Sahibuz Zaman (ajf)

Siri Mahdawiyah

Sahibuz Zaman adalah panggilan Imam Al Mahdi AJF yang paling terkenal. Pemilik sebenar alam semesta adalah Allah SWT. Di bawah Pemilikan Allah dan izinNya, alam ini memiliki Khalifah yang Allah pilih untuk menjadi Khalifah atas segala ciptaan Allah SWT. Khalifah Allah ini adalah para Aulia Allah dan puncak dari mereka adalah Rasulullah SAAW dan para Aimmah as. Mereka adalah pemilik dan penguasa langit dan bumi serta seisinya. Segala pergerakan dan peredaran waktu berada di bawah wilayah mereka. Sebagai Khalifah Allah, setiap sesuatu berada di bawah penguasaan mereka. Abu Basir bertanya kepada Imam Jaffar As Sadiq as ‘Apakah Imam juga wajib mengeluarkan zakat?’. Imam menjawab: wahai Abu Basir, jangan bicara sesuatu mustahil dan tidak mungkin. Apakah kau tidak mengetahui bahawa dunia dan akhirat itu milik Imam? Di mana sahaja mereka inginkan mereka akan datangi dan kepada sesiapa sahaja yang mereka inginkan akan mereka berikan .

Para Imam jika menginginkan, mampu sahaja untuk melintasi waktu dan mengembalikan gerakan cakrawala. Allah SWT mencipta dunia dan galaksi dengan segala ketelitiannya disebabkan keberkataan kewujudan 14 manusia suci dan menjadikan asas kepada penciptaan.
Para Imam adalah rahsia penciptaan. Mereka adalah pemilik dan wali tanpa syarat langit dan bumi. Ciptaan galaksi dengan berbilion bintang-bintang tunduk kepada mereka. Maka dengan itu mereka mampu dan bebas menguasai penciptaan. Mereka tidak dibatasi dan dikalahkan dengan waktu dan tempat. Bila sahaja mereka mahukan, mereka mampu keluar dari undang-undang tabiat (waktu dan tempat) dan mengubahnya.

Rasulullah SAAW beberapa kali mengundurkan gerakan matahari dan waktu berulang sekali lagi serta beberapa kali Baginda membelah bulan. Peristiwa ini di dalam riwayat disebutkan sebagai ‘Radd As Syam dan Saqq Al Qamar’. Antara peristiwa terbesar adalah Isra dan Mehraj Baginda yang berlaku dalam satu malam. Sedangkan perjalanan tersebut secara zahir memerlukan waktu yang panjang.
Asif bin Bakhiar, wazir Nabi Sulaiman as mampu menghadirkan mahligai Balqis dalam waktu sekelip mata.
Salam Al Farsi berkata: Aku, Imam Hassan as dan Imam Hussin as duduk di hadapan Amirul Mukminin, Imam Hassan as bertanya: wahai Amirul Mukminin, Sulaiman putera Daud berdoa kepada Allah supaya dia berikan kerajaan yang tidak ada siapapun selepasnya dapat menandinginya dan Allah memperkenankan doanya. Apakah kamu memiliki sesuatu seperti kerajaan itu? Imam menjawab: Demi Tuhan yang mengeluarkan tumbuhan dari benih dan yang mencipta kehidupan, Sulaiman berdoa kepada Allah SWT untuk memberikannya kerajaan dan Allah memberikannya, namun ayahmu memiliki sesuatu yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun sebelum dan dan selepas kecuali datukmu Rasulullah SAAW .

Sahibuz Zaman adalah Khalifah Allah dan Rasulullah yang terakhir. Dia adalah Raja dan pemerintah mutlak petala langit dan bumi serta apa yang ada di dalamnya. Cakrawala dan waktu tunduk di bawah arahannya. Tidak bergerak cakrawala dan tidak berjalan waktu kecuali dengan iradah dan keinginannya. Oleh sebab itu Imam Al Mahdi AJF dipanggil dengan nama Sahibuz zaman.
Allamah Majlisi ra di dalam salah satu ziarahnya bersaksi atas Imamah Imam Al Mahdi dengan berkata : و الحجة بن الحسن صاحب العصر و الزمان، وصی الانبیاء

Imam Hassan Al Askari ketika berada diperbaringan pada waktu penghujung kehidupannya yang suci, berkata kepada puteranya, Al Mahdi :
یا بنی! فأنت صاحب الزمان و أنت المهدی و انت حجة الله فی أرضه

Dalam menjawab soalan Muhammad Al Haimari, Imam Jaffar As Sadiq as berkata: Para Imam pemberi pentujuk berjumlah 12 orang, pertamanya adalah Amirul Mukminin dan terakhirnya adalah:

القائم بالحق، بقیه الله فی أرضه، صاحب الزمان و خلیفة الرحمن، لو بقی فی غیبته ما بقی نوح فی قومه، لم یخرج من الدنیا حتی یظهر فیملأ الارض قسطا و عدلا

Yang berdiri dengan kebenaran, Baqiyatullah di atas bumi, Sahibuz Zaman, Khalifatur Rahman, jika ghaibnya seumpama panjangnya waktu kehadiran Nuh dikalangan kaumnya, dia tidak akan meninggalkan dunia kecuali setelah zuhur dan memenuhi dunia dengan keadilan .

Rasulullah SAAW bersabda: Puteraku Al Mahdi, namanya sama dengan namaku, panggilnya sama dengan panggilanku, gelarannya Al Mahdi, dia adalah Al Hujjah, yang ditunggu dia Sahibuz Zaman .

Sahibuz Zaman, sebagaimana Datuknya Rasulullah dan ayah-ayahnya suci adalah pemiliki wilayah dan penguasaan terhadap seluruh ciptaan. Dia juga mampu merubah dan menguasai ciptaan. Waktu dan tempat berada di bawah pemerintahannya. Iradahnya memiliki pengaruh, kata-katanya ditaati, matanya seperti Ibrahim as yang mampu menebus alam mulk, malakut dan jabarut. Tidak ada terselindung darinya walau terpisah tempat dan waktu. Tidak ada yang tersembunyi darinya walau sekecil atom.

یا صاحب الزمان عجل علی ظهورک

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *