Ahlul-Bait Nabi S.A.W. Ma’sum atau Sahabat?

Jawapan kepada soalan: Kemaksuman Imam daripada Ahlul-Bait Nabi SAW terdapat dalam al-Qur’an dan Hadis Nabi SAW, tetapi ia disembunyikan daripada pengetahun umum di Nusantara bagi tujuan menghina para imam Ahlul-Bait Nabi SAW yang disucikan dan menghormati para imam yang tidak maksum.
Kemaksuman Imam daripada Ahlul-Bait Rasulullah SAW (12 Imam) adalah akidah al-Qur’an surah al-Ahzab (33): 33 dan Hadis Nabi SAW itu sendiri; Hadis al-Kisa’, Hadis al-Thaqalayni, Hadis al-Manzilah, Hadis bab al-Hittah dan Hadis al-Safinah dan seumpamanya.

Penentangan terhadap kemaksuman Nabi SAW dan Ahlul-Baitnya adalah dari sunnah Khalifah Abu Bakar R.A dan Umar R.A. Oleh itu, mereka menciptakan sunnah mereka sendiri yang menyalahi Sunnah Nabi SAW dan al-Qur’an di dalam beberapa hal. Kemudian sunnah mereka berdua pula diikuti oleh Sunni sebagai akidah dan agama.

Perbincangan ini adalah di luar skop pemahaman Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah, kerana mereka tidak percaya kepada kemaksuman Nabi SAW sepenuhnya (100%). Mereka percaya bahawa Nabi SAW hanya maksum ketika menyampaikan wahyu sahaja, selain daripada itu beliau hanya manusia biasa dan berijtihad dalam urusannya.

Tambahan pula, sunnah Abu Bakar RA dan Umar RA menurut Sunni, dapat mengatasi Sunnah Nabi SAW. Oleh kerana itu, kemaksuman para Imam 12 daripada Ahlul-Bait Rasulullah SAW ditolak oleh Ahli Sunnah Wal-Jama‘ah. Walaupun diberi hujah dari al-Qur’an dan Hadis Rasulullah SAW bahawa Abu Bakar RA dan Umar RA adalah tidak maksum.

Tidak ada seorang pun di kalangan 3 Khalifah dimaksumkan (disucikan) oleh Allah SWT kecuali Khalifah ke-4, Ali AS, tetapi 3 Khalifah yang tidak maksum ini pula dapat mengatasi Al-Quran dan Sunnah. Pengertian “Maksum” menurut Kamus Dewan adalah terpelihara dari (dosa) dan tidak tercela [hlm. 848 Kuala Lumpur, 1984].

Syeikh al-Mufid telah memberi definisi ‘ismah (kemaksuman) sebagai suatu kurniaan yang halus (lutfun) yang diberikan oleh Allah kepada seorang mukallaf di mana ia dapat mencegah berlakunya maksiat dan meninggalkan ketaatan walaupun dia mampu melakukannya” (al-Nakt al-‘Itiqadiyyah, oleh Syeikh al-Mufid 10: hlm. 37.

Al-Tusi berkata: ‘ismah adalah suatu kekuatan jiwa (al-Malakah al-Nafsiyyah) yang berlaku kepada para nabi dan para imam AS. Hanya 12 para imam Syiah Imamiyyah Ja‘fariyyah daripada Ahlul-Bait Rasulullah SAW sahaja yang maksum, juga termasuk Fatimah AS. Mereka disucikan dan dimaksumkan daripada dosa di dalam surah al-Ahzab (33): 33 dan Hadis Rasulullah SAW seperti Hadis al-Thaqalayni dan Hadis al-Kisa’.

Para imam AS tidak menyalahi al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW. Manakala 3 Khalifah sebelum Khalifah Ali AS telah menyalahi Sunnah Rasulullah SAW dengan sengaja. Khalifah Ali AS berkata: “Khalifah-Khalifah sebelumku telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menyalahi Rasulullah SAW dengan sengaja. Mereka melanggar janji mereka dengan baginda SAW dengan mengubah Sunnah-Sunnah baginda SAW…” (al-Kulaini, al-Raudhah min al-Kafi, (vii), Hadis 21, hlm. 51-52].

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *