Kepentingan Tazkiyah Nafs

Sebagaimana yang diketahui “takiyah nafs” bermaksud menyucikan diri. Ada yang mengatakan bahawa tazkiyah merupakan suatu proses yang berperingkat. Bagi orang yang belum masuk Islam, contohnya, menerima dan memeluk Islam merupakan langkah pertama dalam tazkiyah, manakala bagi orang yang sudah beriman, langkah pertamanya ialah mempunyai kesedaran penuh bahawa diri dan jiwanya perlu bersih dan suci. Ada juga peringkat-peringkat dalam taubat di mana seorang mukmin bertekad untuk menebus pelbagai kesalahan dan kesilapannya di masa lalu, baik terhadap haknya Allah atau terhadap hak sesama manusia.

 

Tazkiyah nafs tentunya merupakan satu kewajipan, namun ramai orang yang mengabaikan, sedangkan banyak bencana dan kesengsaraan umat manusia berlaku kerana mengabaikan masalah kerohanian dan tazkiyah nasf. Seiring dengan perjalanan waktu, roh kita dicemari dengan pelbagai kenodaan dan kotoran yang akan merosakkan dan mengeruhkan kepekaan kita sebagai seorang insan yang sepatutnya menghambakan diri kepada Sang Pencipta. Kenodaan dan kotoran  ini terus berkumpul dan menutup kesedaran keagamaan, kasih sayang kepada sesama sendiri, dan banyak sifat-sifat kemanusiaan dan fitrah yang lainnya. Sifat-sifat ini terhakis kerana dorongan dan kecenderungan untuk tunduk kepada syaitan, hawa nafsu, ketamakan dan pengkhianatan.

 

Takziyah nafs adalah pembersihan dan penyucian jiwa dan rohani sama seperti mana manusia setiap saat menjaga dan merawat kebersihan jasmaninya. Para nabi dan rasul diutus dengan misi untuk mengajarkan tiga perkara kepada manusia dan salah satu darinya adalah menyucikan manusia dari sifat-sifat kotor dan tercela. Tazkiyah yang bererti pembersihan atau penyucian mempunyai dua kategori; tazkiyah jasmani dan tazkiyah rohani. Kategori pertama dapat dibahagikan lagi menjadi tiga bahagian; pertama, pembersihan badan dari kotoran yang berasal dari badan sendiri; kedua, penyucian dari najis; dan ketiga, pembersihan dari kotoran yang melekat pada tubuh.

 

Sedangkan tazkiyah rohani ialah pembersihan jiwa dari pelbagai sifat dan perangai buruk yang merupakan sebahagian dari perangai dan sifat syaitan. Tazkiyah ini membawa manusia menuju kepada kebahagiaannya. Kerana itu, Allah SWT dalam al-Quran berfirman bahawa tazkiyah nafs dan pencarian kesempurnaan adalah persoalan tentang spiritual, dan secara terang-terangan dan tanpa sebarang metafora Quran lagi menyeru manusia kepada tazkiyah nafs dan ketakwaan. Dalam rangka ini al-Quran menggunakan perkataan “tazkiyah nafs” sebanyak 25 kali.

 

Dalam ajaran Islam tazkiyah nafs dan pencapaian tingkat-tingkat kesempurnaan rohani dipandang sebagai perkara yang sangat penting dan perlu, kerana memang inilah tujuannya manusia diciptakan oleh Allah SWT. Ruh manusia adalah ibarat tanah yang akan kekeringan dan tidak bermanfaat sekiranya tidak disirami dengan kelebihan akhlak dan kesempurnaan spiritual. Allah SWT tak perlu bersumpah menyebutkan tentang hakikat tazkiyah, tapi kenyataannya Allah telah bersumpah sebanyak 11 kali demi menunjukkan betapa pentingnya hakikat ini bagi manusia.

 

Sudah pasti kelebihan akhlak akan tercapai setelah berlakunya proses penyucian jiwa dari pelbagai watak syaitan yang dicela, dan perli diingat bahawa tazkiyah nafs merupakan proses penyembuhan jiwa dari pelbagai penyakit rohani dan kembalinya jiwa ke jalan yang lurus yang patut diikuti oleh manusia.

Hanya insan-insan yang memahami hakikat alam yang menyedari betapa pentingnya tazkiyah nafs dan menuju kepada kesempurnaan rohani. Demi mencapai tujuan ini mereka bahkan rela menyerahkan semua harta benda dan bahkan kewujudannya di dunia ini, kerana mereka tahu bahawa hakikat nilai kesempurnaan rohani yang melebihi segalanya. Bahkan Tazkiyah nafs juga mendatangkan ketenangan dan ketenteraman hidup di dunia.

 

Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib as dalam sebuah ungkapannya yang terkenal berkata;

 

.إلهي ما عبدتك خوفاً من نارك، ولا طمعاً في جنّتك، ولكنّي وجدتك أهلاً للعبادة فعبتك

 

“Ya Tuhanku, aku beribadah kepadaMu bukan kerana takut kepada nerakaMu dan bukan pula kerana ketamakan kepada surgaMu, tetapi kerana aku menemukanMu layak untuk disembah maka aku menyembahMu.”

 

Dalam pandangan Imam, sekiranya tidak ada harapan untuk masuk syurga dan tidak juga takut kepada neraka, yakni sekiranya di hari kiamat tak ada pahala dan azab tetapi Imam akan  tetap perlu mengejar kesempurnaan akhlak dan rohani.

 

Salah satu tugas terpenting bagi setiap orang untuk menyambut kedatangan Imam Mahdi as ialah menerima kewujudan suci beliau, dan penerimaan ini tidak mungkin dapat dilakukan kecuali dengan penyucian jiwa. Kerana itu semua orang wajib berusaha untuk menyembuhkan penyakit-penyakit rohani, meraih keyakinan yang sebenar, menyucikan jiwa, dan meraih kesempurnaan rohani dan insani. Dan kejayaan dalam bertazkiyah bergantung pada usaha keras dan sepenuhnya untuk penyembuhan rohani dan pendakian tangga maknawi.

 

Ada banyak penyakit rohani yang boleh merosakkan kesejatian roh manusia. Ayatullah Dastghib dalam kitabnya Jihad ba Nafs menyebutkan dalam 70 penyakit utama dan kedua, antara lain; dengki, takabur, tamak, kedekut, hasad, cinta dunia, mengingkari kebenaran, bodoh, putus asa, menganiaya, dendam, dan keras hati.

 

Penyakit-penyakit rohani seperti inilah yang akan menutup mata hati manusia sehingga tidak mampu melihat hakikat dan tak dapat melihat keindahan alam maknawi. Untuk membuka mata hati dan menyembuhkan semua penyakit itu, langkah pertama yang harus dilalui oleh seseorang sebagai peniti jalan menuju Allah adalah membangun kesedaran mengenai apa sebenarnya tujuan Allah menciptakan dirinya dan alam semesta. Wallahu A’lam bissawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *