Sahibul Dar

Siri Mahdawiyah

صاحب الدار

Imam Asr wa Zaman AJF adalah wasi dan pemilik keberadaan terakhir.
Nubuwah dan Imamah adalah hakikat yang sama sekali berbeza dengan para pemimpin yang dilantik oleh masyarakat. Ianya adalah urusan Allah dan berasal dari Allah. Allah SWT mengurniakan mereka kepimpinan agama dan dunia, baik di atas dunia ini, mahupun di dunia akhirat. Ikatan ini adalah antara Allah, Nubuwah dan Imamah tidak akan dimiliki oleh sebarangan orang. Maqam ini memerlukan kepada Ismah dan kesucian. Yang memilihnya adalah Allah sendiri, penentu jalan hanya Allah. Pandangan dan pemilihan masyarakat sama sekali tidak memberi sebarang erti.
Adalah satu kezaliman dan dianggap berdosa jika bersikap takabur dan sombong di hadapan perintah Allah SWT. Ini adalah kerja syaitan dan penghujungnya adalah kekufuran. Apa yang dilakukan oleh syaitan adalah menyebabkannya diusir, asasnya adalah sifat hasad dengki. Sedangkan Imamah bersih dan suci dari unsur kezaliman.

لَا ینَالُ عَهْدِی الظَّالِمِینَ

Tidak termasuk di dalam janjiku mereka yang melakukan kezaliman.

Hal ini sama dengan urusan pelantikan para Malaikat, urusan ini tidak diserahkan kepada sesiapa pun. Ia mutlak milik Allah. Hal yang sama juga berlaku ke atas pengangkatan para Anbia.

اللَّهُ یصْطَفِی مِنَ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ سَمِیعٌ بَصِیرٌ

Allah memilih utusan dari kalangan Malaikat dan dari kalangan manusia, sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat .

یا مُوسَى إِنِّی اصْطَفَیتُكَ عَلَى النَّاسِ بِرِسَالَاتِی وَبِكَلَامِی

Wahai Musa, sesungguhnya aku telah memilihmu dengan risalahKu dan firmanKu atas manusia .

Dan lagi Allah SWT amat mengetahui karakter setiap seorang dari hambaNya. Maka dengan Allah memilih sesorang dan tidak seorang yang lain.

اللَّهُ أَعْلَمُ حَیثُ یَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

Allah lebih mengetahui kepada siapa yang Dia turunkan risalahNya .

Seorang Nabi ketika dia ingin menentukan siapa wasinya, dia akan menunggu perintah dari Allah. Bukan dia yang memilih dan bukan diserahkan kepada yang lain untuk memilih.
Dengan perintah Allah, Rasulullah SAAW mengangkat Imam Ali as sebagai Imam dan wasi setelahnya. Baginda beberapa kali mengulang perintah Allah bahawa Imamah selepasnya adalah milik Ali bin Abi Talib as dan para zuriatnya yang maksum. Hal yang sama yang dilakukan oleh Amirul Mukminin dengan menunjukan bahawa Imam selepasnya adalah Al Hassan, begitu juga oleh Imam-Imam selepas beliau. Walaupun adakalanya para Imam hidup dalam bertaqiyah, namun mereka tetap menjaga amanah ini. Mereka juga memberikan penjelasan kepada para pengikut mereka tentang siapa Imam yang berikut supaya para pengikut mereka tidak terjerumus di dalam kesalahan.

Imam Jaffar As Sadiq as berkata: Setelah datang perintah dari Allah SWT untuk menunjukkan bahawa Imam Ali as adalah Imam selepas Rasulullah, Rasulullah SAAW memerintahkan untuk memanggil Imam Ali dengan panggilan Amirul Mukminin .

Imam Jaffar As Sadiq as sedang berjalan, Imam Muhammad Al Baqir as mengisyarahkan jarinya ke arah Imam Sadiq dan berkata kepada Ibnu Sabbah: Apakah kau melihatnya? Dia adalah antara yang dimaksudkan oleh Allah dengan firmanNya:

وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِینَ

Dan Kami jadikan mereka Imam dan Kami jadikan mereka orang-orang yang mewarisi .

Dia adalah antara orang yang mewarisi Imamah .

Abdullah bin Jalab berkata: Imam Ali Al Hadi menulis surat kepadaku, di dalam tersebut Imam berkata: Kau ingin bertanya tentang wasi Abu Jaffar, Imam Al Jawad as? Maka ini menyebabkanmu bersedih. Jangan bersedih kerana Allah tidak akan menyesatkan orang-orang yang telah mendapat hidayah.

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِیضِلَّ قَوْمًا بَعْدَ إِذْ هَدَاهُمْ حَتَّى یبَینَ لَهُمْ مَا یتَّقُونَ

Sesungguhnya Allah tidak akan menyesatkan satu kaum setelah memberi mereka hidayah supaya jelas untuk mereka siapa yang bertaqwa .

Pemimpinmu setelah aku adalah puteraku Abu Muhammad (Imam Hassan Al Askari as). Tanya kepadanya apa sahaja soalan yang kau miliki. Apa yang diinginkan oleh Allah SWT pastinya akan terlaksana.

مَا نَنْسَخْ مِنْ آیةٍ أَوْ نُنْسِهَا نَأْتِ بِخَیرٍ مِنْهَا أَوْ مِثْلِهَا

Tidak Kami nasakhkan dari satu ayat atau Kami membuatnya dilupa, kecuali Kami datangkan yang lebih baik darinya atau sepertinya .

Setiap ayat atau Imam yang diambil pastinya akan diganti dengan Imam yang lain .

Abu Basir berkata: Aku bersama beberapa orang hadir di hadapan Imam Jaffar As Sadiq as. Kami membicarakan tentang para Imam Baginda Rasulullah SAAW. Aku menyebut nama Ismail putera Imam Jaffar As Sadiq as (aku menyangkakan bahawa dia adalah Imam selepas Imam Sadiq). Imam berkata: Wahai Abu Basir, demi Allah bukan sedemikian. Imam bukan pilihan kita. urusan ini hanya di tangan Tuhan….
Imam yang terakhir, Imam Al Mahdi AJF adalah Hujjah Allah yang terakhir. Beliau adalah wasi Imam Hassan Al Askari as. Allah SWT yang telah meletakan amanah ini ke atas bahunya. Allah SWT sama sekali tidak bermesyuarat dengan sesiapa pun tentang hal ini atau mendengar pendapat yang lain atau membiarkan manusia yang memilih. Hanya Allah yang menyerahkan amanah ini kepada pemilik yang Dia sendiri pilih.

Sahibul Dar adalah gelaran khusus milik Imam Al Mahdi AJF. Panggilan ini mengisyarahkan bahawa Imam Al Hujjah as adalah pemilik alam ini dan seisinya.

 

یا صاحب الدار

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *