Pelajaran 2 – Pencarian Agama

PELAJARAN 2 – Pencarian Agama

Motivasi Pencarian

Salah satu keistimewaan manusia berbanding makhluk lainnya adalah manusia mempunyai motivasi fitrah untuk mengenali hakikat dan mengetahui pelbagai kebenaran dan fitrah ini telah mula kelihatan sejak zaman kanak-kanak dan berterusan sehingga akhir usianya. Fitrah ini yang dikenali juga sebagai rasa ingin tahu (curiosity) boleh mendorong seseorang untuk mencari agama yang benar dan memikirkan pelbagai persoalan yang bersangkutan dengannya, contohnya:

Apakah ada kewujudan yang bersifat nonmaterial dan ghaib? Sekiranya ada, apakah ada hubungan antara alam ghaib dengan alam materi ini? Jika benar ada hubungan di antara kedua-duanya, apakah wujud nonmateri itu adalah pencipta alam materi ini? Apakah kewujudan manusia itu terbatas hanya pada fizikal badan ini saja? Apakah hidupnya terbatas pada kehidupan di dunia ini? Atau ada kehidupan lain? Jika ada kehidupan lain, apakah ada hubungan antara kehidupan duniawi ini dan kehidupan ukhrawi? Jika hubungan itu ada, persoalan-persoalan duniawi apakah yang dapat menentukan urusan akhirat? Apakah cara untuk mengetahui tatacara hidup yang benar, iaitu sistem yang dapat menjamin kebahagiaan manusia, baik di dunia atau di akhirat kelak? Dan yang terakhir, apakah bentuk sistem dan undang-undang tersebut?

Oleh itu, naluri rasa ingin tahu itu merupakan motivasi pertama yang mendorong seseorang untuk mencari jawapan kepada pelbagai persoalan, termasuklah yang berkaitan dengan agama.

Motivasi kedua yang juga sangat kuat membangkitkan keinginan seseorang untuk mengetahui pelbagai hakikat adalah rasa ingin memenuhi pelbagai keperluan yang ada hubungannya dengan satu atau beberapa fitrah selain fitrah rasa ingin tahu. Pelbagai keperluannya itu tidak dapat dicapai kecuali dengan memperolehi pengetahuan yang tertentu. Dan ilmu sains telah banyak membantu manusia dalam mencapai keinginannya dan jika agama itu juga dapat membantu untuk memenuhi segala keperluannya dan meraih apa yang diinginkan, manfaat dan kebaikan serta melindungi dirinya dari bahaya yang mengancamnya, sudah pasti agama itu akan disukainya dan rasa ingin manfaat dan lari dari kerugian akan menjadi elemen pendorong utama yang lain untuk mengkaji tentang agama.

Akan tetapi, memandangkan pengetahuan yang berhubungan dengan hal ini sangat luas sekali, dan syarat-syarat untuk mengetahui semua hakikat itu juga masih belum dipenuhi, maka kemungkinan besar seseorang itu akan memilih masalah dan persoalan yang paling mudah untuk dijawab dan yang lebih mudah dirasai dan paling mudah dicapai, dan dia akan menghindari dari berusaha mengkaji masalah berkaitan agama kerana dia menyangkakan perkara itu sangat rumit untuk diselesaikan, atau dia meyakini bahawa masalah-masalah agama itu tidak akan membuahkan hasil ilmu yang penting. Atas dasar itu, kami perlu menjelaskan betapa pentingnya masalah-masalah agama, bahkan mengkaji masalah apa pun selain agama tidak akan memiliki nilai sebesar nilai yang dimiliki oleh masalah-masalah agama.

Kita perhatikan bahawa sebahagian ahli Psikologi meyakini bahawa beragama dan beribadah kepada Allah itu sebenarnya adalah satu kecenderungan fitrah itu sendiri, yang secara asasnya disebut sebagai rasa beragama. Mereka menempatkan rasa beragama sebagai naluri keempat manusia, di samping naluri rasa ingin tahu (kuriositi), rasa ingin berbuat baik (etika) dan rasa ingin keindahan.

Dengan membawakan bukti-bukti sejarah dan data-data arkeologi, para pakar itu mengatakan bahawa rasa beragama dan beribadah kepada Allah adalah fenomena yang sentiasa wujud dalam apa saja bentuk pada setiap generasi manusia sepanjang sejarah. Fenomena ini adalah bukti kuat bahawa masalah beragama adalah sebuah naluri dan fitrah manusia.

Keumuman naluri beragama ini tidak bermaksud bahawa hal itu sentiasa ada dan hidup dalam diri setiap manusia dan akan mendorongnya secara sedar kepada tujuan-tujuannya, bahkan kemungkinan besar fitrah itu tertimbun di dalam jiwanya kerana faktor-faktor sekitarnya dan pendidikan yang salah, atau dia menyimpang dari jalan yang lurus, sebagaimana hal-hal ini pun sedikit sebanyak boleh terjadi ke atas naluri dan kecenderungan lainnya.

Berdasarkan pandangan ini dapat kita ketahui bahawa mencari agama mempunyai naluri tersendiri pada diri setiap manusia dan tidak perlu lagi membuktikan keberadaannya dengan dalil. Pandangan ini dapat dikuatkan dengan dalil-dalil dari Al-Qur’an dan Hadis yang berhubungan dengan naluri beragama. Akan tetapi, kerana kesan naluri dan kecenderungan seperti itu tidak dapat dirasakan secara sedar, seseorang mungkin akan mengingkari kewujudan naluri sebegini dalam dirinya ketika dia melakukan perdebatan. Oleh kerana itu, kami tidak sepenuhnya bersandarkan kepada pandangan ini. Kami hanya akan membahaskan dan menjelaskan kepentingan mencari agama berdasarkan dalil-dalil aqli (rasional).

Pentingnya Mencari Agama

Dari penjelasan di atas jelas bahawa dorongan naluri untuk mengetahui pelbagai hakikat dari satu sisi, dan motivasi untuk meraih keuntungan dan keamanan dari segala bahaya dari sisi lain, telah menjadi alasan kuat bagi seseorang untuk memikirkan dan menghasilkan pelbagai keyakinan.

Oleh kerana itu, ketika seseorang mengetahui tentang hal ehwal orang-orang besar dalam sejarah yang mendakwa mereka itu diutus oleh Pencipta alam semesta ini untuk menghidayah umat manusia menuju kebahagiaan dunia dan akhirat, dan mereka telah mengerahkan segala kemampuan mereka untuk menyampaikan risalah Ilahi dan memberikan petunjuk kepada umat manusia, bahkan mereka bersedia untuk menanggung pelbagai tentangan dan kesusahan, sehinggakan mereka mempertarohkan nyawa mereka demi tujuan mulia ini, sudah pasti orang itu dengan dorongan naluri tersebut, akan tergerak hatinya untuk mencari agama dan melihat sejauh mana kebenaran dakwaan orang-orang besar itu. Apakah mereka membawa dalil yang kuat untuk membela dakwaan tersebut? Terutamanya ketika dia mengetahui bahawa dakwah dan risalah para nabi itu memberikan janji kebahagiaan abadi, di samping wujud juga peringatan tentang seksaan yang abadi. Bermaksud, menerima dakwah mereka itu akan memberikan kemungkinan untuk mendapat keuntungan yang abadi. Begitu juga, menolak dakwah itu akan mendatangkan kemungkinan yang lain, iaitu kerugian dan kesengsaraan yang abadi. Maka tidak ada alasan lagi bagi orang ini untuk tidak mengendahkan masalah agama dan tidak mahu mencari kebenarannya.

Ya, mungkin saja sebahagian orang tidak tergerak hatinya untuk mencari agama kerana merasa malas dan ingin hidup senang serta suka sambil lewa, atau kerana dia meyakini bahawa agama itu akan mewajibkan pelbagai peraturan dan mencegah mereka dari melakukan apa yang mereka inginkan.

Sesungguhnya orang-orang yang mempunyai pemikiran seperti ini akan ditimpa pelbagai akibat buruk kerana sikap malas dan rakusnya itu dan akhirnya dia akan mendapat azab dan balasan yang abadi.

Orang-orang seperti ini lebih dungu dan jahil dari anak kecil yang sakit yang menolak untuk berubat dengan doktor kerana takut untuk minum ubat yang pahit, sedangkan kematian sedang mengancam dirinya. Perkara ini terjadi kerana anak kecil tersebut belum capai tingkat kesedaran yang dapat membezakan mana yang berguna dan mana yang berbahaya untuk dirinya. Selain itu, menolak saranan doktor tidak akan menghasilkan apa-apa selain kehilangan sementara rasa senang dalam hidupnya di dunia. Sedangkan orang-orang yang telah baligh mempunyai kemampuan untuk berfikir dan membezakan mana yang bermanfaat dan mana yang tidak untuk dirinya, serta dapat menimbangkan antara kenikmatan sementara dan azab yang abadi. Dalam perumpamaan Al-Qur’an, orang-orang yang lalai seperti itu lebih sesat dari binatang yang diternak:

Sesungguhnya mereka itu bagaikan binatang ternakan bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (QS. Al-A’raf: 179).

Sesungguhnya seburuk-buruk binatang itu di sisi Allah adalah orang-orang yang tuli dan bisu yang tidak berfikir.” (QS. Al-Anfal: 22).

Menjawab Sebuah Keraguan

Mungkin ada sebahagian orang yang tidak mahu berfikir dan mencari agama dengan memberikan alasan seperti berikut: Sepatutnya tenaga dan waktu ini digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin boleh diselesaikan. Akan tetapi kami tidak mempunyai harapan dan kemungkinan untuk dapat menyelesaikan masalah masalah-masalah ini oleh kerana ini kami mengutamakan untuk menggunakan waktu dan tenaga kami untuk kerja-kerja yang kemungkinan besar dapat kami selesaikan.

Jawapan:

Pertama kemungkinan dan harapan untuk menyelesainya masalah-masalah agama itu tidak lebih kecil daripada kemungkinan dan harapan dalam menyelesainya masalah-masalah ilmiah yang lain. Kita tahu bahawa masalah-masalah ilmiah itu telah membuahkan hasil setelah puluhan tahun lamanya; setelah para ilmuwan mengerahkan segala usaha mereka untuk mengatasi masalah ini.

Kedua: Nilai sebuah kemungkinan itu tidak diukur oleh satu indikasi saja, iaitu kuantiti kemungkinan. Tetapi perlu juga mengambil kira indikasi kemungkinan lain yang patut dipertimbangkan, iaitu kualiti kemungkinan tersebut. Misalnya, jika kemungkinan adanya keuntungan dalam suatu perniagaan adalah sebesar 5 %, sedang dalam usaha lainnya adalah sebesar 10 %, akan tetapi jumlah keuntungan yang mungkin dari perniagaan pertama itu sebesar 1000 ringgit, sedangkan keuntungan dari perniagaan yang kedua hanya sebesar 100 ringgit sahaja, maka perniagaan yang pertama itu lebih menguntungkan lima kali ganda berbanding dengan perniagaan yang kedua tersebut, sedangkan tahap kemungkinan perniagaan yang pertama itu hanya 5 % sahaja, iaitu separoh dari tahap kemungkinan yang ada pada perniagaan yang kedua.

Maka kerana keuntungan yang mungkin diperoleh dari mencari agama itu tidak terbatas, meskipun tahap kemungkinan untuk memperolehi hasilnya yang pasti adalah kecil, tatapi nilai pencarian dan pengerahan tenaga dalam usaha ini tetapi lebih besar dari nilai pencarian dalam jalan apa pun yang mempunyai hasil yang sedikit dan terbatas.

Meninggalkan pencarian dan kajian hanya dapat diterima akal sekiranya manusia telah yakin bahawa agama yang dicarinya itu adalah batil dan salah atau dia yakin bahawa masalah-masalah agama itu tidak mungkin dapat diselesaikan, akan tetapi persoalannya, dari mana keyakinan terhadap kebatilan sesebuah agama itu dapat diperolehi?