Mukaddimah Ketika seseorang berusaha mencari penyelesaian atas pelbagai persoalan utama pandangan dunia dan berusaha mengenal dasar-dasar agama yang benar, ia akan menghadapi beberapa pertanyaan, yaitu: pertama, cara apakah yang harus ia tempuh untuk memecahkan persoalan tersebut? Kedua, jalur apa sahaja yang tersedia untuk memperolehi pengetahuan yang sahih? Ketiga, manakah jalur yang harus dipilih untuk memperolehi pengetahuan tersebut?

Pelajaran 1 – Definisi Agama

PELAJARAN 1 – Definisi Agama

Definisi Agama

Tujuan penyusunan buku ini ialah menjelaskan akidah Islam yang dikenali dengan istilah usuluddin (prinsip-prinsip agama). Untuk itu, terlebih dahulu kami akan menjelaskan secara ringkas kalimah Din (agama) dan perkataan-perkataan lain yang berhubungan dengannya, kerana sebagaimana yang telah dibahaskan dalam ilmu Mantiq, kedudukan pembahasan definisi (Mabadi Tashawwuriyyah) mendahului pembahasan masalah yang lainnya.

Dari segi bahasa, perkataan din berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ketaatan dan balasan. Sedangkan dari segi istilah, din bermaksud kepercayaan kepada pencipta manusia dan alam semesta, serta kepada perintah-perintah praktikal yang sesuai dengan keimanan tersebut. Dari sinilah perkataan “La dini” (orang yang tak beragama) digunakan untuk orang yang tidak percaya kepada kewujudan pencipta alam secara mutlak, walaupun dia meyakini shudfah (kejadian yang tak bersebab-akibat) di alam ini, atau meyakini bahawa terciptanya alam semesta ini kerana pertembungan antara material semata-mata. Adapun perkataan al-mutadayyin (orang yang beragama) secara umumnya digunakan untuk orang yang percaya kepada kewujudan pencipta alam semesta ini, walaupun kepercayaan, perilaku dan ibadahnya bercampur dengan pelbagai penyimpangan dan khurafat. Dan kerana dasar inilah agama yang dianuti oleh umat manusia terbagi kepada dua; agama yang hak dan agama yang batil. Agama yang hak merupakan agama yang mempunyai kepercayaan-kepercayaan yang benar dan bertepatan dengan hakikat, dan ajaran-ajaran serta hukum-hukumnya diletak berdasarkan kepada asas yang kukuh dan dapat dibuktikan kesahihannya.

Usuluddin dan Cabang-cabangnya

Dari penjelasan ringkas di atas, jelas bahawa istilah din atau agama terdiri dari dua unsur utama: Pertama, akidah atau aqa’id (keyakinan-keyakinan) yang merupakan prinsip-prinsip utama agama. Kedua, hukum-hukum praktikal yang merupakan natijah dan bersesuaian dengan logik dan prinsip-prinsip agama tersebut.

Oleh kerana itu, adalah tepat sekali apabila bahagian akidah dalam setiap agama dinamakan sebagai usul (prinsip), dan bahagian ahkam (hukum-hukum) praktikal dinamakan sebagai furuk agama (cabang-cabang agama), sebagaimana para ulama Islam menggunakan kedua-dua istilah tersebut dalam bidang akidah dan hukum-hukum Islam.

Pandangan Mengenai Dunia dan Ideologi

Pandangan mengenai dunia (Ar-Ru’yah Al-Kauniyyah) dan ideologi adalah dua istilah yang berdekatan maksudnya. Salah satu makna pandangan mengenai dunia ialah keyakinan mengenai penciptaan, alam semesta dan manusia, bahkan mengenai wujud secara mutlak. Sedangkan makna ideologi, salah satunya ialah berkaitan dengan pandangan universal yang sama tentang sikap manusia. Berdasarkan dua makna ini, sistem akidah setiap agama boleh dianggap sebagai pandangan agama itu mengenai dunia . Dan sistem umum hukum praktikal agama itu dianggap sebagai ideologinya. Dan kedua-dua istilah ini diterapkan pada usuluddin dan furuk agama.

Akan tetapi, perlu diperhatikan bahawa istilah ideologi itu tidak merangkumi hukum-hukum juz’i (kecil), begitu juga dengan istilah pandangan mengenai dunia itu tidak merangkumi keyakinan-keyakinan yang juz’i. Perkara lain yang juga perlu diperhatikan ialah bahawa istilah ideologi kadang-kala digunakan untuk makna yang merangkumi pandangan mengenai dunia itu sendiri.

Pandangan Mengenai Dunia Ilahi dan Materialisme

Bagi umat manusia, terdapat pelbagai pandangan dan keyakinan mengenai penciptaan alam semesta ini. Akan tetapi, semua itu dari sudut keimanan atau pengingkaran terhadap alam metafizik boleh dibahagikan menjadi dua bahagian utama; pandangan dunia Ilahi dan pandangan dunia Materialisme.

Di zaman dulu penganut pandangan dunia Materialisme dikenali sebagai ath-thabi’i dan ad-dahri. Kadang-kadang juga disebut sebagai zindik dan mulhid (ateis). Sedangkan di zaman kita sekarang ini, mereka dikenal sebagai al-maddi (materialis). Dalam kaum materialis sendiri, terdapat pelbagai aliran-aliran yang berbeza. Yang paling terkenal di zaman kita sekarang ini adalah Materialisme Dialektika yang merupakan Falsafahnya Marxisme.

Dari penjelasan di atas jelaslah bahawa istilah pandangan mengenai dunia tidak terbatas hanya kepada kepercayaan agama sahaja, bahkan ia juga mempunyai makna yang lebih luas lagi, kerana istilah itu juga digunakan untuk pandangan al-hadiyyah (ateisme) dan madiyyah (materialisme), dan sama juga dengan istilah ideologi yang tidak hanya digunakan untuk sistem hukum suatu agama sahaja.

Agama Samawi dan Prinsip-Prinsipnya

Para ilmuan sejarah agama-agama, sosiologi dan antropologi berbeza pendapat mengenai cara kemunculan pelbagai agama yang berbeza. Tetapi berasaskan kepada sumber-sumber Islam perlu dikatakan bahawa agama tauhid muncul ketika kehadiran manusia pertama. Manusia pertama yang hadir di muka bumi ini adalah Adam as, nabi Allah dan penyeru ajaran tauhid (mengesakan Allah). Dan agama-agama musyrik muncul kerana penyimpangan, cita rasa dan kepentingan-kepentingan yang bersifat individu atau pun kelompok.

Agama-agama tauhid adalah agama-agama samawi dan nyata, dan ia mempunyai tiga prinsip umum, iaitu pertama: Iman kepada Allah Yang Esa. Kedua, iman kepada kehidupan abadi bagi setiap manusia di akhirat kelak dan menerima pembalasan dia atas amalan yang pernah dia lakukan ketika hidupnya di dunia. Ketiga, iman kepada para nabi dan rasul yang diutus oleh Allah untuk memberikan hidayah dan bimbingan kepada seluroh umat manusia menuju puncak kesempurnaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Pada dasarnya, tiga prinsip ini merupakan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang paling asas bagi manusia yang berakal. Iaitu, siapakah pencipta alam semesta ini? Bagaimanakah akhir kehidupan ini? Dan apakah cara untuk mengetahui sistem kehidupan yang terbaik?

Sistem kehidupan yang dibangunkan atas dasar wahyu pada hakikatnya adalah ideologi agama yang bersumberkan dari pandangan mengenai dunia Ilahi.

Kepercayaan-kepercayaan utama itu mempunyai pelbagai keperluan, konsekuensi dan perincian yang semuanya akan membentuk sebuah sistem akidah agama. Dan perselisihan dalam kepercayaan-kepercayaan ini adalah punca munculnya pelbagai agama dan mazhab. Seperti mana perselisihan tentang status kenabian sebahagian nabi-nabi Ilahi dan penentuan kitab yang asli menjadi sebab utama perselisihan di antara agama Yahudi, Nasrani dan Islam. Dan juga perselisihan-perselisihan lainnya tentang masalah akidah dan amal ibadah yang mana sebahagiannya tidak lagi sesuai dengan ajarannya utamanya. Contohnya, keyakinan orang-orang Nasrani terhadap Triniti yang jelas tidak sesuai dengan prinsip Tauhid, walaupun mereka telah berusaha untuk menjawabnya. Begitu juga perselisihan mengenai kepemimpinan dan penentuan khalifah setelah wafatnya Rasul saw; apakah penentuan khalifah itu adalah urusan Allah atau urusan manusia. Persoalan ini merupakan sebab utama berlakunya ikhtilaf antara mazhab Ahli Sunnah dan mazhab Syiah di dalam Islam.

Dengan demikian, Tauhid, Kenabian dan Ma’ad (Hari Kebangkitan) adalah kepercayaan-kepercayaan paling asas dalam semua agama samawi. Meskipun begitu, terdapat juga keyakinan dan kepercayaan yang timbul hasil dari analisis terhadap kepercayaan dan keyakinan sebelumnya dan boleh dikira sebagai keyakinan dan kepercayaan yang asas. Misalnya, keyakinan terhadap keberadaan Allah adalah satu asas, dan keyakinan terhadap keesaan-Nya dikira sebagai asas kedua, atau keyakinan terhadap kenabian Nabi Muhammad saw dikira sebagai asas yang lain dalam Islam. Keadilan Tuhan yang merupakan cabang keyakinan dari keyakinan dan kepercayaan Tauhid di anggap oleh sebahagian ulama Syiah asas yang berpisah dan bebas. Dan Imamah yang merupakan perbahasan sambungan dari Kenabian dikiran sebagai asas yang berpisah dan bebas. Sebenarnya, penggunaan perkataan asal (al-ashl) dalam kepercayaan-kepercayaan adalah mengikut kepada istilah dan penetapan dan tidak perlu dibahaskan lagi.

Oleh kerana itu, perkataan usuluddin boleh digunakan untuk dua istilah; umum dan khusus. Istilah umum usuluddin untuk semua kepercayaan dan akidah yang sahih. Sedang istilah khusus usuluddin digunakan hanya untuk keyakinan, kepercayaan dan akidah yang paling asas. Istilah usuluddin juga boleh digunakan secara mutlak untuk sebahagian dari kepercayaan dan akidah yang sama antara agama-agama samawi seperti tiga asas di atas tadi, iaitu Tauhid, Kenabian dan Kebangkitan. Adapun jika ditambahkan dengan satu atau pelbagai kepercayaan dan akidah yang lainnya, istilah yang biasa digunakan adalah usuluddin khusus. Begitu juga jika ditambahkan akidah dan keyakinan yang khas bagi mazhab tertentu, istilah yang digunakan adalah usul kepercayaan mazhab.