Sirah Akhlak Maksumin [5]

Sirah Aklak Maksumin a.s.

Bahagian Pertama

Akhlak Individu

Bab kedua: Zikir (Mengingati Allah 2)

Mengingati Teladan

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚمَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖالْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖالزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚنُورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗيَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ ۚوَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗوَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ .عَلِيمٌ

Allah adalah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang penuh keberkatan iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya ,Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (An Nur, 35)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T. adalah nur langit dan bumi. Allah mengumpamakan NurNya seperti pelita dan seterusnya. Setelah ayat ini, Allah berfirman:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ
رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙيَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ

Di rumah-rumah yang telah Allah izinkan untuk dimuliakan dan disebut namaNya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang. Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak oleh jual beli dari mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang, dan membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang) hati dan penglihatan menjadi goncang. (An Nur, 36 -37)

Anas bin Malik dan sebahagian dari para Sahabat berkata: Pada hari ayat ini dibacakan oleh Baginda Rasulullah S.A.A.W., seorang dari yang hadir bertanya kepada Baginda apa yang dimaksudkan dengan rumah-rumah. Baginda bersabda ‘maksudnya adalah rumah-rumah para Anbia’. Setelah itu Abu Bakar berdiri dan bertanya ‘apakah rumah Ali dan Fatimah termasuk dari rumah-rumah tersebut?’. Baginda bersabda ‘benar, malah ia adalah rumah yang terbaik’. (Ad Darul Manthur, As Sayuti, J 5, ms 50)

Abu Hamzah Thumali menukilkan pada satu waktu Qatadah bin Di’amah Basri datang bertemu dengan Imam Muhammad Al Baqir a.s. Imam bertanya kepadanya ‘Kamu ini seorang faqih dari Basrah?’. Qatadah menjawab ‘benar’. Setelah itu dia duduk tanpa berkata apa-apa. Setelah sejenak berdiam diri, dia berkata ‘semoga Allah memelihara kamu wahai putera Rasulullah, aku telah bertemu dengan ramai ilmuan, namun tidak satu pun memberi kesan sebagaimana aku di hadapanmu. Imam bertanya ‘apakah kamu tahu kamu duduk di hadapan siapa?, kamu sekarang ini berada di sisi فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ…. Kami adalah mereka’. Qatadah berkata ‘jiwaku korbanmu wahai putera Rasulullah, demi Allah apa kamu katakan memang benar, rumah-rumah tersebut bukan dari batu dan tanah’. (Tafsir Nur At Thaqalain, J 3, ms 609).

Walau para maksumin adalah mereka yang memiliki kedekatan dengan Allah, namun mereka adalah contoh yang terbaik orang yang mengingati Allah. Cara mereka dalam mengingati Allah tersebar luas di seluruh pelusok keberadaan. Maksumin dengan segala keberadaan mereka, pada setiap detik dari umur mereka dan dengan segala fikiran dan perbuatan adalah manifestasi dari keindahan Allah S.W.T. Dari ayat ‘dengan izin Allah..’ ada dua perkara yang menarik dapat kita fahami.

Pertama: Maqam tinggi para Maksumin disebabkan kelayakan mereka yang berbagai dari kesempurnaan yang tidak mampu dihitung. Namun perlu diketahui bahawa kepimpinan mereka adalah dengan izin dan iradah Allah. Maka dengan ini, pertama, tidak akan dapat ditemui segala bentuk hal yang bertentangan dengan keridhaan Allah, tidak ikhlas, tidak bersemangat, goyang dalam diri mereka. Maqam ini adalah maqam yang hakiki dan bukan perletakan yang sementara. Kedua, maqam ini adalah maqam yang kukuh dan berterusan. Maka maqam ini adalah maqam yang abadi dan kekal. Seluruh keistimewaan ini akan kembali kepada kurniaan Ilahi.

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ ۖوَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

Apa yang di sisi kalian akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. (An Nahl, 96)

Kedua: Zikir dan Tasbih yang benar (yang selayaknya untuk Allah) hanya mampu dilaksanakan di dalam rumah-rumah sedemikian. Ini juga dengan izin Allah. Zikir dan tasbih yang agung hanya dilaksanakan dengan izin dan inayah Allah akan mencapai kedudukan yang tinggi dan keikhlasan yang murni. Dengan bersumberkan nur yang jelas dan terang, maka tidak akan wujud sama sekali kegelapan dan ketidakikhlasan. Maka zikir mereka adalah hakiki dan ketika mereka mensifati Allah adalah dengan penyifatan yang hakiki. Selain mereka tidak akan mampu melakukan hal ini. Zikir dan tasbih selain mereka tidak akan mampu mencapai maqam Tauhid yang sebenar. Allah S.W.T. berfirman:

سُبْحَانَ اللَّهِ عَمَّا یَصِفُونَ إِلَّا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِین

Maha suci Allah dari apa yang mereka sifati kecuali hamba-hamba Allah yang diikhlaskan. (As Saffat, 159-160)

Allamah Tabatabaie menjelaskan kenapa golongan yang ‘mukhlas’ (yang diikhlaskan) sahaja yang mampu menyifati Allah S.W.T.
Ini dikeranakan selain dari golongan yang mukhlas menyifati Allah dengan kefahaman yang terbatas. Sedangkan Allah adalah wujud yang tidak terbatas dan tidak ada sifat yang mereka sifati layak untukNya. Allah lebih Agung dari apa yang mereka sangkaan sebagaiNya. Sudah tentu yang mereka sifati bukan Allah. Namun Allah memiliki hamba-hamba yang Dia jadikan sebagai hambaNya yang khusus dan diikhlaskan. Mereka ini terpelihara dari segala bentuk yang mengarahkan kepada syirik. Allah telah mengenalkan diriNya kepada mereka. Dan mereka hanya mengingati Allah. Mereka benar-benar mengenali Allah dan mereka mengenal yang lain melalui Allah.

Orang-orang sedemikian ketika mensifati Allah, mereka mensifatiNya di dalam lingkungan keAgungan Allah. Jika mereka mensifati Allah dengan lisan (dikeranakan lafaz memiliki makna yang terbatas) mereka mengakui akan keterbatasan bahasa. Sebagaimana Baginda Rasulullah yang merupakan pemimpin mereka yang mukhlas bersabda ‘aku tidak mampu memujimu sebagaimana Kau memuji diriMu’. (Al Mizan, J 17, ms 174)

Oleh itu golongan yang tidak mukhlas perlu mendatangi rumah-rumah maksumin. Perlu belajar dari mereka bagaimana untuk mengingati dan mensifati Allah S.W.T.

Manifestasi mengingati Allah di taman Ismah
Disamping apa yang telah disampaikan, lidah dan zahir para maksumin sering dalam mengingati Allah dengan alunan yang indah. Zikir lidah suci para maksumin melunturkan setiap mata dan hati dan sebagai jalan menuju pemilik hati. Hebatnya, keadaan ini mengiringi mereka dari awal hingga akhir hidup mereka. Imam Musa Al Kazim a.s. berkata ‘ketika Baginda Rasulullah S.A.A.W. dilahirkan, tangan kirinya diletakkan ke atas tanah dan tangan kanannya dihalakan ke atas sambil mengucapkan kalimah Tauhid.
Ketika Fatimah Az Zahra a.s. dilahirkan, lidahnya mengucapkan zikir suci:

اشهد ان لا اله الا الله و ان ابی رسول الله سید الانبیاء

Pada hari ketiga kelahirannya, Imam Muhammad Al Jawad a.s. berzikir:

اشهد ان لا اله الا الله و ان محمد رسول الله

Setelah dilahirkan, Imam Al Mahdi A.J. mengadap ke arah kiblat dan bersujud dan mengucapkan:

اشهد ان لا اله الا الله و اشهد ان جدی رسول الله و ان ابی امیرالمومنین وصی رسول الله

Diriwayatkan dari Fatimah Az Zahra a.s., Baginda Rasulullah bersabda: Wahai puteriku, lakukan empat perkara sebelum kau tidur. Pertama, mengkhatam Al Quran. Kedua, menjadikan para Anbia sebagai pemberi syafaatmu. Ketiga, mendapatkan keredhaan orang mukmin ke atas dirimu. Keempat, melaksanakan Haji dan Umrah. Fatimah Az Zahra berkata ‘bagaimana aku mampu lakukan itu semua dengan segala perkerjaan dari pagi ke malam?’. Baginda bersabda ‘baca tiga kali surah At Tauhid, jika kau lakukan ini, seakan kau telah mengkhatamkan Al Quran. Jika kau berselawat ke atasku dan ke atas para Anbia, kami akan memberimu syafaat di akhirat kelak. Beristighfarlah untuk orang mukmin demi mendapatkan keredhaan mereka. Jika kau membaca zikir “سبحان الله و الحمد الله و لا اله الا الله و الله اکبر” seakan kau mengerjakan Haji dan Umrah. (Mafatih Al Jinan, Sheikh Abbas Qomi)

Disebutkan bahawa setiap kali Baginda Rasulullah bangun dari tidur, beliau akan sujud dan membaca zikir:
الحمد الله الذی احیانی بعد موتی ان ربی لغفور شکور
(Bihar Al Anwar, J 16, ms 253)

Setiap satu dari perkerjaan harian para maksumin pastinya akan dimulakan dengan nama Allah S.W.T. Dalam menyebutkan keadaan Imam Hassan Al Mujtaba a.s., Imam Jaffar As Sadiq berkata: Tidak terlihat dalam apa juga keadaannya kecuali dalam keadaan mengingati Allah S.W.T. (Bihar Al Anwar, J 43, ms 331)

Begitu juga tentang ayahnya, Imam Muhammad Al Baqir a.s.: Ayahku banyak mengingati Allah. Walau dalam keadaan berjalan, lidahnya pasti berzikir. Ketika berbicara dengan orang lain tidak menyebabkan beliau lalai dari mengingati Allah. Aku sentiasa melihat lidahnya sentiasa berzikir لا اله الا الله. (Bihar Al Anwar, J 46, ms 297)

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *