Kazhm al-Ghaizh (Mengawal Kemarahan)

Kazhm al-Ghaizh (bahasa Arab: کظم الغیظ) ertinya mengendalikan amarah yang merupakan salah satu daripada keutamaan akhlak. Dalam ayat 134 surah Aali Imran menyebut bahawa mengendalikan amarah adalah salah satu daripada keperibadian orang-orang baik. Demikian pula dalam riwayat disebutkan bahawa mengendalikan amarah mampu menjauhkan diri seseorang daripada azab Ilahi dan dapat menghadirkan keridhaan Allah swt. Para ulama Akhlak membahaskan mengenai sifat-sifat amarah dan menyampaikan tips-tips praktikal untuk mengawal kemarahan.

Imam ketujuh Syiah disebabkan kemampuannya mengendalikan amarah dikenali dengan gelaran al-Kazhim.

 

Defenisi

Al-Ghaizh adalah amarah terbesar, iaitu keadaan di mana ketika darah telah mendidih hingga membakar hati. [1] Erti kazhm adalah menahan nafas. Ada pun kazhm al-ghaizh adalah satu istilah dalam ilmu akhlak yang bererti mengawal amarah serta tidak meluapkannya.[2] Orang yang selalu mengawal amarahnya disebut kazhim. Istilah tersebut sangat hampir dengan akhlak mulia lainnya seperti al-Hilm dan al-‘Afw (sifat memaafkan yang sudah menjadi satu keperibadian). Dalam sebahagian riwayat istilah hilm dimaknai dengan kazhm al-ghaizh dan kemampuan mengawal nafsu.

 

Ayat dan Riwayat

Dalam surah Aali Imran ayat 134 disebutkan kazhm al-ghaizh merupakan salah satu ciri orang-orang yang berbuat kebajikan:

 

الَّذِینَ یُنفِقُونَ فِی السَّرَّاء وَ الضَّرَّاء وَ الْکَاظِمِینَ الْغَیْظَ وَ الْعَافِینَ عَنِ النَّاسِ وَ اللّهُ یُحِبُّ الْمُحْسِنِینَ

 

“(iaitu) orang-orang yang menginfakkan (hartanya), baik di waktu lapang mau pun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” [3]

 

Dalam riwayat disebutkan, menundukkan amarah merupakan akhlak mulia yang sangat ditekankan oleh para manusia suci. Al-Kulaini dalam kitab al-Kafi pada kajian “iman dan kufur” memaparkan 13 riwayat yang membahaskan tentang kazhm al-ghaizh. [4] Pembahasan ini juga terdapat dalam Doa Makarim al-Akhlak pada kitab Sahifah Sajjadiah. [5]Dalam banyak riwayat disebutkan, di antara pengaruh kazhm al-ghaizh adalah memhasilkan kemuliaan, menyelamatkan diri daripada azab, dan turunnya ridha Allah swt. [6] Diriwayatkan daripada Rasulullah saww: “Barang siapa yang mengawal amarahnya, Allah akan melindunginya daripada azab.” [7]

 

Cara Mengawal Amarah

Dalam referensi-referensi pelajaran akhlak, kazhm al-ghaizh dikaji pada bab akhlak-akhlak buruk bahagian sifat amarah. [8]Para ulama akhlak memaparkan beberapa cara mengawal amarah.[9] Faiz Kasyani dalam kitab al-Mahajjah al-Baidha menjelaskan cara-cara ilmiah dan praktikal dalam mengawal amarah. Menurutnya, cara ilmiah mengawal amarah adalah dengan merenungi riwayat-riwayat yang menerangkan tentang keutamaan kazhm al-ghaizh, sifat hilm dan ‘afw (memaafkan), melihat kepada pahala yang akan diterima hasil daripada mengawal amarah sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat, mengingat kuasa dan murka Allah, membayangkan raut muka tidak cantik saat marah, dan mempertimbangkan munculnya rasa dendam.

 

Ada pun cara praktikalnya adalah dengan isti’adzah (mohon perlindungan kepada Allah) dan mengubah kedudukan. Saat seseorang sedang marah, pertama yang harus dilakukan adalah isti’’dzah. Jika tidak berkesan, apabila marahnya dalam kedudukan berdiri, maka ubahlah ke kedudukan duduk. Bila sedang duduk dia harus bersandar atau berbaring. Dalam sebahagian riwayat digambarkan, amarah itu seperti api. Api dapat dipadamkan dengan air. Kerana orang yang sedang marah hendaklah dia segera berwudhu. [10] Riwayat lain daripada Rasulullah saww juga menerangkan, barang siapa yang diserang amarah hendaklah dia menempelkan wajahnya ke tanah. Waram bin Abi Faras menjelaskan, maksud Nabi saaw adalah bersujud supaya orang yang marah merasa rendah hati dan lenyap amarahnya. [11]

 

Imam Musa al-Kazhim dan Kazhm al-Ghaizh

Imam ketujuh, Musa bin Jaa`far as, dijuluki dengan nama al-Kazhim kerana ia selalu mengawal amarahnya. [12] Dalam banyak referensi disebutkan, Imam Musa al-Kazhim as selalu berhasil menundukkan amarahnya terhadap para musuh dan orang-orang yang berlaku buruk padanya.[13]

 

Contohnya, dikisahkan pernah ada salah seorang keturunan Umar bin Khattab yang menghina Imam Ali as di hadapan Imam Musa al-Kazhim as. Setelah mengetahui hal itu sahabat-sahabat imam ingin segera memukulnya, namun beliau as mencegah mereka. Imam Kazhim as lalu pergi ke ladang lelaki tersebut. Melihat kedatangan imam dia terus menjerit-jerit supaya tanamannya tidak dirosakkan. Imam Kazhim as mendekatinya dan dengan wajah sangat ramah imam bertanya, “Berapa kos yang kau keluarkan untuk tanamanmu ini?”. “100 dinar,” jawabnya. Imam lanjut bertanya, “berapa yang akan kau hasilkan nanti?”. “Tidak tahu,” jawabnya. Imam kembali bertanya, “Kau mengharap dapat menghasilkan berapa?” “200 dinar!” jawabnya. Imam al-Kazhim as lalu memberinya 300 dinar dan berkata kepadanya, “Ini 300 dinar untukmu, tanamannya juga biar untukmu.” Setelah itu imam menuju ke masjid. Melihat hal itu, lelaki tadi pun pergi ke masjid mendahului imam. Saat melihat kedatangan imam dia terus berdiri dan dengan suara lantang membaca ayat Al-Quran yang berbunyi:

 

اللَّه أَعْلَمُ حَيْثُ يَجْعَلُ رِسَالَتَهُ

 

“Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan-Nya.” (Qs. al-An’am: 124). [14]

 

Catatan Kaki

1.Ragib Isfahani, Mufradat, hlm. 619

2.Ragib Isfahani, Mufradat, hlm. 712

3.Qs. Ali Imran: 134

4.Kulaini, al-Kafi, jld. 2, hlm. 109-111

5.Shahifah Sajjadiyah, doa ke-20

6.Kulaini, al-Kafi, jld. 2, hlm. 109-111

7.Faidh Kasyani, al-Mahajjah al-Baidha, Muassasah al-Nasyr al-Islami, jld. 5, hljm. 306-307

8.Waram, Majmu’ah Waram, jld. 1, hlm. 123-124

9.Faidh Kasyani, al-Mahajjah al-Baidha, Muassasah al-Nasyr al-Islami, jld. 5, hlm. 306-307

10.Faidh Kasyani, al-Mahajjah al-Baidha, Muassasah al-Nasyr al-Islami, jld. 5, hlm. 306-307

11.Waram, Majmu’ah Waram, jld. 1, hlm. 124

12.Ibnu Atsir, al-Kamil, jld. 6, hlm. 164; Ibnu Jauzi, Tadzkirah al-Khawash, hlm. 312

13.Mufid, al-Irsyad, jld. 2, hlm. 233; Qarasyi, Hayatul Imam Musa bin Ja’far, jld. 2, hlm. 160-162

14.Bagdadi, Tarikh Bagdad, jld. 13, hlm. 30

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *