Pelajaran 12: Tayamum

Pelajaran 12

TAYAMUM (PENGGANTI WUDUK

DAN MANDI)

Tayamum diwajibkan ke atas seseorang yang dalam situasi-situasi di bawah ini:

  1. Tidak ada air atau tidak menemukan air.
  2. Air berbahaya bagi dirinya. Misalnya, kerana menggunakan air, dia dijangkiti dengan penyakit.
  3. Jika air digunakan untuk berwuduk atau mandi, dia atau isterinya atau anak-anaknya atau temannya atau orang-orang yang ada hubungan dengannya akan mati atau sakit kerana kehausan (begitu juga dengan haiwan-haiwan peliharaannya).
  4. Badan atau pakaiannya najis sedangkan air tidak cukup untuk menyucikannya dan dia juga tidak mempunyai baju yang lain.
  5. Tidak mempunyai waktu untuk berwuduk atau mandi.

Cara Bertayamum

Amalan-amalan tayamum:

  1. Meletakkan kedua tapak tangan secara serentak ke atas sesuatu yang sah untuk digunakan dalam tayamum.
  2. Mengusapkan kedua telapak tangan tadi ke seluruh dahi dan kedua sisinya; dimulai dari tempat tumbuhnya rambut sehingga ke permukaan kedua kening dan hujung bahagian atas hidungnya.
  3. Mengusapkan tapak tangan kiri ke seluruh bahagian atas tangan kanan.
  4. Mengusapkan tapak tangan kanan ke seluruh bahagian tangan kiri.

Seluruh amalan tayamum perlu dilakukan dengan niat tayamum dan untuk melaksanakan perintah ilahi, begitu juga perlu jelas tayamum diambil sebagai ganti wuduk atau sebagai ganti mandi.

Benda-Benda yang Boleh Digunakan untuk Bertayamum:

  • Tanah.
  • Kerikil
  • Batu-batuan seperti: batu marmar, batu kapur (sebelum dimasak).
  • Tanah yang sudah dimasak; seperti batu bata, pasu dari tanah liat.

Beberapa Masalah

  1. Tidak ada beza antara tayamum sebagai pengganti wuduk dengan tayamum sebagai pengganti mandi kecuali pada niatnya.
  2. Jika seseorang melakukan tayamum sebagai pengganti wuduk lalu berlakunya sesuatu yang membatalkan wuduk, maka tayamumnya batal.
  3. Jika seseorang melakukan tayamum sebagai pengganti mandi lalu berlaku salah satu dari penyebab mandi wajib seperti janabah atau menyentuh mayat, maka tayamumnya akan batal.
  4. Tayamum seseorang itu sah jika dia tidak boleh mengambil wuduk atau mandi. Oleh kerana itu, jika dia bertayamum tanpa keuzuran, maka tayamumnya tidak sah. Begitu juga jika dia bertayamum kerana ada keuzuran kemudian keuzurannya hilang, misalnya dia tidak mempunyai air untuk berwuduk atau mandi kemudian setelah tayammum dia telah mendapatkan air, maka tayamumnya akan batal.
  5. Seseorang yang melakukan tayamum sebagai pengganti mandi janabah tidak perlu berwuduk untuk solat. Namun, jika tayamumnya sebagai pengganti selain mandi janabah, maka dia tidak boleh solat dengan tayamum tersebut, bahkan dia juga perlu berwuduk. Dan jika dia juga tidak boleh berwuduk, maka dia perlu bertayamum untuk kali kedua sebagai pengganti wuduk.

Syarat-syarat Sahnya Tayamum

  1. Anggota tayamum perlu suci, yakni dahi dan kedua tangan.
  2. Dahi dan kedua belakang tangan disapu dari atas ke bawah.
  3. Benda yang dipakai untuk bertayamum perlu suci dan mubah.
  4. Menjaga tertib.
  5. Menjaga muwalat.
  6. Ketika mengusap, tidak ada penghalang antara tangan dan dahi, begitu juga antara tapak tangan dengan belakang tangan.

Kesimpulan Pelajaran

  1. Seseorang tidak mempunyai air, atau tidak boleh mendapatkan air, atau mempunyai keuzuran dalam menggunakan air, maka dia perlu bertayamum sebagai pengganti wuduk dan mandinya.
  2. Dalam bertayamum, dahi dan kedua belakang tangan perlu diusap dengan tapak tangan.
  3. Bertayamum dengan tanah, kerikil, batu dan tanah yang sudah dimasak hukumnya sah.
  4. Tayamum, baik sebagai pengganti mandi atau pun pengganti wuduk, tidak ada perbezaan dengan mandi dan wuduk kecuali pada niatnya.
  5. Jika tayamum sebagai pengganti wuduk, maka apa saja yang membatalkan wuduk akan membatalkannya juga. Begitu juga jika tayamum sebagai pengganti mandi, maka apa saja yang menyebabkan mandi batal akan membatalkannya juga.
  6. Bertayamum tanpa uzur adalah tidak sah.
  7. Dalam bertayamum, wajib menjaga tertib dan muwalat. Selain itu, anggota tayamum dan benda yang digunakan untuk bertayamum perlulah suci.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *