Dasar Mahdawiyah: Falsafah, Kalam dan Irfan

Dasar Mahdawiyah: Falsafah, Kalam dan Irfan

Walaupun kepercayaan kepada Mahdawiyah memiliki akar berasal dari riwayat, namun selain dari para Muhadisin, golongan filosof juga memberikan perhatian khusus terhadap subjek ini. Setiap filosof membahas topik ini berdasarkan bentuk pemikiran falsafah mereka. Namun begitu sebahagian filosof membahasnya secara terperinci seperti Mulla Sadra yang membahasnya di dalam perbahasan Imamah. Ada sebahagian lagi membahasnya secara umum seperti Al Farabi dan Ibnu Sina.

Sahrawardi beranggapan bahawa perbahasan Mahdawiyah adalah bahagian dari keberlangsungan Wilayah. Beliau menegaskan keberadaan dan kedudukan Wilayah serta faedahnya kepada yang lain. Beliau tidak memberikan perbezaan antara Anbia dan Aulia. Untuk itu sebelum memahami maksud keberlangsungan Wilayah, perlu dijelaskan terlebih dahulu pandangan beliau tentang Nubuwah. Beliau menganggap para Anbia dan Aulia sebagai para Hakim – Bijaksanawan Ilahiyah yang memiliki ikatan alam Intelek (Uqul). Maka sebelum membahas Mahdawiyah perlu difahami pandangan beliau dalam bab Nubuwah dan kosmologi.

Sahrawardi mempercayai tingkatan yang berbagai kewujudan. Puncak dari seluruh tingkatan ini adalah Wajibal Wujud – Wujud yang wajib. Istilah yang digunakan oleh Sahrawardi Nurul Anwar. Seluruh kewujudan yang lain mendapatkan anugerah kewujudan dariNya. Yang pertama yang menerima anugerah adalah Nurul Aqrab –Nur Terdekat. Dan anugerah ini berterusan ke rakaian wujud yang lain hingga wujud yang terendah . Beliau berpendapat bahawa anugerah nur dari Nurul Anwar berlaku pada empat tingkatan alam. Tingkat yang pertama adalah alam ‘Uqul – Jabarut. Peringkat kedua adalah alam Anwar Mudabbir – pengatur – Malakut. Peringkat ketiga adalah alam Mulk. Peringkat keempat adalah alam ‘Mithal’, alam perantara antara alam material dan alam ‘Uqul’ . Alam ‘Mithal’ dalam pandangan Nubuwah dan Wilayah Sahrawardi memiliki kedudukan yang khusus. Alam ‘mithal’ adalah alam gambaran yang bergantung yang mana keadaannya tidak sama dengan kewujudan alam material. Alam ini memiliki Jisim yang ‘Latif’ – halus – dan memiliki apa yang dimiliki oleh alam material. Pengalaman maknawi dan rahsia para Anbia menjadi kenyataan melalui alam ini. Kurniaan wahyu hanya boleh ditakwilkan melalui alam ini .

Beliau berpendapat tidak banyak beza antara Nabi, Imam Ilahiyah, Wali dan Qutub. Beliau sering mengunakan makna yang sama untuk mereka. Namun ada satu perkara yang ada pada Nabi yang tidak dimiliki oleh yang lain, iaitu maqam islah makhluk dan menyampaikan risalah. Pada ciri-ciri lain terdapat persamaan antara Nabi dan Imam. Pada pandangan Sahrawardi, Nabi adalah manusia yang telah mencapai kesempurnaan dikalangan kewujudan dan merupakan manusia yang terbaik. Nabi adalah manusia yang telah mencapai maqam akal aktif dan di maqam intelek dia mencapai maqam yakin dengan apa yang difahaminya dan memiliki hubungan dengan non material intelek. Dia juga memiliki akhlak yang saleh dan kemuliaan yang terpuji.

Kenapa kita perlu kepada Nabi?

Sahrawardi berdalil dengan dalil yang digunakan oleh Al Farabi dan Ibnu Sina dalam menjawab soalan ini. Untuk mengangkat keperluan hidupnya, manusia memerlukan kepada yang lain dan kepada kehidupan bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat pula memerlukan kepada undang-undang supaya tidak berlaku kekecohan dan keadilan dapat ditegakkan. Nabi adalah seorang yang memiliki otoriti Ilahi dalam meletakan dan melaksanakan hukum. Nabi juga adalah seorang yang menyampaikan khabar dan peringatan serta menunjukan kepada masyarakat jalan untuk mengenal Allah.

Pada pandangan Sahrawardi Nubuwat adalah suatu yang wajib dan perlu. Wujud seorang insan kamil adalah wajib pada setiap zaman. Di dalam kitab Hikmatul Isyraq, beliau menyebut insan yang sempurna ini sebagai Hakim Muta’la (seorang yang mencapai maqam marifah melalui wahyu yang datang dari Allah). Para pengikut dan pensyarah tulisannya, mengatakan bahawa para Anbia adalah penjaga alam. Sistem dan kesejahteraan alam disebabkan para Anbia. Maka dengan itu, alam ini tidak boleh kosong dari mereka. Jika ini berlaku, sistem alam akan hancur dan manusia binasa. Pada pandangan beliau, kepimpinan Hakim Muta’la tidak semestinya tampak dan hadir, kepimpinan ini boleh sahaja dalam keadaan tersembunyi. Pandangan Sahrawardi dalam hal ini memiliki banyak kesamaan dengan mazhab Syiah .

Mulla Sadra Sebagaimana Sahrawardi, Mulla Sadra juga berpendapat tidak banyak perbezaan antara maqam Nabi dan Imam. Beliau berpandangan bahawa Nabi adalah seorang yang memiliki ilmu tanpa perantaraan dan pemilik ilmu yang agung. Nabi memiliki ikatan dengan akal universal atau akal aktif. Makrifah Ilahiyah dianugerahkan kepadanya melalui jalan ini. Kekuatan khayal Nabi juga telah mencapai tahap kesempurnaan yang kuat hingga ia mampu melihat alam ghaib dan alam khayal dengan mata batinnya walau dalam keadaan sedar, kekuatan amalinya juga mencapai kesempurnaan. kemampuan melakukan mukjizat adalah antara ciri khas seorang Nabi.

Dalam syarahnya ke atas Usul  Kafi, bab اضطرار الی الحجة Mulla Sadra memberikan beberapa muqadimah.

1. Kita ada pencipta yang memiliki kekuatan atas setiap sesuatu.

2. Pencipta ini bukan yang mampu difahami dengan indera dan tidak berbentuk material.

3. Dia adalah pemilik ilmu dan hikmah yang mutlak serta mengetahui apa yang baik untuk ciptaannya.

4. Oleh kerana Allah bukan material, Dia tidak dapat memberi kesannya ke atas alam material tanpa mengunakan perantaraan. Dia semestinya memiliki perantaraan untuk mengatur alam material.

5. Manusia memerlukan kepada seseorang untuk mengatur urusan dunia dan akhiratnya serta mampu mengajar mereka jalan kebahagian.

Keperluan manusia kepada perantara adalah bersifat sentiasa dan tidak hanya terhad kepada zaman yang tertentu sahaja. Maka dengan itu pada setiap zaman Allah akan mengutus Nabi.

Untuk menyelesaikan masalah penutup kenabian dan terputusnya wahyu, Mulla Sadra berkata ‘Jika wahyu bermakna mengajar manusia oleh Allah, sama sekali tidak akan putus. Wahyu yang telah mencapai penutupnya pada diri Rasulullah adalah berhentinya Malaikat pembawa wahyu untuk diri Rasulullah. Nubuwah dari sisi hukum diteruskan oleh para Imam dan para Mujatahid, dan dari sudut intiti Nubuwah berterusan pada diri para Aulia. Sebahagian dari Aulia mendapat langsung pewarisan maqam Nubuwah dari Nabi. Mereka adalah para Imam Maksum yang mana Nubuwah mereka adalah urusan ghaib dan batin.

Beliau juga mengunakan dalil berasas kaedah ‘Imakan Asyraf’. Beliau berkata jika kita menerima bahawa terdapat gradasi – tingkatan dalam kewujudan. Tingkatan ini bermula dari yang paling ‘Asyraf’ – mulia – dan tertinggi hingga ke peringkat yang paling hina dan rendah. Berdasarkan kaedah ini, peringkat Asyraf mendahului ke atas peringkat yang hina. Hubungan ini terbina dengan hukum kausaliti dan sebab akibat. Wujud yang paling hina dan rendah adalah maqam akibat dan bergantung kepada wujud yang asyraf dan tinggi yang merupakan sebab. Oleh kerana itu, insan yang sempurna mendahului kewujudan yang lain dalam tingkatan kewujudan. Maka itu jika pada satu waktu tidak ada Imam (Nabi atau Wali), seluruh alam yang merupakan akibatnya tidak akan ada.

Selain mengunakan dalil-dalil akal, Mulla Sadra juga mengunakan dalil-dalil naql. Beliau membuktikan kewujudan Al Hujjah dengan bersandarkan hadis-hadis yang mutawatir. Pada pandangan beliau, para Anbia memikul Sunnah Ilahi. Sunnah ini berjalan dari Adam hingga Nuh, Hingga keluarga Ibrahim, hingga zaman Rasulullah SAAW. Selepas Baginda, sunnah ini tetap berjalan hingga hari kiamat melalui Wilayah yang mana batinnya adalah Nubuwah. Alam ini tidak akan kosong dari Hujjah. Baik ia ditaati atau tidak, walau ia ada atau tersembunyi. Dalam apa juga keadaan, setiap zaman perlu ada seseorang yang memelihara sunnah ini.

Boleh dikatakan bahawa pandangan Mulla Sadra adalah pandangan Filosof yang paling lengkap bila dibandingkan dengan filosof lain sebelum beliau.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *