Sirah Akhlak Maksumin [Zuhud dan Kehidupan sederhana]

Sirah Akhlak Maksumin a.s.

Bahagian Pertama

Akhlak Individu

Bab kelapan: Zuhud dan Kehidupan sederhana

Kehidupan para maksumin penuh dengan kesederhanaan. Mereka sentiasa mengelak kehidupan yang glamor, mengejar kekayaan dan materialistik. Mereka mengunakan kurniaan dunia sekadar yang diperlukan. Mereka juga memastikan untuk membatasi keperluan hidup. Namun ini semua tidak menghalang mereka untuk berusaha dalam mencari rezeki yang halal. Oleh kerana itu, para maksumin, seperti manusia yang lain melakukan kerja pertanian, menternak dan berniaga. Hasil dari usaha mereka, mereka gunakan di jalan yang diridhai oleh Allah.

Mereka sama sekali tidak terikat dengan hasil dunia. Hal ini mereka jelmakan dalam maknawi dan amalan mereka. Dari sudut maknawi, mereka mengetahui bahawa dunia bukan teman yang setia dan isinya tidak kekal dan bakal sirna. Cepat atau lambat, manusia akan meninggalkannya atau ditinggalkan oleh dunia. Adalah suatu yang tidak masuk akal jika ada manusia yang mengikat dirinya dengan dunia dan seluruh hidupnya diperjuangkan untuk dunia.

Dari sini dapat kita fahami bahawa asas yang paling utama dari zuhud adalah pemikiran yang benar. Boleh dikatakan bahawa mereka yang memiliki pemikiran yang benar adalah orang zuhud yang benar. Imam Ali a.s. berkata:

احزمکم ازهدکم

Yang paling berfikir jauh adalah yang paling zuhud. (Syarah Ghurar Al Hikam, J 2, ms 366)

Beliau juga berkata bahawa seluruh makna zuhud terkandung di dalam dua ayat Al Quran:

لِكَيْلَا تَأْسَوْا عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا بِمَا آتَاكُمْ ۗوَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Supaya kalian jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kalian, dan supaya kalian jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kalian. (Al Hadid, 23)

Zuhud maknawi membina zuhud amalan. Seseorang yang ingin diri tetap pada nilai yang hakiki perlu memiliki kemampuan berfikir yang benar tentang dunia. Di lapangan amalan, pemikiran ini pastinya memberi kesan. Seluruh tenaga manusia ditumpukan untuk membentuk kesempurnaan dan menjangkui batas dunia yang fana ini. Syarat untuk mencapai maqam ini adalah melepaskan tangan dari dunia. Dalam hal ini Imam Ali berkata:

انکم ان زهدتم خلصتم من شقاء الدنیا و فزتم بدار البقاء

Sesungguhnya jika kalian zuhud maka kalian akan selamat dari keburukan dunia dan kalian akan berjaya di rumah keabadian. (Syarah Ghurar Al Hikam, J 3, ms 67)

Zuhud: Syarat Kepimpinan

Para pemimpin Ilahi adalah mereka yang memiliki kesempurnaan dalam pemikiran. Oleh kerana itu mereka sama sekali tidak akan terikat dengan dunia. Tidak ada yang melalaikan mereka dari mencapai kesempurnaan maknawi. Malah tidak ada yang akan membuat mereka menukar keabadian ukhrawi dengan kenikmatan dunia. Mereka sama sekali tidak akan menjual akhirat mereka dengan harga dunia. Rasulullah S.A.A.W. bersabda:

الرکعتان فی جوف اللیل احب الی من الدنیا و ما فیها

Dua rakaat pada tengah malam lebih aku cintai dari dunia dan seisinya. (Wasail Asy Syiah, J 8, ms 156)

Solat adalah mi’raj rohani dan wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Para pendiri solat yang hakiki akan merasai ‘hal’ rohani dan kenikmatan kedekatan kepada yang dicintai. Hal ini adalah suatu yang tidak mampu difahami dan disifatkan. Sememangnya solat yang merupakan wasilah untuk taqarub suatu yang amat berat.

Antara tanda zuhud para maksumin adalah apa yang telah mereka sampaikan kepada manusia seluruhnya. Telah mereka jelaskan bahawa dunia adalah tempat persinggahan dan manusia hanya melaluinya untuk menuju ke rumah yang abadi.
Imam Jaffar As Sadiq berkata:
Ada seorang yang datang mengadap Rasulullah. Ia dapati alas duduk Baginda dibuat dari dedaun kurma dan pakaian Baginda dibuat dari kain yang kasar. Ia berkata: Para Kaisar dan Maharaja tidak akan hidup sedemikian. Pembaringan mereka dibuat dari sutera yang halus, sedangkan alas rumahmu dibuat dari dedaun kurma.
Baginda bersabda: Demi Allah, aku lebih baik dan lebih mulia dari mereka. Tetapi apa urusanku dengan dunia? Kisah dunia adalah kisah pengembara yang duduk sebentar beristirehat di bawah bayang-bayang pohon. Setelah itu pengembara akan meneruskan perjalanannya ke distinasi lain dan meninggalkan pohon dan bayang-bayangnya. (Bihar Al Anwar, J 16, ms 239)

Para maksumin memiliki tugas untuk memimpin dan memberi hidayah kepada manusia. Tugas ini juga menghalang mereka untuk hidup bersenang lenang. Nabi Nuh a.s. berkata:
Ya Allah, siang dan malam aku mengajak manusia kepadaMu. Namun ajakanku malah membuat mereka lari dari kebenaran. (Nuh, 5-6)

Rasulullah S.A.A.W. bersabda:
Wahai Ali! Allah telah menganugerahkanmu perhiasan yang tidak Dia berikan kepada siapa pun. Perhiasan itu adalah zuhud kepada dunia. Hal ini akan menyebabkan kau tidak akan mendapatkan apapun dari dunia dan dunia juga tidak mendapatkan apapun darimu. Allah menganugerahkan kecintaan orang-orang yang celik. Mereka berpegang kepada Imamahmu. Kau akan gembira dengan kemenangan mereka. (Bihar Al Anwar, J 39, ms 297)

 

Tampakan dari kezuhudan para Maksumin

Al Quran menyebutkan tentang akhlak Baginda Rasulullah:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Sesungguhnya kau memiliki akhlak yang amat mulia. (Al Qalam, 4)

Bagaimana seorang yang memiliki kemuliaan sedemikian boleh mengikat dirinya dengan dunia?. Sedangkan Allah S.W.T. menganggap dunia dan seisinya tidak berharga:

قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ

Katakanlah harta dunia itu amat sedikit..(An Nisa, 77)

Tentang kezuhudan Baginda, Amirul Mukminin a.s. berkata:
Beliau mengambil (bagian) yang paling sedikit dari dunia ini, dan tidak mengambil berlebihan darinya. Dari semua manusia dunia, beliau adalah yang paling kurang kenyang dan yang paling kosong perutnya. Dunia ditawarkan kepada beliau, tetapi beliau menolak menerimanya. Bilamana beliau mengetahui bahwa Allah Yang Mahasuci membenci sesuatu, beliau pun membencinya; bila Allah memandang kecil sesuatu, beliau pun memandangnya kecil. Apabila kita mencintai apa yang dibenci Allah dan RasulNya, dan menganggap besar apa yang dipandang kecil oleh Allah dan Rasul-Nya, itu akan cukup merupakan menafikan Allah dan melanggar perintah-peritahNya.
Baginda biasa makan di tanah, dan duduk seperti seorang hamba. Baginda memperbaiki sepatunya dan menambal bajunya dengan tangannya. Baginda menunggang keldai tanpa pelana dan biasa mendudukkan orang lain di belakang beliau. Apabila ada suatu tirai di pintunya dengan gambar-gambar, beliau akan berkata kepada salah seorang istri beliau, “Hai fulanah, keluarkanlah itu dari pemandanganku apabila aku melihatnya akan mengingatkanku kepada dunia ini dan godaannya”. (Nahjul Balagh, khutbah 159)

Ahlu Bait Rasulullah juga memiliki kezuhudan yang tinggi. Tidak ada seorang pun dari mereka yang mengikat diri mereka kepada dunia. Seluruh kehidupan mereka penuh dengan kesederhanaan. Tentang Amirul Mukminin, Imam Muhammad Al Baqir berkata:
Imam Ali memerintah selama lima tahun, dan beliau sama sekali tidak membina tembok untuk dirinya dari yang lain. Beliau tidak memerintah dengan kezaliman dan paksaan. (Bihar Al Anwar, J 40, ms 322)

Pada suatu hari Fatimah Az Zahra a.s. mendatangi Rasulullah S.A.A.W. Beliau mengenakan cadur usang yang kelihatan jahitan untuk menyambung bahagian yang koyak. Melihat cadur tersebut, Salman Farsi menangis. Beliau berkata: amat memilukan tatakala para Maharaja di dunia mengenakan pakaian diperbuat dari sutera, sedangkan puteri Rasulullah hanya mengenakan pakaian yang usang. Mendengar itu, Fatimah Az Zahra berkata: wahai ayah, Salman berduka kerana pakaianku. Demi Allah, selama lima tahun ini, kami tidur beralaskan kulit kambing yang kami taburkan rumput di atasnya. Batal kami pula dalamnya diisi dengan dedaun kurma. (Bihar Al Anwar, J 8, ms 303)

Suffian At Thauri berkata: Suatu hari aku mendatangi rumah Imam Jaffar As Sadiq. Aku dapatinya memakai pakaian yang megah. Aku hairan dengan pakaiannya dan aku berkata ‘Wahai putera Rasulullah, sepertinya pakaian seperti ini bukan kebiasaan keluargamu’. Imam berkata ‘zaman yang lepas adalah zaman kesusahan dan penuh kesulitan. Namun zaman ini, zaman kelapangan’. Setelah itu Imam menanggalkan jubahnya. Aku melihat disebalik pakaian yang megah ada pakaian yang usang dan tidak berharga. Imam berkata ‘pakaian ini aku pakai untuk kamu dan pakaian usang ini aku pakai kerana Allah. (Bihar Al Anwar, J 47, ms 221)

Para maksumin sentiasa hidup sebagaimana keadaan masyarakat sekeliling mereka hidup. Dengan ini mereka tidak akan kelihatan berbeza dengan yang lain. Namun jiwa kezuhudan mereka dan tunduk mereka kepada Allah tidak pernah berubah.
Pada satu malam, tanpa keizinan, petugas Mutawakil menyerbu masuk ke dalam rumah Imam Al Hadi. Mereka dapati Imam sedang duduk membaca Al Quran. Imam mengenakan pakai berbulu dan duduk di atas pasir. Mereka melaporkan apa yang mereka lihat kepada Mutawakil. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak menjumpai apa pun di dalam rumah Imam. (Bihar Al Anwar, J 50, ms 211)

Bila Imam Al Mahdi A.J. zuhur, beliau akan melaksanakan keadilan dan menentang kefasadan dan kezaliman. Beliau akan memberikan tumpuan kepada kaum fuqarah. Semua manusia akan dapat menikmati keadilan, kesejahteraan, kesenangan dan maknawiyah. Hal ini menyebabkan tidak ada lagi golongan fakir untuk diberikan sedekah. Namun Imam sendiri tidak akan mempedulikan harta kekayaan dan tidak akan membina istana. Beliau akan hidup penuh dengan kezuhudan dan kesederhanaan. Imam Jaffar As Sadiq a.s. berkata:
Imam akan menjadikan masjid Sahlah sebagai rumahnya dan keluarganya sebagaimana Nabi Ibrahim dan Nabi Idris lakukan.

و ما لباسه الا الغلیظ و ما طعامه الا الجشب

Pakaian Al Mahdi hanya pakaian yang kasar dan dia tidak makan kecuali makanan yang biasa. (Mutakhab Al Asar, ms 307)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *