Tahrif Al-Quran Menurut Syiah

Tahrif al-Qur’an- Pengubahan al-Qur’an-(e-Fatwa) boleh didapati dalam buku-buku Sunni sendiri seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, al-Musnad dan lain-lain, tetapi ia disembunyikan daripada pengetahuan umum di Nusantara bagi tujuan menyesatkan Syiah kerana mempunyai al-Qur’an yang lain.

Tuduhan bahawa Syiah mempunyai al-Qur’an yang lain berbeza dengan al-Qur’an yang ada sekarang adalah propaganda musuh-musuh Ahlu l-Bait Rasulullah SAW terutamanya oleh Salafi/Wahabi. Persoalannya: Tidakkah Khalifah Umar bin al-Khattab sendiri yang telah berkata: “Janganlah seorang itu berkata aku telah mengambil keseluruhan al-Qur’an, apakah dia tahu keseluruhan al-Qur’an itu? Sesungguhnya sebahagian al-Qur’an telah hilang dan katakan sahaja aku telah mengambil al-Qur’an mana yang ada.” ?.
Tidakkah Aisyah RA menyatakan surah al-Ahzab (33): 56 pada masa Nabi SAW adalah lebih panjang iaitu dibaca “Wa’ala al-Ladhina Yusaluna al-Sufuf al-Uwal” selepas “Innalla ha wa Mala’ikatahu Yusalluna ‘Ala al-Nabi…” Aisyah RA berkata,”Iaitu sebelum Uthman mengubah mushaf-mushaf.” ? Tidakkah Hafsah RA telah mengimla’ “Wa Salati al-Asr” selepas surah al-Baqarah (2): 238, tetapi ia tidak tercatat di dalam al-Qur’an sekarang?.

Perlu dinyatakan bahawa buku-buku muktabar Sunni sendiri telah mencatat bahawa al-Qur’an di zaman Rasulullah SAW adalah berbeza dengan al-Qur’an yang dikumpulkan di dalam mushaf Uthman.

(i). Al-Bukhari di dalam Sahihnya, VI, hlm. 210 menyatakan (Surah al-Lail (92): 3 telah ditambah perkataan “Ma Khalaqa” Justeru, ayat yang asal ialah “Wa al-Dhakari wa al-Untha” tanpa “Ma Khalaqa”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu al-Darda’, kemudian ia dicatat pula oleh Muslim, Sahih,I, hlm. 565; al-Turmudhi, Sahih, V, hlm. 191.

(ii). Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 394; al-Turmudhi, Sahih, V, hlm. 191 menyatakan surah al-Dhariyat (51): 58 telah dipinda dari teks asalnya “Inni Ana r-Razzaq” kepada “Innallah Huwa r-Razzaq” iaitu teks sekarang.

(iii). Muslim, Sahih, I, hlm. 726; al-Hakim, al-Mustadrak, II, hlm. 224 meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ari, “Kami membaca satu surah seperti surah al-Bara’ah dari segi panjangnya, tetapi aku telah lupa, hanya aku mengingati sepotong dari ayatnya “Sekiranya anak Adam (manusia) mempunyai dua wadi dari harta, nescaya dia akan mencari wadi yang ketiga dan perutnya tidak akan dipenuhi melainkan dengan tanah.”

(iv). Al-Suyuti, al-Itqan, II, hlm. 82, meriwayatkan bahawa ‘Aisyah menyatakan surah al-Ahzab (33): 56 pada masa Nabi SAW adalah lebih panjang iaitu dibaca “Wa’ala al-Ladhina Yusaluna al-Sufuf al-Uwal” selepas “Innalla ha wa Mala’ikatahu Yusalluna ‘Ala al-Nabi…” Aisyah berkata, “Iaitu sebelum Uthman mengubah mushaf-mushaf.”

(v). Al-Bukhari, Sahih, VIII, hlm. 208 mencatatkan bahawa ayat al-Raghbah adalah sebahagian daripada al-Qur’an iaitu “La Targhabu ‘an Aba’ikum” tetapi ia tidak wujud di dalam al-Qur’an yang ada sekarang.

(vi). Al-Suyuti, al-Itqan, III, hlm. 82; al-Durr al-Manthur, V, hlm. 180 meriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa dia berkata,”Surah al-Ahzab dibaca pada zaman Rasulullah SAW sebanyak 200 ayat, tetapi pada masa ‘Uthman menulis mushaf, ia tinggal 73 ayat sahaja.”.

(vii). Al-Suyuti, al-Itqan, III, hlm. 41 mencatatkan riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar, daripada bapanya Umar bin al-Khattab, dia berkata, “Janganlah seorang itu berkata aku telah mengambil keseluruhan al-Qur’an, apakah dia tahu keseluruhan al-Qur’an itu? Sesungguhnya sebahagian al-Qur’an telah hilang dan katakan sahaja aku telah mengambil al-Qur’an mana yang ada.”

Ini bererti sebahagian al-Qur’an telah hilang. Begitu juga terdapat ayat-ayat yang berbeza dicatat di dalam buku-buku Syiah seperti Raudhah min al-Kafi dan lain-lain walaupun buku-buku tersebut tidak dianggap semuanya sahih oleh Syiah. Sementara Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dianggap kesemuanya sahih oleh Sunni dari semua sudut, tetapi ia tidak ada khilaf tentang al-Qur’an yang ada sekarang dari sudut amali kerana ia menjadi rujukan Sunni dan Syiah secara bersama.

Justeru, tuduhan bahawa Syiah mempunyai al-Qur’an yang lain hendaklah dihentikan dan janganlah ia dijadikan bahan untuk menyesat atau mengkafirkan Syiah, nanti orang bukan Islam akan membuat kesimpulan bahawa al-Qur’an yang dipercayai oleh Sunni dan Syiah tidak lengkap pula (la samiha llahu), kerana ia terdapat di dalam catatan bersama; Sunni dan Syiah. Sedangkan Syiah dan Sunni percaya kepada al-Qur’an yang ada sekarang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *