Keraguan Keenam Terdapat dalam kisah Nabi Musa as, bahawa seorang yang berbangsa Qibti bertengkar dengan seorang laki-laki daripada bangsa Israel. Kemudian Nabi Musa membunuh orang tersebut. Oleh itu, baginda melarikan diri dan meninggalkan kota Mesir. Dan ketika diutus oleh Allah swt untuk berdakwah kepada Fir'aun, beliau berkata:

Pelajaran 20 – Keadilan Ilahi (Bhgn. 2)

 

Beberapa Keraguan dan Jawapan

 

Keraguan Pertama

Bagaimana mungkin pelbagai perbezaan pada makhluk Allah, khususnya manusia, itu boleh sesuai dengan Keadilan dan Hikmah Ilahiyah? Dan mengapa Allah Yang Maha Adil dan Bijak tidak menciptakan seluruh makhluk-Nya dalam bentuk yang sama?

Jawapan : perbezaan yang terdapat pada makhluk-makhluk Allah swt. di alam ini adalah suatu hal yang pasti terjadi sesuai dengan tata cipta-Nya dan tunduk kepada hukum sebab akibat yang menguasai tata cipta itu. Andaian persamaan pada ciptaan Allah merupakan andaian yang dangkal dan sia-sia. Kalau kita fikirkan baik-baik, akan kita  ketahui bahawa andaian seperti itu bererti meninggalkan ciptaan, kerana apabila seluruh manusia itu adalah lelaki atau perempuan semuanya, maka tidak akan terrealisasi kelahiran dan keturunan dan pasti akan habis manusia di muka bumi ini. Dan apabila semua makhluk Allah itu adalah manusia sahaja, tidak akan didapati bahan makanan atau hal-hal lain yang dapat memenuhi keperluan manusia. Dan seandainya seluruh makhluk Allah itu adalah haiwan atau sejenis tumbuhan yang mempunyai warna dan sifat-sifat yang satu pula, maka tidak akan ditemukan adanya kurnia dan manfaat-manfaat yang banyak, dan tidak akan didapati pula pemandangan yang indah.

Adanya fenomena seperti ini, iaitu bentuk dan sifat yang beragam, merupakan kelaziman faktor-faktor dan syarat-syarat yang dapat terpenuhi sesuai dengan proses perubahan dan dan pergantian materi, dan tidak seorang pun -sebelum ia diciptakan- mempunyai hak untuk mengatur penciptaan Allah swt atas dirinya, iaitu menuntut agar Dia  menciptakannya dalam bentuk, tempat dan zaman tertentu sahaja, sehingga terdapat peluang untuk keadilan dan kezaliman.

 

Keraguan Kedua

Apabila Hikmah Ilahiyah itu menuntut hidupnya manusia di alam dunia ini, namun mengapa setelah itu Allah mematikan manusia dan mengakhirkan hidupnya?

Jawapan: pertama, kehidupan dan kematian segala sesuatu di dunia ini sebenarnya tunduk pada hukum alam (takwini) dan sebab-akibat, serta merupakan kemestian bagi tata cipta alam ini.

Kedua, apabila seluruh makhluk hidup ini tidak mengalami kematian, tidak akan ada ruang untuk makhluk-makhluk hidup yang akan datang. Dengan demikian, generasi berikutnya tidak mendapatkan kehidupan.

Ketiga, apabila kita berandaian bahawa kehidupan manusia ini abadi, maka tidak akan berlalu masa yang panjang kecuali kita akan melihat permukaan bumi ini dipenuhi oleh umat manusia, dan bumi akan menjadi sempit dengan keberadaan mereka, sehingga setiap manusia akan mengharapkan kematian kerana beratnya menanggung rasa lapar, sakit dan kelelahan.

Keempat, sesungguhnya tujuan utama diciptakannya manusia adalah untuk kebahagiaan yang abadi dan hakiki. Jika manusia tidak dipindahkan dari kehidupan dunia ke kehidupan lainnya (akhirat) melalui kematian, tujuan utama untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

 

Keraguan Ketiga

Kejadian pelbagai penyakit dan bencana alam seperti  banjir, gempa bumi serta adanya permasalahan-permasalahan sosial seperti kezaliman dan peperangan, bagaimana ianya sesuai dengan Keadilan Ilahi?

Jawapan: pertama, gejala-gejala dan bencana alam yang menyakitkan itu merupakan kelaziman daripada perbuatan-perbuatan yang bersifat materi, di mana benda-benda itu saling berinteraksi, bergeseran dan berlawanan. Mengingat bahawa kebaikan gejala-gejala tersebut lebih banyak daripada keburukannya, hal itu tidak bertentangan dengan Hikmah Ilahiyah. Demikian pula, krisis sosial sebenarnya muncul lantaran tindakan manusia.Tindakan ini sesuai dengan Hikmah Ilahiyah. Hanya yang perlu diperhatikan di sini ialah  manfaat dari kehidupan sosial dan hal-hal yang positif sebenarnya lebih banyak daripada kerugiannya. Seandainya kerugian itu lebih banyak, tentu tidak akan ada lagi manusia di muka bumi ini.

Kedua, kejadian pelbagai jenis bencana dan musibah tersebut, di satu sisi akan mendorong manusia untuk mencari rahsia dan sebab-sebab alami, serta berusaha untuk mengungkapnya. Dengan demikian, akan lahir pengetahuan, penemuan, serta produk-produk yang pelbagai. Di sisi lain, ehwal menghadapi bencana-bencana tersebut lalu berusaha untuk mencari jalan keluarnya berperanan besar dalam menggali dan mengembangkan potensi manusia,  serta dalam mencapai kesempurnaan umat manusia itu sendiri demi peningkatan dan kemajuan hidup. Sehingga pada akhirnya, akan timbul ketabahan dalam menanggung beban penyakit dan musibah tersebut. Apabila ketabahan itu dilandasi oleh alasan-alasan yang benar dan sesuai dengan syariat, hal itu akan mendatangkan pahala yang abadi di  akhirat kelak. Ketabahan itu tidak akan sia-sia, bahkan ia akan diimbal dengan ganjaran yang lebih mulia dan berlipat ganda.

 

Keraguan Keempat

Bagaimana siksa Allah yang bersifat abadi atas dosa-dosa yang sekejap dilakukan oleh pelaku-pelakunya di alam dunia ini boleh selaras dengan Keadilan Ilahi?

Jawapan: Sebenarnya ada hubungan sebab-akibat antara perbuatan yang baik atau buruk dan antara pahala atau siksa akhirat, sebagaimana yang diungkapkan oleh wahyu, dan manusia pun telah diingatkan tentang hal itu. Sebagaimana kita perhatikan di alam dunia ini adanya kejahatan yang pengaruhnya berlangsung dalam waktu yang cukup panjang, walaupun kejahatan tersebut bersifat sementara atau sesaat sahaja. Contohnya, jika seseorang mencederakan mata orang lain sampai buta, atau ia mencederakan matanya sendiri. Perbuatan seperti ini terjadi sekejap sahaja, akan tetapi akibatnya berlangsung terus sepanjang usianya.

Demikian pula, dosa-dosa besar berpengaruh pada nasib buruk ukhrawi yang bersifat abadi. Jika kemudian pelaku dosa itu tidak melakukan cara yang dapat menghapusnya (seperti taubat), keadaannya ini akan nampak buruk selama-lamanya, sebagaimana butanya seseorang sampai akhir hayatnya hanya lantaran perbuatannya yang sekejap sahaja. Ini semua tidak bertentangan dengan Keadilan Ilahi. Demikian pula azab Ilahi yang abadi itu merupakan akibat daripada dosa-dosa besar. Juga hal ini tidak mengabaikan keadilan Ilahi, kerana ia merupakan kesan daripada dosa yang dilakukan pelakunya atas kesedarannya sendiri.[]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *