Syarah Ziarah Asyura (4)

Madrasah Cinta Al Hussin

Takbir, adab pertama Ziarah Asyura
Berasaskan riwayat, Imam Muhammad Al Baqir a.s. memerintahkan supaya membaca takbir sebagai abad pertama sebelum membaca Ziarah Asyura.  Sudah tentu perintah ini memiliki hikmahnya tersendiri.  Takbir ini bukan hanya sekadar untuk bertabaruk dan sebagai mensucikan amalan.  Takbir di dalam Ziarah Asyura juga sebagai lambang kesucian dan memurnikan Tauhid.  Oleh sebab itu, kita perlu melihat makna takbir dan keberkahannya terlebih dahulu.

Makna Takbir الله اکبر
Terdapat empat kemungkinan dalam makna Takbir.
1.  Akbar memberi makna besar.  Oleh itu Allahu Akbar memberi erti Allah Maha Besar.
2.  Akbar memberi erti sifat yang lebih besar atau agung bila dinisbahkan kepada ‘setiap sesuatu’.  Oleh itu makna Allahu Akbar adalah Allah Maha Besar dari setiap sesuatu.
3.  Memberi erti kesempurnaan Sifat dan keagungannya tanpa dinisbahkan kepada apapun, Maha Besar dari yang disifati atau Maha Agung dari apa yang disifati, atau dikenali dengan KeagunganNya.
4.  Sifat yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Dua makna yang pertama tidak benar.  Hal ini dikeranakan makna besar bertentang dengan kenyataan.  Dan jika makna Allahu Akbar adalah Allah Maha Besar dari setiap sesuatu, pertama perlu dibayangkan sesuatu untuk dinisbahkan dengan Allah.  Ini memberi erti Allah diukur dengan kewujudan yang terbatas dan setelah itu baru dikatakan Allah Maha Besar.  Sudah tentu pandangan sedemikian batil kerana meletakan Allah menjadi wujud yang terbatas.  Sedangkan Allah adalah wujud yang tidak memiliki batas.

Oleh itu perlu dikatakan bahawa Allah adalah Maha Agung dari apa yang disifati.  Tidak ada yang boleh diqiaskan dengan Allah.  Tidak ada yang berhak untuk mensifati Allah kecuali hamba-hambaNya yang telah ia ikhlaskan.
سُبحانَ اللَّهِ عَمّا یَصِفونَ . إِلّا عِبادَ اللَّهِ المُخلَصینَ
Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifati.  Kecuali hamba-hamba Allah yang telah diikhlaskan. (As Shaffat, 159-160)

Hanya mereka yang telah diikhlaskan hati mereka oleh Allah sahaja yang mampu mensifati Allah S.W.T.   Hal ini disebabkan mereka telah mencapai kedudukan tinggi dalam marifah.  Hati mereka mutlak milik Allah dan diri mereka mutlak tunduk dan patuh kepada Allah.  Mereka telah sampai kepada kedudukan yang mana mereka dimuliakan oleh Allah.  Mereka menjadi tempat penyimpan rahsia Allah.  Di dalam sebuah hadis qudsi Allah berfirman:
كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَ بَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَ لِسَانَهُ الَّذِي يَنْطِقُ بِهِ
…Aku menguasai pendengaran yang ia dengar dengannya, penglihatan yang ia melihat dengannya dan lidah yang ia berbicara dengannya… (Al Kafi, Kitabul Iman, J 2, ms 352, H 7)

Jika seseorang telah mengetahui Keagungan Allah, pastinya ia akan tunduk kepadaNya.  Secara naluri, manusia akan tunduk dihadapan yang agung.  Hal ini disebabkan ia mengetahui bahawa dirinya tidak sempurna dan dihadapannya adalah yang sempurna.  Ia akan tunduk di hadapan yang sempurna.  Namun sering kali manusia salah dalam mengenali wujud yang sempurna.  Akhirnya kebanyakkan manusia menyembah kepada yang disangkakan sebagai Tuhan.

Dari empat makna Takbir, hanya makna ketiga sahaja yang sesuai dengan Tauhid yang murni.  Allahu Akbar, Allah Maha Agung dari apa yang disifati.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *