Pelajaran 7: Wuduk

Pelajaran 7

WUDUK

Setelah belajar mukadimah solat yang paling awal, iaitu menyucikan badan dan pakaian dari benda-benda najis, kita akan menjelaskan mukadimah kedua, iaitu Wuduk . Sebelum melakukan solat, pelaksana solat mestilah berwuduk dan mempersiapkan dirinya untuk menunaikan ibadah yang agung ini. Bahkan dalam keadaan tertentu, diwajibkan mandi terlebih dahulu; bermaksud membasuh seluruh badan. Jika tidak boleh berwuduk atau mandi, maka dia perlu melakukan amalan penggantinya, iaitu tayamum sebagaimana akan diterangkan hukum setiap satunya dalam pelajaran ini dan pelajaran yang akan datang.

 

Cara Berwuduk

Untuk berwuduk , mula-mula perlu membasuh wajah kemudian membasuh tangan kanan kemudian tangan kiri. Setelah membasuh ketiga anggota ini, sapu kepala dengan sisa air dari tapak tangan. Yakni, sapu tapak tangan kanan pada kepala dan teruskan dengan sapu kaki kanan, dan akhirnya sapu kaki kiri dengan sisa air di tangan kiri. Untuk memahami lebih lanjut perhatikan penjelasan amalan-amalan wuduk  di bawah ini:

Amalan-amalan Wuduk

  1. Membasuh:
  2. Wajah: Ukuran panjangnya dari tempat tumbuhnya rambut sampai ke dagu, dan ukuran lebarnya antara hujung ibu jari sampai hujung jari tengah. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan tapak tangan di tengah-tengah muka.
  3. Tangan kanan: Dari siku sampai hujung jari.
  4. Tangan kiri: Dari siku sampai hujung jari.
  5. Sapu:
  6. Kepala: Bahagian depan di atas dahi.
  7. Kaki kanan: Atas kaki dari hujung jari sampai tonjolan kaki di bahagian atas.
  8. Kaki kiri: atas kaki dari hujung jari sampai tonjolan kaki di bahagian atas.

 

Keterangan Amalan-amalan Wuduk

Membasuh

  1. Ukuran wajib dalam membasuh wajah dan kedua tangan adalah sebagaimana di atas. Akan tetapi, untuk lebih yakin, basuhlah yang wajib dan basuhlah lebih sedikit di sekitarnya.
  2. Berdasarkan ihtiyath wajib, membasuh wajah mestilah dari atas ke bawah. Jika membasuh wajah dilakukan sebaliknya, maka wuduk tidak sah.

Mengusap

Mengusap Kepala

  1. Tempat diusap: Sebahagian dari kepala yang berada di atas dahi (kepala bahagian depan).
  2. Ukuran yang wajib diusap: Sekadar orang dapat melihatnya dan mengatakan bahawa dia telah mengusap kepalanya.
  3. Ukuran mustahab yang diusap: Selebar tiga jari yang rapat dan sepanjang satu jari.
  4. Boleh mengusap dengan tangan kiri.
  5. Mengusap tidak perlu sampai kulit kepala, bahkan mengusap rambut di bahagian depan kepala sudah sah, kecuali jika rambutnya terlalu panjang sehinggakan ketika di sikat ia akan mengurai ke arah wajah, maka dalam situasi ini mestilah mengusap kulit kepala atau pangkal rambut.
  6. Mengusap rambut di selain tempat yang telah ditentukan adalah tidak sah, walaupun rambut dikumpulkan di atas tempat yang telah ditetapkan.

Mengusap Kaki

  1. Tempat Diusap: Atas kaki.
  2. Ukuran yang wajib diusap: Atas kaki dari hujung jari sampai tonjolannya. Lebarnya: Cukup sekadar selebar satu jari.
  3. Ukuran mustahab yang diusap: Seluruh atas kaki (dari hujung jari kaki sampai pergelangannya).
  4. Kaki kanan disapu terlebih dahulu sebelum mengusap kaki kiri. Akan tetapi, tidak perlu mengusap kaki kanan dengan tangan kanan dan kaki kiri dengan tangan kiri.

Hukum-hukum yang Sama dalam Mengusap Kepala dan Kaki

  1. Dalam mengusap kepala dan kaki, tangan yang perlu bergerak. Jika tangan tidak bergerak bahkan kepala atau kaki yang bergerak, maka wuduknya tidak sah. Tetapi ketika sedang dibasuh tangan dan kepala atau kaki bergerak sedikit, ia tidak membatalkan wuduk.
  2. Jika tidak ada sisa air di tapak tangan untuk mengusap, maka tidak boleh membasahkan tangan dengan air yang lain, akan tetapi perlu mengambil dari sisa air yang ada di anggota wuduk yang lain.
  3. Ukuran air di tangan untuk mengusap adalah cukup sekadar ia boleh memberikan kesan basah di kepala dan kaki.
  4. Tempat diusap (kepala dan atas kaki) mestilah kering. Oleh kerana itu, jika tempat diusap basah, maka ia mestilah dikeringkan terlebih dahulu. Akan tetapi, jika ia basah hanya sedikit sahaja sehinggakan ia tidak akan menghalang pengaruh basahan tangan pada tempat diusap, maka ia tidak bermasalah.
  5. Mestilah tidak ada penghalang antara tangan dan kepala atau kaki seperti tudung, topi atau stoking kaki dan sepatu, walaupun ia sangat tipis sehinggakan air basahan boleh sampai pada kulit yang diusap (kecuali jika terpaksa).
  6. Tempat yang diusap mestilah suci. Oleh kerana itu, jika letak usapan najis dan tidak mungkin untuk disucikan, maka hendaknya bertayamum.8

Kesimpulan Pelajaran

  1. Wuduk bermaksud membasuh muka dan tangan dan mengusap kepala dan kaki dengan syarat-syarat yang akan datang.
  2. Berdasarkan ihtiyath wajib, muka dan kedua tangan mestilah dibasuh dari atas ke bawah.
  3. Dalam berwuduk , setelah membasuh muka dan kedua tangan, perlu mengusap kepala bahagian depan dan atas kedua kaki.
  4. Ukuran wajib mengusap kepala adalah sekadar dapat dikatakan bahawa pengambil wuduk telah mengusap kepala.
  5. Mengusap kepala perlu dilakukan pada kepala bahagian depan di atas dahi.
  6. Mengusap atas kedua kaki sekadarnya saja sudah cukup, walaupun lebarnya hanya satu jari, tetapi ukuran panjangnya yang perlu diusap ialah dari hujung jari kaki sampai tonjolan atas kaki.
  7. Dalam mengusap mestilah:
    1. Tangan yang ditarik bergerak.
    2. Tempat diusap suci.
    3. Tidak ada penghalang di antara tangan dan tempat diusap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *