Sirah Akhlak Maksumin [Bab Ikhlas]

  • Sirah Aklak Maksumin a.s.

Bahagian Pertama

Akhlak Individu

Bab kempat: Ikhlas

Hakikat ikhlas ialah memotong dan menjauhkan seluruhnya selain Allah. Mukhlisin adalah mereka yang beribadah kepada Allah tanpa melihat kepentingan diri atau ilmunya atau dirinya sebagai ahli ibadah dalam ibadahnya. Mereka tidak melebihi batas ibadah dalam penyaksian yang disembah. (Al Mufradah, Raqib Isfahani, bab kata ikhlas)

Allah S.W.T. telah menurunkan kepada hamba-hambaNya agama yang murni. Dengannya manusia mencapai kedudukan tidak melihat kecuali Allah, tidak berkerja kecuali untuk Allah dan Allah sentiasa berada dibawah perhatiannya. Allah S.W.T. berfirman:

Ketahuilah Agama yang murni hanya milik Allah. (Az Zumar, 3)

Jika seseorang dapat memusatkan segala fikiran, zikir dan perbuataan murninya untuk Allah, maka dia akan termasuk dalam golongan orang-orang yang ikhlas. Allah akan memberikan kesaksian atas keikhlasannya. Ia akan dimasukan ke dalam golongan yang diikhlaskan di sisi Allah. Allah akan memeliharanya dari segala bentuk tipu daya syaitan. Dalam hal ini, syaitan mengakui:

Akan aku sesatkan semua mereka kecuali dari hamba-hamba yang telah Kau ikhlaskan. (Al Hijr, 39-40)

Mukhlasin adalah golongan yang mengikhlaskan diri mereka kepada Allah dan Allah mengikhlaskan diri mereka untukNya. Setelah itu mereka sama sekali tidak akan menyekutukan Allah dengan apa sahaja. Tidak ada tempat di dalam diri mereka untuk selain Allah hingga ia disibukkan dengan yang lain. Walaupun syaitan berusaha membisikkan kesesatan kepada mereka dengan kemewahan, semuanya mereka gantikan dengan mengingati Allah. Hal ini sebagai wasilah untuk mereka mendekatkan diri kepada Allah. (Al Mizan, Tabatabaie, J 12, ms 165)

Seluruh para maksumin memiliki kedudukan ini. Selain memiliki maqam maksum, seluruh kehidupan mereka juga sentiasa mengingati Allah. Seluruh diri mereka murni dalam keikhlasan dan dikhususkan untuk Allah.  Tidak mungkin fikiran dan perbuatan mereka untuk selain Allah.

 

Manifestasi Akhlak Maksumin

Para maksumin adalah para pemimpin agama yang telah diikhlaskan oleh Allah. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk mencontohi mereka dalam segala urusan agama dan kehidupan. Ini termasuk di dalam akidah, amalan dan akhlak. Kita mesti berusaha untuk mencapai darjat tertinggi keikhlasan dengan mencontohi mereka. Keikhlasan mereka semestinya merata di kalangan masyarakat. Jika tidak, maka tidak guna mereka menjadi pemimpin dan contoh. Oleh dikeranakan keikhlasan mereka berada di puncak tertinggi, amat sukar untuk selain maksum memahaminya. Maka di sini diterangkan beberapa keikhlasan yang dapat disaksikan dari kehidupan mereka atau yang mereka sendiri jelaskan.

Pertama: Keikhlasan dalam Akidah

Seluruh perbuatan, pembicaraan dan akhlak serta termasuk keikhlasan manusia bersumber dari akidah dan pemikirannya. Jika akidahnya murni dan suci, maka sifat-sifat kebenaran dan islah akan kelihatan darinya. Jika pemikirannya tidak benar dan tidak murni maka sifat-sifat tidak benar akan muncul. Segala perbuatan dan akhlaknya juga tidak suci.

Oleh itu akidah para pemimpin agama adalah yang paling suci dan paling ikhlas. Hal ini dipanggil sebagai Tauhid yang suci. Amirul Mukminin berkata:
Awal dalam agama adalah mengenal Tuhan, kesempurnaan marifat adalah membenarkanNya. Kesempurnaan dalam membenarkan adalah bertauhid kepadaNya. Kesempurnaan bertauhid adalah ikhlas kepadaNya. (Nahjul Balagha, Fidhul Islam, khutbah 1)

Rasulullah berserta 13 maksumin yang lain adalah mereka yang memiliki kesempurnaan dalam marifah dan membenarkan Zat Allah yang Maha Suci. Oleh kerana itu mereka adalah manusia yang paling sempurna keikhlasannya kepada Allah S.W.T. baik dalam pemikiran, mahupun dalam perbuatan. Allah memerintahkan Baginda untuk menyampaikan hal ini kepada manusia:
Katakan (wahai Muhammad) aku diperintahkan untuk menjadi muslim yang pertama  dan jangan kalian menjadi dari golongan yang musyrik. (Al An’am, 14)

Dengan ini Rasulullah dan Ahlul Baitnya adalah mereka yang telah mencapai maqam tertinggi dalam pemikiran Tauhid. Mereka diperintah untuk menyampaikan makrifah ini. Masyarakat juga memiliki tanggungjawab untuk mempelajari makrifah ini dari mereka. Dengan segala kemampuan yang ada masyarakat perlu mencapai kedudukan tertinggi dalam Tauhid serta mengikhlaskan diri mereka di hadapan Zat Yang Maha Agung. Para maksumin mempelajari seluruh makrifah dan hakikat Al Quran dengan segala kesuciannya dari Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman:

Dan sesungguhnya kau mempelajari Al Quran dari Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. (An Nahl, 6)

Al Quran berada di sisi Allah di Ummul Kitab (Az Zukhruf, 4).

 

Dengan itu Baginda telah mempelajari Ummul Kitab. Imam Musa Al Kazim a.s. berkata ‘Allah S.W.T. telah mengajarkan kepada kami segala ilmu Rasulullah S.A.A.W yang terkandung di Ummul Kitab’. (Basa’irul Darajat, Soffar, ms 135)

Ayatullah Jawadi Amoli menafsirkan Ummul Kitab dengan:

Ummul Kitab bermakna hakikat yang mana pertamanya adalah hakikat seluruh alam yang tersimpan di dalamnya. Kedua, tetap dan terpelihara dari segala bentuk perubahan dan penghapusan. Ketiga, berada di sisi Allah.

Ummul Kitab bererti punca hakikat yang dalam. Ini kerana alam yang mungkin berasaskan kepada hukum kausaliti dan sistem sebab akibat. Alam ini juga berasaskan kepada kemunculan, penampakan dan manifestasi ظهور و ظاهر و مظهر. Semua ini memiliki asalnya, punca dari segala hakikat dan kurniaan serta tajali. Tidak ada yang punca dan asal dari semua ini yang melebihi Ummul Kitab. Jika dikatakan bahawa para maksumin adalah Ummul Kitab atau Kitabul Mubin atau Luh yang menghapus dan menentukan disebabkan mereka baik dalam posisi nuzul (turun) قوس نزل atau Su’ud (naik) قوس صعود menyatu dengan hakikat tersebut. Apa sahaja yang terdapat dalam alam yang mungkin ini ada di dalam hati mereka. Seluruh Ahlul Bait yang maksum adalah hakikat yang satu. Batin mereka adalah batin Rasulullah. (Tafsir Maudhuie, Jawadi Amoli, J 8, ms 38)

Mereka melihat dan memahami hakikat alam sebagaimana adanya. Begitu juga dalam hakikat penciptaan tidak ada kecuali bertauhid kepada Zat Yang Maha Agung. Ini yang dimaksudkan dengan keikhlasan dalam bertauhid.

 

Kedua: Ikhlas dalam Akhlak

Para maksumin berada di kedudukan tertinggi keikhlasan dalam urusan sifat-sifat hati dan sir dan suluk batin. Akhlak mereka benar-benar akhlak yang ikhlas. Seluruh kegembiraan dan kesedihan, bersahabat dan bermusuh, keinginan dan tidak, suka dan benci, semua dilakukan mutlak kerana Allah. Hal ini sebagaimana akhlak Baginda Rasulullah yang difirmankan di dalam Al Quran:

Sesungguhnya kau (Muhammad) memiliki akhlak yang terpuji. (Al Qalam, 4)

Jelas, akhlak yang difirmankan oleh Allah S.W.T. tentang Baginda adalah akhlak yang murni dan tidak dicemari dengan selain Allah. Apa yang ada hanya Allah dan untuk Allah. Amirul Mukminin berkata:

Ikhlaskan untuk Allah amalmu dan ilmumu, sukamu dan bencimu, apa yang kau ambil dan apa kau tinggalkan, bicaramu dan diammu. (Syarah Ghurar Al Hikam, Amidi, J 2, ms 209).

Mereka bersih dari segala bentuk akhlak yang buruk seperti takabur, hasad, ujub, tamak, penakut dan nifaq.  Mereka memiliki seluruh kesempurnaan akhlak yang terpuji seperti berani, pemurah, adil, rahmat, berserah, redha, lapang dada, jujur, amanah dan budi pekerti indah. Tentang akhlak Ahlul Bait ketika berhadapan dengan musuh Islam Imam Jaffar As Sadiq berkata:

Permusuhan kami dengan keluarga Abu Suffian adalah tentang Allah. Kami mengatakan Allah berbicara benar, mereka mengatakan bahawa Allah berdusta. (Bihar Al Anwar, J 33, ms 165).

Ketiga: Ikhlas Dalam Amalan

Para maksumin memiliki keikhlasan tertinggi dalam akidah dan akhlak. Dengan ini mustahil amalan orang yang sedemikian tidak memiliki tujuan untuk Allah S.W.T. Hal ini kerana jika sesuatu pekerjaan walau dengan kadar yang sedikit tidak kerana Allah, pastinya akan terperangkap dengan was-was syaitan. Telah kita sebutkan bahawa para maksumin adalah hamba yang telah Allah ikhlaskan. Dengan itu syaitan sama sekali tidak memiliki kuasa untuk menganggu mereka.
Baginda Rasulullah S.A.A.W telah mencapai kedudukan ikhlas dimana dalam perang Badar, setiap batu yang dilemparkan ke arah musuh tidak dinisbahkan kepada dirinya.

Dan tidak kau melempar ketika kau melempar kecuali Allah yang melempar..(Al Anfal, 17)

Begitu juga keikhlasan Amirul Mukmin ketika memberi sedekah cincinnya ketika solat menjadi dalil kepada maqam kepimpinannya. (Al Maidah, 55).

Keikhlasan Ahlul Bait Rasulullah juga disebutkan di dalam Al Quran:

Mereka memberikan makan yang mereka sukai kepada miskin, yatim dan tawanan. Sesungguhnya kami memberi kalian makanan kerana inginkan keredhaan Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan ucapan terima kasih. (Al Insan, 8-9)

Muhammad bin Ishak berkata ‘kebanyakan penduduk Madinah tidak tahu siapa yang memberikan mereka makanan. Apabila pagi menjelang mereka akan dapati dihadapan pintu mereka ada karungan guni gandum. Hal ini berterusan menjadi rahsia untuk mereka. Setelah kewafatan Imam Ali Zainal Abidin, mereka dapati tidak ada lagi karungan guni gandum di hadapan pintu mereka. Dengan ini mereka mengetahui bahawa selama ini yang memberikan mereka gandum adalah Imam Ali Zainal Abidin’. Sewaktu jenazah suci Imam dimandikan, bahu beliau berwarna hitam akibat kesan dari mengangkat karungan guni gandum pada setiap malam untuk dibahagikan kepada fakir miskin. (Kashful Ghumah fi Marifatil Aimmah, Muhaqiq Ardilbil, J 2, ms 290)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *