Pelajaran 14: Kiblat dan Pakaian Solat Kiblat

Pelajaran 14

KIBLAT DAN PAKAIAN SOLAT

KIBLAT

  1. Kaabah yang berada di kota Mekah dan di dalam Masjidil Haram adalah kiblat, dan pelaksana solat perlu melaksanakan solat dengan menghadap ke sana.
  2. Orang yang berada di luar kota Mekah dan berada jauh darinya; sekiranya berdiri dan boleh dikatakan bahawa solatnya menghadap kiblat, maka ini sudah mencukupi.

 

PAKAIAN SOLAT

Salah satu masalah yang perlu diperhatikan sebelum solat adalah pakaian. Sekarang mari kita melihat ukuran pakaian dan syarat-syaratnya.

Ukuran Pakaian

  1. Lelaki perlu menutup aurat dan lebih baik jika menutupnya bermula dari pusat sehingga ke lutut.
  2. Perempuan perlu menutupi seluruh badan kecuali:
  3. Tangan sampai pergelangan.
  4. Kaki sampai pergelangan.
  5. Wajah sekadar yang perlu dibasuh dalam wuduk.
  6. Perempuan tidak diwajibkan dalam solatnya untuk menutup kedua tangan dan kedua kaki serta wajah sekadar yang disebutkan di atas tadi, walaupun tidak bermasalah jika menutupnya
  7. Syarat-syarat pakaian solat adalah sebagai berikut:
  8. Suci (tidak najis).
  9. Mubah (bukan barang ghasab).
  10. Bukan bahagian dari anggota bangkai, misalnya bukan dari kulit haiwan yang disembelih tidak berdasarkan kepada syariat Islam, walaupun sekadar tali pinggang dan topi.
  11. Bukan dari haiwan yang dagingnya haram, misalnya dari kulit ular atau babi.
  12. Jika pelaksana solat adalah lelaki, dia tidak boleh memakai pakaian yang dibuat dari tenunan emas dan sutera asli.

Di antara syarat-syarat di atas, syarat pertama (pakaian perlu suci dan tidak najis) mungkin akan menjadi masalah bagi sesiapa saja, kerana jarang ada orang melakukan solat dengan pakaian ghasab atau pakaian dari bahagian tubuh bangkai. Oleh kerana itu, seterusnya kami akan menerangkan syarat pertama. Hanya perlu ditegaskan di sini bahawa selain pakaian, badan pelaku solat juga perlu suci.

Dalam situasi-situasi di bawah ini, hukum solat seseorang dengan badan atau pakaian yang najis adalah batal:

  1. Sengaja solat dengan badan atau pakaian najis. Yakni, sekalipun tahu bahawa badan atau pakaiannya adalah najis, tetapi dia tetap solat dalam keadaan sedemikian.
  2. Memandang remeh dalam mempelajari masalah-masalah atau hukum-hukum fikah sehingga dia solat dengan badan atau pakaian yang najis kerana tidak tahu hukumnya.
  3. Dia tahu bahawa badan atau pakaiannya najis, lalu terlupa sehingga melaksanakan solat dengan badan atau pakaian najis.

Dalam situasi-situasi di bawah ini, hukum solat seseorang dengan badan atau pakaian yang najis adalah sah:

  1. Dia tidak tahu bahawa badan atau pakaiannya najis, setelah solat baru dia sedar badan atau pakaiannya itu adalah najis.4
  2. Badan atau pakaiannya adalah najis kerana luka yang ada pada badannya dan susah untuk membasuh atau menggantinya.5
  3. Badan atau pakaiannya najis kerana darah, akan tetapi ukuran darah di pakaian itu kurang dari wang logam satu dirham.
  4. Dia terpaksa melakukan solat dengan badan atau pakaian najis, misalnya tidak ada air untuk bersuci.

Beberapa Masalah

  1. Jika pakaian-pakaian kecil pelaksana solat telah najis seperti: sarung tangan, stokin kaki atau sapu tangan kecil yang najis berada di poketnya; maka selagi ia bukan dari anggota bangkai atau binatang yang haram dagingnya maka solatnya tidak bermasalah.
  2. Memakai jubah, baju putih dan pakaian yang paling bersih dan memakai wangi-wangian serta cincin aqiq dalam solat adalah mustahab.
  3. Memakai pakaian hitam, kotor, ketat dan pakaian yang mempunyai gambar wajah dan terbukanya kancing-kancing baju adalah makruh.

Kesimpulan Pelajaran

  1. Kaabah yang berada di dalam Masjidil Haram di kota Mekkah adalah kiblat, dan pelaksana solat perlu melakukan solat dengan menghadap ke sana.
  2. Sekiranya pelaksana solat berdiri dan boleh dikatakan bahawa dia sedang melakukan solat dengan menghadap kiblat, maka ini sudah mencukupi.
  3. Lelaki dalam solatnya perlu menutup aurat, dan akan lebih baik jika dia menutupnya bermula dari pusat sehingga ke lutut.
  1. Perempuan dalam solat perlu menutup seluruh badan kecuali wajah dan kedua tangan sampai pergelangan dan kedua kaki sampai pergelangan.
  2. Badan dan pakaian pelaksana solat perlu dalam keadaan suci.
  3. Pakaian pelaksana solat perlu mubah dan bukan dari anggota bangkai dan haiwan yang haram dagingnya.
  4. Jika seseorang sebelumnya tidak tahu badan atau pakaiannya najis, lalu setelah selesai solat dia baru sadar, maka solatnya sah.
  5. Jika dia sebelumnya tahu bahawa badan atau pakaiannya najis kemudian lupa sehinggakan dia melakukan solat dengan badan atau pakaian najis tersebut, maka solatnya batal.