Sirah Akhlak Maksumin [Bab I’tidal]

Sirah Akhlak Maksumin a.s.

Bahagian Pertama

Akhlak Individu

Bab kelima: I’tidal –Seimbang

Ekstrem dan pasif tidak bagus untuk apa juga pekerjaan. Malah adakalanya kedua meninggalkan kesan yang merugikan dan membinasakan. Agama dan akal kita juga memerintahkan kita untuk meninggalkan keduanya. I’tidal adalah jalan pertengahan. Dalam banyak urusan ia memberikan faedah dan terpuji.

I’tidal berasal dari kata Adl. Ia memberi makna berlakunya keseimbangan dari kualiti dan kuantiti dalam keadaan sesuatu subjek. Begitu juga malam dan siang, musim bunga dan musim gugur (dengan kadar mereka) dipanggil sebagai I’tidal musim bunga dan gugur. (Aqrabul Mawarid, J 2, ms 753).

Di dalam Al Quran ia dipanggil sebagai قصد و اقتصاد. Allah S.W.T. berfirman di dalam Al Quran:
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ

Sederhanakan cara jalanmu dan elakkan dari bersuara kuat. (Loqman, 19)

إنّ القصد أمر يحبّه الله عزّ وجلّ، وإنّ السرف أمر يبغضه الله عزّ وجلّ

Imam Jaffar As Sadiq berkata: Kerja yang seimbang yang disukai Alah tetapi yang membazir  dibenci Allah. (Bihar Al Anwar, J 69, ms 346)

عَلیكَ بِالْقَصدِ فِی الاُموُرِ فَمَنْ عَدَلَ عَنِ الْقَصدِ‌ جارَ وَ مَنْ اَخَذَ بِهِ عَدَلَ

Amirul Mukminin berkata: Hendaklah kalian memperhatikan keseimbangan dalam segala urusan. Sesiapa yang berpaling dari keseimbangan maka dia telah melakukan kezaliman. Sesiapa yang mengambilnya bererti dia berlaku adil. (Syarah Ghurar Al Hikam, J 4, ms 291)

Contoh dalam I’htidal

Tidak syak lagi bahawa para maksumin adalah contoh yang terbaik dalam semua perbuatan yang baik. Mereka sentiasa menjadi contoh yang sempurna untuk semua manusia. Maka itu semua manusia perlu mempelajari sifat I’tidal dan keseimbangan dari mereka. Di sini kita akan melihat beberapa contoh dari mereka dalam urusan individu dan masyarakat.

Pertama: Individu

Perlu diingat bahawa para maksumin terpelihara dari segala bentuk pemikiran ekstrem dan pasif. Keduanya tidak berlaku dalam seluruh kehidupan mereka. Mereka sentiasa mengambil kiraan neraca yang universal iaitu “keseimbangan antara dunia dan akhirat”. Dengan mengikuti cara Ahlul Bait, maka kehidupan dunia dan akhirat akan bahagia. Untuk mencapai ini, perlu dilaksanakan segala perintah syariat. Hal ini sudah tentu tanpa berlaku sebarang bentuk ekstrem dan pasif.

Imam Musa Al Kazim berkata:

ليس منّا من ترك دنياه لدينه و دينه لدنياه

Bukan dari kami yang meninggalkan dunianya untuk agamanya dan agamanya untuk dunianya. (Tahuful Uqul, Ibnu Syubah, ms 433)

Para maksumin sentiasa menjaga asas garis tengah dalam perbuatan mereka. Di dalam Al Quran difirmankan kepada Rasulullah:

وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا

Jangan terlalu kuat dan jangan terlalu perlahan bacaan solatmu, ikutilah jalan tengah antara keduanya..(Al Isra, 110)

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal. (Al Isra, 29)

Inti dari kedua ayat ini menegaskan kemestian keseimbangan dalam urusan dunia dan ibadah. Seluruh para maksumin amat mengambil perhatian besar tentang hal itu dalam semua urusan kehidupan mereka. Hal ini termasuk ibadah dan ziarah mereka, makanan dan pakaian mereka, tidur dan istirehat mereka, berdagang dan bertani mereka.

Imam Jaffar As Sadiq a.s. berkata: Ketika aku muda, aku mengikuti ayahku melakukan ibadah haji ke Mekah. Sewaktu di sana, aku melaksanakan ibadah dan bertawaf dengan kesungguhan yang luar biasa hingga peluhku berjujuran jatuh. Ayahku berkata kepadaku ‘anakku, jika Allah mencintai seseorang, amalan sedikitnya juga akan diterima, ia akan diberikan ganjaran syurga.

Dalam riwayat yang lain disebutkan, ada orang yang bertanya kepada Imam Jaffar As Sadiq tentang bagaimana untuk membahagikan daging qurban. Imam berkata: Ayahku Abu Jaffar Al Baqir dan ayahnya Imam Ali Zainal Abidin membahagikan qurban kepada tiga bahagian. Pertama, untuk jiran tetangga, kedua, untuk yang memerlukan dan ketiga untuk keluarga mereka.

Para maksumin amat menegaskan tentang keseimbangan ini walau dalam permusuhan dan persahabatan jangan sampai berlaku ekstrem dan pasif.

Dalam hal ini Imam Ali a.s. berkata:
أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا , وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Jangan melampau dalam berbaik dengan sahabatmu, mungkin sahaja satu hari nanti dia bertukar menjadi musuhmu. Jangan melampau dalam dalam membenci musuhmu, mungkin sahaja satu hari nanti dia bertukar menjadi sahabatmu. (Nahjul Balagh, Hikmah 269)

Kedua: I’tidal dalam Kemasyarakatan

Para maksumin juga memiliki tanggungjawab untuk mengwujudkan keseimbangan dalam masyarakat. Mereka juga memiliki tugas untuk melaksanakan keadilan. Asas dari falsafah fungsi keberadaan para maksumin adalah untuk mengajarkan kepada manusia bagaimana untuk teguh dalam bicara dan melaksanakan keadilan. Mereka di arah supaya tidak terkeluar dari jalan yang lurus. Tanggungjawab berat ini dilaksanakan oleh para maksumin melalui kata-kata dan perbuatan mereka.
Hal pertama yang dilakukan oleh meraka adalah mendidik masyarakat untuk berfikir benar dan seimbang. Dengan menyampaikan akidah dan makrifah Ilahi, mereka mengajarkan pemikiran yang seimbang. Dengan ini mereka menjauhkan manusia dari segala bentuk pemikiran yang ekstrem dan pasif dalam akidah. Oleh sebab itu, ajaran mereka adalah sumber makrifah yang penuh dengan hikmah dan keseimbangan pemikiran selepas Al Quran Al Karim. Amirul Mukminin a.s. berkata:

الیمین و الشمال مضلّة و الطریق الوسطی هی الجادّ

Kanan dan kiri menyesatkan, jalan yang tengah adalah jalan kehidupan. (Nahjul Balagh, khutbah 16)

Para maksumin adalah mereka yang sentiasa berada di jalan yang lurus. Disebutkan bahawa Baginda Rasulullah ketika membaca ayat ان هذا صراطی مستقیما..‘sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus…’(Al Maidah, 153),

Baginda melukis garisan lurus di atas tanah, dan melukis garisan berbengkok lain di sisinya dan bersabda: garis yang lurus ini adalah jalan Tauhid dan jalan seluruh Anbia dan pengikut mereka. Garisan yang berbengkok adalah jalan kesesatan. (Ilmi Yakin fi Usul Ad Din, Fidhul Kashani, J 2, ms 967)

Imam Khomeini q.s. berkata:

I’tidal yang hakiki adalah milik insan yang sempurna. Dari awal perjalanan hingga puncak akhir tujuan tidak akan berlaku penyimpangan dan pesongan. Hal ini tidak mampu dilakukan oleh orang lain. Ini adalah makna sepenuhnya jalan Ahmadi dan jalan Muhammadi. (Syarah Hadis Junud Akl wa Jahl, ms 152, 153)

Pemikiran dan perbuatan yang seimbang perlu merangkumi seluruh kehidupan. Seluruh pemikiran para maksumin berasaskan kesempurnaan, keseimbangan dan keadilan. Oleh kerana itu seluruh perbuatan individu dan masyarakat mereka juga berasaskan kesempurnaan, keseimbangan dan keadilan. Justeru itu mereka adalah yang paling layak untuk memimpin dan memerintah. Tidak ada siapa pun yang mampu menandingi mereka dalam hal ini. Di dalam Al Quran disebutkan:

قُلْ أَمَرَ رَبِّي بِالْقِسْطِ

Katakan (Wahai Muhammad) Tuhanku memerintahkan aku untuk berlaku adil. (Al A’raf, 29)

Para maksumin adalah yang terbaik berbanding dengan yang lain dalam melaksanakan perintah Allah ini. Abu Said Al Qudri: Pada suatu hari, Baginda Rasulullah membahagikan hasil rampasan perang. Datang seorang lelaki dari qabilah Tamim (tempat yang muncul fitnah Khawarij) dan berkata ‘bahagikan dengan adil’. Baginda bersabda ‘celakalah kau, jika aku tidak berlaku adil, siapa lagi yang melakukannya’. (Bihar Al Anwar, J 18, ms 123)

Dalam melaksanakan keadilan dan keseimbangan dalam masyarakat, Imam Ali berkata kepada Malik Asytar:

Hendaklah kamu menyukai pekerjaan mereka yang tidak melampaui batas hak dan tidak melanggar perintah. Sebarkan keadilan dan diikuti dengan hati yang terbuka hingga tidak memberi kesan kepada kegembiraan orang ramai dan kemarahan orang yang dekat serta tidak mengakibatkan kehancuran kegembiraan yang dekat dan kemarahan orang ramai. (Nahjul Balagh, surat 53)

Keseimbangan yang dilakukan oleh para maksumin miliki tujuan. Mereka sentiasa melaungkan keadilan dan keseimbangan ketika memerintah, di dalam penjara, di hadapan teman-teman dan mahupun di hadapan musuh. Mereka sentisa berada di garis lurus keadilan dan keseimbangan dalam apa juga bidang. Seperti politik, kemasyarakatan, keilmuan, kebudayaan, ketenteraan dan ekonomi. Antara contoh adalah apa yang dikatakan oleh Imam Ali a.s.:

Kukuhkan kakimu di atas tanah. Ketika berperang, kacip gigimu dan tenung dengan tajam pasukan terakhir musuh.
Ketika perang Siffin, Imam tidak menghalang musuh untuk mengambil air. Namun hal ini tidak dilakukan oleh tentera Muawiyah. Imam sentiasa memastikan untuk tidak memulakan peperangan. Dengan itu Imam dan pasukannya sentiasa berada diposisi mempertahanankan diri. Peperangan yang berlaku ketika itu semuanya dipaksakan oleh musuh-musuhnya.
Ketika berada di atas perbaringan setelah ditetap oleh Ibnu Muljam, Imam Ali berkata kepada puteranya Imam Hassan:

Dia menetakku sekali, kamu hanya berhak untuk menetaknya sekali sahaja. Jangan jadikan kematianku sebagai alasan untuk menumpahkan darah orang lain. Dan jangan sesekali kau memotong-motong pembunuhku. (Bihar Al Anwar, J 42, ms 239)

Pada suatu waktu, Imam memberikan hambanya (musadif) untuk berdagang gandum ke Mesir. Ketika sampai ke Mesir, Musadif mendapati terjadi kekurangan gandum di pasaran. Dengan itu, dia menjual gandum dengan keuntungan dua kali lipat. Setelah pulang ke Madinah, dia menyerahkan keuntungan tersebut kepada Imam, namun Imam hanya mengambil keuntungan satu kali lipat berserta modalnya. (Bihar Al Anwar, J 47, ms 59)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *