Pelajaran 3 – Syarat Utama Kehidupan Manusia

PELAJARAN 3 – Syarat Utama Kehidupan Manusia

Pendahuluan

Pada pelajaran yang lepas kami telah jelaskan secara mudah tentang kepentingan mencari agama dan usaha untuk mengenali agama yang hak, dan ia berdasarkan kepada dorongan naluri manusia untuk mencari kebahagiaan dan keamanan dari segala bahaya. Dorongan itu boleh ditemukan oleh setiap manusia di dalam dirinya sendiri. Dengan ungkapan lain, setiap manusia mempunyai ilmu huduri yang tidak mungkin salah.

Dalam pelajaran ini kami berusaha untuk membuktikan persoalan yang sama akan tetapi dengan cara yang lain yang berdasarkan kepada pendahuluan-pendahuluan yang lebih teliti, untuk sampai kepada satu kesimpulan bahawa sesungguhnya setiap orang yang tidak mencari agama, tidak berpikir tentangnya dan tidak percaya pada satu pandangan dan ideologi yang benar, maka tidak akan sampai pada kesempurnaan manusia. Bahkan pada hakikatnya, orang seperti itu tidak boleh dianggap sebagai manusia yang sebenar. Dengan kata lain syarat utama bagi kehidupan manusia itu adalah mempunyai pada pandangan dunia dan ideologi yang betul.

Dalil ini dijelaskan dalam bentuk kias Istina’ yang berasaskan kepada analisis mantik yang khas tentang hukum-hukum praktikal akal dan perlunya kembali kepada kias Illat(penyebab) untuk mencapai kepada ma’lul(natijah yang diinginkan) seperti mana yang telah dijelaskan pada tempatnya.

Dalil yang dibahaskan dalam pelajaran ini boleh dijelaskan sebegini: Jika mencapai kesempurnaan manusia adalah fitrahnya manusia, maka perlu mengenali prinsip pandangan dunia yang merupakan syarat yang utama dalam kesempurnaan roh manusia. Akan tetapi mencapai kesempurnaan memang sebuah fitrah, maka perlu mengenali prinsip-prinsip tersebut.

Dalil ini berdasarkan kepada tiga pendahuluan, iaitu:

Pertama, manusia adalah makhluk pencari kesempurnaan.

Kedua, kesempurnaan manusia boleh dicapai melalui perlakuan ikhtiari (atas pilihan sendiri) yang dilakukan berdasarkan kepada kesedaran dan akal yang sihat.

Ketiga, hukum-hukum akal yang praktil terbentuk dari pengetahuan-pengetahuan teori yang khas, yang paling penting di antaranya ialah tiga prinsip pandangan dunia iaitu: pengetahuan akan sumber wujud (Tauhid), pengetahuan akan akhir kehidupan (Ma’ad) dan pengetahuan akan jalan keselamatan yang dapat mengarah kepada sistem yang menjamin kebahagiaan (Kenabian). Singkat kata, mengenal wujud, mengenal manusia dan, mengenal jalan hidup.

Kita mulakan pembahasan ini dengan menjelaskan tiga prinsip-prinsip tersebut satu-persatu.

Manusia Makhluk Pencari Kesempurnaan

Jika setiap orang perhatikan pelbagai motif yang ada dalam jiwa dan kecenderungan-kecenderungannya, dia akan menemukan bahawa kebanyakan motif utama tersebut adalah keinginan meraih kesempurnaan. Secara asasnya tidak ada seorang pun yang menyukai adanya kekurangan pada dirinya dan dia berusaha untuk menghilangkan sebarang kekurangan dan kecelaan dan kecacatan dirinya sehinggalah dia dapat mencapai kesempurnaan yang diinginkan, dan sebelum dia dapat menghilangkan segala kekurangannya itu, dia akan berusaha semampu yang mungkin untuk merahsiakannya dari orang lain.

Apabila motif ini berjalan sesuai dengan nalurinya yang sihat, ia akan meningkatkan kesempurnaannya, baik yang bersifat materi atau pun maknawi. Tetapi apabila motif ini menyimpang dari jalannya kerana faktor-faktor dan situasi-situasi yang tertentu maka ia akan melahirkan pelbagai sifat buruk seperti bongkak, sombong, riya’ dan lain-lain.

Dengan demikian dapat kita ketahui bahawa keinginan kepada kesempurnaan merupakan faktor yang kuat di dalam jiwa setiap manusia dan biasanya cabang dan penampilannya diperhatikan secara sedar, akan tetapi jika direnungkan sebentar, kita akan menyedari bahawa punca kepada semua sikap itu adalah kerana cinta kepada kesempurnaan.

Akal sebagai Kesempurnaan Manusia

Proses perkembangan dan kesempurnaan pada tumbuhan itu bersifat paksaan dan bergantung kepada wujudnya pelbagai faktor dan kondisi di luar diri mereka. Sebuah pohon tidak tumbuh dengan kehendaknya sendiri, ia tidak menghasilkan buah-buahan sesuai dengan kehendaknya, kerana tumbuhan tidak memiliki akal dan kehendak. Berbeza dengan binatang; ia mempunyai kehendak dan ikhtiar dalam menempuh kesempurnaannya, akan tetapi kehendak dan ikhtiarnya itu timbul dari naluri haiwani semata-mata, di mana proses dan aktivitinya terbatas hanya kepada keperluan-keperluan alamiahnya saja dan atas dasar perasaan yang terhad dan terbatas kepada kadar kemampuan tubuh badan setiap haiwan.

Adapun manusia, di samping memiliki segala kelebihan yang dimiliki tumbuhan dan binatang, dia pun memiliki dua keistimewaan lainnya yang bersifat rohani. Dari satu sisi, keinginan fitrah dan semula jadinya tidak terbatas kepada keperluan-keperluan alami dan material, dan dari sisi lain dia memiliki kekuatan akal yang dapat memperluaskan pengetahuannya sehingga kepada dimensi-dimensi yang tak terbatas. Keistimewaan seperti inilah yang menjadikan kehendak manusia itu boleh melebihi dari sempadan-sempadan material yang terhad dan bergerak terus ke satu tujuan yang tidak terbatas.

Sebagaimana kesempurnaan yang dimiliki oleh tumbuhan boleh berkembang dengan perantaraan potensinya yang khas dan kesempurnaan yang dimiliki oleh binatang itu boleh dicapai dengan kehendaknya yang muncul dari naluri dan deria pancainderanya, begitu juga pula halnya dengan manusia, kesempurnaan khas manusia pada hakikatnya terletak pada kesempurnaan roh yang dapat dicapai melalui kehendaknya secara sedar dan garis panduan akalnya yang sihat, iaitu akal yang telah mengenali pelbagai tujuan dan ketika ia berdepan dengan pelbagai pilihan, akal akan memilih sesuatu yang lebih baik.

Dengan itu perbuatan manusia itu sebenarnya dibentuk oleh kehendak yang muncul dari kenginan-keinginan yang muncul dari kecenderungan-kecenderungan khas manusia dan berdasarkan kepada garis panduan akal.  Dan perbuatan yang dilakukan kerana motif haiwani semata-mata adalah perbuatan yang bersifat haiwani, sebagaimana gerakan yang timbul dari kekuatan mekanik dalam tubuh manusia merupakan sebuah gerak fizikal semata-mata.

Hukum Praktikal Akal Perlu kepada Asas-asas Teori

Perbuatan (ikhtiari) merupakan wasilah untuk mencapai hasil yang diinginkan. Dan nilai hasil tersebut bergantung kepada nilai tujuannya yang memberikan kesan ke atas kesempurnaan rohnya. Sekiranya sesebuah perbuatan menyebabkan kehilangan sebuah kesempurnaan rohnya, maka ia mempunyai nilai yang negatif.

Jadi akal dapat menilai dan menghukum perbuatan ikhtiar apabila ia telah mengetahui tentang kesempurnaan manusia dan peringkat-peringkatnya dan mengetahui bagaimanakah hakikat wujud manusia dan sampai mana dimensi-dimensi yang melingkupi kehidupannya dan sampai peringkat kesempurnaan manakah yang mungkin boleh dicapai oleh manusia. Dengan kata lain, akal perlu mengetahui dimensi-dimensi kewujudan manusia dan apakah tujuan penciptaannya.

Oleh kerana itu, mencari ideologi yang benar (nilai-nilai moral yang mengatur perbuatan ikhtiar manusia) bergantung kepada memiliki pandangan yang benar mengenai dunia dan menjawab pelbagai persoalan yang berhubungan dengannya. Selagi persoalan-persoalan ini tidak dijawab, maka ia tidak mungkin dapat menentukan nilai perbuatan tersebut secara pasti. Begitu juga, selagi akal tidak mengetahui apakah tujuan hidup, maka ia tidak akan dapat menentukan jalan yang sepatutnya ditempuhi demi mencapai tujuan tersebut. Jadi, mengenali teori-teori ini yang merupakan masalah utama dalam pandangan mengenai dunia sebenarnya ia merupakan dasar dan asas utama bagi nilai-nilai dan hukum-hukum praktikal akal.

Kesimpulan

Berdasarkan pendahuluan-pendahuluan di atas tadi, kita dapat membuktikan kepenting usaha mencari agama dan menemukan ideologi dan pandangan yang benar mengenai dunia melalui dalil berikut ini:

Bahawa secara fitrahnya, setiap manusia memiliki kecenderungan untuk memiliki kesempurnaan insaninya dan sampai kepada kesempurnaan hakikinya dengan melakukan pelbagai perbuatan. Akan tetapi, untuk mengetahui perbuatan-perbuatan manakah yang membolehkannya untuk capai kepada tujuan yang diinginkan, terlebih dahulu dia perlu mengenali puncak kesempurnaannya. Puncak kesempurnaan ini hanya dapat dikenali setelah dia telah mengenali hakikat dirinya serta awal dan akhir perjalanan hidupnya, kemudian dia juga perlu mengenal pasti baik positif atau pun negatif hubungan antara pelbagai perbuatannya dengan pelbagai tingkat kesempurnaannya, supaya dia dapat menemukan jalannya yang tepat untuk mencapai kesempurnaannya. Selagi dia belum mengetahui mengenali teori ini( prinsip pandangan mengenai dunia ini), dia tidak akan dapat menemukan sistem perlakuan (ideologi) yang benar.

Dengan demikian, usaha mencari dan mengenali agama yang hak yang mencakupi ideologi dan pandangan dunia yang benar amatlah penting, kerana tanpanya, seseorang tidak akan dapat mencapai kesempurnaannya yang hakiki. Dan setiap perbuatan yang dilakukan bukan berdasarkan kepada nilai-nilai moral dan ideologi seperti ini tidak boleh dianggap sebagai perbuatan yang insani. Mereka yang malas dan enggan mencari agama yang benar, atau mereka yang telah mengetahui kebenaran namun mengingkarinya kerana kedegilan dan kebenciannya dan tunduk sepenuhnya kepada keinginan haiwani dan kenikmatan duniawi yang cepat berlalu, pada hakikatnya mereka tidaklah lebih dari seekor binatang sahaja. Allah SWT mengatakan tentang mereka bahawa:

“Mereka itu bersenang-senang dan pekerjaannya hanyalah makan dan minum seperti binatang-binatang ternakan.” (QS. Muhammad: 12).

Hanya kerana menyia-nyiakan potensi insani dan anugerah Ilahi itu, mereka akan menerima balasan dan seksa yang pedih dan mengerikan di akhirat kelak. Allah swt. berfirman:

“Biarkanlah mereka itu di dunia ini makan dan bersenang-senang dan dilalaikan oleh angan-angan kosongnya, kelak mereka akan mengetahui akibat dari perbuatannya itu.” (Qs. Al-Hijr: 3).