Keraguan Keenam Terdapat dalam kisah Nabi Musa as, bahawa seorang yang berbangsa Qibti bertengkar dengan seorang laki-laki daripada bangsa Israel. Kemudian Nabi Musa membunuh orang tersebut. Oleh itu, baginda melarikan diri dan meninggalkan kota Mesir. Dan ketika diutus oleh Allah swt untuk berdakwah kepada Fir'aun, beliau berkata:

Pelajaran 17 – Beberapa Istilah Tauhid

 

Pengenalan

Dari segi bahasa, kata tauhid bererti  “menganggap  sesuatu itu satu”. Menurut istilah kaum ahli falsafah, teologi, ulama akhlak, dan ahli irfan, tauhid digunakan  dalam erti  yang beragam. Masing-masing erti terfokus pada keesaan Allah swt. daripada sisi tertentu. Dan kadang-kadang keseragaman itu dipandang sebagai ungkapan daripada pelbagai jenis Tauhid, atau tingkatan-tingkatannya. Jelas  kapasiti buku ini tidak sesuai untuk membahaskan semua erti tersebut. Untuk itu, di sini kami hanya akan menyebutkan beberapa istilah dan erti yang lebih popular dan lebih sesuai dengan topik perbahasan.

 

Pertama: Penafian terhadap Keterbilangan

Istilah pertama yang umum mengenai tauhid adalah meyakini keesaan Allah, menafikan keterbilangan daripada dzat-Nya. Erti ini merupakan lawan daripada syirik yang nyata, iaitu  keyakinan kepada dua tuhan atau lebih; dengan pengertian bahawa masing-masing tuhan itu memiliki wujud mandiri dan terpisah daripada yang lain.

 

Kedua: Penafian terhadap Ketersusunan

Ini adalah istilah kedua mengenai Tauhid. Yakni meyakini keesaan, basathah (kesederhanaan) di dalam dzat Allah, dan ketiadaan pembahagian pada dzat-Nya daripada bahagian-bahagian, baik secara aktual (bil fi’li) maupun potensial (bil quwwah).

Erti ini pada umumnya diungkapkan dalam bentuk sifat salbiyah sebagaimana telah kami sentuh pada pelajaran sepuluh. Sebab, fikiran kita lebih akrab  dengan konsep pembahagian dan sekaligus lawannya, yakni menafikan pembahagian, dari pada konsep basith (sederhana).

 

Ketiga: Penafian terhadap Perbezaan Sifat daripada Dzat 

Istilah ketiga bererti keyakinan bahawa sifat-sifat dzatiyah itu adalah dzat Allah itu sendiri dan menafikan sifat-sifat yang berbeza dengan dzat-Nya. Istilah ini dinamakan dengan “Tauhid Sifati”. Dalam riwayat disebutkan dengan ungkapan “Menafikan  Sifat-sifat” sebagai lawan daripada pandangan sebahagian madzhab (misalnya Asy’ariyyah) yang meyakini bahawa sifat-sifat Allah itu adalah berbeza dengan dzat-Nya. Mereka meyakini “Al-Qudama’ Ats-Tsamaniyah”  (lapan sifat asli).

Dalil atas Tauhid Sifati adalah: seandainya masing-masing sifat Allah adalah realiti yang mandiri, persoalannya tidak keluar daripada beberapa hal berikut: Pertama: kita mengandaikan bahawa realiti sifat-sifat itu berada di dalam dzat Allah. Andaian seperti ini melazimkan tersusunnya dzat Allah daripada bahagian-bahagian. Padahal, sebelumnya telah kami jelaskan kemustahilan hal ini.

Kedua: kita mengandaikan bahawa realiti sifat Allah berada di luar dzat-Nya. Di sini, kita boleh andaikan sifat ini dalam dua hal: ia sebagai wajibul wujud yang tidak perlu kepada pencipta, atau sebagai mumkinul wujud yang diciptakan oleh Allah swt.

Bila kita ambil yang pertama, bahawa realiti sifat-sifat Allah adalah wajibul wujud, bererti bahawa dzat Allah itu berbilang; suatu corak keyakinan syirik yang nyata, dan saya tidak menduga ada seorang muslim yang berpandangan sedemikian. Atau kita andaikan realitinya sebagai mumkinul wujud, ini justru melazimkan bahawa dzat Ilahi –dalam keadaan tidak memiliki sifat-sifat ini –menciptakan sifat-sifat tersebut kemudian Dia menyandangkan sifat-sifat yang dibuatnya itu.

Contohnya, secara dzati, dzat Allah tidak memiliki sifat hayat (hidup), kemudian Dia menciptakan sesuatu maujud yang dinamakan hayat (hidup), setelah itu barulah Dia tersifat dengan sifat hayat ini.  Begitu juga dengan sifat Ilmu, kuasa dan lainnya. Padahal, mustahil apabila sebab pengada itu secara dzati tidak memiliki kesempurnaan yang ada pada makhluk-Nya.  Lebih ganjil lagi, jika kita meyakini bahawa Pencipta itu memperolehi sifat hidup, ilmu, dan kuasa daripada makhluk-makhluk-Nya, lalu Dia disifatkan dengan seluruh sifat kesempurnaan berkat makhluk-nya tersebut.

Dengan gugurnya andaian-andaian di atas, nampak jelas bahawa masing-masing sifat Ilahi itu bukanlah realiti yang mandiri dan terpisah daripada dzat-Nya. Pada hakikatnya, semua sifat itu merupakan konsep-konsep yang dicerap oleh akal dari satu realiti yang sederhana (basith), iaitu dzat Allah Yang Suci.

 

Keempat: Tauhid Tindakan.

Istilah keempat yang berkembang di kalangan ahli falsafah dan teologi ini menyatakan bahawa Allah swt. dalam segala tindakan-Nya tidak perlu kepada apa pun, dan tidak mungkin ada satu maujud pun yang memberikan bantuan kepada-Nya dalam segala tindakan-Nya.

Tauhid ini dapat kita buktikan melalui sifat khas sebab pengada, iaitu qayyumiyyah, ketika dikaitkan dengan seluruh akibat-Nya. Yakni, akibat yang terwujud dari sebab seperti ini bergantung mutlak kepadanya. Dalam Falsafah, akibat ini bermakna bahawa sejatinya ia (bukan dzat yang bergantung, tetapi) relasi ketergantungan itu sendiri kepada sebabnya; ia tidak memiliki kemandirian sedikit pun.

Dengan kata lain, segenap yang dimiliki oleh akibat hanyalah berian daripada Sebab Pengada (Allah), tunduk di bawah kekuasaan cipta dan kepemilikan-Nya yang hakiki. Adapun kekuasaan dan kepemilikan selain Allah adalah kesinambungan daripada kekuasaan-Nya.

Dua bentuk kekuasaan ini tidaklah berlanggaran antara satu sama lain, layaknya kepemilikan harta yang diperolehi oleh seorang hamba melalui usaha. Harta itu merupakan kesinambungan daripada apa yang dimiliki majikannya. Jika diri hamba dan apa yang dimilikinya adalah milik majikannya, bagaimana mungkin Allah memerlukan bantuan kepada selain-Nya yang seluruh wujud dan urusannya bergantung kepada-Nya?

 

Kelima: Pengaruh Mandiri

Istilah Tauhid yang kelima ini bererti kemandirian dalam memberi pengaruh, yakni seluruh makhluk dalam segala tindakannya tidak mungkin tidak perlu kepada Allah, bahawa segala bentuk interaksi pengaruh di antara makhluk berlangsung hanya kerana izin Allah dan di bawah kekuasaan yang dianugerahkan kepada mereka.  Pada hakikatnya, dzat yang kuasa -secara mandiri dan tanpa perlu kepada selainnya– memberi pengaruh pada sesuatu dan dalam setiap keadaan hanyalah Allah Yang Maha Suci. Ada pun seluruh tindakan dan pengaruh selain Allah adalah berkesinambungan daripada tindakan dan pengaruh-Nya, berada di bawah kekuasaan-Nya.

Atas dasar inilah Al-Quran menisbahkan segenap pengaruh pelaku dan sebab natural ataupun nonnatural (seperti malaikat, jin dan manusia) kepada Allah swt. Misalnya, Al-Qur’an menisbahkan turunnya hujan, tumbuhnya tumbuh-tumbuhan dan berbuahnya pepohonan kepada Allah swt. Banyak ayat yang mendesak manusia agar mencermati penisbahan ini, dan merenungkan hubungan antara pengaruh Tuhan dan pengaruh sebab-sebab selain-Nya.

Sebagai pendekatan, kami ajukan sebuah ilustrasi: iaitu seorang pengawai melakukan suatu tindakan yang diperintahkan oleh atasannya. Tentu, tindakan itu dinisbahkan kepada atasan tersebut, meski pada saat yang sama dilakukan oleh pegawainya. Bahkan dalam pandangan umum manusia, penisbahan tindakan pegawai itu kepada atasannya lebih tepat.

Pelaku dalam tata cipta juga memiliki rangkaian berantai. Yakni, mengingat bahawa wujud setiap pelaku itu bergantung kepada kehendak Allah, contohnya bergantungnya wujud bayangan di benak kepada epunya diri (malah bagi Allahlah misal yang lebih agung), maka pengaruh-pengaruh sebab-akibat yang muncul daripada setiap pelaku dan pemberi pengaruh –pada rantaian tertingginya– bergantung dan bernisbah kepada izin dan kehendak Allah swt. (La Haula wa la Quwwata illa bil-Lahil Aliyyil Adhim; tiada daya dan kekuatan kecuali kerana Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung).

 

Dua Kesan Penting

Kesan pertama daripada Tauhid Tindakan ialah  manusia hendaklah tidak memandang siapa pun dan apa pun yang berhak disembah selain Allah swt. Seperti yang telah kami isyaratkan sebelumnya, bahawa apa pun selain Pencipta dan Pengatur makhluk tidak berhak disembah, yakni Uluhiyyah berkaitan erat dengan Khaliqiyah dan Rububiyah.

Kesan kedua daripada Tauhid dengan makna terakhir ialah manusia –dalam segala keadaannya– harus bersandar dan bertawakal kepada Allah, serta memohon pertolongan daripada-Nya dalam segala upaya. Hendaklah dia tidak meminta bantuan kecuali kepada-Nya, tidak mengharap atau merasa cemas kecuali kepada-Nya dan dengan-Nya; sehingga seandainya sebab-sebab yang biasa tidak memenuhi keperluan dan keinginannya, maka dia tidak mengalami rasa putus asa dan kecewa, kerana Allah mampu memenuhi keperluannya  melalui jalur-jalur dan sebab-sebab yang tidak biasa.  Keadaan orang seperti ini sungguh berada di bawah naungan kekuasaan khusus Allah, sehingga ia hidup dalam jiwa yang tenang yang tidak ada bandingannya. Allah swt. berfirman:

“Ketahuilah, sesungguhnya awliya Allah itu tidak pernah merasa kuatir dan bersedih hati”. (Qs. Yunus:62).

Dua kesan di atas terkandung di dalam ayat yang sering dibaca oleh setiap muslim, minimum sepuluh kali dalam sehari:

“Hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami mohon perlindungan” (Qs. Al-Fatihah: 5).

 

Suatu Keraguan

Di sini, barangkali terdetik suatu keraguan. Iaitu, kalaulah tauhid yang sempurna itu melazimkan agar manusia tidak lagi memohon pertolongan kepada selain Allah, maka bertawassul kepada para wali Allah adalah perbuatan yang tidak benar.

Jawapan: jika dimaksudkan dari tawassul itu ialah pengakuan terhadap kekuasaan para wali untuk menolong pelaku tawassul secara mandiri dan lepas daripada izin Allah, tawassul yang seperti ini tidaklah sesuai dengan Tauhid. Adapun tawassul dalam pengertian bahawa Allahlah yang menjadikan para wali-Nya itu sebagai wasilah untuk mencapai rahmat-Nya, dan Dia pun memerintahkan tawassul melalui mereka, tawassul seperti ini -di samping tidak menafikan Tauhid- justru sebuah manifestasi Tauhid dalam ibadah dan ketaatan, kerana tawassul ini dilakukan atas perintah Allah swt.

Adapun mengapa Allah swt. menetapkan wasilah-wasilah ini? Dan mengapa Dia memerintahkan manusia bertawassul kepada para wali-Nya?, perintah dan ketetapan Ilahi ini memiliki hikmah dan maslahat sebagaimana di bawah ini:

  1. Memperkenalkan darjat yang tinggi yang telah dicapai oleh hamba-hamba-Nya yang soleh.
  2. Mendorong mereka kepada ibadah dan ketaatan yang dapat mengantarkannya kepada darjat yang tinggi itu.
  3. Mencegah mereka daripada memandang dirinya unggul dan merendahkan orang lain kerana merasa paling benar ibadahnya, merasa bahawa dirinya telah mencapai darjat tertinggi dan kesempurnaan insani yang teragung. Sangat disayangi bahawa hal seperti ini menimpa mereka yang terhalangi daripada nikmat wilayah Ahlul Bait a.s. dan tawassul kepada mereka.[]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *