Pelajaran 11: Pelaksanaan Mandi

Pelajaran 11

PELAKSANAAN MANDI

Dalam pelaksanaan mandi, seluruh badan dan kepala serta leher perlu dibasuh, baik mandi wajib seperti: mandi janabah atau pun mandi mustahab, seperti mandi hari Jumaat. Dengan kata lain, dalam melaksanakan semua macam mandi, tidak ada perbezaan kecuali pada niat.

Mandi boleh dilaksanakan seperti berikut:

Cara-cara Mandi:

  1. Mandi tartibi (secara berurutan):
    1. Pertama membasuh kepala dan leher.
    2. Lalu membasuh setengah badan bahagian kanan
    3. Kemudian membasuh setengah badan bahagian kiri.
  2. Mandi irtimasi (menyelam):
    1. Dengan niat mandi, tenggelamkan badan keseluruhannya serentak ke dalam air sehingga seluruh badan dan kepala berada di dalam air.
    2. Atau membenamkan diri secara bertahap ke dalam air, sehingga di akhirnya seluruh badan dan kepala berada di dalam air.
    3. Atau masuk ke dalam air, kemudian menggerakkan badan dengan niat mandi.

Keterangan:

Mandi boleh dilaksanakan dengan dua cara; tartibi dan irtimasi. Pada mandi tartibi, pertama sekali basuh kepala dan leher, kemudian setengah badan bahagian kanan, dan setelah itu setengah badan bahagian kiri.

Dalam mandi irtimasi, seluruh badan dan kepala berada di dalam air secara serentak. Oleh kerana itu, untuk melaksanakan mandi irtimasi, perlu kepada air yang cukup supaya boleh memasukkan seluruh badan dan kepala ke dalamnya.

Syarat Sahnya Mandi

  1. Seluruh syarat yang ditetapkan untuk sahnya wuduk juga berlaku dalam sahnya mandi, kecuali muwalat. Juga tidak perlu menyiram badan dari atas ke bawah.
  2. Orang yang diwajibkan beberapa mandi boleh melakukan semua mandi bersama dalam satu mandian dengan beberapa niat mandi yang wajib.
  3. Seseorang yang telah melaksanakan mandi janabah; jika hendak menunaikan solat, maka dia tidak perlu berwuduk lagi. Akan tetapi selain mandi janabah, maka untuk menunaikan solat dia perlu berwuduk terlebih dahulu.
  4. Dalam mandi irtimasi, seluruh badan perlu dalam keadaan suci. Akan tetapi dalam mandi tartibi, seluruh badan tidak perlu suci. Dan jika setiap bahagian dari badan yang hendak dibasuh itu disucikan terlebih dahulu, maka itu sudah mencukupi.
  5. Mandi jabirah sama seperti wuduk jabirah, hanya berdasarkan ihtiyath wajib, mandi ini perlu dilakukan secara tartibi.
  6. Orang yang sedang berpuasa wajib tidak boleh mandi irtimasi, kerana orang yang berpuasa tidak boleh memasukkan seluruh kepalanya ke dalam air. Akan tetapi, jika dia mandi irtimasi kerana lupa, puasanya tetap sah.
  7. Dalam keadaan mandi, seluruh badan tidak perlu digosok dengan tangan, tetapi cukup hanya dengan niat mandi dan air sampai ke seluruh badan.

Mandi Menyentuh Mayat

  • Jika sebahagian dari anggota badan seseorang telah bersentuhan dengan badan mayat yang sudah sejuk jasadnya dan belum dimandikan, maka dia perlu mandi menyentuh mayat.
  • Menyentuh badan mayat di bawah ini tidak menyebabkan wajib mandi:
    1. Mayat orang yang mati syahid di medan perang, yakni orang yang menghembuskan nafas terakhirnya di medan perang.
    2. Mayat yang badannya masih panas dan belum sejuk.
    3. Mayat yang sudah dimandikan.
  • Mandi menyentuh mayat perlu dilakukan seperti mandi janabah. Akan tetapi, orang yang telah mandi menyentuh mayat perlu berwuduk jika dia hendak menunaikan solat.

Mandi Mayat

  • Setiap orang mukmin yang meninggal dunia; wajib atas para mukallaf untuk memandikan, mengapankan, mensolati, dan menguburkannya. Jika sebahagian mukallaf telah melaksanakannya, maka gugurlah kewajiban melakukannya ke atas yang lain.
  • Mayat perlu dimandikan tiga kali:

Pertama, dengan air yang dicampur dengan daun bidara.

Kedua, air yang dicampur dengan kapur.

Ketiga, dengan air mutlak.

  • Mandi mayat dilakukan seperti mandi janabah, dan berdasarkan ihtiyath wajib, seboleh yang mungkin mayat dimandikan secara tartibi dan bukan secara irtimasi.

Mandi yang Khusus bagi Perempuan

– Haid, Nifas, Istihadhah:

  1. Darah yang keluar ketika perempuan melahirkan anak adalah darah nifas.
  2. Darah yang keluar dari perempuan pada hari-hari period adalah darah haid.
  3. Ketika perempuan telah suci dari darah haid dan nifas perlu mandi untuk solat dan ibadah- ibadah yang memerlukan kepada kesucian.
  4. Darah lain yang keluar dari perempuan adalah darah istihadhah. Dan dalam sebahagian jenis dari darah istihadhah ini, dia perlu mandi untuk melakukan solat dan ibadah-ibadah yang memerlukan kepada kesucian.

Kesimpulan Pelajaran

  1. Dalam mandi, seluruh badan perlu dibasuh; secara tartibi atau irtimasi.
  2. Syarat sahnya mandi adalah seperti syarat sahnya wuduk, kecuali muwalat dan membasuh anggota-anggota mandi dari atas ke bawah.
  3. Orang yang telah mandi janabah tidak perlu berwuduk untuk solat, kecuali jika ketika atau setelah mandi berlakunya hal-hal yang membatalkan wuduk.
  4. Seseorang yang wajib melakukan beberapa mandi boleh mandi sekali sahaja dengan beberapa niat mandi wajib, bahkan pada waktu itu juga dia boleh niat mandi mustahab; seperti mandi Jumaat.
  5. Menyentuh sebahagian dari anggota badan mayat akan mewajibkan mandi menyentuh mayat.
  6. Jika sebahagian dari anggota badan seseorang menyentuh tubuh mayat yang syahid, atau mayat yang belum sejuk, atau mayat yang sudah dimandikan, maka dia tidak diwajibkan mandi menyentuh mayat.
  7. Jika seorang mukmin meninggal dunia, dia perlu dimandikan tiga kali kemudian dikapankan kemudian disolati, setelah itu dikuburkan.
  8. Mandi mayat iaitu:
  • Mula-mula, mandi dengan air bidara.
  • Lalu, mandi dengan air kapur.
  • Lalu, mandi dengan air murni.

9. Mandi haid, mandi nifas dan mandi istihadhah adalah mandi yang diwajibkan khusus bagi perempuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *