Pelajaran 4: Bagainmana Sesuatu yang Suci Boleh Menjadi Najis?

Pelajaran 4

BAGAIMANA SESUATU YANG SUCI

BOLEH MENJADI NAJIS?

Pada pelajaran yang lepas, telah dijelaskan bahawa semua yang ada di alam ini hukumnya adalah suci, kecuali beberapa benda sahaja. Walaupun begitu, sesuatu yang suci boleh  menjadi najis kerana  bersentuhan dengan benda najis. Ini berlaku dengan syarat salah satu dari kedua-duanya (benda yang suci atau benda yang najis) basah dan kebasahannya salah benda tersebut telah berpindah kepada yang satu lagi.

  • Jika benda yang suci bersentuhan dengan benda najis dan salah satu dari kedua-duanya basah dan memberikan kesan kepada yang lain dengan kebasahannya, maka benda yang suci itu akan menjadi najis.
  • Masalah-masalah di bawah ini dihukum sebagai suci:
    • Tidak pasti; apakah benda yang suci telah bersentuhan atau tidak dengan benda yang najis.
    • Tidak pasti; benda yang suci dan benda najis itu basah atau tidak.
    • Tidak pasti; kebasahan salah satunya telah memberikan kesan dan berpindah kepada yang satu lagi atau tidak.

Beberapa Masalah

  • Jika seseorang tidak tahu benda yang tadinya suci telah menjadi najis atau belum, maka hukumnya adalah suci dan tidak wajib untuk memeriksanya, walaupun boleh diketahui ianya najis atau suci.
  • Haram memakan dan meminum sesuatu yang najis.
  • Jika seseorang melihat orang lain memakan sesuatu yang najis atau solat dengan baju yang najis, dia tidak wajib memberitahu kepadanya.

Benda-benda yang Boleh  Menyucikan

Bagaimana sesuatu yang terkena najis boleh menjadi suci? Semua yang terkena najis boleh  kembali menjadi suci dengan benda-benda yang menyucikan. Benda-benda yang dapat menyucikan adalah:

  1. Air
  2. Tanah
  3. Sinar matahari.
  4. Islam
  5. Hilangnya najis.

Air boleh  menyucikan sesuatu yang terkena najis. Air mempunyai banyak jenis. Mengenali pelbagai jenis air akan membantu kita untuk mempelajari masalah-masalah yang berkaitan dengan lebih mudah.

Jenis-jenis Air

  1. Air mudhaf.
  2. Air mutlaq:
    • Air perigi
    • Air yang mengalir
    • Air hujan
    • Air yang tidak mengalir:
      1. Kur (banyak).
      2. Qalil (sedikit).

Air mudhaf adalah air yang diambil dan diperah dari sesuatu seperti air epal dan air tembikai, atau air yang sudah bercampur sehingga tidak boleh dikatakan lagi bahawa itu air yang murni seperti sirup.

Dan air mutlaq adalah air yang selain mudhaf.

Hukum Air Mudhaf

  1. Tidak boleh menyucikan sesuatu yang najis (tidak termasuk antara benda yang boleh menyucikan).
  2. Akan menjadi najis jika bersentuhan dengan benda yang najis, walaupun bau atau warna atau rasanya tidak berubah.
  3. Tidak sah berwuduk dan mandi dengannya.

Jenis-jenis Air Mutlaq

Air mutlaq adalah air yang keluar dari bumi, atau turun dari langit, atau tidak keluar dari bumi juga tidak turun dari langit. Air yang turun dari langit disebut air hujan, dan air yang keluar dari bumi, jika ia mengalir maka ia dipanggil sebagai air mengalir, dan jika ia tidak mengalir maka dipanggil sebagai air perigi. Air yang tidak keluar dari bumi juga tidak turun dari langit disebut sebagai air yang bertakung. Air takungan; jika ukurannya banyak, maka dipanggil sebagai air kur (banyak), dan jika sedikit, maka ia dipanggil sebagai air qalil (sedikit).

Ukuran Air Kur (Banyak)

  1. Iaitu air yang berada dalam bekas atau kolam yang ukurannya adalah tiga jengkal setengah (kurang lebih 70 cm panjang, lebar dan tingginya).*
  2. Beratnya sekitar 377 hingga 419 kg.

Ukuran Air Qalil (Sedikit)

Air yang kurang dari ukuran kur dipanggil sebagai air qalil. Hanya air mutlaq yang boleh menyucikan sesuatu yang terkena najis. Boleh jadi air mudhaf boleh membersihkan kotoran, akan tetapi ia sama sekali tidak akan boleh menyucikan najis.

Pada pelajaran yang akan datang, kita akan mengenali hukum-hukum air mutlaq dan cara bersuci dengannya.

Kesimpulan Pelajaran

  1. Sesuatu yang boleh menyucikan boleh menyucikan semua benda yang terkena najis. Bermaksud tidak ada sesuatu yang terkena najis yang tidak boleh disucikan.
  2. Benda yang boleh menyucikan adalah air, tanah, sinar matahari, Islam dan hilangnya benda najis.
  3. Di antara yang boleh menyucikan adalah air, itu pun air mutlaq; bukan air mudhaf.
  4. Air yang keluar dari bumi dan bergerak adalah air mengalir . Air yang keluar dari bumi dan tidak mengalir adalah air perigi. Air yang tidak keluar dari bumi juga tidak turun dari langit adalah air takungan. Jika air yang bertakung itu banyak, ia disebut sebagai air kur (banyak), dan jika sedikit ia disebut qalil (sedikit).
  5. Jika berat air mencapai 377 hingga 419 kg, maka ia disebut sebagai air kur.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *