Apakah Benar Solat Mencegah Maksiat?

Untuk membahaskan  kepentingnya sembahyang atau solat dalam proses tazkiyah, pertama kita lihat firman Allah SWT;

… أَقِمِ الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

“…Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah adalah lebih besar. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”[1]

 

Kita mungkin tertanya-tanya apakah makna pemberitahuan Allah SWT dalam firmanNya ini bahawa solat mencegah perbuatan keji dan mungkar? Kerana kita tahu bahawa solat yang dilaksanakan kebanyakan orang tidak mencegah mereka dari perbuatan maksiat. Ramai orang solat tapi masih melakukan maksiat dan dosa.

Zahirnya ini yang kelihatan, tetapi pada hakikatnya solat betul-betul boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar. Cuma setakat mana ia mencegah dari dari perbuatan itu bergantung pada kualiti kehadiran dan kekhusyukan di hadapan tuhan ketika mendirikan solat. Bayangkan, bagaimana mungkin seseorang boleh bersuka rela dan senang hati dapat menghadap seorang raja lima kali sehari contohnya, dan di situ dia selalu menyaksikan keagungan dan kebesarannya,  apakah dia tidak terdorong untuk meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh raja itu, walaupun hanya sebahagian darinya? Sudah tentu sedikit banyak ada kecenderungan dalam dirinya untuk mematuhi sang saja.

Nah, jika kehadiran di hadapan hanya seorang raja sahaja juga boleh menimbulkan kecenderungan yang sedemikian maka kehadiran di hadapan Yang Maha Kuasa tentu saja pengaruhnya akan lebih besar, dan sifatNya sebagai Maha Pengasih juga kadang-kala membuatkan sebahagian hambanya cenderung dan berani berbuat maksiat kepadaNya.

Tahap pencegahan orang yang solat dari perbuatan keji dan mungkar bergantung pada tahap kehadiran jiwanya di hadapan Allah SWT. Semakin kecil dan lemah kehadirannya, semakin lemah juga tahap pencegahannya. Kerana itu, sekiranya dia meninggalkan solat maka dia akan semakin mudah terperosok ke jurang maksiat dan dosa. Sebaliknya, orang yang sempurna kehadirannya di hadapan Allah SWT dalam menunaikan solat atau dengan kata lain dia mendirikan solat dalam erti yang sebenarnya maka pencegahan dirinya dari perbuatan keji dan mungkar boleh mencapai atau menghampiri tahap kemaksuman.

Mengenai gambaran bagaimana seorang manusia dapat menunaikan solat dengan tahap khusyuk yang sempurna, Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa suatu hari Rasulullah saw mendapat hadiah dua ekor unta betina. Satu ekornya beliau jadikan sebagai hadiah untuk orang paling khusyuk dan tak teringat pada masalah duniawi dalam solat dua rakaat. Orang yang paling khusyuk ternyata adalah Imam Ali as sehinggakan Rasul saw bukan menyerahkan satu unta bahkan baginda menyerahkan kedua-dua ekor unta tersebut kepada Imam Ali as.[2]

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa suatu hari kaki Imam Ali as terkena panah, dan untuk mengeluarkan anak panah dari kakinya itu tanpa rasa sakit dia mendirikan solat. Dan benar, imam sangat khusyuk dalam solat sehinggakan dia seolah-olah tidak merasa sakit ketika orang lain mencabut panah itu dari kakinya.[3] Al-Faidh al-Khasyani menyebutkan peristiwa ini bahawa Sayyidah Fatimahlah yang menyuruh orang-orang supaya mencabut panah itu ketika Imam Ali as solat.

 

أخرجوه في حال صلاته، فإنّه لا يحسّ بما يجري عليه.

“Keluarkan panah itu ketika dia sedang solat, sungguh dia tidak akan merasakan apa yang terjadi padanya,” pinta Sayyidah Fatimah kepada mereka.[4]

 

Solat dalam makna sebenarnya wujud kelaziman dalam mentaati Allah SWT sehinggakan pelaksananya akan tercegah dari perbuatan keji dan mungkar, sebagaimana disebutkan dalam sabda Rasulullah saw;

 

لا صلاة لمن لم يطع الصلاة، وطاعة الصلاة أن ينتهي عن الفحشاء والمنكر.

“Tiada solat bagi orang yang tidak menaati solat, dan ketaatan kepada solat berakhir dengan menghentikan perbuatan keji dan mungkar.” [5]

 

Riwayat lain dari Imam Jaafar as-Sadiq as menjelaskan bagaimana kita dapat mengetahui apakah solat kita diterima atau tidak dengan cara melihat sejauh mana kesan dan pengaruh solat dalam perilaku kita seharian. Imam berkata;

 

من أحبّ أن يعلم أقُبلت صلاته أم لم تقبل فلينظر هل منعت صلاته عن الفحشاء والمنكر، فبقدر ما منعته قبلت منه.

“Barangsiapa ingin mengetahui apakah solatnya diterima atau tidak maka lihatlah apakah solatnya mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar. Solatnya diterima sejauh mana solat itu mencegahnya dari perbuatan itu.” [6]

 

Solat juga diibaratkan sebagai air sungai jernih yang mengalir di depan rumah di mana setiap Muslim setiap hari diwajibkan untuk datang ke sungai itu untuk mandi dan membersihkan kotoran dari dirinya sehari lima kali. Imam Jafar as-Sadiq as meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda;

 

لو كان على باب دار أحدكم نهرٌ، فاغتسل في كلِّ يوم منه خمس مرّات أكان يبقى في جسده من الدرن شيء ؟ قلنا: لا، قال: فإنّ مثل الصلاة كمثل النهر الجاري كلّما صلّى صلاة كفّرت ما بينهما من الذنوب.

“Jika di depan rumah seorang di antara kalian ada sungai dan dia mandi lima kali sehari di situ, apakah di badannya masih akan ada kotoran?” Kami berkata; “Tidak.” Beliau bersabda; “Sesungguhnya solat adalah ibarat sungai yang mengalir, setiap kali dia menunaikan solat, maka solat itu menutup dosa-dosa yang ada di antara dua solat.”[7]

 

[1] QS. Al-Ankabut [29]: 45.

[2] Bihar al-Anwar, jilid 41, hal. 18.

[3] Tafsir Namuneh, jilid 4, hal. 428, dan Anwar al-Mawahib, hal. 160.

[4] Al-Mahajjah al-Baidha’, jilid 1, hal. 397 – 398.

[5] Tafsir Namuneh, jilid 16, hal. 286 – 287.

[6] Ibid.

[7] Al-Wasa’il, jilid 4, hal. 12, Bab 2 tentang jumlah solat fardu, hadis 3.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *