Pelajaran 1:Fikah dalam Islam Dan Taqlid

KEDUDUKAN FIKAH DALAM ISLAM

Islam adalah agama terakhir dan paling sempurna. Ajaran dan hukumnya sesuai dengan fitrah dan maslahat manusia. Menerapkan ajaran Islam merupakan jalan yang akan menjamin kebahagiaan, dan sebuah lingkungan yang ideal ialah sebuah masyarakat yang menerapkan hukum-hukum Islam. Dan Fikah sebagai subjek rangkaian pelajaran-pelajaran ini merupakan salah satu dasar utama undang-undang islamiah dan insaniah.

Secara umumnya, ajaran Islam terbagi kepada tiga bahagian:

  1. Ajaran-ajaran yang berkaitan dengan keyakinan yang disebut dengan usuluddin.
  2. Tetapan-tetapan praktikal yang disebut dengan furu’uddin atau Fikah.
  3. Masalah-masalah yang berkaitan dengan kejiwaan dan perbuatan; yang disebut juga sebagai akhlak.

Bahagian pertama: Adalah ajaran yang berkaitan dengan kelurusan pemikiran dan keyakinan manusia. Ajaran ini perlu diterima dengan berasaskan kepada dalil; walaupun ianya sederhana. Kerana ajaran ini adalah sebuah kepercayaan yang memerlukan kepada keyakinan, maka dalam hal tidak dibenarkan untuk bertaklid dan mengikut orang lain.

Bahagian kedua adalah ajaran-ajaran yang praktikal yang menentukan tanggungjawab-tanggungjawab manusia dalam pekerjaan-pekerjaan yang perlu dilakukan atau yang perlu ditinggalkan. Ajaran ini disebut sebagai hukum. Dalam masalah hukum, tidak ada larangan untuk bertaklid kepada orang lain (marjak atau mujtahid).

Pembahagian Hukum

Dalam Islam, setiap pekerjaan manusia memiliki hukum yang tertentu. Hukum-hukum tersebut antaranya adalah:

  1. Wajib: Adalah pekerjaan yang perlu dilakukan, dan jika seseorang meninggalkannya, dia akan diseksa, seperti solat dan puasa.
  2. Haram: Adalah pekerjaan yang perlu ditinggalkan, dan jika seseorang tetap melakukannya, dia akan diseksa, seperti bohong dan menzalimi orang lain.
  3. Mustahab: Adalah pekerjaan yang jika seseorang melakukannya, dia akan mendapatkan pahala, dan jika dia meninggalkannya, dia tidak akan diseksa, seperti solat tahjud dan bersedekah.
  4. Makruh: Adalah pekerjaan yang jika seseorang meninggalkannya, dia akan mendapatkan pahala, dan jika dia melakukannya, dia tidak akan diseksa, seperti meniup makanan dan memakan makanan yang masih panas.
  5. Mubah: Adalah pekerjaan yang hukumnya sama antara melakukannya dan meninggalkannya, dan pelakunya tidak akan diseksa atau mendapat pahala; seperti berjalan dan duduk.( Al-Fatawah Al-Wadihah, Jil. 1, hal. 83.)

 

Taklid

Taklid bermaksud mengikut. Mengikuti dalam masalah Fikah yaitu mengikuti seorang fakih (seorang ahli Fikah). Bermaksud seorang mukallaf melakukan perbuatannya bertepatan dengan fatwa-fatwa seorang atau mujtahid yang diyakininya. (Tahrir Al-Wasilah, Jil. 1, hal. 5)

  1. Seorang yang bukan mujtahid yang sudah pasti dia tidak mampu mengeluarkan hukum-hukum Allah swt secara langsung dari sumber-sumbernya,maka wajib baginya untuk bertaklid (mengikuti) pendapat dan fatwa seorang marjak atau mujtahid. (Tahrir Al-Wasilah, Jil. 1, hal. 5)
  2. Tugas sebahagian besar dari masyarakat dalam Fikah Islam adalah bertaklid, kerana hanya

sedikit sahaja orang yang mampu berijtihad dalam bidang Fikah. (Tahrir Al-Wasilah Jil. 1, hal. 5.)

  1. Seorang mujtahid yang diikuti oleh orang lain disebut sebagai marjak taklid.
  2. Seorang mujtahid yang diikuti oleh orang lain perlu memiliki syarat-syarat sebagai berikut:
  3. Adil.
  4. Hidup.
  5. Lelaki.
  6. Baligh.
  7. Syi’ah Imamiyah.
  8. Berdasarkan ihtiyath wajib, dia mestilah merupalan orang yang paling berilmu (a’lam) di antara para mujtahid dan tidak rakus terhadap dunia. -Berkaitan dengan maksud ihtiyath wajib ini boleh dirujuk dalam pelajaran setelah ini-.( Taudhih Al-Masail, masalah 2.)

Keterangan Syarat-syarat Seorang Marjak

  1. Seorang yang Adil adalah orang yang bertakwa. Bermaksud dia sentiasa melaksanakan kewajipan-kewajipannya dan meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa. Tanda-tanda orang yang memiliki sifat adil adalah dia tidak melakukan dosa-dosa besar* dan tidak mengulangi dosa-dosa kecil.( Tahrir Al-Wasilah, Jil. 1, hal. 10, masalah ke-28.)

* Dosa besar adalah dosa yang balasannya adalah azab dan api neraka seperti; berbohong, memfitnah dan sebagainya. Dan selainnya adalah dosa kecil.

  1. Orang yang baru baligh atau selama ini belum pernah bertaklid, dia perlu memilih seorang mujtahid yang masih hidup sebagai marjak-nya. Maka, untuk memulai bertaklid, dia tidak boleh menjadikan seorangmujtahid yang sudah meninggal dunia sebagai marjaknya.( Ibid, Jil. 1, hal. 7, masalah ke-13.)

 

  1. Seseorang yang bertaklid kepada seorang marjak yang kemudiannya marjak tersebut meninggal dunia sedangkan dia masih ingin bertaklid kepadanya, dia perlu mendapatkan izin dari mujtahid yang masih hidup yang diikutinya. Jika dia seudah mendapatkan izinnya , maka dia boleh tetap kekal bertaklid kepada marjak sebelumnya yang telah meninggal dunia.

 

  1. Terdapat situasi-situasi dimana seseorang yang telah mendapatkan izin untuk kekal bertaklid kepada marjaknya yang telah meninggal dunia, dia tetap perlu merujuk kepada marjak kedua (yang masih hidup). Antara situasi-situasi tersebut adalah; apabila marjak pertama (yang telah meninggal) tidak memiliki fatwa dalam sebuah masalah sedangkan marjaknya yang sekarang memiliki fatwa, dan juga dalam masalah-masalah baru yang tidak ada di zaman marjak sebelumnya seperti; perang atau gencatan senjata dan lain-lainnya.( Istiftaat, Jil. 1, hal. 12, masalah ke-20.)

 

  1. Seorang mujtahid yang diikuti fatwanya oleh orang lain perlulah berpegang kepada Syi’ah Imamiyah; yaitu mazhab Syi’ah yang meyakini dua belas imam. Maka, seorang mukallaf yang bermazhab Syi’ah Imamiyah tidak boleh mengamalkan fatwa ulama dan para mujtahid yang bukan bermazhab Syi’ah Imamiyah.( Taudhih Al-Masail, masalah ke-2.)

 

  1. Islam menetapkan kewajipan-kewajipan ke atas para wanita dan lelaki sesuai dengan kemampuan diri mereka. Para wanita tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk menjadi seorang marjak. Tanggungjawab menjadi seorang marjak adalah tanggungjawab sangat berat; ia merupakan sebuah kedudukan yang sangat penting. Namun, ini bukan bermaksud akan menghilangkan kebebasan mereka. Wanita tidak boleh menjadi marjak bukan bermaksud dia tidak berpeluang untuk menjadi mujtahid. Islam mendorong para wanita untuk mencapai puncak keilmuan dengan menjadi mujtahid, tetapi bukan menjadi marjak. Wanita yang merupakan seorang mujtahid adalah orang dapat mengeluarkan sendiri hukum-hukum Allah dari sumber-sumbernya, yakni Al-Quran, Sunnah, Akal dan Ijmak. Dalam situasi ini dia tidak perlu bertaklid kepada orang lain.

 

 

  1. Yang dimaksudkan dari ‘paling berilmu’ adalah kemampuan seorang mujtahid yang lebih handal dari mujtahid yang lain dalam menggeluarkan hukum-hukum fikah dari sumber-sumbernya. (Taudhih Al-Masail, masalah ke-2.)

 

  1. Seorang mukallaf wajib melakukan kajian (tafahhush) untuk menentukan mujtahid paling a’alam.( Pada pelajaran berikutnya, mukallaf akan disebutkan sebagai orang yang memiliki tanggungjawab untuk menlaksanakan hukum-hukum fikah)

 

  1. Setiap individu memiliki kebebasan dalam bertaklid dan tidak perlu sama dengan orang lain. Seorang isteri, misalnya, dalam masalah bertaklid dia tidak perlu ikut sama dengan suaminya. Apabila dia telah menetapkan seseorang sebagai mujtahid yang telah memiliki syarat-syarat untuk ditaklid, maka dia boleh bertaklid kepadanya walaupun suaminya telah bertaklid kepada mujtahid yang lain. (Tahrir Al-Wasilah, Jil. 1, hal. 6, masalah ke-5.)

 

Kesimpulan Pelajaran

  1. Ajaran-ajaran Islam terdiri dari akidah, Fikah dan akhlak.
  2. Hukum praktikal terdiri dari wajib, haram, mustahab, makruh dan mubah.
  3. Taklid bermaksud mengamalkan fatwa seorang marjak taklid.
  4. Tidak dilarang untuk tetap bertaklid pada mujtahid yang sudah meninggal dunia selagi ada

izin dari mujtahid yang masih hidup.

  1. Seseorang yang tetap bertaklid kepada mujtahid yang sudah meninggal dunia dia perlu bertaklid kepada mujtahid yang masih hidup dalam masalah-masalah baru.
  2. Dalam bertaklid, setiap orang bebas dan tidak perlu ikut sama dengan orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *