Keraguan Keenam Terdapat dalam kisah Nabi Musa as, bahawa seorang yang berbangsa Qibti bertengkar dengan seorang laki-laki daripada bangsa Israel. Kemudian Nabi Musa membunuh orang tersebut. Oleh itu, baginda melarikan diri dan meninggalkan kota Mesir. Dan ketika diutus oleh Allah swt untuk berdakwah kepada Fir'aun, beliau berkata:

Pelajaran 18 – Keterpaksaan (Jabr) dan Ikhtiar

 

Pendahuluan

Selaras dengan penjelasan kami pada pelajaran yang lalu, bahawa Tauhid kepada Allah sebagai Pengaruh Mutlak Yang Mandiri merupakan suatu pengetahuan yang bernilai tinggi dan berperanan besar dalam pembinaan umat manusia. Oleh itu, Al-Quran sangat menekankan dan menyampaikannya dengan ungkapan yang pelbagai sehingga dapat difahami secara benar. Di antara ungkapan-ungkapan tersebut ialah setiap kejadian di alam ini terwujud dengan izin, kehendak, qadha’ dan qadar Allah.

Pemahaman yang benar mengenai persoalan ini, di samping memerlukan kematangan akal-fikiran, juga memperlukan kepada pengkajian dan penafsiran yang benar. Mereka yang tidak memiliki pencerahan akal yang sepatutnya, tidak mahu berusaha menimba ajaran-ajaran para imam yang maksum dan pentafsir hakiki Al-Quran, akan tergelincir dalam menafsirkan persoalan di atas sedemikian rupa sehingga menisbahkan segala pengaruh sebab-akibat hanya kepada Allah swt., sementara menafikan pengaruh apa pun daripada sebab-sebab dan perantara, padahal penafsiran ini bertolak belakang dengan keterangan Al-Quran. Mereka berusaha meyakinkan kita –contohnya- tentang kebiasaan (‘adah) Allah yang berlaku apabila munculnya panas daripada api, atau rasa kenyang dan segar setelah makan dan minum. Tanpa kebiasaan Allah, pada dasarnya api, makanan dan air itu tidak mempunyai pengaruh sedikit pun dalam kejadian panas, kenyang ataupun hilangnya dahaga.

Kesan buruk daripada penyimpangan ini menjadi lebih jelas apabila kita mengkaji kesan-kesan pada tindakan-tindakan bebas manusia dan tanggung jawabnya. Timbulnya pemikiran ini kerana akibat penisbahan langsung segala tindakan manusia kepada Allah dan menafikan manusia sebagai pelaku tindakan dirinya secara mutlak. Atas dasar ini, tentu tidak seorang pun yang akan diminta bertanggung jawab atas tindakannya.

Dengan kata lain, kesan-kesan buruk pemikiran tersebut ialah keyakinan terhadap keterpaksaan manusia (jabr)  dan mengelak dariapda bertanggung jawab. Hal itu bererti menafikan ciri khas manusia yang paling penting, dan tidak bermanfaatnya setiap sistem pendidikan, moral, dan hukum, termasuk juga di antaranya syariat Islam.

Kerana, jika kita mencabut ikhtiar daripada diri manusia atas tindakannya sendiri, tentu tidak lagi tersisa tanggung jawab, tugas, perintah, larangan, pahala dan siksa. Bahkan dapat melazimkan sia-sianya sistem alam itu; tanpa tujuan apa pun di dalamnya. Sebab, penciptaan alam semesta ini –sebagaimana dijelaskan dalam ayat-ayat dan hadis-hadis serta dalil-dalil rasional– adalah untuk menyiapkan tempat yang sesuai bagi penciptaan manusia agar dapat mencapai kesempurnaannya dan kedekatan dirinya di sisi Allah swt. sehingga dia layak mendapatkan anugerah-Nya, iaitu dengan cara menjalankan pelbagai kewajipan Ilahi secara sedar dan bebas.

Ada pun, andaian bahawa manusia itu tidak memiliki ikhtiar dan tanggung jawab, dia tidak berhak memperolehi pahala, kesenangan abadi dan keridaan Ilahi. Demikian tujuan penciptaan manusia akan gugur, undang-undang penciptaan itu akan berubah menjadi pentas besar permainan; layaknya boneka yang bergerak dan memainkan peranannya tanpa kehendak dan kebebasan pada dirinya, kemudian ia dihukum dan disiksa, atau disanjung dan diganjari dengan kemuliaan.

Faktor terpenting yang memperluaskan pemikiran yang berbahaya ini ialah cita-cita dan angan-angan politik pihak penguasa zalim. Mereka menjadikannya sebagai pembenaran atas perilaku buruk mereka, meminta rakyat awam untuk menerima pemerintahan zalimnya, dan melakukan protes serta penentangan ke atas mereka. Maka, fahaman Jabariyah (keterpaksaan) merupakan cara efektif yang utama untuk meletakkan rakyat dalam keadaan tidak sedar.

Ada sebahagian orang yang sedar akan bahaya Jabariyah, akan tetapi kerana tidak memiliki kemampuan untuk menolak fahaman itu sekaligus berpegang kepada Tauhid yang sempurna, dan tidak berusaha menggali ajaran-ajaran Ahlul Bayt yang suci nan mulia, mereka malah jatuh ke dalam fahaman tafwidh dan Qodariyah (kebebasan mutlak manusia). Mereka menganggap bahawa tindakan bebas manusia itu di luar jangkauan tindakan Allah. Dengan begitu, sebenarnya mereka telah terjebak dalam penyimpangan pemikiran, dan telah merenggang jauh daripada ajaran Islam.

Sementara mereka yang memiliki persiapan pengetahuan yang memadai dan mengenal para pengajar dan pentafsir hakiki Al-Quran, sentiasa terjaga daripada penyimpangan-penyimpangan tersebut. Dari sisi lain, mereka percaya bahawa perbuatan mereka itu bersumber daripada kekuatan yang Allah berikan kepada mereka, sehingga mereka bertanggung jawab atas perbuatannya masing-masing. Dari sisi lain, mereka juga menyedari adanya pengaruh Allah yang mandiri pada peringkat yang lebih tinggi, sehingga mereka mendapatkan kesimpulan yang jernih.

Di dalam hadis-hadis  para imam a.s. yang sampai kepada kita, terdapat keterangan-keterangan yang sangat nijak mengenai masalah ini, yang tercatat di dalam kitab-kitab hadis di bawah judul “Kemampuan dan Menafikan Keterpaksaan dan Kebebasan mutlak”. Selain itu juga dicatat di dalam bab-bab; Izin, Masyi’ah, Iradah, Qadha’ dan Qadar Ilahi. Terdapat sebahagian hadis yang melarang orang yang kurang persiapan untuk mendalami persoalan-persoalan rumit tersebut, agar mereka tidak ditimpa penyimpangan.

Benar bahawa masalah keterpaksaan dan ikhtiar ini menyimpan pelbagai dimensi. Meski pun buku ini tidak relevan untuk mengulas semua dimensi itu, kami akan berusaha membahaskan beberapa topic, di antaranya mengingat pentingnya masalah ini, tentunya dengan cara yang sederhana. Perlu kami tekankan pula kepada mereka yang ingin meneliti lebih dalam, agar bersabar dan tekun dalam mengkaji dasar-dasar falsafah masalah ini.

 

Penjelasan Mengenai Ikhtiar

Pada hakikatnya, kemampuan memilih dan membuat keputusan merupakan sesuatu yang begitu mudah disedari oleh manusia. Kerana, setiap orang menyedari kemampuan itu dengan pengetahuan hudhuri (boleh difahami tanpa perlu kepada pembelajaran) yang tidak mungkin mengalami kekeliruan. Sebagaimana juga –dengan pengetahuan hudhuri ini– dia dapat merasakan keadaan jiwanya.  Seandainya dia ragu akan sesuatu, tentu dia tidak ragu akan keraguannya ini, sebab dia mengetahui keadaan ragunya itu secara hudhuri, dan dia tidak mungkin ragu akan pengetahuan seperti ini.

Begitu pula, setiap orang dapat mengetahui –hanya dengan memberi sedikit tumpuan pada dirinya– bahawa dia mampu berbicara  atau tidak. Atau, dia yakin akan kemampuannya untuk menggerakkan tangannya atau mendiamkannya. Dia pun mampu untuk menelan makanan atau tidak.

Kehendak untuk melakukan suatu perbuatan itu terkadang untuk memenuhi dorongan naluri haiwani, seperti rasa lapar yang mendorong seseorang untuk makan dan rasa haus yang mendorongnya untuk minum, atau terkadang untuk memenuhi keperluan akal dan untuk merealisasikan nilai insani yang mulia, seperti seorang pesakit yang meminum ubat yang pahit dengan harapan untuk pulih. Untuk tujuan mulia ini, dia rela untuk  menahan dirinya daripada mengambil makanan yang dia sukai. Atau pelajar yang meninggalkan kenikmatan duniawi demi memperolehi ilmu dan hakikat kebenaran serta tabah dalam menjalani pelbagai kesulitan. Juga seperti prajurit yang gagah berani, sekali pun harus mengorbankan nyawanya demi meraih cita-citanya yang tinggi.

Pada hakikatnya, nilai seseorang itu akan nampak tatkala pelbagai keinginannya saling berlawanan. Untuk mencapai kesempurnaan ruhani yang abadi, qurb (kedekatan) dan  keridaan Ilahi, dia akan mengetepikan hasrat-hasrat haiwaninya yang rendah. Dan setiap tindakan yang dilakukannya secara lebih disedari, akan berpengaruh lebih kuat pula dalam penyempurnaan atau mengerdilan jiwanya, serta akan mewujudkan kelayakan yang lebih besar dalam menerima pahala atau siksa.

Jelas bahawa kemampuan untuk melawan pelbagai  desakan hawa nafsu tidaklah sama rata di antara semua orang dan dalam kaitannya dengan segala sesuatu. Walaupun demikian, setiap orang, sedikit-banyak, memiliki anugerah Ilahi (ikhtiar) ini. Dan, semakin dia melatih kemampuan rintangan ini, semakin dia dapat menguatkan ikhtiarnya itu.

Oleh itu, kita sama sekali tidak ragu akan adanya ikhtiar di dalam jiwa setiap manusia. Dan jangan sampai perkara yang sudah jelas ini dikeruhkan oleh pelbagai keraguan. Seperti yang telah kami bahaskan dalam pelajaran sebelumnya, bahawasanya realiti ikhtiar itu merupakan dasar yang begitu jelas telah diterima oleh semua sistem pendidikan, moral serta agama-agama samawi.

Tanpa ikhtiar, tidak akan tersisa lagi peluang untuk validnya sesuatu hak dan tanggungjawab, sanjungan dan hinaan, pahala dan siksa.  Apa yang mengakibatkan keraguan terhadap hakikat yang jelas serta mengarah kepada fahaman Jabariyah iaitu munculnya sejumlah keraguan yang harus dijawab secara tuntas. Untuk itu, kami akan berusaha membincangkannya secara padat sebagaimana di bawah ini.

 

Menjawap Jabariyah

Keraguan-keraguan paling serius yang dilontarkan oleh para penganut Jabariyah adalah seperti berikut:

 

Keraguan pertama: kehendak seseorang itu muncul lantaran bangkitnya hasrat-hasrat subjektif daripada dalam dirinya. Pada gilirannya, hasrat-hasrat ini bangkit bukan kerana ikhtiar, bukan pula kerana faktor-faktor luaran dirinya. Maka, tidak ada lagi tempat untuk pemilihan dan ikhtiar.

Jawapan: bangkitnya hasrat-hasrat itu merupakan ruang penyiap untuk kehendak. Timbulnya kehendak seseorang untuk melakukan suatu tindakan bukanlah kejadian keterpaksaan daripada bangkitnya hasrat-hasrat tersebut, sehingga kemampuannya menjadi hilang. Bukti atas hal itu ialah munculnya keadaan ragu dan bimbang pada diri manusia dalam pelbagai kes. Dalam keadaan ini, untuk mengambil suatu keputusan, dia perlu merenung, berpikir serta mempertimbangkan untung ruginya suatu tindakan. Dan terkadang dia menemui kesulitan dalam melakukan semua ini.

 

Keraguan kedua: telah dibuktikan dalam pelbagai disiplin  ilmu, bahawa terdapat pelbagai faktor anekaragam yang mempunyai pengaruh dan peranan di dalam membentuk kehendak umat manusia. Faktor-faktor itu seperti keturunan dan pengaruh yang diakibatkan oleh bahan-bahan makanan dan ubat-ubatan tertentu. Demikian pula faktor-faktor sosial. Sesungguhnya beragamnya umat manusia dalam tingkah laku dan sifat-sifat mereka itu kerana tunduk kepada faktor-faktor seperti ini.

Yang perlu diperhatikan pula, bahawasanya teks-teks agama itu mendukung -daripada dekat ataupun daripada jauh, sedikit atau pun banyak- adanya pandangan dan pemikiran seperti ini. Oleh itu, tidaklah boleh diterima adanya pandangan yang menyatakan bahawa perbuatan seseorang itu timbul daripada hasil ikhtiarnya.

Jawapan: keyakinan terhadap adanya ikhtiar dan kehendak yang bebas itu tidak bererti menolak faktor-faktor ini serta pengaruh dan peranannya. Bahkan hal itu bererti meskipun faktor-faktor itu telah ada, akan tetapi manusia  mempunyai pilihan dan kemampuan untuk melakukan perlawanan. Ketika terjadi penentangan dalam dorongan-dorongan yang bermacam-macam, didapati bahawa seseorang itu mempunyai kemampuan untuk memilih sebahagiannya.

Tentunya, faktor-faktor yang dominan akan menjadi sulit untuk  dilawan, sesulit memilih suatu pekerjaan yang menentang keinginan-keinginannya. Akan tetapi, perlawanan dan pemilihan yang sulit seperti ini akan lebih berpengaruh pada kesempurnaan insani dan pada upaya meraih ganjaran yang berlipat ganda. Sebagaimana pula terkadang sebahagian keadaan yang menggoncangkan serta interaksi-interaksi yang tajam, atau sebahagian keadaan yang sulit merupakan sebab ringannya siksa atau penurunan peringkat kejahatan.

 

Keraguan ketiga: Allah swt. Maha Tahu akan segala fenomena dan makhluk di alam semesta. Di antaranya, Allah mengetahui seluruh perbuatan-perbuatan manusia sebelum kejadiannya. Dan pengetahuan Ilahi itu tidak akan salah. Maka setiap fenomena itu pasti akan terjadi sesuai dengan ilmu azali yang abadi dan tidak mungkin bertentangan dengannya. Jadi tidak ada lagi peluang bagi manusia untuk memilih dan berikhtiar.

Jawapan: pada hakikatnya, pengetahuan Allah itu berhubungan dengan setiap fenomena yang sesuai dengan kenyataannya, dan perbuatan sengaja manusia itu telah diketahui oleh Allah sesuai dengan kenyatannya, iaitu perbuatan tersebut bersifat disengajakan dan dikehendaki. Apabila perbuatan sengaja tersebut terjadi secara terpaksa dan tak terpaksa, pengetahuan Allah bererti salah.

Contohnya, Allah swt. mengetahui bahawa si fulan pada keadaan tertentu akan melakukan suatu perbuatan. Pengetahuan Ilahi ini tidak berhubungan hanya dengan perbuatan itu; tanpa mengambil kira perbuatan tersebut daripada kehendak si fulan. Akan tetapi, Allah mengetahui perbuatan itu sebagai sebuah kejadian yang akan terjadi berdasarkan kehendak si fulan. Dengan demikian, ilmu Ilahi yang azali itu tidak menafikan ikhtiar manusia.

Keraguan lain berkaitan dengan masalah qadha’ dan qadar yang –menurut mereka-  tidak sesuai dengan ikhtiar manusia. Dan hal ini akan kita bahas dalam pelajaran mendatang.[]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *