ini tidak mungkin dapat diselesaikan kecuali dengan dalil akal tersebut. Kerana, apabila masalah tersebut dijelaskan dengan dalil wahyu, itu hanya boleh dibenarkan apabila wujud Allah dan kesahihan kalam-Nya telah dibuktikan dengan dalil akal terlebih dahulu. Sebagaimana halnya bersandar kepada hadis-hadis Nabi saww. dan para imam maksum a.s. secara lebih dahulu  bergantung kepada pembuktian rasional kenabian  dan keimamahan  mereka, serta kesahihan ucapan mereka.

Oleh itu, terlebih dahulu kita harus membuktikan prinsip Kenabian dengan dalil-dalil akal. Setelah kita buktikan bahawa Al-Quran adalah hak dan benar, kita dapat membuktikan rincian-rincian masalah tersebut melalui ayat-ayatnya. Begitu pula rincian-rincian prinsip Ma’ad, harus dibuktikan melalui ayat-ayat tersebut, walaupun sebenarnya prinsip itu sendiri dapat dibuktikan dengan dalil akal dan dalil wahyu.

Jadi, untuk menjelaskan Kenabian dan Ma’ad, pertama kali kita akan membuktikan kedua-dua prinsip ini melalui hujah yang rasional. Kemudian, setelah kenabian Muhammad saww. dan kebenaran Al-Qur’an terbukti benar, kita dapat menerangkan rincian masalah-masalah yang berkaitan dengan dua prinsip tersebut dengan bersandar pada kandungan Al-Quran dan Sunnah.

Akan tetapi, kerana pemisahan dua masalah tersebut akan lebih efektif dalam mempelajari masalah akidah ini dan lebih mudah untuk difahami, kita akan mengikuti cara tradisional. Iaitu pertamanya, kita akan mengkaji masalah-masalah yang berhubungan dengan prinsip Kenabian. Setelah itu, kita akan membahaskan masalah-masalah yang berkaitan dengan prinsip Ma’ad. Kemudian, sekiranya dalam sebahagian hujah kami menggunakan sebuah pengenalan yang harus dibuktikan kebenarannya, kami akan menjadikannya sebagai tajuk utama dalam hujah tersebut. Ada pun pembuktian kebenarannya akan kita bahas pada tempatnya yang sesuai.

 

Tujuan Perbahasan

Tujuan pertama pada perbahasan Kenabian di dalam buku ini ialah membuktikan adanya sarana pengetahuan selain indera dan akal, yang terjamin dari kekeliruan, serta dapat menghantar manusia untuk mengetahui hakikat-hakikat wujud dan jalan hidup yang benar. Sarana pengetahuan itu adalah wahyu. Wahyu merupakan satu bentuk pengajaran Ilahi yang diberikan secara khusus kepada hamba-hamba pilihan Allah yang soleh. Tentunya, selain daripada mereka tidak mengetahui hakikat wahyu tersebut, kerana manusia biasa tidak dapat melihat bentuk nyata hakikat wahyu tersebut di dalam diri mereka. Meski pun demikian, mereka dapat mengetahui kenyataan wahyu tersebut melalui tanda-tanda yang ada. Dengan cara ini, mereka dapat membenarkan perkataan para nabi bahawa mereka telah menerima wahyu daripada Allah. Tentunya, apabila turunnya wahyu kepada seorang nabi itu telah dapat dibuktikan dan dia menyampaikan risalahnya kepada orang  lain, maka wajib atas orang lain untuk menerima dan mengamalkan hal-hal yang sesuai dengan wahyu tersebut, dan tidak seorang pun dibenarkan untuk menentangnya, kecuali abila risalah tersebut dikhususkan untuk orang atau kelompok atau zaman tertentu.

Dengan demikian, persoalan-persoalan pokok dalam Kenabian ialah keharusan mengutus nabi dan menjaga wahyu daripada penyimpangan, baik yang disengajakan ataupun tidak, sehingga kandungan wahyu itu dapat diterima oleh manusia secara utuh. Dengan kata lain, kita akan membahaskan kemestian kemaksuman pada diri nabi dalam menerima dan menyampaikan wahyu Ilahi, juga kemestian adanya suatu cara pada umat manusia untuk membuktikan kenabian para nabi.

Setelah memaparkan masalah-masalah pokok itu melalui dalil akal, kita segera akan memasuki masalah-masalah rincian seperti: jumlah para nabi, kitab-kitab mereka, dan syariat-syariat samawi. Selain itu, kita akan berusaha membuktikan kenabian seorang nabi, kitab samawi yang terakhir, dan penentuan para khalifah nabi. Akan tetapi, tidak mudah bagi kita untuk membuktikan semua masalah ini dengan dalil akal. Oleh itu, dalam perbahasan ini kita juga harus bersandar pada dalil-dalil wahyu.

 

Metodologi Ilmu Kalam

Dari penjelasan di atas jelaslah perbezaan mendasar antara Falsafah dan Kalam. Falsafah membahaskan masalah-masalah yang hanya boleh dibuktikan  oleh pembuktian akal. Sedangkan ilmu Kalam mencakupi masalah-masalah yang tidak mungkin dapat dibuktikan kebenarannya kecuali melalui pembuktian wahyu. Dengan kata lain, nisbah antara masalah-masalah Falsafah dan masalah-masalah Kalam ialah umum dan khusus daripada satu sisi (umum wa khusus min wajh). Ertinya, meski pun Falsafat dan Kalam itu memiliki masalah-masalah serupa yang dapat dibuktikan secara rasional, akan tetapi masing-masing mempunyai masalah-masalah yang khusus. Masalah-masalah khusus Falsafah boleh dibuktikan dengan akal, sedangkan masalah-masalah khusus Kalam hanya boleh dibuktikan dengan teks-teks agama. Maka itu, cara ilmu Kalam adalah gabungan daripada dalil rasional dan dalil bahasa.  Di dalamnya kita boleh menggunakan dua jenis dalil tersebut.

Yang jelas, terdapat dua perbezaan yang mendasar antara Falsasah dan Kalam:

  1. Bahawa kedua ilmu itu, di samping memiliki masalah–masalah yang sama seperti masalah tauhid, mempunyai masalah-masalah yang khusus yang tidak dibahaskan oleh ilmu lainnya. Ertinya, masalah khusus yang terdapat di dalam Kalam tidak boleh dibahaskan dalam masalah falsafah, begitu pula sebaliknya.
  2. Cara perbahasan setiap masalah falsafah berdasarkan akal. Ada pun dalam ilmu Kalam, sebahagian masalahnya dibahaskan atas dasar akal (seperti masalah-masalah yang serupa dengan sebahagian masalah Falsafah). Sebahagian masalah Kalam, seperti Imamah (khilafah), dibahaskan atas dasar teks agama, dan sebahagian yang lain, seperti Ma`ad, dibahaskan melalui akal dan teks agama.

Yang perlu ditekankan di sini adalah masalah masalah khusus  teologi yang dapat dibuktikan secara bahasa tidak semuanya berada pada satu peringkat. Bahkan sebahagian di antaranya, seperti kesahihan keterangan (sunnah) Nabi saww., dapat dibuktikan secara langsung oleh ayat Al-Quran, tentunya setelah kebenaran Al-Quran dapat dibuktikan secara rasional. Setelah itu, masalah-masalah lain seperti: penentuan pengganti nabi (khilafah), atau kesahihan ucapan para Imam, boleh dibuktikan melalui keterangan Nabi saw tersebut. Pada gilirannya, terdapat sejumlah masalah yang dapat dituntaskan melalui keterangan para Imam. Sudah pasti kesimpulan yang kita capai melalui dalil-dalil bahasa benar-benar meyakinkan bila jalur periwayatannya itu pun sahih, tidak ada kecacatan di dalamnya.[]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *