Perjalanan Dalam Tazkiyah 2

Dalam tulisan sebelumnya telah jelas bahawa setinggi mana pun darjat maknawi yang dicapai manusia dia tetap berhadapan dengan godaan hawa nafsu dan risiko tergelincir. Kerana itu manusia perlu sentiasa berwaspada dengan risiko tersebut dan mendapatkan jalan untuk menghadapinya. Jalannya adalah seperti berikut;

Pertama sentiasa meratap dan meminta kepada Allah SWT agar mendapat taufik dariNya untuk mendapat husnul khatimah(akibat baik). Riwayat dalam Mu’jam Rijal al-Ahadits jilid 2 hal 365 menceritakan tentang Ahmad bin Hilal al-Abarta’i. Ahmad adalah seorang pemimpin yang sangat soleh. Dia bahkan pernah menunaikan ibadah haji sebanyak 45 kali yang 20 darinya dilaksanakan dengan berjalan kaki ke tanah suci. Dia tergolong antara perawi Syiah di Iraq dan ramai yang meriwayatkan darinya. Tragiknya, akhirnya dia dicela oleh Imam Hasan al-Askari as kerana penyimpangannya. Kerananya Imam Hasan Askari mengirim surat peringatan kepada para pengikutnya di Iraq; “Berwaspadalah kalian dengan sufi palsu.”

 

Para pengikut Imam dan para perawi Syiah di Iraq semua tidak percaya bahawa Imam al-Askari as telah mencela Ahmad sehinggakan mereka mengutus Qasim bin Ala’ untuk bertanya tentang Ahmad ini. Imam Askari as segera mengeluarkan kenyataan yang mencela Ahmad lagi dan menyatakan berlepas tangan darinya. Tapi mereka masih juga tidak percaya sehinggakan mereka bertanya lagi, lalu Imam Askari as menyatakan;

 

لا شكر الله قدره، لم يدعُ المرء ربَّه بأَن لا يزيغ قلبه بعد أَن هداه، وأَن يجعل ما منَّ به عليه مُستقرّاً ولا يجعله مُسْتَوْدعاً.

“Dia tidak bersyukur kepada Allah atas kedudukannya. Orang itu tidak berdoa kepada Tuhannya agar Dia tidak membuat hatinya condong kepada kesesatan sesudah Dia memberinya petunjuk, dan supaya Dia meneguhkan untuknya apa yang telah Dia anugerahkan kepadanya dan agar Dia tidak menjadikannya hanya sebagai titipan belaka.”

 

Kedua, bertekad untuk tidak membiarkan titik hitam muncul di dalam hatinya. Tekad ini harus dibuktikan dengan cara meninggalkan maksiat dan dosa. Jika titik hitam ini sudah ada maka dia perlu berusaha menghilangkannya dengan cara bertaubat sebelum titik tersebut meluas dan membesar, kerana mungkin ia akan terus merebak dan menutup semua bagian hati sehingga dia pun terjerumus ke dalam jurang kehinaan untuk selamanya. Dalam kitab Wasa’il al-Syi’ah jilid 15 hal. 302, Bab 40 berkenaan dengan Jihad al-Nafs, Hadis no. 12 disebutkan riwayat bahawa Abu Basir berkata: Aku mendengar Aba Abdillah (Imam Jaafar as-Shodiq as) berkata;

 

إِذا أَذنب الرجل خرج في قلبه نكتة سوداء، فإِن تاب انمحت، وإِن زاد زادت حتى تغلب على قلبه، فلا يفلح بعدها أَبداً.

“Ketika seseorang berbuat dosa maka muncullah titik hitam dalam hatinya. Jika dia bertaubat maka terhapuslah titik itu, sedangkan jika bertambah maksiatnya maka bertambah juga titik itu sehingga menguasai hatinya, dan setelah itu maka dia tidak akan pernah beruntung lagi untuk selamanya.”

 

Dalam kitab yang sama hal. 303 hadis no. 16 juga diriwayatkan dari Zararah bahawa Muhammad al-Baqir as berkata;

 

ما من عبد إِلاَّ وفي قلبه نكتة بيضاء، فإِذا أَذنب ذنباً خرج في النكتة نكتة سوداء، فإِن تاب ذهب ذلك السواد، وإِن تمادى في الذنوب زاد ذلك السواد حتى يغطِّي البياض، فإِذا غطَّى البياض لم يرجع صاحبه إلى خير أَبداً، وهو قول الله عزَّ وجلَّ: ﴿ بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِم مَا كَانُوا يَكْسِبُون﴾.

“Tidak ada hamba kecuali dalam hatinya terdapat titik putih. Jika dia melakukan suatu dosa maka akan muncul titik hitam, tapi titik hitam itu akan hilang apabila dia bertaubat. Jika dia terus melakukan dosa maka titik hitam akan bertambah sehingga menutup yang putih. Jika yang putih sudah telah tertutup maka pemilik hati itu tidak akan kembali kepada kebaikan untuk selamanya, dan inilah firman Allah Azza wa Jalla; ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka (QS. al-Muthaffifin [83]: 14).’”

 

Dalam kitab Bihar al-Anwar jilid 78 hal. 195 disebutkan bahawa Imam Hasan Askari as meriwayatkan dari ayah dan datuknya bahawa Imam Jaafar Sadiq as dalam suratnya kepada seseorang berpesan;

 

إِن أَردت أَن يُختمَ بخير عملك حتى تُقبض وأَنت في أَحسن الأَعمال، فعظِّم لله حقَّه، أَن تبذل نعمائه في معاصيه، وأَن تغترَّ بحلمه عنك، وأَكرمْ كلَّ مَنْ وجدته يذكرنا أَو ينتحل مودَّتنا، ثُمَّ ليس عليك صادقاً كان أَو كاذباً، إِنَّما لك نيَّتك وعليه كذبه.

“Jika kamu ingin amal perbuatanmu berakhir dengan kebaikan sehinggalah rohmu dicabut ketika kamu dalam keadaan berbuat amalan yang terbaik maka agungkan hak Allah, jangan gunakan anugerah nikmatNya untuk berbuat maksiat kepadaNya, jangan lalai kerana Dia telah bersabar kepadamu, muliakanlah setiap orang yang kamu dapati mengenang kami atau berbicara tentang kecintaan kepada kami, tanpa perlu kamu mengetahui apakah dia jujur atau berdusta, kerana niatmu adalah untuk keuntunganmu sendiri sedangkan dustanya adalah celaka baginya.”

 

Setelah semua tunjang akidah dipenuhi, orang yang berjalan menuju Allah SWT memerlukan tiga prinsip berikut;

Pertama, kitab pedoman bagi amal perbuatannya, iaitu kitab suci al-Quran al-Karim, sepertimana ditegaskan dalam firman Allah SWT;

 

أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوب أَقْفالُهَا.

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran atau hati mereka telah terkunci? (QS. Muhammad [47]: 24)”

 

Kedua, ibadah ketika bersendirian dengan Allah SWT, iaitu mendirikan solat, sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT;

 

إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهى عَنِ الْفَحْشاءِ والمُنْكَرِ.

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar (QS. Al-Ankabut [29]: 45).”

 

Ketiga, berinteraksi dengan alam dan manusia, atau berhubungan dengan makhluk-makhluk Allah SWT. Yakni dia harus berusaha menyingkap rahsia alam serta mencari dan memanfaatkannya untuk kesejahteraan jasmani dan rohani umat, dengan itu dia telah berperan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.  Tentang ini Allah SWT berfirman;

 

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً.

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi (QS. Al-Baqarah [2]: 30). ”

 

Dari prinsip ketiga ini jelas bahawa aktiviti sosial dan saintifik bukan saja tidak bertentangan dengan tazkiyah, bahkan merupakan salah satu asas dalam tazkiyah. Dan dengannya dapat melihat perbezaan antara arif (sufi) sejati dan arif palsu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *