Pelajaran 8: Syarat-syarat Wuduk

Pelajaran 8

SYARAT-SYARAT WUDUK

Wuduk  akan sah dengan syarat-syarat di bawah ini. Sudah pasti jika kurang salah satu dari syarat-syarat tersebut, wuduk seseorang menjadi tidak sah.

Syarat-syarat Wuduk

  1. Syarat-syarat air dan tempat air:
    1. Air Wuduk mestilah suci (tidak najis).
    2. Air Wuduk mestilah mubah; bukan hasil rampasan (gha-sab).*
    3. Air Wuduk mestilah air mutlaq (bukan air mudhaf).
    4. Tempat air Wuduk mestilah mubah, bukan barang rampasan (ghasab).
    5. Tempat air Wuduk bukan dari emas dan perak.
  1. Syarat-syarat anggota Wuduk :
    1. Mestilah suci.
    2. Tidak ada penghalang yang menghalang air dari sampai ke anggota.
  1. Syarat-syarat cara berwuduk :
    1. Menjaga tertib (keteraturan dan urutan antara amalan wuduk sebagaimana yang telah disebutkan dalam amalan-amalan wuduk ).
    2. Menjaga muwalat (di antara amalan-amalan wuduk tidak ada jarak waktu sehingga merosak kesatuan wuduk ).
    3. Melakukan amalan wuduk dengan sendiri dan tidak meminta tolong orang lain.
  1. Syarat-syarat pelaksana Wuduk :
    1. Dia tidak ada halangan untuk menggunakan air.
    2. Berniat wuduk untuk mendekatkan diri kepada Allah Swt. (bukan dengan niat riak).

 

Syarat-syarat Air Wuduk  dan Tempatnya

  1. Tidak sah berwuduk dengan air najis dan air mudhaf, baik pelaksana tahu atau tidak, ataupun lupa bahawa air itu najis atau mudhaf.
  2. Air Wuduk mestilah mubah. Maka, dalam keadaan-keadaan di bawah ini, wuduk seseorang tidak sah:
    1. Berwuduk dengan air yang pemiliknya tidak reda (ketidakrelaannya diketahui dengan jelas).
    2. Air tidak jelas adakah pemiliknya reda atau tidak.
    3. Air yang diwakafkan secara khusus seperti kolam di suatu sekolah dan tempat wuduk di sebahagian hotel dan sebagainya.
  3. Berwuduk di sungai-sungai besar tidak bermasalah, walaupun pelaksana wuduk tidak pasti; apakah pemiliknya reda atau tidak, akan tetapi jika pemiliknya melarang, berdasarkan ihtiyath wajib dia tidak boleh berwuduk di sana.
  4. Jika air wuduk berada di tempat hasil rampasan (ghasab), lalu dia berwuduk dengannya, maka hukum wuduk sebegini tidak sah.

 

Syarat-syarat Anggota Wuduk

  1. Anggota wuduk mestilah suci ketika dibasuh dan diusap.
  2. Jika ada penghalang pada anggota wuduk (anggota yang dibasuh) sehingga menghalang sampainya air kepadanya, atau pada anggota yang diusap, maka penghalang itu mestilah dihilangkan terlebih dahulu.
  3. Coretan pen, warna, minyak dan krim, jika hanya tinggal warnanya sahaja tanpa ada zatnya, maka ia tidak dianggap sebagai penghalang air Wuduk . Akan tetapi jika masih ada zatnya (dan menghalang kulit), maka ia perlu dihilangkan.

 

Syarat-syarat Cara Berwuduk

  1. Tertib: Amalan-amalan wuduk perlu dilakukan berdasarkan kepada urutan di bawah ini:
    1. Membasuh wajah
    2. Membasuh tangan kanan
    3. Membasuh tangan kiri
    4. Mengusap kepala
    5. Mengusap kaki kanan
    6. Mengusap kaki kiri

Jika tertib wuduk di atas ini tidak dijaga, maka wuduknya tidak sah, sekalipun kaki kanan dan kaki kiri telah diusap secara bersamaan.

 

  1. Kesinambungan (Muwalat)
    1. Muwalat iaitu mengerjakan secara bersambung dan tidak ada jarak waktu pemisah di antara amalan-amalan wuduk .
    2. Jika di antara amalan-amalan wuduk terdapat jarak waktu pemisah di mana ketika hendak membasuh atau mengusap satu anggota wuduk, anggota-anggota wuduk yang sudah dibasuh atau diusap sebelumnya telah kering, maka wuduk yang sedemikian adalah tidak sah.

 

  1. Tidak Boleh Meminta Pertolongan Orang Lain
    1. Seseorang yang mampu berwuduk, maka tidak boleh meminta pertolongan orang lain. Oleh kerana itu, jika orang lain membasuh wajah dan kedua tangannya atau mengusap kepala dan kakinya, wuduknya tidak sah.
    2. Seseorang yang tidak mampu berwuduk, dia perlu mencari pengganti supaya dia melakukan wuduk untuknya. Jika pengganti meminta upah dan dia mampu membayar, maka berikanlah upah kepadanya, akan tetapi dia sendiri tetap perlu berniat untuk wuduk .

 

Syarat-syarat Pelaksana Wuduk

  1. Jika seseorang tahu atau bimbang bahawa berwuduk akan membuatnya sakit, maka dia perlu bertayamum. Dan jika dia tetap berwuduk, maka wuduknya tidak sah. Namun, jika dia tidak tahu bahawa air berbahaya bagi dirinya lalu dia berwuduk dengannya, kemudian baru dia tahu bahawa air itu ternyata berbahaya bagi dirinya, maka wuduknya sah.
  2. Wuduk perlu dilakukan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah Swt. Yakni, berwuduk dengan niat mengerjakan perintah Allah Swt.
  3. Niat tidak perlu diucapkan dengan kata-kata atau di lintas di dalam hati, bahkan sekadar sedar bahawa dirinya sedang berwuduk sudah mencukupi. Yakni jika dia ditanya, “Kamu sedang melakukan apa?”, dia akan menjawab, “Saya sedang berwuduk”.

 

Masalah: Jika waktu solat terlalu sempit sehinggakan jika dia berwuduk, seluruh atau sebahagian dari solatnya dilaksanakan di luar waktunya, maka dia perlu bertayamum.

 

Kesimpulan Pelajaran

  1. Air Wuduk mestilah suci, mutlak dan mubah. Maka, hukum berwuduk dengan air najis dan air mudhaf dalam keadaan apa pun tidak sah, baik najisnya air atau mudhaf-nya air itu diketahui ataupun tidak.
  2. Berwuduk dengan air ghasab, jika diketahui bahawa air tersebut adalah air ghasab, maka wuduknya tidak sah.
  3. Jika anggota wuduk najis, maka wuduknya tidak sah. Begitu juga, jika terdapat penghalang yang menghalangi sampainya air ke anggota wuduk .
  4. Jika tertib dan muwalat wuduk tidak dijaga, maka wuduknya tidak sah.
  5. Seseorang yang mampu berwuduk , dia tidak boleh meminta tolong orang lain dalam membasuh dan mengusap.
  6. Wuduk perlu dilakukan dengan niat menunaikan perintah Allah Swt.
  7. Jika seseorang hendak Berwuduk dan akan mengakibatkan seluruh atau sebahagian dari solat dilaksanakan di luar waktunya, maka dia perlu bertayamum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *