Namaz

Sirah Akhlak Maksumin [2]

 

Sirah Aklak Maksumin a.s.

Bahagian Pertama

Akhlak Individu

Bab pertama: Memelihara Solat

Pendiri Solat Sebenar

Daripada apa yang telah disampaikan sebelum ini, kita dapat memahami bahawa para maksumin a.s. adalah para pendiri solat yang sebenar dan hakiki. Selain dari itu, di dalam melaksanakan ibadah yang lain juga mereka adalah yang terbaik. Malah libasan pedang mereka juga lebih baik dari ibadah orang-orang lain. (Bihar Al Anwar, J 20, ms 256)

Namaz

Para maksumin memiliki pengetahuan yang sempurna tentang hukum, adab dan rahsia solat. Solat yang paling sempurna adalah ketika seseorang mengetahui bahawa dia berdiri di hadapan Allah S.W.T. Seluruh diri akan khusyuk dan khuduk di hadapanNya dan tidak akan memberi perhatian kepada selainNya. Kita tidak akan mampu memahami apa yang ada dalam diri mereka ketika mereka mendirikan solat dan bermunajat ke hadapan Allah. Namun penyaksian dari keindahan zahir ibadah mereka mengkhabarkan kecintaan mutlak mereka kepada Allah S.W.T.

Imam Ali a.s. berkata: Baginda Rasulullah tidak akan mendahulukan makan malam atau apa juga pekerjaan lain dari solat. Ketika Baginda mendirikan solat seakan Baginda tidak memiliki teman dan tidak mengenal siapa pun. (Majmu’ul Warram, ms 323).
Begitu juga, setiap kali Baginda mendirikan solat, wajah Baginda bertukar menjadi pucat. (Bihar Al Anwar, J 84, ms 248). Amirul Mukminin a.s. ketika mengambil wudhuk, warna mukanya berubah kerana takut kepada Allah. (Ma’jatul Baidha, j 1, ms 351). Fatimah Az Zahra a.s. ketika mendirikan solat, nafasnya akan menjadi berat. Baginda Rasulullah ketika menyifati solat puterinya, berkata :
Puteriku Fatimah adalah penghulu wanita sekian alam…ketika dia mendirikan solat dihadapan Allah di mihrabnya, cahaya solatnya menjelma dihadapan para Malaikat. Allah S.W.T. berfirman kepada para Malaikat: wahai para MalaikatKu, perhatikan hambu wanitaKu Fatimah yang mendirikan solat di hadapanKu. Badannya bergetar kerana takut kepadaKu. Dengan segala kewujudannya dia beribadah kepadaKu. Kalian menjadi saksi, Aku akan mengamankan Syiahnya dari seksaan api neraka. (Bihar Al Anwar, J 43, ms 172)

Imam Hassan Mujtaba a.s. ketika mengambil wudhuk, warna wajahnya bertukar menjadi pucat, badannya akan mengeletar. Ketika ditanya penyebabnya, Imam menjawab: Yang berdiri di hadapan Pemiliki Arsy sewajarnya wajahnya bertukar pucat dan badannya mengeletar. (Bihar Al Anwar, J 80, ms 346)

Suatu waktu, ketika Imam Ali Zainal Abidin a.s. mendirikan solat, anaknya yang bernama Muhammad jatuh ke dalam sumur yang dalam. Ibu Muhammad panik melihat keadaan anaknya. Beliau berlari mendapatkan Imam Ali Zainal Abidin. Imam meneruskan solatnya dan menyelesaikan dengan cara yang terbaik. Setelah itu, Imam menuju ke telaga tersebut dan mengulurkan tangannya ke dalam (dengan bantuan Ilahi), Imam menarik keluar anaknya dan menyerahkan kepada isterinya. Imam berkata: hai, iman yang lemah, aku tadi berdiri ke hadapan Tuhan Yang Maha Jabbar, jika aku memalingkan diriku dariNya, Dia akan memalingkan diriNya dariku. (Bihar Al Anwar, J 82, ms 245)

Ketika Imam Hassan Al Askari a.s. sedang sakit kuat dan pada saat-saat akhir hidupnya, dibawakan kepadanya ubat. Namun Imam tidak segera makan ubat tersebut, beliau berkata: Bawakan aku air untuk aku mengambil wudhuk. Setelah itu Imam mendirikan solat subuh. Setelah mendirikan solat, beliau mengambil mangkuk ubat dan meletakkan ke mulutnya. Disebabkan racun yang begitu kuat menyebabkan gigi-gigi Imam jatuh satu persatu ke dalam mangkuk tersebut. Setelah itu, Imam pun wafat meninggalkan alam yang fana ini. (Bihar Al Anwar, J 50, ms 321)

Dari sudut kuantiti, para maksumin adalah mereka yang paling banyak mendirikan solat. Al Quran menyebutkan bahawa solat malam itu wajib atas Baginda Rasulullah (awal surah Muzammil). Baginda mendirikan solat malam pada waktu-waktu tertentu. Amirul Mukminin mendirikan seribu rakaat solat pada tiap malam. Hal yang sama juga didirikan oleh Imam Hussin a.s. dan Imam Sajjad a.s. (Bihar Al Anwar, J 41, ms 15).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *