Sirah Akhlak Maksumin [3]

 

Sirah Aklak Maksumin a.s.
Bahagian Pertama
Akhlak Individu

Bab pertama: Memelihara Solat

Istiqamah dalam Solat

Hal yang paling penting di dalam mendirikan solat adalah istiqamah. Ramai yang mendirikan solat namun sedikit yang istiqamah dalam mendirikan solat. Allah S.W.T. berfirman:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
Perintahkanlah keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabar dengannya. (Ta’ha, 132)

Jelas, mereka yang paling istiqamah dalam mendirikan solat adalah para maksumin a.s. Pada awalnya, hanya Baginda Rasulullah, Khadijah dan Imam Ali yang mendirikan solat berjamaah. Satu waktu, Abu Talib bersama dengan puteranya Ja’afar datang ke rumah Rasulullah, mereka dapati Baginda sedang solat berjamaah bersama Khadijah a.s. dan Imam Ali a.s. Abu Talib memerintahkan ja’afar untuk solat bersama mereka. (Bihar Al Anwar, J 18, ms 184).

Daripada sirah maksumin a.s. dapat kita fahami bahawa mereka amat memberatkan permasalahan solat. Mereka sama sekali tidak mengambil mudah soal solat. Mereka juga mengajak yang lain untuk mendirikan solat yang terbaik. Namun adakalanya mereka memaksa yang lain dalam mendirikan solat. Imam Muhammad Al Baqir a.s. berkata:
Baginda Rasulullah S.A.A.W telah mensyaratkan umat Islam Madinah untuk mendirikan solat berjamaah di masjid. Baginda mengancam membakar rumah mereka yang ingkar. (Thawabul A’mal wa I’qabbuha, ms 524)

Ketika perang Siffin akan bermula Amirul Mukmin a.s. memerhatikan matahari. Ibnu Abbas bertanya kenapa Imam melakukan hal tersebut. Imam menjawab ‘aku menunggu masuk waktu zuhur, setelah solat baru aku akan mulakan peperangan’. Ibnu Abbas berkata ‘kita dalam peperang, bukan waktunya untuk mendirikan solat’. Imam berkata ‘kita berperang dengan mereka tujuannya hanya kerana solat’. (Wasail Asy Syiah, J 3, ms 179)

Dalam wasiatnya, Imam Ali a.s. menulis:
الله الله فی الصلاه فانها خیر العمل و انها عمود دینکم
Allah Allah (Aku ingatkan kalian) tentang solat, sesungguhnya solat adalah amalan terbaik dan sesungguhnya solat adalah tiang agama kalian. (Nahjul Balagh, surat 47)

Imam Hussein a.s. pada hari Asyura, mendirikan solat Zohor di tengah-tengah peperangan. Dalam waktu itu, anak-anak panah musuh semuanya ditujukan kepadanya. Namun beliau tetap mendirikan solat berjamaah. Kata-kata akhir Imam Ja’afar As Sadiq a.s. adalah mengingatkan keluarga dan sahabat terdekat beliau tentang solat.
ان شفاعتنا لا تنال مستخفا بالصلاه
Sesungguhnya syafaat kami tidak akan sampai kepada mereka yang mengambil ringan pada solat. (Bihar Al Anwar, J 47, ms 2)

Malang sekali, para pencinta dunia telah menghalang para Imam Ahlu Bait memegang tampuk pemerintahan. Jika tidak pastinya kita akan dapat menyaksikan kegemilangan Agama Allah dalam bentuknya yang paling indah. Bauan harum maknawi akan menghantar umat ke arah malakut. Hukum Islam dan kehidupan masyarakat akan mencapai impian kehidupan. Keadilan akan merata. Laungan Tauhid akan kedengaran di setiap telinga. Sememangnya para maksumin a.s. adalah wujud luaran yang sempurna dari khabar gembira Ilahi.
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗوَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, niscaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma`ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. (Al Hajj, 41)

Moga hal ini dapat kita saksikan di seluruh dunia dengan kezuhuran Khatam Ausiyah. Ilahi Amin ya Rabbal Alamin.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *