Mahdawiyah – Mahdisme

Siri Mahdawiyah

Mahdawiyah – Mahdisme

مَهْدَوِيَة adalah dari kata Arab yang berasal dari مهدی. Huruf ‘ta’ ditambah ke atas Mahdawi yang memberi erti segala yang bersangkutan dengan Mahdi, seperti perkataan Alawi, Hassani, Hussini. Mahdawiyah pada asalnya adalah طریقة مهدویة ‘Tariqah Mahdawiyah’.

Pada zaman awal Islam, kata Al Mahdi sering digunakan untuk seseorang yang telah mendapatkan hidayah dan juga untuk memuji seseorang. Sebagai contoh, Rasulullah mengunakan kata Al Mahdi untuk ‘Khulafa Ar Rashidin dan Imam Hussain as. Setelah peredaran waktu, kata Al Mahdi digunakan untuk makna ‘Munji’ – ‘penyelamat’

Mokhtar As Saqafi memanggil Muhammad bin Hanafiah sebagai Al Mahdi dengan makna penyelamat. Golongan Zaidiyah juga mengunakan makna yang sama dari kata Al Mahdi untuk para Imam mereka. Golongan Syiah Waqifiyah mengunakan kata ini untuk Imam Jaffar As Sadiq, Nawussiyah untuk Imam Khazim dan sebahagian lagi untuk Imam Hassan Al Askari. Semua gelaran ini diberikan kepada Imam-imam ini setelah kewafatan mereka.

Untuk Syiah 12 Imam – Imamiyah, kata Al Mahdi yang memberi makna penyelamat dikhususkan untuk Al Hujjah ibnu Hassan, putera Imam Hassan Al Askari. Al Hujjah ibnu Hassan adalah figur yang dijanjikan oleh Rasulullah yang akan zuhur pada akhir zaman dan akan menyelamatkan Syariat Allah.

Kata Al Mahdi yang memberi makna Munji – penyelamat, pada asasnya berasal dari hadis-hadis Nabawi. Antaranya:

الْمَهْدِيُّ مِنْ وُلْدِي، وَجْهُهُ كَالْكَوْكَبِ الدُّرِّيِّ، وَ اللَّوْنُ لَوْنٌ عَرَبِيٌّ، وَ الْجِسْمُ جِسْمٌ إِسْرَائِيلِيٌّ، يَمْلَأُ الْأَرْضَ عَدْلًا كَمَا مُلِئَتْ جَوْراً، يَرْضَى بِخِلَافَتِهِ أَهْلُ السَّمَاءِ وَ الطَّيْرُ فِي الْجَو

Al Mahdi adalah dari keturunanku, wajahnya seperti bintang-bintang bergemelapan. Warna tubuhnya, warna lelaki Arab, badannya, badan Bani Israel. Dia akan memenuhi dunia dengan keadilan setelah dipenuhi dengan kezaliman. Penduduk langit dan burung di udara akan redha atas pemerintahannya.

Keyakinan kepada Al Mahdi yang dijanjikan.

Kepercayaan yang Al Mahdi yang dijanjikan bermakna menyakini kepada penyelamat pada akhir zaman yang akan menyelamatkan manusia serta akan menegakkan keadilan dan kesejahteraan. Setiap bangsa dan agama yang ada perbezaan tentang munji yang dijanjikan ini berasas kepada kepelbagaian kepercayaan yang ada. Namun begitu mereka memiliki satu persamaan iaitu akan muncul penyelamat yang akan menyelamatkan manusia dari cengkaman kezaliman dan akan memerintah dunia dengan keadilan. Agama Hindu menunggu figur yang bernama Kalki, Yahudi dan Kristian menunggu ‘Massiah’ dan Al Mahdi adalah figur yang diyakini oleh umat Islam.

Mahdawiyat di dalam Al Quran

Mahdawiyat tidak sebutkan secara langsung di dalam Al Quran, namun di dalam kitab ‘Mu’jam Imam Mahdi’, para peneliti mempercayai bahawa terdapat beberapa ayat dari Al Quran membicarakan tentang Al Mahdi. Ahli tafsir Syiah mengatakan terdapat dua bentuk dari ayat Al Quran yang membicarakan tentang Al Mahdi.

1. Ayat yang membicarakan tentang perlu wujud Imam. Al Quran menyebutkan bahawa Allah SWT mendatangkan untuk setiap umat seorang pembawa pentunjuk: وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٍ (untuk setiap kaum ada pemberi petunjuk – Ra’ad – 7). Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Jaffar As Sadiq as berkata: Pada setiap zaman akan ada seorang dari keluarga kami yang akan memberi petunjuk apa yang telah diturunkan oleh Rasulullah.

2. Ayat-ayat yang membicarakan tentang pemerintahan orang-orang yang soleh dan mukmin di atas muka bumi. Seperti ayat 105 surah Al Anbia dan ayat 5 surah Qhashas. Terdapat riwayat yang banyak menunjukkan bahawa ayat-ayat ini dinisbahkan kepada zuhur dan masalah Mahdawiyah. Pada ayat lain, pemerintahan orang-orang saleh dan mukmin adalah janji yang telah Allah berikan kepada hamba-hambaNya yang beriman sebagai ganjaran keimanan mereka. Seperti ayat 55 surah An Nur. Riwayat dari maksumin menyebutkan bahawa ayat ini adalah tentang pemerintahan Al Mahdi AJF.

Pada pandangan ahli tafsir Syiah dengan berdasarkan pembicaraan Ahlu Bait, Al Quran membicarakan tentang sifat-sifat pada zaman ghaibah dan begitu juga tentang tanda-tanda zuhur serta zaman selepas zuhur. Tentang zaman ghaibah, Al Quran membicarakan tentang maqam para penanti pada era ghaibah seperti ayat 1 – 3 surah Al Baqarah. Sabar dan memiliki hubungan hati, ayat 200, surah Ali Imran. Ketaatan mutlak, ayat 59 surah An Nisa. Ujian-ujian yang berat, ayat 155, surah Al Baqarah. Kehidupan yang susah para penanti, ayat 110 surah Yusuf. Ganjaran dari kehidupan yang susah, ayat 69 surah An Nisa. Upaya untuk melemahkan keimanan para penanti, ayat 46, surah Ibrahim. Perbezaan pendapat manusia dalam era ghaibah tentang Al Mahdi, ayat 18, surah Asy Syura. Kebingungan manusia dalam mengenal kebenaran, ayat 5, surah Yunus. Kematian hati, ayat 16, surah Al Hadid. Menolak dan mendustai Al Mahdi pada era ghaibah, ayat 11, surah Al Furqan. Ini adalah antara ayat-ayat yang digunakan oleh ahli tafsir Syiah dalam perbahasan Al Mahdi.

Antara ayat-ayat yang membicarakan tentang tanda-tanda zuhur. Pembunuhan manusia, ayat 37, surah Maryam. Kematian orang-orang yang menzalimi hak Rasulullah dan Ahlu Baitnya, ayat 4 – 6, surah Al Is’ra. Penurunan azab untuk menguji, ayat 16, surah Al Fushilat.

Mahdawiyat dalam riwayat Syiah

Terdapat banyak hadis yang membicarakan tentang Al Mahdi di dalam riwayat Syiah. Terdapat 6000 hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang berbagai tentang Mahdawiyat. Antara subjek yang terdapat di dalam riwayat adalah tentang figur Imam Mahdi, mereka-mereka yang menantinya, nilai dan keutamaan penantian zuhur Al Mahdi, tanda-tanda sebelum zuhur, ketika zuhur, selepas zuhur dan beberapa subjek yang lain.

Di dalam sebuah riwayat, Rasulullah bersabda:

المَهدیُ رَجُلٌ مِن وُلدِی وَجهُهُ کَالکَوکَبِ الدُّرِّیِّ

Al Mahdi adalah dari keturunanku, wajahnya seperti bintang-bintang bergemelapan.

المَهدِیُّ طاوُوسُ أهلِ الجَنَّةِ

Al Mahdi adalah burung merak ahli syurga.

Amirul Mukminin berkata:

بِمَهدیِّنا تَنقَطِعُ الحُجَجُ فَهُوَ خاتِمُ الأئمَّةِ و مُنقِذُ الاُمَّةِ و مُنتَهَی النُّورِ و غامِضُ السِّرِّ

‘Dengan Al Mahdi kami akan berakhir Hujjah Allah dan dia adalah penutup para Imam, peyelamat umat, puncak cahaya dan rahsia yang tersembunyi.

Tentang figur para penanti Imam Mahdi, Amirul Mukminin berkata:

أصحابُ المَهدِیِّ شَبابٌ لاکُهُولَ فیهِم

Para Sahabat Al Mahdi adalah pemuda dan tidak ada yang tua dikalangan mereka.

Imam Muhammad Al Baqir as berkata:

کَأنّی بِأصحابِ القائمِ و قَد أحاطُوا بِما بَینَ الخافِقَینِ فَلَیسَ مِن شَی ءٍ إلاّ و هُوَ مُطیعٌ لَهُم

Seakan aku melihat para sahabat Al Qaim – Al Mahdi menguasai timur dan barat dunia, tidak ada sesuatu kecualinya taat kepada mereka.

Berdasarkan kepada hadis-hadis para Imam, Syiah berkeyakinan bahawa menanti zuhur adalah salah satu dari amalan yang amat penting pada zaman ghaibah. Kepentinganya diumpamakan dengan mereka yang mengangkat pedang membela Rasulullah SAAW.

Imam Jaffar As Sadiq as berkata:

مَنْ مَاتَ مُنْتَظِراً کَانَ بِمَنْزِلَةِ الضَّارِبِ بَیْنَ یَدَیْ رَسُولِ اللَّهِ ص بِالسَّیْفِ

Sesiapa yang mati dalam keadaan penantian, kedudukannya seperti yang menebas pedang membantu Rasulullah SAAW.

Dalam salah satu dari ucapannya tentang tanda-tanda zuhur, Amirul Mukminin berkata:

: بَیْنَ یَدَیِ الْقَائِمِ مَوْتٌ أَحْمَرُ وَ مَوْتٌ أَبْیَضُ وَ جَرَادٌ فِی حِینِهِ وَ جَرَادٌ فِی غَیْرِ حِینِهِ کَأَلْوَانِ الدَّمِ فَأَمَّا الْمَوْتُ الْأَحْمَرُ فَالسَّیْفُ وَ أَمَّا الْمَوْتُ الْأَبْیَضُ فَالطَّاعُون

Ketika zuhur Al Qaim, akan berlaku kematian merah dan kematian putih, kelaparan dan kekeringan tanaman. Ada pun kematian merah adalah akibat pedang dan kematian putih disebabkan taun – penyakit.

Dunia selepas zuhur juga diterangkan secara jelas di dalam riwayat. Imam Sajjad as berkata:

إذا قامَ قائمُنا أذْهَبَ اللّه ُ عن شِیعتِنا العاهَةَ ، وجَعلَ قلوبَهُم کَزُبَرِ الحدیدِ ، وجَعلَ قُوّةَ الرّجُلِ مِنهُم قُوّةَ أربَعینَ رجُلاً ، ویکونونَ حُکّامَ الأرضِ وسَنامَها

Ketika Al Qaim kami bangkit, Allah akan menghilangkan kesusahan dari Syiah kami dan menjadikan hati mereka ibarat potongan besi. Kekuatan mereka dijadikan seperti kekuatan 40 orang dan mereka akan menjadi pemimpin di atas dunia dan menjadi pahlawannya .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *